Adsense

Selasa, 28 Ogos 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Nadiya Nissa Terpaksa Cari Pembantu Rumah

Posted: 28 Aug 2012 05:51 PM PDT

Nadiya semakin dikenali ramai dengan lakonan mantap.
PETALING JAYA: Pelakon Nadiya Nissa sedang mencari pembantu rumah untuk menguruskan hal rumah tangganya berikutan kesibukannya dengan pelbagai tawaran berlakon.
Nadiya, 27, berkata, sebelum ini dia menguruskan sendiri hal keluarga tetapi kerana jadual kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia dan suami iaitu Saiful Razman Mohd Kassim mengambil keputusan untuk mencari pembantu.
"Kalau ikutkan hati memang tidak mahu mengambil pembantu rumah kerana lebih seronok menguruskan sendiri rumah tangga tanpa bantuan sesiapa tetapi tuntutan kerjaya saya yang tidak menentu membuat saya dan suami membuat keputusan ini.
"Tapi buat masa sekarang kami masih mencari dan belum berjumpa dengan orang yang sesuai," ujarnya.
Tambah Nadiya, keputusannya untuk mengambil pembantu rumah bukan bererti dia ingin melepaskan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada Omar Saiful Razman yang kini berusia setahun tetapi sebagai meringankan bebannya yang sentiasa berada di luar.
"Hanya akan ada masa-masa tertentu saya sibuk di lokasi dan bukannya selalu tetapi apabila tidak sibuk saya sendiri akan menguruskan keperluan keluarga," ujarnya.
Dalam pada itu, Nadiya berkata suaminya sentiasa menyokong perjalanan karier seninya selain banyak memberi kata-kata semangat untuk kejayaannya sebagai seorang pelakon.
"Saya sentiasa ada suami yang banyak menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Selain itu kami juga mempunyai banyak aktiviti bagi memastikan perkahwinan kami menjadi lebih meriah dan teratur.
Sementara itu, Nadiya gementar dengan reaksi penonton terhadap lakonannya bersama Aaron Azizi dalam drama bersiri Adam dan Hawa yang sedang ditayangkan menerusi saluran Mustika HD (134).
Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 10 malam.
Menurut Nadiya, drama bersiri yang mengambil masa selama lima bulan penggambaran itu cukup mencabar dirinya sebagai pelakon apatah lagi bekerja dengan pengarah Mohd Feroz Kadir yang berjaya memberikan dimensi baru buat dirinya.
"Saya sudah terbiasa dengan arahan Osman Ali sebelum ini yang memberi kebebasan kepada pelakon dalam menentukan corak dan hala tuju lakonan sebaliknya dengan Feroz pula, timbul cabaran apabila saya perlu merealisasikan apa yang beliau inginkan.
"Bagaimanapun sebagai pelakon itu adalah pengalaman yang baik untuk saya dalam mengembangkan potensi diri apabila bekerja dengan pelbagai pengarah berbeza," katanya.

- ---

Fasha Sandha Doa Kejayaan Suami Sertai Lumba Kereta

Posted: 28 Aug 2012 05:35 PM PDT

Fasha dan Jejai. Foto JETT
PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha tidak akan menghalang hobi suaminya Rizal Ashram Ramli untuk menyertai sebarang aktiviti perlumbaan kereta walaupun ia boleh membahayakan nyawanya.
Fasha atau nama sebenarnya Fasha Sandha Hassan, 28, berkata, sebagai seorang isteri, dia akan sentiasa menjadi tulang belakang suami selain percaya doanya dan keluarga mampu melindungi Rizal daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
"Saya tidak pernah halang apa-apa yang dia mahu buat. Yang penting, saya akan menjadi tulang belakang untuk menyokongnya. Malah saya juga sanggup berpanas di atas trek litar.
"Diakui, mana-mana isteri pun akan risau apabila suami berada dalam zon bahaya, tetapi saya percaya dengan kemampuannya dan berdoa kepada Allah supaya dia selamat dan berjaya.
"Seronok juga jadi pengurus peribadi suami, asalkan dia bahagia, saya sanggup buat apa sahaja," katanya yang dihubungi di sini, Selasa.
Rizal atau nama panggilannya, Jejai menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia yang diadakan pada 18 dan 19 Ogos lalu.
Rizal berdiri di sebelah kereta model khas - Lamborghini Super Trofeo.
Pemandu daripada pasukan Lamborghini Kuala Lumpur JH Italia itu menewaskan 18 pelumba lain dari seluruh Asia untuk memenangi perlumbaan yang diadakan di Ordos, China itu.
Kejohanan berkenaan pertama kali diadakan di Asia iaitu di Asia Litar Antarabangsa Sepang Mei lalu.
Dalam pada itu, Fasha yang turut menemani suaminya dalam kejohanan itu menganggap kemenangan Jejai adalah rezeki perkahwinan mereka dan anak dalam kandungan yang kini berusia kira-kira tiga bulan.
"Alhamdulillah syukur, kemenangan ini juga hasil daripada doa daripada keluarga kami. "Kiranya, berbaloi juga kerana inilah kali pertama saya beraya di luar negara tanpa keluarga.
"Tahun ini juga merupakan sambutan Aidilfitri yang paling seronok. Insya-Allah saya dan suami akan membuat majlis rumah terbuka bergabung dengan dua orang artis lagi," ujarnya.
Tambah Fasha, dia dan suami akan berangkat ke Guandong China pada 15 September depan untuk kejohanan seterusnya.
- ---

Lan A to Z dapat bayi lelaki

Posted: 27 Aug 2012 10:45 PM PDT


Lan Ato Z atau nama sebenar Norazlan Abd Aziz yang telah selamat menimang cahaya mata lelaki bersama isterinya Siti Nur Ain semalam.

Pasangan telah berkahwin pada November tahun lepas di Kuala Kubu Selangor.Perkahwinan ini adalah yg kedua buat Lan

- ---

Azza Elite Mengandung Selepas Makan Kurma

Posted: 27 Aug 2012 08:31 PM PDT

Azza
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Azza (Elite) menjadikan petua makan buah kurma dan berdoa setiap hari pada bulan Ramadan lalu antara penyebab dia bakal memperoleh anak sendiri selepas disahkan mengandung kira-kira lima minggu.
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 34, berkata, dia tidak menyangka kehadiran Ramadan yang digunakan sebaik-baiknya itu dibalas dengan rezeki besar dalam rumah tangganya selepas berkahwin dengan Azlan Zulaily, 25, pada 2 April lalu.
"Keinginan untuk mendapatkan cahaya mata bagi setiap pasangan suami isteri yang baru berkahwin pastinya ada, begitu juga dengan saya dan suami.
"Jadi, saya mengambil keberkatan bulan Ramadan lalu dengan berdoa setiap hari kepada Tuhan agar diberi zuriat selain mengamalkan petua pengambilan buah kurma dan limau dengan lebih kerap.
"Tapi, tak sangka pula secepat ini hasilnya kerana saya tidak mengamalkan petua-petua lain. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki ini," katanya.
Azza dan Azlan telah diijabkabulkan pada 2 April lalu.
Dalam pada itu, Azza memberitahu dia enggan memanjakan diri dengan berehat sementara daripada segala aktiviti seni walaupun ada yang berpendapat jika terlalu aktif ia mampu menjejaskan kandungan.
"Ada beberapa perkara yang saya rasa pelik dengan petua-petua yang diberikan kononnya ibu mengandung tidak boleh buat kerja-kerja berat selalu kerana boleh mengakibatkan keguguran.
"Tetapi saya lihat, ibu-ibu mengandung yang kehidupannya susah, boleh pula bekerja keras setiap hari macam biasa dan mereka masih lagi mampu melahirkan anak yang sihat.
"Kadang-kadang geram juga dibuatnya apabila saya sering ditegur kerana angkat barang-barang. Saya percaya, kehadiran dan kehilangan sesebuah rezeki semuanya datang daripada kuasa Allah," tuturnya.
Bagaimanapun, beritahu Azza, dia hanya akan mengurangkan aktiviti seninya apabila perutnya semakin membesar.
Hasil perkahwinan terdahulu selama tiga tahun, Azza tidak dikurniakan cahaya mata tetapi pelakon itu dan suami bersetuju untuk mengambil seorang anak angkat bernama Marissa Jannah yang kini berusia tujuh tahun.
Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul menerusi drama Mujahid dan Mesin Cinta Atuk di TV2 dalam masa terdekat ini serta bakal memulakan penggambaran drama berjudul Julia bagi siaran TV3.

- ---

Anzalna Tidak Boleh Berenggang Dengan Kekasih

Posted: 27 Aug 2012 08:07 PM PDT

Anzalna dan kekasihnya, Hanif.
PETALING JAYA: Pelakon jelita iaitu Nur Anzalna Nasir mengakui tidak boleh berenggang dengan teman lelakinya, Hanif Zaki dan sering menghabiskan masa bersama.
Anzalna, 24, berkata, dia sangat menyanjung sikap Hanif yang sangat ringan tulang selain tidak keberatan untuk menemaninya ke majlis-majlis hiburan, penggambaran drama atau filem sekiranya mempunyai masa terluang.
"Saya akui banyak menghabiskan masa bersamanya dan dia adalah antara orang paling rapat dengan saya. Sikapnya yang rajin dan mengambil berat cukup menyenangkan saya," ujarnya .
Anzalna mendedahkan dia telah mengenali Hanif sejak lima tahun lalu dan hanya mula menjalinkan hubungan cinta setahun lepas.
Dalam pada itu, Anzalna berkata dia tidak mempersoalkan tanggapan masyarakat yang mempertikaikan keakraban mereka berdua kerana hubungan itu mendapat kepercayaan keluarga masing-masing.
"Lebih baik ditemani oleh orang yang kita percayai dan sanggup mengorbankan masa dan boleh bertolak ansur untuk menemani saya," katanya.
Sementara itu bercakap mengenai perkahwinan, Anzalna berhasrat untuk mendirikan rumah tangga pada usia 26 tahun tanpa ikatan pertunangan.
Tambah Anzalna, kedua-dua mereka mengambil pendekatan untuk mengumpul wang terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menjadi suami isteri.
Dalam perkembangan lain, Anzalna tampil dalam drama bersiri adaptasi novel popular berjudul Adam dan Hawa yang turut dibintangi oleh Aaron Aziz dan Nadiya Nisa di saluran Astro Mustika HD (saluran 134) bermula malam Isnin lalu.

- ---

Nama Anak Que Haidar Jadi Isu

Posted: 27 Aug 2012 08:04 PM PDT

Que Haidar
PETALING JAYA: Pelakon Que Haidar menyifatkan individu yang mempersoalkan nama anak keduanya iaitu Tengku Cleopatra Haidar yang dikatakan menyerupai nama Firaun sebagai tidak masuk akal.
Que berkata, nama tersebut dipilih berdasarkan maksudnya daripada bahasa Greek yang menggambarkan seorang wanita cekal dan berkepimpinan tinggi.
"Semasa membuat pemilihan nama itu saya dan isteri langsung tidak terfikir tentang kaitan nama itu dengan seorang ratu Firaun sebaliknya lebih tertumpu kepada gambaran seorang wanita yang tabah dan cekal dalam kehidupannya.
"Apabila orang mengatakan saya memberi nama yang tidak elok kepada anak, ia satu tuduhan yang tidak betul. Ibu bapa tidak akan berbuat demikian malah kita sentiasa mahukan yang terbaik buat zuriat kita," ujarnya.
Que diminta mengulas tuduhan kononnya dia dan isteri, Linda Jasmine tidak sensitif terhadap pemilihan nama anak yang dikatakan menyamai nama ratu Firaun semasa pemerintahan kerajaan Mesir Purba iaitu Ratu Cleopatra VII.
Tambah Que, pemilihan tersebut dibuat atas persetujuan dengan isterinya dan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada mereka dibuat tanpa sebarang usul periksa.
Dalam pada itu, Que memberitahu apa yang lebih penting anak yang dilahirkan itu adalah seorang Islam dan tumpuannya kini adalah untuk membesarkannya dengan didikan agama yang kuat supaya menjadi seorang Muslim yang sejati.
Que berkata, dia tidak terlalu memberikan perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh masyarakat terhadap perkara itu sebaliknya ingin terus berusaha untuk membesarkan anak-anak.
"Saya sendiri yang iqamatkan anak-anak saya dan mereka adalah seorang Islam. Apa yang lebih penting bagaimana anak-anak saya dibesarkan dan bukannya pada nama," katanya.
Sementara itu, Que memberitahu mereka belum bersedia untuk memperkenalkan anaknya itu kepada umum dan hanya akan berbuat demikian semasa majlis cukur jambul selepas Hari Raya Aidilfitri ini nanti.
Tengku Cleopatra Haidar atau lebih mesra dengan sapaan Cleo dilahirkan pada 26 April lalu secara pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
Selain Cleo, pasangan itu turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 selain Qalif Khan, 12, iaitu anak pertama Linda bersama bekas suami.
Linda dan Que itu berkahwin pada 14 Februari 2009.

- ---