Adsense

Selasa, 27 November 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tidak hilang jati diri

Posted:

Tidak hilang jati diri

Tidak hilang jati diri

BERTEMU buat pertama kalinya dengan penyanyi Zee Avi dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! pada hujung minggu lalu, dia nyata cukup peramah. Bahkan sepanjang sesi temu bual berlangsung, Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman tidak kekok berbahasa Melayu dan sesekali terselit dialek Sarawak yang menjadi darah dagingnya.

Luahnya, satu perkara yang mungkin ramai orang tidak tahu tentang dirinya adalah dia merupakan warganegara Malaysia dan anak kelahiran Miri, Sarawak.

"Ramai peminat yang terkejut apabila saya memberitahu mereka, saya rakyat Malaysia. Saya bangga saya rakyat Malaysia dan lahir di Miri, Sarawak. Tidak ada apa yang perlu saya malu kerana saya sayangkan Malaysia. Bahkan, pada setiap persembahan saya di luar, pasti saya akan selitkan cerita mengenai Malaysia," katanya yang merupakan duta pelancongan negeri Sarawak.

Kata gadis berusia 27 tahun itu, dia telah diajar hidup di rantau orang sejak berusia 17 tahun. Ketika itu, Zee meninggalkan Malaysia demi menuntut ilmu fesyen di Universiti American InterContinental di London, England.

Selepas lagunya dimuatnaik di laman perkongsian video YouTube, Zee telah dilamar oleh syarikat rakaman Brushfire Monotone/Universal Records, sebelum album pertamanya diterbitkan pada tahun 2009.

Sejak album pertamanya yang berjudul Zee Avi dilancarkan di pasaran, jadual hariannya mula padat dan New York menjadi destinasi tempat tinggalnya.

"Saya sudah terbiasa berdikari sejak berusia 17 tahun. Ibu bapa saya hanya membayar yuran pengajian, manakala duit poket saya cari sendiri. Jadi, kini pada usia 27 tahun tinggal sendirian bukan satu masalah besar buat saya. Ibu bapa juga tidak putus memberi nasihat dan kata-kata semangat setiap kali menghubungi saya.

"Walaupun hidup di negara orang, saya tetap mengamalkan budaya tempatan. Bagi saya, jati diri itu penting untuk membentuk siapa saya pada hari ini. Saya juga tidak pernah letih atau bosan bercerita tentang keindahan Malaysia setiap kali rakan dan peminat di Amerika bertanya tentangnya," tutur Zee yang kini berpindah ke Los Angeles beberapa minggu sebelum taufan Sandy melanda bandar New York.

Album Melayu

Zee yang telah melahirkan dua buah album, Zee Avi dan Ghost Bird kini dalam peringkat awal proses membikin album ketiganya.

Mengakui terdorong untuk mencipta lagu buat pertama kali kerana tiada lagu yang sesuai dengan jiwanya ketika itu, dia tidak menyangka akan bergelar penyanyi dan berada di bawah syarikat rakaman antarabangsa.

"Mula-mula saya cipta lagu ketika belajar di London. Saya bosan, jadi saya menulis lirik dan mencipta lagu kerana tiada lagu di radio ketika itu sesuai dengan jiwa saya. Ia sekadar untuk suka-suka dan mengisi masa lapang, tidak sangka sekarang saya jadi penyanyi. Sampai sekarang saya masih belajar untuk menerima hakikat itu (ketawa)," ujarnya.

Apabila disoal bilakah mahu melahirkan album penuh dalam bahasa Melayu, Zee tersenyum lebar. Jelasnya, dia sendiri tidak sabar lagi untuk muncul dengan album penuh dalam bahasa Melayu kerana itu impiannya.

"Memang saya sendiri tidak sabar untuk lahir dengan album penuh bahasa Melayu, tetapi buat masa ini fokus saya hanya untuk album ketiga.

"Selepas album ketiga ini, saya ada masa lapang. Mungkin pada hujung tahun hadapan atau tahun 2014. Saya belum boleh beri kata putus, tetapi saya memang teringin sangat membikin sebuah album bahasa Melayu," balasnya.

Jika melahirkan album bahasa Melayu, luah Zee dia amat sukakan muzik nostalgia seperti lagu-lagu daripada R. Azmi dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Katanya: "Kalau saya melahirkan album bahasa Melayu, inspirasi saya daripada muzik-muzik lama. Bagi saya muzik lama sangat jujur dan meresapi jiwa. Sebab itu pada tahun 2012 kita masih boleh menerima muzik lama. Antara lagu yang saya suka seperti Nasib Penyanyi, Serba Salah dan Hitam Manis."

Aizat

Bercakap tentang Aizat, penyanyi lelaki yang dikaitkan rapat dengan dirinya kini, mata Zee terus bersinar. Akuinya, sebelum ini dia langsung tidak mengenali Aizat.

Selepas muzik Aizat diperkenalkan oleh rakannya, Zee cukup kagum dengan bakat muzik yang dimiliki Aizat serta abangnya, Anas.

"Saya tidak tahu kenapa baru sekarang saya kenal Aizat. Kami berkenalan baru-baru ini dan terus boleh rapat sebab kami satu kepala apabila berbicara tentang muzik. Memang saya suka berkawan dengannya.

ZEE AVI mengaku pernah bercinta, tetapi kini pada usia 27 tahun, dia belum bertemu dengan cinta sejati lagi.


"Kami telah bekerjasama baru-baru ini dan saya juga telah ke studio Kasi Gegar Entertainment. Sebenarnya bukan semua orang yang sesuai bekerja dengan nada suara dan muzik saya, tetapi tidak untuk mereka. Mungkin kami akan bekerjasama dalam sebuah lagu pada masa depan, siapa tahu? Tunggu dan lihat," luah Zee berahsia.

Bercerita mengenai Yuna yang juga mencapai sukses di luar negara sepertinya, Zee juga berbangga apabila rakan seperjuangan telah mengharumkan nama Malaysia. Bagaimanapun, kesibukan jadual menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk bekerjasama.

"Biarpun sama-sama berada di Amerika Syarikat, sebab masing-masing sibuk, kami tidak sempat untuk bertemu. Apabila saya berpindah ke Los Angeles, Yuna sedang sibuk dengan konsert jelajahnya. Apa pun, saya bangga dengannya kerana dia cukup berbakat besar dan melakukan dengan baik di sana," kata Zee.

Vokal 'hancur', Diandra dikritik hebat

Posted:

Vokal 'hancur', Diandra dikritik hebat

Vokal 'hancur', Diandra dikritik hebat

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my

DIANDRA merupakan anak didik Yuna.


PENDATANG baharu, Diandra Arjunaidi, 20, telah dikritik hebat oleh peminat-peminat di Twitter baru-baru ini. Ia adalah impak daripada persembahan Diandra ketika menyampaikan lagu ciptaannya sendiri, Angkasa, pada konsert minggu kedua separuh akhir Muzik-Muzik 27.

Penyanyi yang bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Yuna iaitu Yuna Room Records (YRR) dikutuk kerana vokalnya pada persembahan separuh akhir Muzik-Muzik 27 itu dikatakan tidak sehebat seperti nyanyiannya dalam cakera padat (CD).

Lebih teruk, bakat dan kebolehan nyanyian Diandra dipersoalkan malah ada yang mempersoalkan kenapa dia layak menyertai pertandingan muzik berprestij itu.

Tidak kurang ada yang menganggap anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak mampu menyanyi secara langsung.

Antara komen peminat menerusi Twitter adalah:

"Pernah dengar Diandra Arjunaidi tidak pandai menyanyi live. Saya rasa sesiapa yang menyatakan perkara itu adalah benar".

"Maaf. Rakaman atau secara langsung. Saya masih tidak menyukai suara Diandra Arjunaidi".

Kosmo! segera mendapatkan maklum balas daripada Diandra mengenai perkara itu.

Kosmo!: Apakah komen anda apabila dikritik hebat oleh peminat di Twitter?

DIANDRA ARJUNAIDI: Saya sedih dan sensitif kerana mereka tidak tahu cerita sebenar.

Apakah cerita di sebalik vokal anda yang 'hancur' ketika menyampaikan lagu tersebut pada separuh akhir Muzik-Muzik 27?

Sebenarnya saya baru balik daripada mengadakan persembahan di konsert Yuna yang berlangsung di Kuching, Sarawak. Semasa di Kuching lagi saya sudah demam dan kehilangan suara. Bila saya menyanyi dan kemudiannya pulang ke Kuala Lumpur untuk separuh akhir Muzik-Muzik 27 suara saya menjadi semakin teruk. Saya ada minum air asam jawa untuk memulihkan suara, tetapi masih tidak baik.

Adakah benar dakwaan peminat mengatakan anda tidak mampu menyanyi secara langsung?

Itu tidak benar. Saya boleh menyanyi secara langsung.

Ada juga yang mengatakan anda tidak mempunyai bakat menyanyi? Komen anda?

Saya tidak rasa yang suara saya seteruk seperti yang orang cakap. Kalau saya tidak ada bakat menyanyi, Yuna tidak ambil saya menyertai syarikat miliknya, Yuna Room Records (YRR).

Bila anda menghadapi dugaan seperti ini adakah anda rasa putus asa?

Saya tidak akan putus asa sebab ia adalah salah satu asam garam dalam industri. Sebagai pendatang baharu saya kena terima kutukan yang orang beri. Yuna dan Hujan juga sebelum ini pernah dikritik dengan teruk. Yuna juga ada beri nasihat kepada saya supaya tidak mudah patah semangat dan tunjukkan kepada mereka (peminat) yang kita mampu buat yang terbaik.

Buat pertama kali lagu ciptaan anda, Angkasa berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 27, tetapi ia tidak dapat dilakukan dengan baik. Adakah anda kecewa?

Sudah tentu saya kecewa sangat, tetapi saya anggap tiada rezeki. Sebagai seorang pendatang baharu, sudah ke peringkat separuh akhir juga sudah bagus untuk saya. Insya-Allah, saya akan cuba untuk tahun depan dan akan lebih menjaga kesihatan.

Apakah harapan anda kepada peminat?

Saya harap peminat sentiasa menyokong. Kalau tidak minat tidak mengapa, asalkan jangan beri kutukan yang melampau.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Insya-Allah tahun depan dalam bulan Februari atau Mac album kedua saya berada di pasaran.

Berapa buah lagu yang ditulis anda dalam album kedua tersebut dan apakah judul single pertama?

Terdapat 10 buah lagu yang kesemuanya ditulis oleh saya. Single pertama album kedua saya iaitu Sama Saja sudah saya nyanyikan dalam beberapa persembahan.

Menerusi album kedua nanti adakah anda akan lebih berhati-hati dari segi tatabahasa kerana dalam lagu Angkasa terdapat kesalahan tatabahasa yang digunakan?

Saya akui kurang fasih menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu. Saya sebenarnya membesar dengan penggunaan bahasa Inggeris namun saya cuba untuk menghasilkan lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan cubaan pertama saya sudah tentu single Angkasa. Untuk album kedua saya ada meminta tolong kawan-kawan untuk melihat lirik yang ditulis agar tidak berlaku kesilapan lagi.

Hero tua terajui Kahwin 5

Posted:

Hero tua terajui Kahwin 5

Hero tua terajui Kahwin 5

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


KAHWIN 5 yang memaparkan isu poligami diberi klasifikasi tontonan untuk 18 tahun ke atas. Ia dibintangi oleh (dari kiri): Anzalna, Andrea, Usop Wilcha, (tengah) pengarah, Nizam Zakaria, Norish Karman dan Marsha.


JIKA melihat industri perfileman di luar negara terutamanya Hollywood, pemilihan pelakon yang sudah berusia merupakan satu perkara yang menjadi kebiasaan, malah ada di antaranya meraih bayaran yang agak tinggi dan lumayan.

Namun begitu, dalam industri perfileman di Malaysia kebanyakan penerbit atau pengarah dilihat lebih gemar memilih pelakon muda untuk memegang watak utama dalam sebuah filem.

Bagaimanapun, filem berjudul Kahwin 5 yang diterbitkan oleh Showbiz Productions telah mengambil pendekatan dengan memilih Usop Wilcha, seorang pelakon komedi yang kini berusia 47 tahun sebagai teraju utama.

Filem berkenaan mengisahkan seorang usahawan mangkuk plastik berjaya, Dr. K (Usop Wilcha) yang sudah memenuhi kuota empat isteri iaitu Saadiah (Dian P. Ramlee), Sahara (Adrea Abdullah), Monalisa (Norish Karman) dan Mimi (Marsha Milan Londoh).

Kehidupan Dr. K bersama keempat-empat orang isterinya bahagia, sehingga dia dipengaruhi Rahim (Fizz Fairuz) dan terjebak dengan skandal bersama Farra (Anzalna).

Pengarah filem tersebut, Nizam Zakaria yang ditemui sewaktu pelancaran filem berkenaan di Cathay e @ Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini menjelaskan sebenarnya tiada masalah besar untuk mengambil pelakon berusia membintangi filemnya itu.

"Pemilihan Usop Wilcha untuk memegang watak sebagai Dr. K dibuat kerana saya melihat dia sememangnya sesuai membawakan watak seorang lelaki yang beristeri empat selain karakter komedi yang dimilikinya.

"Selain itu dia juga seorang pelakon yang sangat kelakar dan mempunyai ramai peminat. Pada saya soal usia rasanya tidak timbul, namun ia tetap merupakan satu cabaran buat diri saya selaku pengarah," ujarnya yang pernah mengarahkan filem Cinta Kura-Kura.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai filem kedua terbitan Showbiz, pengarah berkenaan menyatakan Kahwin 5 merupakan sebuah naskhah yang lebih menjurus kepada isu poligami yang dipersembahkan dalam bentuk komedi.

Berinspirasikan kejayaan salah sebuah filem terkenal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul Madu 3, filem terbaharu arahannya itu tampil dengan sebuah kisah yang tidak sukar untuk difahami terutama dari sudut penceritaan.

Bagaimanapun, filem yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Disember ini hanya dapat ditonton oleh penonton yang berusia 18 tahun ke atas.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Nizam memberitahu dia sangat menghormati keputusan yang dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), namun tetap yakin filemnya itu akan mendapat sambutan yang baik.

"Saya sendiri kurang pasti apa yang menyebabkan Kahwin 5 diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas, namun saya tidak berasa kecewa meskipun ia ditayangkan semasa musim cuti sekolah.


USOP WILCHA menjadi teraju utama filem Kahwin 5.


"Lagipun penceritaan filem ini lebih menjurus kepada penonton dewasa memandangkan temanya menjurus kepada isu poligami. Jadi, ia memang kurang sesuai untuk penonton kanak-kanak," jelasnya.

Bagi Usop pula pemilihannya sebagai Dr. K dalam filem ini dianggap sebagai satu penghormatan memandangkan ia merupakan filem pertama dia dipilih memegang watak utama.

Ujarnya, dia menganggap pemilihannya sebagai watak utama lebih kepada satu eksperimen untuk membuktikan pelakon yang sudah berusia sepertinya masih mendapat tempat di hati peminat.

"Apabila bercakap soal usia, sebenarnya ia bergantung kepada cerita sesebuah filem itu sendiri. Misalnya untuk filem Kahwin 5 ini, mungkin penerbit melihat watak Dr. K ini lebih sesuai dibawakan oleh pelakon yang berusia seperti saya," jelasnya.

Dialek negeri

Biarpun pihak media yang hadir tidak menonton keseluruhan filem tersebut dan sekadar berpeluang menonton di sebalik tabir pembikinan sahaja, salah satu yang cukup menarik apabila kebanyakan dialog menggunakan dialek bahasa beberapa buah negeri.

Pelakon Adrea Abdullah yang memegang watak sebagai Sahara dalam filem berkenaan mengakui bukan satu masalah yang besar buat dirinya yang terpaksa bercakap dalam bahasa Kelantan.

"Sebenarnya ibu dan bapa saya memang berasal dari negeri Kelantan, maka saya tidak berhadapan dengan sebarang kesukaran kerana sudah biasa bercakap bahasa Kelantan dengan ahli keluarga.

"Pada masa yang sama ia turut memberi kepuasan kepada diri saya kerana dapat melontarkan dialog lebih kelakar dan dengan cara sebegitu ia mampu menghiburkan penonton yang menonton filem ini nanti," ujarnya.

Sementara itu, Marsha yang memegang watak sebagai Mimi dan merupakan isteri keempat Dr. K menyatakan dia perlu menggunakan ayat-ayat yang mudah difahami oleh penonton.

"Seboleh-bolehnya saya cuba mengurangkan dialek Sabah ketika bercakap agar penonton dapat memahami setiap dialog yang disampaikan dan itu merupakan salah satu cabaran yang harus saya lalui sepanjang berlakon dalam filem ini," ujarnya.