Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Dhani mahu Yuna

Posted:

Dhani mahu Yuna

Dhani mahu Yuna

SELEPAS 20 tahun berkarya bersama Dewa 19, kini Ahmad Dhani mengakui dirinya sendiri masih kabur dengan masa depan band tersebut.

Sebagai tulang belakang penubuhan Dewa 19, Dhani jelas masih sayang serta berharap band yang muncul dengan album sulungnya yang berjudul, Dewa 19 pada tahun 1992 itu akan kembali meraih sukses.

Namun menurut Dhani yang ditemui pada majlis pelancaran album kedua band kumpulan T.R.I.A.D di kelab Sixty3 di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini, harapan itu juga kabur kerana kesemua anggota band itu meraih sukses yang luar biasa menerusi projek band mereka sendiri di Indonesia.

"Jujur, saya sendiri tidak tahu masa depan Dewa 19, kalau mahu bergerak seperti dahulu agak sukar kerana masing-masing mempunyai komitmen dengan projek band sendiri. Malah, mereka juga meraih sukses yang cukup besar dan kini berdiri dengan kaki sendiri tanpa Dewa 19. Lihat sahaja kejayaan Andra bersama bandnya Andra And The Backbone.

"Tidak mungkin saya memaksa mereka untuk kembali memberi komitmen bersama Dewa 19 jika mereka semua juga sangat sibuk. Saya sebagai teman cukup gembira melihat kejayaan mereka," ujar Dhani pemilik syarikat rakaman Republik Cinta.

Disoal adakah Dhani mahu mencari pengganti vokalis utama Dewa 19, Once, yang meninggalkan band itu pada September 2010 untuk mengembangkan kerjayanya sebagai penyanyi solo, ujar Dhani: "Belum tahu mahu cari atau tidak (ketawa). Selain kini menyertai T.R.I.A.D, saya juga bersama sebuah band yang juga di bawah naungan Republik Cinta iaitu Mahawadewa.

"Harus diingat Mahadewa bukan band Dewa 19, sebaliknya hanya saya satu-satunya anggota asal Dewa 19 yang menganggotai Mahadewa.

"Vokalis Mahadewa, Judika dipilih kerana bakatnya, selain dia juga sangat sukses dengan album solonya di Indonesia. Apa yang boleh saya katakan muzik Mahadewa mirip Dewa 19. Buat peminat Dewa 19 mungkin kemunculan band ini mampu mengubat rindu mereka," kata bapa kepada Ahmad Al Gazali, El Jalaluddin Rumi dan Ahmad Abdul Qadir Jilani itu lagi.

Sambung Dhani, dia memerlukan sebuah band untuk terus berkarya dan hidup dalam industri muzik kerana hakikatnya dia kini bergerak tanpa band Dewa 19 yang menjadi tunjang utamanya sebelum ini.

"Ya, saya memang memerlukan sebuah band kerana setiap persembahan harus bersama band, jika sudah begitu mengapa tidak tubuh sahaja sebuah band yang baharu," balasnya.

Menanti jawapan Yuna


AHMAD DHANI mengakui dia sendiri tidak pasti dengan masa depan band Dewa 19.


Melihat sosok tubuh Dhani, tiada yang luar biasa pada dirinya, namun kerana kebijaksanaannya dalam membikin karya hebat telah meletakkan dia berada dalam kelompok tertinggi industri muzik nusantara.

Karya sentuhannya sering menjadi popular. Sungguhpun begitu, saat orang lain melihat Dhani sangat besar pengaruhnya, berlainan pula dirinya yang menganggap dia berada di kelompok orang minoriti.

"Apa sahaja cakap orang, saya tidak kisah, besar atau tidak itu terpulang pada pandangan setiap individu. Kalau disoal saya orangnya bagaimana, jawapannya saya adalah orang minoriti.

"Sukar sebenarnya menjadi orang minoriti ini kerana setiap pendapat serta pandangan saya berbeza dengan orang majoriti. Perkara itu yang sering membuatkan orang ramai salah faham tentang diri saya sehingga ke hari ini," ujarnya penuh makna.

Dhani yang kini berulang-alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur saban minggu kerana terlibat dalam program realiti Mania sebagai penerbit muzik turut meluahkan rasa kagumnya terhadap industri muzik Malaysia.

"Muzik Malaysia amat bagus kerana Malaysia memiliki ramai penyanyi yang sangat berbakat. Cuma ia berbeza dengan industri muzik di Indonesia yang ramai penyanyi dan ramai juga pencipta lagu.

"Sebaliknya di Malaysia yang mempunyai ramai penyanyi tetapi kurangnya pencipta lagu," katanya yang mencipta sebuah lagu untuk Stacy berjudul Kimia Di Antara Kita.

Bercakap mengenai bakat, penyanyi Yuna telah dipilih oleh Dhani sendiri sebagai penyanyi Malaysia yang ditawarkan untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya Republik Cinta.

"Yuna seorang penyanyi yang sangat berbakat dalam penciptaan lagu dan kerana itu saya cukup tertarik dengannya. Pihak saya telah menghantar surat tawaran tetapi sehingga ke hari ini masih belum ada jawapan daripada pihak Yuna," katanya yang menggemari lagu Cinta Sempurna ciptaan Yuna.

Istimewa T.R.I.A.D

Sebelum band T.R.I.A.D ditubuhkan, Dhani terlebih dulu menubuhkan band bersama pemuzik Australia yang diberi nama The Rock.

Selepas muncul dengan sebuah album, pada Januari 2010 Dhani menukar nama The Rock kepada T.R.I.A.D yang anggotanya juga bertukar dengan lima orang anak muda Indonesia iaitu Mitha (gitar), Icez (bass), Tharaz Bistara (gitar), Wahyu Sudiro (gitar) dan Ikmal Tobing (dram) serta Dhani selaku vokalis.

Sudah muncul dengan album pertama berjudul T.R.I.A.D pada tahun 2010, kini T.R.I.A.D muncul dengan album kedua berjudul Istimewa yang memuatkan 12 buah lagu dengan enam buah lagu baharu selebihnya lagu popular daripada band Dewa 19 yang digubah semula.

"Album kedua boleh dikira seperti album kompilasi, enam buah lagu Dewa 19 dimuatkan kerana itu atas permintaan pihak Warner Music yang berasa band T.R.I.A.D belum cukup kuat namanya di Malaysia," katanya yang mempertaruhkan lagu single Ratu di Hatiku dan Istimewa.


DHANI kini meneruskan langkahnya dalam persada muzik bersama kumpulan T.R.I.A.D.


Meskipun anggota lain band T.R.I.A.D berusia awal 20-an berbanding dengan Dhani yang kini berusia 39 tahun, itu bukan masalah buatnya untuk menyesuaikan diri dengan anggota lain.

"Saya yang memilih mereka untuk menyertai T.R.I.A.D, sudah tentu saya tahu kelebihan serta keserasian mereka bersama saya. Orang muda bagus untuk bermain muzik.

"Jika usia lebih 30 tahun mereka menjadi malas dan sudah kurang sesuai, saya juga rasa sedikit muda (ketawa). Mereka pemuzik yang bagus dan sebenarnya kami semua sudah saling kenal dalam tempoh yang agak lama," jawabnya mengenai band yang membawakan lagu bergenre power pop rock itu.

Album berjudul Istimewa itu telah mula berada di pasaran sejak 20 Februari lalu dengan harga RM27.90.

MP3 30 Tahun Search laris

Posted:

MP3 30 Tahun Search laris

MP3 30 Tahun Search laris


SEARCH mahu kembali ke pentas konsert mega sekiranya ada penaja.


SEBAGAIMANA mereka telah mencetus fenomena sewaktu kemunculan awal pada tahun 80-an, aura yang dibawa grup Search tidak pernah pudar. Jika sebelum ini grup yang dianggotai oleh Amy (vokal), Kid (gitar), Din (gitar), Nasir (bass) dan Yazit (dram) terus dipuja kerana untaian lagu malar segar yang sentiasa hidup, Search kini meneruskan fenomena mereka apabila muncul dengan MP3 30 Tahun Search yang merupakan julung-julung kali dibuat oleh artis Malaysia.

Selepas lima hari grup legenda Search melancarkan penjualan eksklusif MP3 30 Tahun Search sempena sambutan ulang tahun ke-30 mereka, ia telah mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

Mengandungi sebanyak 101 buah lagu dan dijual pada harga RM303 secara atas talian di http://fenomenasearch.com/mp3, MP3 tersebut kini telah terjual sebanyak 3,000 unit.

"Kami tidak menyangka ia akan terjual laris dengan cepat. Malah, selepas dua jam dilancarkan pada hari Isnin lalu, ia telah terjual sebanyak 400 unit. Ia satu perkembangan yang positif kerana MP3 ini hanya dijual menerusi laman web kami tanpa dijual di mana-mana kedai muzik," ujar vokalis Seacrh, Amy penuh teruja.

Tambah mengujakan Amy apabila kurang tempoh seminggu, ia telah terjual sebanyak 3,000 unit dan baki unit yang tinggal 2,000 unit sahaja. Sementelah ia hanya dijual untuk pasaran Malaysia sahaja.

Ujarnya: "MP3 30 tahun Search ini hanya diterbitkan sebanyak 5,000 unit kerana ia eksklusif. Namun jika permintaan terus menggalakkan, barangkali kami akan membuat cetakan kedua, namun ia bukan dalam masa terdekat ini kerana mahu menjaga nilai eksklusif yang diberikan kepada 5,000 pembeli utama kami."

Bercakap tentang penghasilan MP3 tersebut, kata Amy, ia telah dirancang sejak November tahun lalu bersama penerbitnya, Adi Mus Putra Mustafa dari Hoorey Marketing Sd. Bhd.

Membuat pemilihan 101 lagu bersama-sama yang merangkumi hampir semua lagu hit mereka yang diambil daripada album pertama, Cinta Buatan Malaysia sehingga yang terkini, Gothic Malam Edan, penghasilan MP3 yang turut mengandungi temu bual bersama anggota Search serta komposer yang telah menaikkan nama mereka hasil ciptaan untaian lagu hebatnya iaitu Datuk M. Nasir itu memberi signifikan tersendiri buat Search.

Menurut Amy, jika kebanyakan artis akan meraikan ulang tahun pembabitan mereka sebagai anak seni dengan mengadakan konsert, Search memilih untuk muncul dengan MP3 supaya ia mencipta keunikan tersendiri selain mahu para peminat mereka menyimpan satu item yang boleh dijadikan koleksi.

"Memang kami tak nafikan Search juga muncul dengan konsert sempena 30 tahun penubuhan kami pada tahun lalu, namun selepas bertemu Adi Mus yang mengusulkan untuk melahirkan satu item seperti MP3, kami terus bersetuju.

"Ini kerana selain ia pertama kali dibuat di Malaysia, saya melihat ia sebagai sesuatu yang unik dan boleh menjadi koleksi terbaik peminat kami, sesuai dengan usia 30 tahun Search itu sendiri," katanya yang telah merakamkan semula lagu Kejoraku Bersatu untuk dimuatkan di dalam MP3 tersebut.

Ditanya selain MP3, apa perancangan lain sempena 30 tahun meraikan ulang tahun penubuhan mereka, Amy memberitahu Search tidak mempunyai perancangan khusus seperti mengadakan konsert.

Bagaimanapun dia tidak menolak kemungkinan Search akan kembali membikin konsert seandainya ada penaja yang serius untuk mahukan mereka beraksi di atas pentas. - MALIAH SURIP

Najua mirip P. Ramlee

Posted:

Najua mirip P. Ramlee

Najua mirip P. Ramlee

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


NAJUA kini dalam proses menghasilkan single pertama.


WALAUPUN hampir empat dekad seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia iaitu pada tahun 1973, karya-karya Allahyarham masih ditayang di kaca TV dan diputar di stesen radio. Hakikatnya, Allahyarham P. Ramlee masih dikenang dan disanjung sehingga kini. Begitupun, nasib waris-waris Allahyarham tidak begitu terbela.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menyita rumah pusaka seniman agung itu di Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Rumah tersebut didiami oleh menantu seniman agung tersebut, Surijaningsih Bakar dan dua orang anaknya.

Dalam pada itu, Kosmo! juga dimaklumkan cucu kandung P. Ramlee iaitu Najua Mohd. Nasir atau nama komersialnya, Najua P. Ramlee, 26, mula menerima royalti daripada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) pada tahun 2010.

Lebih pahit, royalti itu juga terpaksa dikongsi 10 orang waris P. Ramlee.

Najua merupakan anak kepada satu-satunya zuriat kandung Allahyarham P. Ramlee iaitu Allahyarham Mohd. Nasir yang telah meninggal dunia pada 17 Disember 2008 pada usia 55 tahun.

Hasil perkahwinan Nasir dengan isteri keduanya, pelakon Rashidah Jaafar, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Natasha dan Najua. Kedua-duanya terlibat dalam dunia seni tetapi Najua lebih menonjol di pentas teater dan drama tempatan.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Najua.

Sebagai cucu seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, adakah Najua menerima apa-apa bentuk royalti atau dana daripada Amanah Raya Berhad melalui hasil karya-karya datuk?

Dalam dua atau tiga tahun lepas, saya ada menerima royalti daripada Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP). Ia dibayar setiap tahun mengikut faraid. Jumlahnya tidak perlulah saya sebut di sini. Namun, saya tidak memperoleh dana daripada Amanah Raya Berhad. Saya tidak tahu-menahu langsung mengenainya.

Apa perasaan Najua sebagai cucu P. Ramlee, ada pihak menggunapakai hasil karya datuk tetapi tidak membayarnya kepada waris-waris P. Ramlee selama ini?

Rasa terkilan juga tetapi saya bersyukur kerana orang dah tak pandang ringan tentang hal ini. Kesian pada datuk yang bersusah-payah berkarya. Tapi, saya memang tak pernah terfikir pasal royalti. Saya cuma setakat cucunya sahaja.

Apa perasaan Najua menjadi cucu kepada seniman agung negara?

Saya bangga kerana menjadi salah seorang daripada cucu orang yang disanjung sehingga kini. Namun, perasaan itu sama juga macam orang lain sebabnya saya tidak dapat jumpa dengan datuk. Cuma dapat melihat dan merasai hasil karya-karyanya. Dia seorang yang sangat kreatif.

Adakah disebabkan rasa bangga sebagai cucu P. Ramlee, Najua menggunakan nama komersial Najua P. Ramlee berbanding nama bapa Najua sendiri iaitu Nasir?

Sejak kecil lagi ramai yang kata wajah saya mirip datuk. Mereka sendiri panggil saya dengan panggilan Najua P. Ramlee dan ia melekat sehingga kini.

Najua sememangnya dikenali dipentas teater. Boleh ceritakan kenapa minat lebih menjurus kepada teater?

Saya memang dibesarkan dalam bidang seni. Bukan ayah sahaja yang aktif malah mak saya juga aktif dalam bidang seni pada masa dahulu. Darah seni sememangnya sudah mengalir dalam diri saya. Saya tidak tahu nak buat kerja lain. Kakak saya, Natasha juga terlibat dalam dunia seni. Dia merupakan penolong pengarah drama.

Sejak umur sembilan tahun saya sudah terlibat dengan Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) sehinggalah sekarang. Namun pada masa yang sama, saya juga pernah berlakon drama seperti Di Ufuk Kasih dan saya juga minat menyanyi.

Ada sebarang lagu yang dihasilkan Najua?

Insya-Allah hujung tahun ini saya akan keluarkan single pertama saya. Judulnya masih dalam proses.

Sebelum mengakhiri perbualan, apakah harapan Najua? Mungkin ingin menjadi seperti datuk?

Tak adalah sampai mahu jadi seperti dia (P. Ramlee). Tahap kemampuan tak sama. Tapi Alhamdulillah saya masih lagi dalam landasan seperti dia. Saya masih dapat meneruskan legasi datuk dan membawa namanya dalam industri seni tahanh air.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen