Adsense

Sabtu, 4 Mei 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Demam Star Trek bermula

Posted: 03 May 2013 05:10 PM PDT

ADVERTORIAL

Sekuel kepada filem 'Star Trek' (2009), 'Star Trek Into Darkness' bakal menemui pengunjung pawagam bermula 17 Mei depan setelah tarikh tayangan ditunda dari 29 Jun tahun lalu tanpa alasan yang dapat didedahkan.

Petanda awal menunjukkan peminat Trekkies sudah tidak sabar menonton 'Star Trek Into Darkness' apabila comicbookmovie.com melaporkan sistem tempahan atas talian BFI dan Odeon di United Kingdom mengalami masalah teknikal gara-gara permintaan yang memberangsangkan untuk tempahan awal tiket.

Selepas kejayaan 'Star Trek' memungut kutipan mencecah US$385 juta di box office serta kemenangan di beberapa majlis penganugerahan termasuk Academy Awards dan Screen Actors Guild Awards, pihak penerbit memutuskan untuk meneruskan kisah James T. Kirk bersama krew kapal USS Enterprise.

Malah semua pelakon utama dikatakan telah menandatangani kontrak untuk dua sekuel termasuk Chris Pine, Zachary Pinto, Karl Urban, Zoe Saldana, Simon Pegg, John Cho dan Anton Yelchin.

Filem kedua dalam siri reboot yang bermula pada tahun 1966 ini turut menampilkan pelakon Inggeris popular, Benedict Cumberbatch yang melakukan transisi dari watak Sherlock Holmes abad ke-21 ke karektor antagonis yang lebih futuristik.

Kepulangan J. J. Abrams kepada kerusi pengarah turut disambut baik peminat, lebih-lebih lagi bila dia disahkan bakal mengarah 'Star Wars Episode VII'. Abrams juga membawa bersama rakan-rakan koloborasinya iaitu Alex Kurtman dan Roberto Orci sebagai penulis skrip (dan kini, penerbit) serta Damon Lindelof yang masih berfungsi sebagai penerbit tetapi telah meluaskan lagi portfolionya sebagai penulis bersama.
Kisah 'Star Trek Into Darkness' bermula dengan kepulangan USS Enterprise ke Bumi. Semua krew terkejut dengan keadaan Bumi yang huru-hara. Lebih memeranjatkan bila Starfleet menjadi mangsa serangan. Kini, Kapten Kirk bersama krewnya ditugaskan untuk mencari individu yang bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

Jangan terlepas menonton 'Star Trek Into Darkness' yang menjanjikan babak-babak aksi yang mendebarkan di pawagam bermula 17 Mei depan.

Tuah Suzy

Posted: 03 May 2013 05:10 PM PDT

Skandal foto intim IU bantu lonjak dirinya sebagai selebriti pilihan pengiklan

Menandatangani lebih 20 kontrak iklan sejak awal tahun lalu, populariti anggota kumpulan Miss A, Suzy Bae melonjak di kalangan pengiklan hingga menerima jolokan 'Gadis $10 juta'.

Kontrak pertama ditandatangani gadis bernama lengkap, Bae Su ini Ji pada Februari 2012 dan sejak itu, pelbagai tawaran komersial diterima termasuk Domino's Pizza, Canon, Nintendo, Reebok, Swarovski dan Korean Tourism Organization.

Kesemua kontrak itu ditandatangani Suzy secara solo, tanpa membabitkan anggota Miss A yang lain. Keselesaan itu meletakkan dirinya dalam senarai artis berpendapatan tertinggi menyaingi nama popular seperti Yoo In Na, Jeon Ji Hyun dan Song Hye Kyo.

Biarpun beberapa nama lain turut dibanjiri tawaran membintangi komersial, namun pengaruh mereka tidak mampu menyaingi keutuhan populariti Suzy.

Lonjakan populariti gadis kelahiran Gwangju, Korea Selatan berusia 19 tahun itu meletakkannya pada kedudukan teratas sebagai model komersial pilihan di kalangan penyanyi berkumpulan wanita.

Apakah rahsia di sebalik kejayaan gadis yang diperkenalkan bersama Miss A pada Julai 2010 menerusi single perdana mereka, Bad Girl Good Girl itu?
Sebahagian melihat pencapaian Suzy itu didorong kejayaan filem pertamanya, Architecture 101 yang menganugerahkannya trofi bakat baru pada Baeksang Arts Award.

Dia yang sedang meraih perhatian menerusi drama berantai, Gu Family Book turut menjulang trofi Aktres Popular 2012 KBS Drama Award menerusi wataknya dalam drama bersiri, Big.

Satu daripada agensi pengiklanan berkata, Suzy menjadi pilihan kerana pengaruh dan popularitinya yang melangkaui pelbagai lapisan usia.

"Dia tidak hanya menjadi idola remaja, sebaliknya turut mencipta nama sebagai aktres. Semua itu membantunya untuk dikenali kelompok peminat yang meluas.

"Kriteria itu meletakkan Suzy menjadi pilihan paling ideal sebagai bintang komersial. Meskipun industri pengiklanan sering menyaksikan perubahan pantas, namun Suzy tetap bertahan dan menyerlah.

"Bonus kepadanya kerana selain memiliki raut wajah baik dan cantik semula jadi, ia membantu Suzy untuk mencipta imej bersih dan bebas skandal," katanya.

Sebelum Suzy, penyanyi IU terlebih dulu menjadi pilihan kebanyakan pengiklan namun selepas skandal membabitkan dirinya terbongkar, secara tidak langsung menjauhkannya daripada peminat.

IU yang pernah menjadi kesayangan ramai menutup periuk nasinya sendiri apabila memuat naik rakaman foto dirinya dan anggota Super Junior, Eunhyuk pada November lalu.

Bagaimanapun, perkara itu menjadi heboh apabila peminat mendapat tahu rakaman foto itu sebenarnya dilakukan ketika mereka sedang berbaring di atas katil.
IU pantas menafikan perkara itu dengan mempertahankan, mereka sedang berehat di atas sofa tanpa sebarang jalinan intim.

Namun penjelasan yang diberikan IU itu tidak mampu memadamkan skandal yang menjadi bualan ramai, malah turut memperjudikan masa depan karier seninya.

Meskipun tidak mempunyai kaitan dalam skandal yang diperkatakan itu, namun imej buruk IU membawa keuntungan kepada Suzy apabila pengiklan mencari nama selebriti yang bersih dan bebas skandal.

Dalam tempoh 14 bulan selepas menandatangani kontrak komersial pertama, Suzy berhasil meraih pendapatan RM26.9 juta.

Dia dikatakan menerima bayaran sekitar RM1.6 juta untuk setiap iklan, meletakkan dirinya sebagai gadis paling dikehendaki dalam lapangan komersial.

Rahsia miliki tubuh menawan

Bertubuh kecil molek, pesona dirinya sentiasa meraih perhatian umum hingga ramai kaum Hawa iri hati dan cemburu dengan kelangsingan tubuhnya.

Namun semua itu tidak datang hanya dengan memetik jari. Suzy berkata, dia bekerja keras untuk mendapatkan susuk tubuh idaman gadis itu.

"Saya tidak betah duduk diam, malah tidak pernah lelah melakukan sesuatu. Saya paling suka bersenam menggunakan hula hoop.

"Andai ada kelapangan, saya akan bersenam sambil membaca skrip. Senaman itu membantu saya mendapat bentuk tubuh yang diidamkan," katanya.

Kesungguhan itu barangkali berputik daripada disiplin yang diterapkan sebaik saja dia memasuki industri hiburan.

Bermula sebagai penyanyi, sebelum melangkah ke dunia lakonan tetapi setiap satu dilakukannya penuh serius. Malah ketika membintangi Gu Family Book, Suzy tidak merungut biarpun terperuk dalam kedinginan.

Dalam satu adegan, Suzy diminta berkemban ketika menjayakan babak penggambaran yang dilakukan dalam cuaca dingin.

Suzy langsung tidak merungut, sebaliknya sentiasa menguntum senyum ketika kru merakamkan babak dirinya yang sedang merawat luka di lengan.

Memainkan watak Dam Yeo Wool, gadis lurus yang berani dan karakter yang dibawanya itu sebenarnya tidak jauh beza daripada peribadi asalnya.

Mula muncul dalam episod ketiga, drama yang turut dibintangi Lee Seung Gi itu menyerlahkan pesona kental dirinya sebagai gadis yang merasai pengalaman cinta pertama.