Adsense

Selasa, 15 Mei 2012

OHBULAN!

OHBULAN!


OHBULAN!

Posted:

Kami ingin membuat kenyataan akhbar mengenai pementasan semula Teater Musikal Upin dan Ipin seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 8hb Mei 2012 dan Berita Harian serta MStar pada 10hb Mei 2012.

Permohonan untuk mementaskan semula Teater Musikal Upin dan Ipin

Sememangnya kami belum pernah membuat sebarang permohonan bertulis kepada pihak Istana Budaya (IB) untuk mementaskan teater tersebut pada musim cuti sekolah hujung tahun ini. Sebaik sahaja kami mendapat permintaan dari penaja untuk mementaskan teater ini pada musim cuti sekolah dan selepas meneliti program pementasan IB yang mana kami mendapati Teater Musikal P.Ramlee telah mengundur diri disebabkan ketiadaan penaja, maka kami telah mengajukan permohonan secara lisan tersebut kepada Dato Mohammad Johari sendiri.

Malangnya permohonan itu ditolak dengan alasan bahawa belum ada pementasan yang diulang dalam tahun yang sama dan pementasan semula hanya dibenarkan selepas tempoh setahun pementasan yang sama. Beliau juga mencabar kami supaya membawa perkara ini kepada akhbar mahu pun kepada menteri, kerana kami telah merayu untuk mengisi slot yang dikosongkan bagi memberi peluang kepada ramai lagi kanak-kanak menyaksikan teater tersebut. Walau bagaimana pun, kami akan mengajukan permohonan rasmi untuk pementasan itu selewat-lewatnya esok dan akan tetap merayu kepada menteri yang berkenaan sekiranya di tolak oleh pihak IB.

Pementasan Semula

Kenyataan pihak IB yang belum pernah mengadakan pementasan semula jika belum cukup setahun adalah satu pembohongan atau pun pihak IB tidak mempunyai rekod yang betul. Teater Puteri Gunung Ledang telah dipersembahkan pada 10-24 Feb 2006 dan diulang tayang kembali pada 6-21 Aug 2006.

Pecah Panggung

Sememangnya kami sudah menjangkakan bahawa teater musikal Upin & Ipin tidak dapat menandingi teater Lat The Kampung Boy berdasarkan jumlah penonton kerana ia bukan diadakan semasa cuti sekolah. Tetapi kami menerima tarikh yang ditetapkan oleh IB kerana kami telah mendapat penaja dan menjangkakan kami tidak akan mengalami kerugian. Jumlah penonton mengikut perkiraan IB adala bergantung kepada tiket "bud" yang mereka kutip sewaktu penonton masuk ke dalam panggung. Kami mendapati banyak kerusi yang kami jual secara pukal kepada badan-badan korporat pada hari bekerja tidak diisi. Situasi ini berkemungkinan kerana ibu bapa yang mendapat tiket daripada majikan tidak berpeluang untuk pergi atas desakan kerja atau pun anak lewat pulang dari sekolah petang.

Ini berbeza dengan teater yang lain kerana penonton mereka bukan anak-anak dan tiada halangan untuk menonton pada hari bekerja. Jika diperhatikan, pada hujung minggu, sememangnya teater ini mendapat sambutan yang luar biasa sehingga tiket habis terjual.

Mengikut perkiraan kami, tidak mungkin 33,000 orang penonton dapat mengisi IB untuk 21 persembahan ( Sebelum ini IB melaporkan sehingga 40,000 orang penonton dan merupakan teater paling berjaya) Teater Lat the Kampong Boy. Ini disebabkan mengikut portal rasmi IB, Panggung Sari hanya mempunyai tempat duduk sebanyak 1,413 kerusi sahaja.

Tujuan dan matlamat pementasan

Kami tidak pernah memasang hasrat untuk mengadakan pementasan ini bagi mencipta rekod dan bersaing dengan teater sebelumnya. Jika ia menjadi pecah panggung, alhamdullilah. Tujuan kami adalah untuk menghiburkan peminat Upin dan Ipin, yang semestinya kanak-kanak didedahkan dengan persembahan teater yang semakin pupus kerana kos pembikinannya yang terlalu mahal. Seperti yang saya nyatakan diatas, apabila ia diadakan semasa bukan waktu cuti sekolah dan penonton yang kami sasarkan adalah anak-anak, sudah tentulah ia menjejaskan bilangan penonton.

Apa pun, kami berbangga kerana, begitu ramai sekali (hampir 60%) penonton yang pertama kali menjejakkan kaki ke IB telah didedahkan dengan pertunjukan teater kepada kanak-kanak serendah umur 2 tahun dimana mereka begitu khusuk sekali menyaksikan persembahan tersebut. Semoga mereka berminat untuk menghidupkan teater apabila mereka dewasa kelak.

Kami bercadang untuk menurunkan harga tiket kepada lebih rendah lagi jika diberikan peluang untuk mementaskannya di musim cuti sekolah yang akan datang atas kehadiran lebih banyak penaja. Ini akan dapat memeberi peluang kepada lebih ramai lagi penonton menyaksikan persembahan ini nanti.

Kami masih mengharapkan, agar semua pihak yang bertanggungjawab terhadap Istana Budaya dapat menimbangkan permohonan kami ini dan menyokong usaha kami membantu menyemarakkan industri teater negara.

Terima kasih.

Hj. Burhanuddin Md. Radzi  Pengarah Urusan  Les' Copaque Production Sdn. Bhd.

Related posts:

  1. Aduka dan Dara Khianati Taruna, Cemarkan 'Se-Merah Padi' & Istana Budaya Jadi Saksi Disember ini!
  2. Sah! Disney Asia Tayang Animasi Upin & Ipin, Kini Setaraf Hollywood
  3. Cicakman Pula Akan Dijadikan Teater Muzikal Di Istana Budaya
  4. Isu Upin Ipin Bersekongkol Dengan Parti Politik.
  5. Pocket Ipin, Aplikasi Upin & Ipin Untuk Pengguna iPhone, iPod & iPad
]]>