Adsense

Khamis, 13 Jun 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Hafiz teruja

Posted: 12 Jun 2013 11:13 PM PDT

OLEH MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI

Hafiz turut berduet bersama Alyah untuk lagu Muara Hati dan Ombak Rindu.

Penyanyi Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau lebih dikenali sebagai Hafiz sememangnya mempunyai aura tersendiri. tidak hairanlah dalam usia yang masih muda, dia sudah berpeluang berkolaborasi dengan penyanyi popular tanah air, antaranya Datuk Siti Nurhaliza.

Karier seninya bermula pada tahun 2009, apabila dia bergelar juara program realiti nyanyian Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7). Dari situlah, anak muda kelahiran Sarawak ini terus melebarkan sayapnya dalam industri seni.

Sepanjang kira-kira empat tahun penglibatannya, dia juga sudah memenangi beberapa anugerah utama antaranya Persembahan Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) untuk tiga tahun berturut-turut bermula pada 2010 selain turut memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular pada tahun 2012.

Kini, pemuda ini turut mencipta sejarah apabila muncul sebagai artis pertama daripada rancangan realiti AF yang membuat persembahan solo di salah satu lokasi paling berprestij tanah air, iaitu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC.

Menariknya lagi, konsert yang diadakan pada 3 Jun itu juga merupakan konsert solo penyanyi ini dan pastinya, dia teruja dan bersemangat sewaktu mengadakan persembahan.

Hafiz yang ditemui selepas selesai mengadakan persembahan selama kira-kira satu jam 15 minit itu mengatakan dia amat gementar memandangkan itu adalah konsert solo pertama buatnya, apatah lagi di hadapan penonton yang membayar untuk menyaksikan persembahannya.

"Saya amat gembira kerana diberikan peluang mengadakan konsert di lokasi berprestij seperti ini, malahan ia adalah konsert solo saya yang pertama, pastinya saya teruja.

"Tetapi sejujurnya, saya berasa amat gementar sewaktu membuat persembahan. Perasaan itu masih tidak hilang sehingga ke saat ini (sesi temu bual)," katanya.

Tambah Hafiz lagi, dia mengakui masih banyak yang perlu diperbaikinya dari segi mutu persembahan dan ketahanan vokal untuk bernyanyi dalam tempoh tertentu.

"Saya sedar masih banyak yang perlu saya baiki dan pelajari bagi menjadi penyanyi yang berkualiti, dan pastinya pengalaman ini banyak membantu saya.

"Sungguhpun konsert ini tidak memakan masa yang terlalu lama, saya banyak belajar seperti penguasaan pentas, gerak tubuh dan juga cara-cara berkomunikasi dengan penonton," katanya yang ternyata berpuas hati dengan konsert pertamanya itu.

Berbicara soal sambutan daripada peminat, Hafiz mengatakan bahawa dia benar-benar terasa dihargai apabila melihat setiap ceruk dewan dipenuhi dengan peminatnya yang hadir dari seluruh negara.

"Saya amat berterima kasih kepada semua yang hadir pada malam ini. Perasaan dan sambutan yang saya rasakan pada waktu ini akan terus bersama saya sehingga ke akhir hayat.

"Saya tidak pernah merasakan sambutan seperti ini dan saya amat terharu kerana ramai sudi membeli tiket untuk menyaksikan persembahan saya," jelas Hafiz.

Tidak mengecewakan

Sungguhpun konsert yang diadakan tersebut merupakan konsert solo pertama penyanyi ini, ternyata persembahan yang diberikan pada malam itu berjaya menarik minat penonton yang hadir.

Dalam konsert tersebut, Hafiz menyanyikan sejumlah 12 lagu-lagu popular antaranya Noktah Cinta, Masih Jelas, Ku Akui dan lagu hit yang melonjakkan lagi namanya, iaitu Awan Nano.

Hafiz turut menghiburkan kira-kira 900 penonton yang hadir dengan kebolehannya bernyanyi dalam bahasa Inggeris apabila menyanyikan lagu She Will Be Loved, I Believe I Can Fly dan juga When I Was Your Man.

Konsert yang bermula pada kira-kira pukul sembilan malam itu turut diserikan dengan kehadiran Alyah yang berduet bersama Hafiz untuk lagu Ombak Rindu dan Muara Hati.

Pada malam tersebut, Hafiz turut membawakan beberapa lagu dalam bentuk medley antaranya Ilham Pujangga dan Pelangi Petang.

Menarik lagi, pengunjung yang memenuhi kapasiti dewan tersebut turut diperdengarkan dengan lagu terbaru penyanyi itu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, berjudul Matahari.

Sungguhpun tumpuan utama pastinya diberikan kepada Hafiz, tetapi kehadiran Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik dan juga pemain piano turut mencuri tumpuan ramai.

Selain itu, Hillary Ang selaku pemain gitar juga tidak ketinggalan memberikan persembahan terbaik pada malam tersebut, menambahkan lagi kepuasan kepada penonton yang hadir.

Selepas tamat konsert tersebut, Hafiz turut meluangkan masa kira-kira satu jam untuk sesi bertemu peminat kerana merasakan terharu dengan sambutan yang diberi.

Aniston tangguh kahwin

Posted: 12 Jun 2013 11:13 PM PDT

Sudah dua kali Aniston dan Theroux tangguh perkahwinan.

JENNIFER Aniston antara pelakon Hollywood yang laris mendapat tawaran berlakon. Disebabkan kesibukan berlakon khabarnya pelakon jelita ini terpaksa menangguhkan perkahwinannya dengan Justin Theroux pada musim panas ini.

Menurut suatu sumber kepada Daily Mail pasangan itu terpaksa menunda tarikh perkahwinan sehingga hari Krismas ini.

"Mereka mungkin akan mengadakan majlis perkahwinan itu tidak lama lagi tetapi Justin cakap ia terpaksa ditangguhkan yang mana sambutan Hari Krismas mereka nanti akan diubah menjadi majlis perkahwinan di Los Angeles," kata sumber tersebut.

Ini bukan kali pertama pasangan tersebut menunda pernikahan mereka kerana pada awalnya mereka merancang untuk berkahwin pada Mei lalu tetapi ditunda kepada musim panas ini.

Hubungan Theroux dan Aniston memang sudah berlangsung cukup lama, malah sebelumnya aktres itu sempat menjalin hubungan dengan bintang-bintang kelas A termasuk bekas suaminya, Brad Pitt.