Adsense

Selasa, 15 Mei 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tak benar isteri berlakon

Posted: 14 May 2012 03:54 PM PDT

Hip

ANTARA faktor Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011), Aaron Aziz menjadi tumpuan peminat kerana ketampanan wajahnya selain memiliki susuk tubuh yang agak tegap.

Namun, di sisi lain, dia juga memiliki seorang isteri tersayang yang tidak kurang cantiknya iaitu, Diyana Halik, 31.

Tidak dinafikan, di sebalik populariti Aaron selepas memegang gelaran Bintang Paling Popular, Diyana turut terkena tempias populariti apabila wajah jelitanya juga semakin kerap menghiasi akhbar mahupun majalah hiburan. Tidakkah ada pihak menawarkannya berlakon? Sambil menjeling ke arah isterinya, lelaki itu tersenyum apabila diajukan pertanyaan itu.

"Dia (Diyana) kalau nak memang sudah lama berlakon.

Di Singapura pun saya mengenali Diyana ketika dia bekerja di syarikat produksi, milik bapa saudaranya di sana. Jadi memang tidak ada masalah kalau dia nak cari glamor dengan berlakon," katanya selepas menerima satu set barangan kemas Rafflesia dalam satu majlis ringkas di ibu negara, semalam.

Aaron menjelaskan, dia memang tidak membenarkan isterinya berlakon dan berasakan tanggungjawab Diyana sebagai isteri yang dianggap besar dan perlu diberikan tumpuan sepenuh masa.
"Sekiranya benar dia ingin berlakon, sudah tentu saya tidak benarkan. Bagi saya watak ibu semula jadi yang dibawanya sekarang pun lebih bermakna buat saya dan anak-anak," katanya.

Aaron juga mengakui kejayaannya dipilih peminat sebagai Bintang Paling Popular ABPB2011 dilihat bukan kemenangannya seorang.

Ia mungkin sukar dicapai jika tidak disebabkan ada insan setia yang cukup dedikasi mengurus segala karier seninya iaitu isteri tercinta, Diyana.

Oleh itu, amat bertepatan apabila barang kemas tajaan Rafflesia Mandalay bernilai RM250,000 yang dimenangi Aaron sebagai Bintang Paling Popular disarungkan di leher jinjang teman hidupnya itu sebagai tanda terima kasih.

"Memang Diyana insan paling istimewa yang ingin saya hadiahkan barangan kemas pemberian Rafflesia. Selama ini pun kejayaan kerjaya seni saya adalah hasil titik peluh bersama.

"Dia banyak mengurus kerja seni saya baik mendapatkan tawaran berlakon mahupun menguruskan permit kerja. Selain itu dia juga setia menemani ke majlis yang saya hadiri serta lebih mengharukan menjadi ibu yang baik kepada anak-anak kami," katanya.

Aaron turut mengakui barangan itu menjadi hadiah dengan nilai yang paling mahal pernah diterima sepanjang hidupnya.

"Memang saya terkejut dengan nilai barangan ini, ia menyamai nilai sebuah rumah berharga sederhana dan saya macam tidak percaya ia sekarang berada di leher isteri saya.

"Saya tidak pernah menerima hadiah semahal ini dan secara tidak langsung ia menjadi barangan paling mahal berada dalam rumah saya.

"Apa pun saya tidak akan menjual barang ini dan akan menjaga ia dengan baik dan mungkin saya tidak akan menyimpannya di rumah," katanya.

Hadir sama pada sesi penyerahan barangan itu, Pengarah Rafflesia Pearl Centre, Winnie Sin dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2011 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar.