Adsense

Khamis, 2 Mei 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Yuna tuai hasil

Posted: 01 May 2013 05:13 AM PDT

Pengerusi Verve Music Group, David Foster puji vokal, penyampaian penyanyi Terukir Di Bintang dalam EP sulung

Ada sebab mengapa penyanyi tinggi lampai ini untuk berasa teruja dan gembira. Segala usaha, serta penat lelahnya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) untuk menjual 'bakat' nampaknya mula menampakkan hasil.

Jika sebelum ini Yuna membuat negara bangga apabila dilamar komposer terkenal, David Foster, untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya, Verve Records, kini 'benih' yang ditanam itu sudah menampakkan tunas.

Menurut pemilik nama Yunalis Zarai ini, hasil kerjanya bersama Verve akan dapat dikongsi bersama peminat menjelang 7 Mei ini, iaitu EP berjudul 6ixth Street.

"EP ini mengandungi lima lagu dan untuk single pertama saya memilih I Wanna Go. Terus terang saya memang berdebar dan pada masa sama gembira kerana tidak sabar untuk melihat reaksi peminat terhadap album ini.

"Muzik I Wanna Go mempunyai sentuhan ketimuran, iaitu kedengaran seperti bunyi kompang, yang dihasilkan daripada gendang. Saya memang mahu selitkan muzik sebegitu. Saya berharap, untuk album penuh yang bakal dipasarkan September depan, saya sekali lagi dapat menghasilkan muzik sedemikian," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Duta Sosial Media Penerbangan Malaysia (MAS) di The Publika, Dutamas, malam kelmarin.

Ditanya pandangan Foster selepas mendengar keseluruhan album itu, penyanyi berusia 26 tahun ini berkata, pujian lebih kepada vokal dan gaya penyampaiannya.

"Buat masa ini album itu hanya dipasarkan di sini dan peminat di Malaysia bolehlah mendapatkannya secara atas talian dan di iTunes Malaysia," terang Yuna.
Akur tewas kepada Shila

Sesekali bertemu penyanyi ini, banyak benda yang ingin ditanyakan. Maklum sajalah, menetap di Los Angeles demi tuntutan kerjaya membuatkan peluang untuk mewawancara penyanyi Terukir Di Bintang ini terbatas.

Antaranya, apakah reaksinya apabila trofi Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH yang dimenangi tahun lalu gagal dipertahankan. Sebaliknya, gelaran itu berpindah kepada Shila Amzah.

Mengulas perkara terbabit, Yuna lebih suka melihat kekalahan itu dari sudut positif.

"Shila layak untuk menang kerana dia memang popular. Pada saya, dia artis yang berbakat besar serta mampu pergi jauh dalam bidang ini. Sekarang ini pun dia sudah terkenal di Shanghai dan bakal menghasilkan album di luar negara," katanya.

Dapat layanan istimewa?

Mengenai pelantikannya sebagai Duta Sosial Media MAS, Yuna berkata, perkara itu sudah lama diimpikannya.

"Kerjasama saya dengan MAS bermula ketika menjayakan projek MHbuddy Meets the World Travelogue, tahun lalu. Saya impikan saat ini dan bangga apabila berpeluang bekerjasama dengan produk tempatan," katanya.

Diusik pertanyaan apakah dia akan menjadi anak emas syarikat penerbangan terbabit selepas ini, katanya, perkara itu lebih kepada situasi menang-menang.

"Sepanjang saya menggunakan khidmat mereka, MAS tidak pernah memberi sebarang masalah buat saya. Jadi kerjasama ini saya lihat lebih kepada menguntungkan kedua-dua pihak. Saya membantu mereka dari segi promosi dan secara tidak langsung ia juga mendekatkan peminat saya dengan mereka," ujarnya.

Pada majlis itu Yuna diberikan Kad Enrich Emas oleh Ketua Pemasaran MAS, Dean Dacko, sebagai ganjaran atas kesetiaannya menggunakan penerbangan itu.

Terdahulu, Yuna turut menghiburkan peminat yang hadir dengan rangkaian lagu popularnya termasuk single terbaru di Malaysia, Lelaki, dan I Wanna Go.

Bintang Korea di puncak Genting

Posted: 01 May 2013 05:11 AM PDT

Artis K-pop popular bakal tampil dalam konsert dua malam di Arena of Stars

Arena of Stars, Genting Highlands, bakal menjadi gelanggang perhimpunan ramai bintang K-pop ternama yang diterbangkan khas ke Malaysia pada 23 dan 24 Mei ini.

Peminat tegar yang membeli tiket bukan hanya berpeluang mengikuti persembahan Sistar, 4Minute, Brown Eyed Girls (BEG), Born to Beat (BTOB) dan G.Na, malah turut berpotensi memenangi pakej percutian ke Korea bernilai RM25,000.

Uniknya, Dream Concert yang dibawakan Esteem Pavilion Sdn Bhd ini membariskan artis berkumpulan wanita dan penyanyi solo yang sebahagiannya julung kali mengadakan persembahan di negara ini.

Sudah pasti ramai ternanti-nanti kemunculan HyunA daripada kumpulan 4Minute dan Gain (Brown Eyed Girls) kerana kelibat mereka turut menyerlah dalam muzik video Psy. Andai HyunA membintangi klip Gangnam Style, Gain pula terbabit dalam klip lagu terbaru, Gentleman.

Populariti HyunA yang menyerlah bergandingan dengan penghibur tersohor itu secara tidak langsung memberi tempias kepada anggota lain iaitu Nam Ji-hyun, Heo Ga-yoon, Jeon Ji-yoon dan Kwon So-hyun. 4Minute boleh berbangga dengan lagu mereka, Creating Love, HuH, Mirror Mirror dan Volume Up yang menjadi siulan ramai.

Sistar teruja temui peminat Malaysia

Melihat senarai lain, kumpulan BEG yang ditubuhkan sejak 2006 turut mempunyai kelompok peminat setia di sini, apatah lagi mereka menyerlah bersama dendangan hits berjudul L.O.V.E., Hold the Line serta How Come.
Apa pun, Sistar hasil gabungan Hyolyn, Bora, Soyou dan Dasom antara kumpulan yang teruja untuk beraksi di Arena of Stars memandangkan inilah julung kalinya mereka bertemu peminat di Malaysia. Tentu ramai ternanti-nantikan penampilan mereka mendendangkan How Dare You, So Cool, Alone dan Loving You.

Berbeza daripada kumpulan lain, BTOB pula ditunjangi enam wanita bersama satu-satunya anggota lelaki. Mereka menghangatkan lagi Genting Highlands bersama I Only Know Love, Insane dan Father.

Namun, dijangka penyanyi solo seperti G.NA atau nama sebenar, Gina Jane Choi, yang berdarah campuran Korea dan Kanada tidak mungkin mengecewakan. Menyelak pengalaman, dia pernah berduet bersama Rain menerusi lagu Little Things I Want to Do When I Have a Lover.

Bagi yang ingin mengikuti Dream Concert, yang berlangsung pada 23 dan 24 Mei ini, jam 8.30 malam, tiket dijual pada harga RM100 hingga RM800.

Tempahan tempat atau pertanyaan boleh dilakukan dengan menghubungi Ticket Charge di 03-92228811 dan 03-27181118, atau layari laman web www.rwgenting.com untuk maklumat lanjut.

Jangan lupa dapatkan tiket anda sekarang. Ganjaran utama bernilai RM25,000 berupa pakej percutian ke Korea dan penginapan mewah di Hotel Grand Resort World Genting menanti pemenang.

Lima pembeli tiket bertuah akan memenangi percutian 3 hari 2 malam ke Korea bernilai RM4,000, termasuk tiket penerbangan, penginapan, makanan dan lawatan untuk setiap seorang. Manakala lima lagi peminat bertuah akan memenangi pakej percutian Resorts World Genting termasuk dua malam penginapan di Genting Grand Premier Room berserta sarapan bernilai RM1,000.

*Dapatkan borang Peraduan K-Pop Dream Concert Live in Malaysia dalam akhbar BH hari ini