Adsense

Isnin, 26 Mac 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Berkat umrah di Mekah

Posted:

Berkat umrah di Mekah

Berkat umrah di Mekah

AKTRES dan pengacara cantik ini pernah kecundang dalam percintaan termasuk dengan pelawak terkenal Nabil Ahmad.

Namun dia langsung tidak menyangka jodohnya akan tiba di depan Kaabah, Mekah ketika dia menunaikan umrah buat kali ketiga seorang diri baru-baru ini.

Akui pemilik nama penuh Irma Hasmie Ibrahim ini, dia sememangnya mendoakan yang terbaik buat dirinya ketika di depan Kaabah.

Ini kerana dia menganggap jodoh yang ditemui kota suci Mekah itu adalah yang terbaik.

Sebab itu dia bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan dalam bidang pengiklanan bernama Rezza Syah Azmeer Datuk Radzuan, 31, pada 24 Mac lalu selepas hanya sebulan lalu pertama kali bertegur sapa ketika di Mekah iaitu pada 14 Februari lepas.

Sebelum itu, Irma,30, terlebih dahulu dirisik oleh keluarga Rezza pada 12 Mac lalu.

Disapa bakal ibu mertua

Bercakap mengenai hubungannya dengan Rezza yang masih baru itu, Irma yang ditemui pada majlis pertunangannya di kediaman keluarganya di Desa Confields, Sungai Buloh, Selangor pada Sabtu lepas berkata, sejujurnya dia tidak pernah merancang untuk bertemu jodoh dalam waktu terdekat.

"Namun, saya akui ada berdoa di depan Kaabah agar diberikan segala yang terbaik untuk diri ini.

"Saya bersyukur sangat-sangat kerana bertemu jodoh di depan Kaabah ketika menunaikan umrah. Bagi saya, jodoh ini satu anugerah terbesar buat diri saya daripada Allah. Memang pertemuan kami dan hubungan kami berlangsung dalam waktu yang cukup singkat," ungkapnya.

Tambah Irma: "Namun, apa yang membuatkan saya tertarik dan bersetuju untuk mengikat hubungan kami ke peringkat yang lebih jauh disebabkan jodoh ini ditemui di depan Kaabah.

"Kedua, saya sendiri cukup senang apabila bersama dirinya dan ketiga, hubungan kami direstui oleh kedua-dua pihak keluarga. Saya dapat merasakan restu itu, inilah sebabnya saya bersetuju untuk bertunang dan seterusnya melangkah ke gerbang perkahwinan," ujarnya yang cukup anggun menggayakan busana rekaan pereka fesyen popular, Hatta Dolmat.


IRMA mempunyai tiga sebab kenapa hatinya terbuka untuk menerima lamaran Rezza Syah Azmeer.


Menceritakan kembali detik-detik pertemuannya dengan Rezza ketika di Mekah, semuanya bermula apabila dirinya disapa oleh ibu Reza, Datin Azizah Osman.

Irma kemudiannya terlebih dahulu berkenalan dengan bapa dan adik perempuan tunangnya itu sebelum dia akhirnya diperkenalkan kepada Rezza oleh ibu Rezza sendiri.

"Saya disapa oleh ibu Rezza, kemudian saya berkenalan dengan seluruh keluarganya yang turut menunaikan umrah waktu itu.

"Mereka kenal saya sebagai seorang pelakon, tetapi di sana semua orang sama sahaja dan orang terakhir dalam keluarga itu yang datang berkenalan dengan saya ialah Rezza. Memang pertemuan kami tidak dirancang," bicara Irma.

Tidak sempat bercinta

Tiba di Malaysia, ibu Rezza kemudian menyampaikan hasrat untuk meminangnya, lantas diterima oleh Irma dan keluarganya dengan hati penuh terbuka.

"Pulang ke Malaysia, saya ada berjumpa dia beberapa kali, kemudian ibu Rezza ada cakap untuk masuk meminang, mereka datang merisik dan sekarang saya sudah bertunang.

"Memang tempohnya agak cepat tetapi saya percaya dengan jodoh yang sudah ditentukan Allah untuk saya ini," ucapnya.

Tutur Irma lagi, disebabkan 'hubungan pantas' mereka itu, Irma belum sempat untuk mengenali hati budi atau melalui episod cinta sepertimana kebiasaan di kalangan pasangan kekasih yang lain.

"Ya, memang tidak sempat nak bercinta dengan Rezza tetapi saya sempat mengenalinya. Sebenarnya hubungan kami lebih kepada diatur keluarga.

"Sungguhpun begitu, kalau diatur keluarga pun tetapi andai saya tidak suka hubungan ini tidak boleh diteruskan juga (ketawa). Apa yang boleh saya katakan dia seorang lelaki yang terbaik buat saya," tegas Irma sambil tersenyum manis bercerita tentang bakal suaminya itu.

Tarikh perkahwinan

Justeru, bagaimana hati Irma boleh terbuka untuk menerima Rezza menjadi bakal suaminya meskipun perkenalan mereka berlaku dalam waktu yang singkat.


IRMA bersama (dari kiri) bakal ibu mertuanya Datin Azizah Osman, ibunya Ropitah Abdul Hassan, bakal bapa mertuanya Datuk Dr. Mohd. Radzuan Ibrahim dan bapanya Ibrahim Othman pada majlis pertunangannya yang berlangsung penuh meriah itu.


Bahkan dalam majlis pertunangan itu, pengumuman dibuat secara rasmi menyatakan mereka mereka bakal bergelar suami isteri pada 1 Julai depan.

"Perasaan saya tidak ada rasa ragu-ragu lagi. Saya juga menjadi diri sendiri di depan Rezza dan keluarganya, begitu juga dengan dirinya dengan keluarga saya.

"Mereka boleh terima saya seadanya, mungkin sebab itu, saya menerima dirinya kerana kami tidak menyembunyikan apa-apa jua.

"Hubungan kami juga berjalan tanpa sebarang masalah dan saya berharap situasi ini akan kekal sampai bila-bila sehingga kami selamat berkahwin kelak" luah Irma yang masih sibuk dengan kerjaya lakonan dan bidang pengacaraan.

Pada majlis pertunangannya itu, Irma menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki termasuk sebentuk cincin berlian yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya itu sebagai tanda Irma kini sah menjadi tunangan Rezza.

Irma pula membalas dengan sembilan dulang hantaran untuk pihak lelaki.

Selepas majlis pertunangan tersebut, Irma bakal sibuk dengan persiapan untuk majlis pernikahan dan juga majlis resepsi perkahwinannya yang dijadualkan bakal berlangsung pada 1 Julai ini di Keramat Mall, Keramat, Selangor.

Sementara, majlis resepsi sebelah pihak lelaki pula bakal berlangsung pada 7 Julai depan.

Levine lancar minyak wangi

Posted:

Levine lancar minyak wangi

Levine lancar minyak wangi


ADAM LEVINE


WALAUPUN tidak menyukai minyak wangi yang menggunakan nama selebriti, tetapi penyanyi Adam Levine berhasrat untuk melancarkan minyak wangi jenamanya sendiri.

Sebelum ini, Adam menyatakan dia akan mengharamkan dirinya daripada minyak wangi jenama selebriti terkenal, namun hakikatnya dia sendiri turut mengambil langkah yang sama.

Vokalis band Maroon 5 itu memberitahu majalah People baru-baru ini, dia mahu berbuat demikian kerana beranggapan ia adalah sesuatu yang menyeronokkan apabila mempunyai minyak wangi jenama sendiri.

"Memang saya pernah benci minyak wangi yang menggunakan nama selebriti, tetapi tidak salah kalau saya juga cuba untuk melakukan sesuatu yang saya tidak suka," ujarnya.

Apabila mengumumkan hasratnya itu, dia telah mendapat maklum balas daripada beberapa orang selebriti termasuk penyanyi Christina Aguilera yang merupakan gandingan Levine dalam program realiti TV, The Voice.

Aguilera yang juga mempunyai jenama minyak wanginya sendiri iaitu Royal Disire telah menulis dalam Twitternya yang berbunyi: "Haha@AdamLevine. Perubahan nampaknya sudah berlaku berbanding setahun yang lalu...Selamat datang ke dalam keluarga minyak wangi selebriti."

AXL's tidak takut diboikot

Posted:

AXL's tidak takut diboikot

AXL's tidak takut diboikot

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


ELLY merupakan satu-satunya anggota asal AXL's yang masih kekal menganggotai kumpulan itu.


KUASA apa yang merasuk kumpulan yang pernah tenggelam timbul pada tahun 1990-an dahulu untuk kini kembali mencanak naik dengn beberapa buah lagu mereka semakin kerap diputarkan di corong-corong radio?

Suatu ketika dahulu, kumpulan AXL's yang bermaksud All Size Xtra Large yang diterajui oleh Elly selaku vokalis, Art-Tar (gitaris), Topix (bass) dan Rix (dram) disifatkan bagai datang dan pergi. Mana tidaknya, ahli kumpulan itu datang bersilih ganti dan yang kekal cuma vokalisnya, Elly.

Sekarang barisan baharu AXL's terdiri daripada Elly, Rizz (dram), Attar (gitar utama) dan Topek (gitar kedua). Bagaimanapun, AXL's yang lama kini bagai dihidupkan kembali.

Akulah Kekasihmu dan Andai Dapat Ku Undur Masa kini menjadi lagu-lagu wajib didendangkan sewaktu resepsi persandingan.

Malah, rangkaian lagu-lagu lama AXL's itu juga kembali mendapat permintaan tinggi di pusat-pusat karaoke.

Sedar atau tidak dengan fenomena yang berlaku itu, Kosmo! bertanyakan sendiri kepada vokalis AXL's, Elly atau nama sebenarnya Mohd. Suhaili Elas @ Elias, 36, usai persembahannya di Hot FM Big Jam di Dataran Syahbandar, Terengganu, baru-baru ini.

Kosmo!: Lagu-lagu daripada kumpulan AXL's kembali mendapat tempat di hati pendengar masa kini, anda sedar situasi tersebut?

ELLY: Alhamdulillah, masih ada pendengar dan peminat yang masih menyokong AXL's walaupun su dah berlainan zaman. Saya tidak hairan kerana ada antara peminat kami berumur seawal usia empat tahun.

Sebagai vokalis kumpulan ini, apa agaknya kekuatan lagu-lagu AXL's sehingga mendorong sokongan peminat sampai sekarang?

Saya rasa kekuatan yang ada pada lagu dan lirik yang terkedepan pada era kegemilangan AXL's dahulu. Maknanya, lirik yang ditulis pada zaman itu sesuai pada zaman sekarang.


DARI KIRI: Topek, Elly, Rizz dan Attar kini merupakan penggerak kumpulan AXL's.


Boleh dikatakan lagu-lagu AXL's bersifat malar segar. Komen anda?

Saya terharu. Sebelum ini saya diberitahu lagu Andai Dapat Ku Undur Masa merupakan lagu paling kerap diputarkan di radio-radio seluruh Malaysia. Syukur kerana impak AXL's masih berbisa.

Adakah ada antara lagu-lagu itu diberikan nafas baharu?

Banyak versi sebenarnya, ada antara lagu popular seperti Akulah Kekasihmu dirakam semula sebanyak empat kali.

Adakah AXL's bakal kembali bersama album baharu?

Kami sedang mengumpulkan material untuk album keempat. Konsep masih sama seperti dahulu. Paling lambat, album itu akan dikeluarkan pada tahun depan.

Bagaimana pula dengan imej yang dibawakan oleh anda sendiri selaku vokalis? Tidak bimbang jika imej berambut panjang akan diharamkan suatu masa nanti?

Imej sebenarnya tidak mencerminkan perilaku. Sejak dahulu lagi inilah imej saya dan saya selesa. Saya tak takut diboikot dan Alhamdulillah industri sekarang lebih bersifat menerima dan terbuka.