Adsense

Khamis, 18 April 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ziana hos baru Primadona?

Posted: 17 Apr 2013 04:46 PM PDT

Penyanyi popular masih tunggu keputusan, suka program kewanitaan

Sejak akhir-akhir ini, memang heboh kalangan media bercerita mengenai pengacara Primadona, Zeila Jalil, akan digantikan dengan selebriti lain. Antara nama yang disebut-sebut termasuklah pelakon terkenal, Nur Fazura, dan penyanyi popular, Ziana Zain.

Begitupun, baru-baru ini Fazura membuat pengakuan dia menolak tawaran daripada pihak Astro berikutan bidang pengacaraan bukanlah kepakarannya.

Tunggu jawapan Astro

Ziana pula, ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baru Safi dan pelantikannya sebagai duta Safi Rania Diamond di Subang Jaya, Selasa lalu, tidak menafikan mahupun mengiyakan mengenai khabar dirinya turut dilamar pihak berkenaan bagi memikul tanggungjawab sebagai seorang daripada empat pengendali rancangan itu.

Cuma katanya, dia memang mendapat panggilan daripada Astro berhubung tawaran mengacarakan program terbabit.

"Saya dengar mereka ada membuat rombakan dan kita tunggu sajalah apa keputusannya. Saya pun ada dipanggil, tetapi saya masih menunggu panggilan berikutnya dan belum tahu jawapannya lagi.
"Saya sendiri sukakan rancangan Primadona sebab ia berkisar mengenai wanita. Ia berbicara mengenai dunia kecantikan, fesyen, kisah peribadi dan segala-galanya ada kena-mengena dengan wanita. Saya pula jenis suka berkongsi dan memang suka bercakap," katanya yang menjayakan iklan produk kecantikan itu bersama suami, Armin Zaharin.

Yakin Mohd tak bersalah

Sentiasa tampil cantik dan menarik, Ziana, 45, cukup gembira apabila dilantik sebagai jurucakap produk berkenaan. Lebih menggembirakan Ziana, sampai sekarang dirinya masih menjadi perhatian pelbagai pihak dan tidak pernah sunyi daripada aktiviti seni.

Sementara itu, selain menjadi juri kepada program realiti nyanyian, Kilauan Emas, jadual Ziana memang penuh dengan undangan persembahan, penampilan khas dan pelbagai agenda lain.

Namun, tatkala sibuk dengan pelbagai tugas, Ziana tidak melupakan bekas protegenya daripada program Mentor musim keempat, Mohd. Mengambil tahu apa yang berlaku kepada anak didiknya itu, Ziana sedih dan bersimpati atas dakwaan merogol yang dikaitkan dengan bakat baru berkenaan.

"Saya hanya boleh menasihati dan bertindak sebagai pemberi motivasi kepada Mohd. Saya dapat tahu mengenai kes dakwaan itu melalui berita yang disampaikan dan saya dapat rasa yang dia 'terkena'. Pada mulanya saya memang terkejut dan risau.

Nasihat pilih kawan

"Saya sudah pun menasihatnya sebelum ini, agar sentiasa berwaspada dalam memilih kawan. Kadang-kadang kawan boleh jadi lawan, jadi kita kena hati-hati. Tambah lagi nak hidup dalam industri ini bukan senang. Tetapi apa yang dia terkena, dia tetap perlu lalui dengan reda," tambah Ziana yang berkeyakinan protegenya itu tidak bersalah, sebaliknya teraniaya.

SENIMAN, tujuh individu tak jadi batal saman

Posted: 17 Apr 2013 03:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan tujuh individu lain, semalam, menarik balik permohonan bagi membatalkan saman yang dikemukakan terhadap mereka oleh lima artis veteran berhubung mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu yang didakwa tidak sah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop, membatalkan permohonan itu dengan kos RM5,000 ketika kes berkenaan disebut dalam kamar dengan dihadiri peguam, Yusfarizal Yussoff dan Bazlinda Bahrin.

Yusfarizal yang mewakili semua artis veteran selaku plaintif ketika ditemui berkata, Rosilah turut menetapkan 3 September depan untuk pengurusan kes manakala 2 Oktober bagi perbicaraan.

Lima ahli SENIMAN fail saman

Pada 22 Februari lalu, Abu Bakar Omar; Sahlan Sudiran; Mior Ahmat Zaudi Mior Ali; Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang memfailkan saman terhadap SENIMAN dan tujuh individu yang lain.

Pada 28 Februari lalu, SENIMAN memfailkan permohonan bagi membatalkan saman atas alasan plaintif tidak mempunyai cukup korum bagi mendapatkan deklarasi untuk membatalkan mesyuarat agung persatuan itu mengikut peruntukan Fasal 13 Perlembagaan SENIMAN. - BERNAMA