Adsense

Selasa, 28 Februari 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Nora terima Adi

Posted:

Nora terima Adi

Nora terima Adi

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar WAN WAHAB NOORFAISAMI (Pelatih Cybernetics)


KESERASIAN antara Nora Danish dan Ady Putra memikat hati penonton.


SEJAK memegang status janda, pelakon jelita Nora Danish tidak pernah lekang dengan pelbagai cerita sensasi, baik yang berkaitan dirinya ataupun tempias cerita bekas suaminya.

Nora Danish Mohd. Hanif yang bakal mencecah usia 30 pada 7 Mac ini juga dikatakan rapat dengan penjaga gawang pasukan bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Bagaimanapun Nora yang ditemui pada lokasi penggambaran filem Aku Terima Nikahnya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, baru-baru ini berkata, dia tidak pernah keluar dengan Khairul Fahmi atau Apek.

Tetapi, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram itu pernah menghantar mesej kepada Apek di laman sosial Tweeter, itu pun hanya sekali sahaja.

"Nora tidak pernah bertemu atau bercakap dengan Apek. Cuma sekali itu saja Nora tweet penjaga gol itu, sama macam peminat lain buat jugak.

"Tapi lain pula cerita yang keluar. Nora harap tukang sebar berita itu sudah-sudahlah buat gosip tanpa bukti kerana ia melibatkan ramai orang. Dia ada keluarga. Apa kata keluarganya bila keluar cerita begitu," katanya dengan nada kecewa.

Meskipun terasa hati dan kecewa dengan berita yang tidak benar mengenai dirinya, Nora tetap ingin terus bergiat dalam bidang seni kerana ia merupakan punca pendapatannya masa kini.

Nora yang memegang watak sebagai Arlisa dalam filem pertama arahan Eyra Rahman itu berkata, buat masa kini tumpuannya hanya pada kerjaya.

"Sebagai ibu tunggal, Nora perlu bekerja keras mencari nafkah untuk anak. Nora malas untuk fikir perkara yang boleh menyesak kepala seperti gosip yang tidak berasas itu.

"Biarlah apa orang nak kata, sebab Nora tidak berupaya untuk menutup mulut mereka. Tapi mereka perlu ingat, apa yang mereka buat pada orang, tentu ada balasan daripada Yang Maha Esa, cuma cepat dan lambatnya sahaja," katanya tenang.

Dalam pada itu, Nora tetap tidak menolak takdir jika bertemu jodoh dalam waktu terdekat, namun kali ini dia lebih berhati-hati memilih calon suami.

Kata Nora, biarpun sering berpasangan dengan ramai pelakon lelaki namun hatinya tidak terlintas untuk menjalin hubungan percintaan.

"Mana-mana rakan artis yang pernah bekerjasama dengan Nora adalah sahabat, baik lelaki atau wanita. Lagipun bidang seni kita bukanlah besar mana.

"Setakat ini Nora tidak pernah jatuh hati pada mana-mana hero yang berpasangan dengan Nora. Soal jodoh, Nora serah pada takdir. Kalau boleh biarlah bakal suami seorang yang beriman, bertanggungjawab dan dapat membimbing Nora sebagai isteri solehah," katanya lagi.

Nora nikah beberapa kali

Apabila ditanya bagaimana perasaannya ketika menanti Johan, lakonan Ady Putra melafazkan akad nikah untuk menyuntingnya sebagai isteri, pemegang watak Arlisa itu berkata, dia sedikit pun tidak teruja untuk adegan majlis akad nikah kerana sudah beberapa kali melalui fasa itu.

"Ini bukan kali pertama Nora bernikah sewaktu berlakon. Sudah beberapa kali juga. Jadi perasaan teruja itu tidak ada, sekadar menghidupkan watak sahaja.

"Menjadi isteri kepada Ady Putra adalah kali kedua, pertama dulu sewaktu drama Tentang Dhia. Sejak drama itu, Nora banyak mendapat tawaran watak yang lebih serius. Tiada lagi watak gadis remaja yang ceria," kata Nora ketawa.

Malah populariti Tentang Dhia juga menyebabkan pengarah dan produser mula buka mata tentang bakat lakonan Nora dan tidak hanya tertumpu pada satu karakter sahaja.

Kata Nora, perubahan karakter yang dibawa turut menyebabkan dia perlu banyak melakonkan adegan yang bersentuhan dengan pasangan pelakonnya.

"Dulu Nora berlakon watak ceria, jadi tidak memerlukan banyak sentuhan badan. Sekarang ini bila watak serius, banyak pula kena bersentuhan dengan pelakon lain. Mula-mula memang malu tapi disebabkan itu kerjaya, Nora kena lakukan yang terbaik.

"Alhamdulillah, antara Nora dengan Ady sudah ada keserasian sejak Tentang Dhia, jadi tidaklah kekok untuk filem Aku Terima Nikahnya. Nora harap filem ini dapat mencetus fenomena seperti drama juga," harapnya.

Menurut Nora, dia bersetuju berlakon Aku Terima Nikahnya, filem ketiganya dengan Metrowealth Pictures kerana skrip dan barisan pelakonnya menarik.

Sebelum ini Nora pernah berlakon filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cuti-Cuti Cinta terbitan syarikat berkenaan.

"Nora terima bukan sebab orang kata gandingan kami serasi. Kalau nak ikutkan, ada beberapa produksi yang nak gandingkan Nora dengan Adi tapi bila tengok skrip Aku Terima Nikahnya, Nora tertarik.

"Jalan cerita filem ini menarik. Sebab itu Nora tidak mahu melepaskan peluang. Harap-harap gandingan kali ini lebih menjadi dan lakonan Nora mampu meninggalkan kesan kepada penonton," katanya.

Ady Putra suami penyayang

Watak baik dan jahat sudah sering dilakonkan oleh Ady Putra. Namun watak Zikir lakonannya menerusi drama Tentang Dhia amat memberi kesan dan berjaya menyentuh hati ramai penonton wanita.

Kesan daripada watak itu, Ady terus diberi peranan sebagai suami penyayang dalam filem Aku Terima Nikahnya.

Kali ini Ady tidak sahaja penyayang, malah dia juga perlu melakonkan watak suami yang tidak menghiraukan perasaan isteri.

"Dalam filem ini saya perlu menonjolkan dua karakter, satu penyayang dan satu lagi suami yang tidak ingat isteri. Saya akan buat yang terbaik untuk menjadi suami penyayang supaya penonton turut merasai kebahagiaan itu.

"Jika lakonan itu dapat memberi ketenangan kepada penonton yang bermasalah dan kemudian mereka cuba mengatasinya. Ia merupakan bonus kepada saya. Lakonan ini selain hiburan, ia juga boleh dijadikan medium berdakwah," katanya.

Menurutnya, watak Johan yang dibawa bukan sahaja menjadi suami yang didamba oleh semua wanita malah ia juga boleh membuat kaum hawa skeptikal kepada karakter tersebut.

"Waktu watak penyayang mungkin orang suka pada Johan. Tapi setelah dia menghadapi kemalangan dan hilang ingatan terhadap Arlisa, mungkin ada sedikit kebencian kepadanya.

"Ketika hilang ingatan itulah, Johan merasakan apa yang dibuat oleh isterinya amat menjengkelkan kerana Arlisa asyik memaksanya mengingati memori silam. Waktu itu memang kasihan pada Arlisa kerana ada suami yang tidak mengenalinya," cerita Adi.

Pelakon filem Bollywood, Don 2 itu berkata, sejak gandingannya dengan Nora dalam drama Tentang Dhia, banyak tawaran mendatang untuk dia melakonkan watak sebagai suami.

Kata Ady, dia tidak kisah watak apa yang ditawar asalkan jalan cerita sesebuah drama atau filem itu menarik.

"Selagi ada kudrat dan jadual tidak bertindih, saya pasti terima tawaran tersebut asalkan jalan ceritanya menarik dan watak yang diberi berbeza.

"Biarpun orang pernah tengok gandingan saya dengan Nora dalam drama, tapi kali ini karakter kami berbeza. Sebenarnya, gandingan ini membebankan juga kerana kami perlu berikan yang lebih baik daripada apa yang pernah ditonton sebelum ini," katanya.

Duta umrah

Sejak mengerjakan umrah pada Ogos tahun lalu bersama isteri, ibu dan mertua, Adi Putra sering mengimpikan untuk menjejak kaki ke tanah suci Mekah lagi.

Nampaknya niat murni Ady itu bakal termakbul untuk melakukan ibadat umrah buat kali kedua dengan syarikat Triways Hujjaj pada 28 Mac hingga 7 Mei ini.

Ady Putra atau Mohamed Hadi Putera Halim yang baru menyambut hari kelahiran ke 31 pada 26 Februari lalu, bukan sahaja melakukan umrah, malah pemergiannya ke sana sebagai duta Triways Hujjaj.

"Selepas pergi umrah tahun lalu, saya memang menyimpan niat untuk pergi lagi ke sana. Tak sangka rakan-rakan dari syarikat dulu tawarkan saya untuk serta mereka dalam Triways Hujjaj.

"Sekali lagi saya ditawar untuk menjadi duta bersama dengan Imam Muda musim pertama, Hizbur Rahman Omar Zuhdi. Alhamdulillah, saya bukan sahaja dapat mengerjakan umrah, malah dapat membantu jemaah. Saya memang tidak sabar untuk ke sana," katanya tersenyum.

Pelakon berkarakter itu juga turut memberitahu, jika ada rezeki, pada tahun ini juga dia akan menunaikan fardu haji, rukun Islam yang ke lima.

"Dalam keadaan sihat inilah, saya perlu melaksanakannya. Lagipun kalau mampu kenapa mesti tangguh niat suci itu. Saya mahu mengimbangi kehidupan dunia akhirat agar setara kerana ajal dan maut boleh datang tanpa diduga.

"Selama ini saya bersyukur dengan segala nikmat yang diberiNya. Pada yang ingin melakukan ibadah umrah bersama-sama saya dan Hizbur, amat dialu-alukan kerana di sana kita semua serupa. Tidak ada gelaran artis, datuk atau tuan, semua sama," katanya tersenyum.

Festival peminat thrash metal tegar

Posted:

Festival peminat thrash metal tegar

Festival peminat thrash metal tegar

Oleh ABD. AZIZ ITAR
(Yang menyaksikan True Thrash Festival di Osaka, Jepun baru-baru ini)


ANGGOTA kumpulan Vault bersama Witchburner yang turut beraksi pada True Thrash Festival.


JEPUN memang terkenal dengan industri muzik dan fesyen di peringkat dunia. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan negara Matahari Terbit itu berada di tangga teratas di Asia dalam dua bidang yang popular tersebut.

Justeru, bagi mana-mana penyanyi atau pemuzik dari luar negara yang berpeluang mengadakan persembahan di Jepun serta diterima dengan baik oleh para peminat di sana, maka ia sesuatu yang boleh dibanggakan.

Peluang itu antara yang diraih oleh kumpulan heavy metal dari Kajang, Selangor yang dikenali sebagai Vault sewaktu mereka mengadakan persembahan di Dewan Esaka Muse, Osaka, Jepun baru-baru ini.

Persembahan kumpulan lima anggota itu berlangsung pada True Thrash Festival yang turut menampilkan 10 kumpulan thrash metal yang kebanyakannya dari Jepun pada festival yang berlangsung dua hari berturut-turut.

Menurut penyanyi Vault, Hafizan Mohamad Zip, 29, peluang beraksi di festival yang kali ketiga diadakan itu sukar dilepaskan kerana ia turut membabitkan kumpulan-kumpulan dari pelbagai negara.

"Di Malaysia kami kurang dikenali ramai tetapi tidak sangka hanya dengan berbekalkan demo tape dan sebuah album yang kami terbitkan sendiri berjaya menarik perhatian pihak Rock Stakk Records di Jepun.

"Apatah lagi, ini adalah kali pertama kami mengadakan persembahan di luar negara, malah di Jepun yang mempunyai industri muzik yang cukup besar," katanya kepada Hits sewaktu kunjungannya ke negara tersebut.

Selain Hafizan selaku vokalis utama, Vault yang bermain muzik secara sambilan sejak lebih tiga tahun lalu turut dianggotai empat lagi anggotanya iaitu Faaiz (gitar), Azril (gitar), Shein (bass) dan Syibree (dram).

Biarpun berdepan dengan masalah komunikasi bersama krew pihak penganjur festival yang kurang fasih berbahasa Inggeris, ia tidak menjadi halangan buat Vault yang berkobar-kobar mahu beraksi di hadapan para peminat Jepun.

Selain Vault, antara kumpulan thrash metal Jepun yang mengadakan persembahan bersama mereka pada festival itu ialah kumpulan Jurassic Jade, Fastkill, Riverge, Abigail, Wargasmatron, Impaler serta Doraid.

Lebih menghangatkan festival apabila Rock Stakk Records turut menjemput kumpulan thrash metal legenda dari Toronto, Kanada iaitu Sacrifice mengadakan persembahan bersama empat anggota asal mereka.

Para peminat di sana semakin teruja apabila pihak penganjur menampilkan dua lagi kumpulan undangan iaitu Remains dari Thailand dan Witchburner (Jerman) pada festival yang bermula dari pukul 4 petang hingga 11 malam itu.

"Kami bukan sahaja teruja beraksi di hadapan para peminat Jepun, malah mereka juga mahu menyaksikan kelainan kerana festival ini menampilkan kumpulan-kumpulan dari luar negara dengan muzik yang berbeza.

"Walaupun ada masalah komunikasi tetapi para peminat di sana begitu peramah dan amat menyokong persembahan kami. Mereka bergambar dan mengambil tandatangan kami selepas festival itu.

"Malah, kami juga membawa 30 keping demo tape Vault dengan harga 500 yen (RM20) setiap satu yang habis dijual sebelum festival itu berakhir. Sepatutnya, kami bawa lebih banyak demo tape untuk dijual di sana," ujar Hafizan lagi.

Sewaktu beraksi di festival itu, Vault membawakan lagu-lagu mereka sendiri antaranya Raging Force, Black Leather Cult, Ripping Noise Terror, Victim of Pain, Heavy Metal Attack dan Onslaught of Death.

Dengan tiket festival dua hari berturut-turut berharga 10,000 yen (RM380) itu, Vault bukan sahaja membawa nama Malaysia tetapi turut membuka peluang kepada pemuzik dari negara ini untuk beraksi di sana pada masa depan.

Jelas pemilik Rock Stakk Records, Mikitoshi Matsuo, dia berasa teruja dengan pemuzik dari Malaysia sekali gus menjemput mereka beraksi pada festival yang disaksikan ribuan peminat tegar muzik thrash metal di sana.

"Tahun lalu misalnya, True Thrash Festival telah menjemput kumpulan Lobotomy dari Malaysia beraksi di sini. Sambutannya sangat menggalakkan. Ramai peminat di sini yang mahu melihat pemuzik dari luar negara beraksi.

"Selain pemuzik thrash metal, saya juga meminati kumpulan rock seperti Rusty Blade, Search, MAY dan Lefthanded. Walaupun saya tidak faham bahasa Melayu, tetapi saya kagum dengan muzik mereka," ulasnya.

Bukan setakat mengadakan persembahan, True Thrash Festival juga boleh dikatakan medan pertemuan setiap kumpulan pemuzik bertukar-tukar pendapat selain melebarkan lagi peluang mereka dalam bidang muzik.

Difahamkan Vault yang turut mencuri perhatian kumpulan Witchburner dari Jerman ditawarkan mengadakan persembahan di negara kelahiran Adolf Hitler itu bersama kumpulan terbabit pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

True Thrash Festival juga semakin lama semakin menguatkan jenamanya apabila saban tahun menjemput beberapa kumpulan thrash metal legenda terkemuka dari seluruh dunia beraksi pada acara setahun sekali itu.

Contohnya, sebelum ini festival yang diadakan di pingging bandar Osaka itu pernah menjemput kumpulan-kumpulan thrash metal legenda seperti Hirax dan Razor dari Kanada, Assassin (Jerman) dan At War (Amerika Syarikat).

Sacrifice kumpulan yang amat dinanti-nantikan oleh para peminat di Jepun tampil mengadakan persembahan dua malam berturut-turut di True Thrash Festival tidak mampu menyembunyikan rasa keterujaan mereka.

Rob Urbinati, 44, penyanyi dan gitaris kumpulan yang ditubuhkan di Toronto pada tahun awal tahun 1980-an itu berkata, selepas lebih 25 tahun Sacrifice ditubuhkan, itu adalah kali pertama mereka beraksi di Jepun.

"Kami bukan sahaja kali pertama mengadakan persembahan di Jepun, tetapi ini adalah kunjungan kali pertama ke Asia. Kami biasa mengadakan persembahan di Kanada dan Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun, kami dapat rasakan kelainan apabila beraksi di hadapan para penonton Jepun yang memberi sambutan sungguh hebat sekali. Ia mengingatkan semula konsert Sacrifice sewaktu era tahun 1980-an," ujarnya.

Selain Rob, Sacrifice yang turut dianggotai oleh tiga lagi anggota asalnya iaitu Joe Rico (gitar), Scot Watt (bass) dan Gus Pynn (dram) banyak menyanyikan lagu-lagu daripada album Torment In Fire dan Forward To Termination.

Antara lagu-lagu hits Sacrifice yang dipersembahan bertajuk Terror Strikes, Turn In Your Grave, Flames of Armageddon, Re-Animation, Necronomicon, Pyrokinesis, Afterlife dan Homicidal Breath.

Selain menonton persembahan, para peminat juga berpeluang membeli rakaman festival itu yang dijual dalam format DVD terbitan Rock Stakk Records di mana True Thrash Festival tahun ini akan diterbitkan pada tahun depan.