Adsense

Khamis, 22 Mac 2012

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Rumah Tangga Faezah Elai Tenang Tanpa Gangguan

Posted: 22 Mar 2012 12:16 AM PDT



KUALA LUMPUR: Pelakon Faezah Elai memberitahu kehidupan rumah tangganya kini semakin diulit kebahagiaan dan ketenangan tanpa gangguan selepas enam bulan berkahwin dengan pengarah Heykal Hanifah.

Pelakon berusia 30 tahun itu berkata, dia langsung tidak terganggu atau melatah dengan kontroversi ketegangan hubungannya dengan bekas isteri pengarah drama itu ekoran tuduhan yang mendakwa dia sebagai punca keretakan perkahwinan lelaki itu sebelum ini.

"Sebenarnya sejak dari awal kontroversi ini tercetus, saya ambil pendekatan yang tenang dan relaks. Saya tidak melenting atau melatah kerana semua kekecohan itu bukan ditimbulkan oleh pihak saya.

"Terus-terang, saya bahagia dan tenang dengan kehidupan yang saya dan suami lalui sekarang. Tiada apa-apa gangguan atau perkara negatif yang mengganggu," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Faezah Elai berkahwin dengan Heykal Hanafah, 38, di kediaman keluarganya di Gelugor, Pulau Pinang pada 9 September tahun lalu.

Ditanya mengenai perancangan untuk mendapatkan anak, Faezah berkata walaupun dia tidak menolak seandainya dikurniakan anak, dia mengakui jadual kerjanya semakin padat sejak kembali aktif berlakon selepas beberapa bulan berehat.
Faezah bersama pelakon dan tenaga kerja filem Jidin Sengal (dari kiri) Zach Diamond, Along, Jue Aziz, penerbit Ernie Chen, pengarah Esmi Zahara dan Angah pada majlis tayangan perdana filem itu, baru-baru ini.

"Kami tidak merancang anak. Cuma belum ada rezeki buat masa ini dan kami masih terus mencuba.

"Sekarang saya semakin sibuk dengan pelbagai komitmen lakonan. Saya kembali aktif berlakon kerana sudah puas berehat selepas berkahwin beberapa bulan lalu," katanya.

Diminta mengulas mengenai kekecohan terbaru berhubung kemas kini status akaun Twitter suaminya yang didakwa tidak berpuas hati kepada pihak tertentu kerana terus mengganggu rumah tangga mereka, Faezah berkata dia enggan masuk campur dalam perkara itu.

"Ia (status) adalah akaun Twitter suami saya dan sebagai isteri saya tidak berani untuk beri sebarang komen," katanya.

Dalam perkembangan lain, Faezah yang bakal muncul dengan filem komedi terbaru, Jidin Sengal bermula 22 Mac ini berkata, dia berasa teruja dengan watak-watak komedi yang dterimanya kerana ia memberikan kepuasan dan mudha diterima penonton.

"Saya pun tidak perasan banyak menjayakan watak komedi. Mungkin kebetulan sahaja tetapi saya gembira terlibat dalam filem-filem komedi," katanya.

Selain Faezah Elain, filem arahan Esmi Zahara itu turut membariskan Jue Aziz, Along (Raja Lawak), Angah (Raja Lawak), Zach Diamond, Azrul (Raja Lawak), Mariani dan Hamid Gurkha.

Anak Rozita Che Wan Lari Akibat Merajuk Sudah Ditemui

Posted: 22 Mar 2012 12:15 AM PDT

PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rozita Che Wan menarik nafas lega apabila anak keduanya, Aniq Ezra yang dikatakan hilang sebenarnya hanya lari dari rumah akibat merajuk pada Sabtu lalu.

Rozita memberitahu, Aniq Ezra,14, ditemui di rumah rakannya di USJ Subang Jaya, dekat sini selepas aktiviti mencari yang turut disertai pihak polis dilakukan pada hari kejadian.

Berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan anaknya itu, Rozita dan pihak polis berjaya menjejaki anaknya yang memberitahu dia berbuat demikian kerana merajuk.

"Saya panik apabila mengetahui dia hilang tanpa sebarang sebab tetapi akhirnya dia dapat ditemui atas bantuan pihak polis dan rakan-rakannya yang memberikan informasi di mana dia berada.

"Dia beritahu polis dia lari dari rumah sebab merajuk kerana saya melebih-lebihkan si abang daripada dirinya," ujarnya kepada mStar Online menerusi mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, pada Isnin.

Selain Aniq Ezra, Rozita mempunyai seorang lagi anak iaitu Ammar Effendi yang berusia 15 tahun.

Dalam pada itu Rozita juga sempat bergurau dengan berkata selepas ini dia pula yang akan merajuk.

"Kalau saya merajuk, saya pergi lagi jauh," selorohnya.

Pada Sabtu lalu kecoh di Twitter apabila Aniq menjadi trending topic di kalangan pengguna laman sosial itu apabila dia dikatakan hilang.

Sebuah hashtag menerusi laman sembang berkenaan telah diwujudkan atas nama #PrayForAniqEzra menjadi popular dalam satu usaha mengesan remaja berkenaan yang kali terakhir dilihat di kawasan perumahannya di USJ 11/12 dekat sini.

Sebelum ini, anak sulungnya, Ammar dilaporkan menjadi mangsa buli kepada pelajar di sekolahnya iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuantan, Pahang.

Ekoran insiden itu, Rozita telah mengambil keputusan untuk menukarkan anaknya ke sebuah sekolah di Subang Jaya yang lebih dekat dengan rumah mereka.

Aniq yang juga bersekolah di tempat sama turut dipindahkan demi keselamatan mereka atas nasihat bekas suami Rozita iaitu Azuar Effendy Zulkaply.