Adsense

Selasa, 1 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Wawa gugat Lisa Surihani?

Posted: 30 Apr 2012 06:26 AM PDT

MEMANG sudah tuah badan. Berbanding artis seusianya, laluan pelakon yang meningkat naik, Wawa Zainal ternyata cukup mudah untuk mencari tapak di persada hiburan tanah air.

Meniti usia 20 tahun dengan pembabitannya lebih setahun dalam bidang seni, pelakon kelahiran Lahad Datu, Sabah yang juga pemilik nama sebenar, Nur Hawa Zainal Abidin dan bernaung di bawah payung pengurusan MIG ini sudah mendapat kepercayaan daripada ramai pengarah untuk beraksi sebagai teraju utama dalam filem.

Lebih membanggakan, Wawa juga beraksi sebagai teraju utama dengan aktor popular Shaheizy Sam dalam filem Kisah Paling Gangster dan Aeril Zafrel dalam filem 99 Kali Rindu. Manakala dalam filem Pada Suatu Cinta Dahulu dia memegang watak pembantu yang tidak kurang pentingnya.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Seram Sejuk, Sumpahan Kum Kum, 3 Temujanji, Budak Pailang, Aji Noh Motor dan Hantu Dalam Botol Kicap.


Secara peribadi, Wawa yang mula diperkenalkan menerusi drama Klik dan dikenali ramai menerusi watak Bunga dalam drama bersiri Ana Lu'Lu mengakui, dia berlakon bersandarkan minat yang cukup mendalam dalam bidang lakonan, sejak di bangku sekolah lagi.


"Mungkin orang tidak tahu, saya banyak menyertai pelbagai pertandingan sketsa dan pementasan peringkat sekolah dan Daerah Lahad Datu pada zaman persekolahan dulu. Menyedari minat saya itu, guru dan kawan-kawan sekolah juga memberi galakan pada saya untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan.

"Justeru, selepas adik saya terbaca mengenai uji bakat anjuran MIG di Internet, saya terus memberanikan diri menghantar resume dan menghadiri uji bakat dengan ditemani abang di Kuala Lumpur. Ketika itu, saya menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Syukur, rezeki juga berpihak pada saya untuk menjadi artis MIG bermula Ogos 2010," katanya.

Anak kelapan daripada sebelas adik-beradik yang dilahirkan tanggal 12 Februari 1992 ini turut berlakon dalam drama bersiri iaitu Impian Raya Emelyn, Cintaku 120km/j, Cinta Buat Emelda dan Bunga-Bunga Syurga yang ditayangkan di TV3. Terbaru, dia sibuk di lokasi penggambaran drama arahan Azmi Hatta berjudul Cahaya Iman.

Pelakon jelita yang mengagumi Erra Fazira, Que Haidar, Nurkhiriah dan Wan Maimunah berkata, keluarga adalah pembakar semangatnya untuk terus mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.

"Saya berlakon dengan restu dari keluarga. Justeru, walaupun berjauhan dan hidup berdikari di Kuala Lumpur, saya pastikan sentiasa pandai menjaga diri di tempat orang dan tidak hanyut dalam dunia glamor kerana sedar usia yang masih muda remaja.

"Saya juga sentiasa berhubung dengan keluarga, dan setiap kali dapat cuti, saya akan pulang ke Sabah untuk bertemu keluarga.

Selain itu, saya sentiasa ditemani dan pergerakan juga diawasi pihak pengurusan MIG bila keluar rumah atau ke pusat membeli belah," katanya.

Wawa ditemui di majlis pelantikannya sebagai wajah baru Lipice di Jalan Telawi, Bangsar, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Besar Lipice, Lim Mei Yuen.

Bagaimanapun, pelakon jelita yang pernah digosipkan dengan Sam ini juga tidak dapat mengelak bila didekati golongan VIP yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi di luar sana.

"Saya tidak menafikan memang ada golongan VIP yang menghubungi dan mengajak untuk keluar minum tapi saya menolaknya secara baik.

"Saya juga menganggap mereka sekadar peminat saja dan ia adalah perkara biasa dalam dunia artis yang tidak dapat lari daripada diminati golongan VIP.

"Buat masa ini, fokus saya adalah untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan kerana banyak filem lakonan yang belum dinilai peminat lagi," katanya.

Wawa tak terlintas rampas tawaran

SEMUANYA bagaikan mimpi kerana dia sendiri tidak menyangka peluang keemasan itu datang dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi, ia julung kalinya dia dilantik sebagai jurucakap produk terkenal.

Tanpa disangka, Wawa dilantik sebagai wajah baru Lipice menggantikan tempat aktres terkenal Lisa Surihani yang menjadi jurucakapnya selama dua tahun.

Ditanya perasaannya mengambil alih tempat Lisa, Wawa menganggap pelantikannya sebagai wajah baru Lipice itu bagaikan mimpi yang menjadi nyata.

"Saya tidak pernah anggap diri yang masih 'hijau' dapat ambil alih tempat Lisa kerana masih mencari tapak dalam bidang seni tempatan. Peluang keemasan yang datang dalam hidup saya ini memang rezeki yang tidak diduga.

"Sebagai orang baru, saya sangat menghormati dan mengagumi bakat Lisa. Saya percaya dia tidak akan berasa tercabar dengan pelantikan saya sebagai wajah baru Lipice kerana namanya sudah kukuh dalam bidang seni.

"Pada pandangan saya, siapalah artis yang boleh gantikan tempat pelakon hebat seperti Lisa yang mendapat gelaran 'Malaysian Darling' kerana saya sendiri tidak pernah terfikir pun untuk ambil alih gelaran itu," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai produk Lipice, kata Wawa, memang menggunakan produk itu, sejak di sekolah menengah.

"Kini, selepas bergelar artis, saya memakai pelembap dan lip gloss untuk menyerlahkan kecantikannya setiap majlis. Antara produk Lipice yang menjadi kegemaran saya sekarang ialah Lipice Sheer Color dan Lipice Fruity (perisa Strawberi)," katanya.


Zizan rehat 2 minggu

Posted: 30 Apr 2012 06:15 AM PDT

BINTANG serba-boleh, Razizan Abdul Razak atau dikenali dengan Zizan Razak dimasukan ke Wad Hospital Pantai Medical Centre, Kuala Lumpur pada 29 April lalu, jam 3 pagi. Kejadian itu berlaku sewaktu dia bersiap untuk bertolak ke Ipoh bagi menjayakan siaran langsung Melodi di Jom Heboh!, Ipoh Perak.

Setibanya di unit kecemasan hospital tepat jam 1.30 pagi, doktor telah membuat ujian darah sebanyak dua kali. Berdasarkan hasil ujian darah, doktor mengesahkan Zizan mengalami 'Acute Myositis' atau lebih dikenali dengan keradangan otot.

Pemenang anugerah Pengacara TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 itu, turut diberikan protein, vitamin dan antibiotik untuk memberikannya tenaga dan pulih sepenuhnya. Setakat ini keadaan Zizan adalah stabil.

Menurut pengurusnya Marina Juki, doktor menasihatkan Zizan berehat sekurang-kurangnya 2 minggu untuk pulih sepenuhnya, sebarang aktiviti seninya agak dihentikan buat seketika, bergantung kepada tahap kecergasan Zizan sendiri.


"Zizan amat berterima kasih kepada penyokong dan sahabat yang mendoakannya di twitter dan facebook, Zizan sendiri tidak menyangka ditahan wad untuk beberapa hari. Namun begitu Zizan akan kembali aktif sebaik kesihatannya pulih seperti sedia-kala," katanya.


Zizan kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Tokan akan berehat sebelum menghabiskan baki penggambaran dalam lapan hari lagi. Disebabkan masalah kesihatan juga, Zizan berkemungkinan berehat selama seminggu sebelum kembali beraksi dalam Superspontan.

"Sehingga pagi tadi (semalam) saya belum menerima sebarang perkembangan mengenai kesihatan Zizan. Saya hanya dapat membuat keputusan sama ada Zizan mampu meneruskan kerja-kerjanya minggu ini, sekiranya doktor sudah menyerahkan keputusan kesihatannya.

"Bagaimanapun, dari pemahaman saya menerusi maklumat diberikan doktor Ahad lalu, Zizan perlu berehat sekurang-kurangnya seminggu untuk memastikan keadaan kesihatannya benar-benar pulih sekali gus mengelakkan serangan kembali berlaku.

"Saya berharap, dengan pemberitahuan ini dapat menjelaskan kepada semua pihak yang bekerjasama dengan Zizan termasuk peminat.

"Apa yang berlaku tidak disengajakan dan kami tidak berniat untuk menyusahkan sesiapa. Doaka Zizan sembuh secapat yang mungkin supaya dia dapat kembali beraksi dalam penggambaran filem serta program yang dijayakan ketika ini," katanya.