Adsense

Jumaat, 3 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tak sabar tunggu reaksi peminat

Posted: 02 Feb 2012 05:08 AM PST

SEKALIPUN bergelar aktres berkaliber, Vanidah Imran mengakui masih gementar bergandingan buat julung kali dengan suaminya, Rashidi Ishak (Shidee) dalam filem Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki yang diadaptasi daripada novel popular Ahadiat Akashah.

Lebih menarik, pasangan suami isteri itu juga melakonkan watak sepasang kekasih dalam filem terbitan Tarantella Pictures yang pernah mencetuskan fenomena menerusi filem Ombak Rindu karya Osman Ali, sebelum ini.

Selain mengarah, Afdlin turut berlakon dalam filem itu, sekali gus memantapkan lagi gandingan berkenaan.

Secara peribadi, bintang filem Perempuan Melayu Terakhir dan Red Kebaya yang lebih mesra disapa Vee itu menganggap peluang berlakon dalam filem berkenaan sebagai rezeki yang sukar ditolak.


"Saya memang suka bekerja dengan Afdlin kerana dia seorang pengarah yang penuh dengan idea dan lain daripada yang lain. Saya pun tidak jangka Afdlin tawarkan kami sebagai teraju utama Untuk 3 Hari ini.


"Saya terfikir, boleh ke suami isteri berlakon sama dalam filem dan boleh jual ke filem yang dilakonkan pasangan suami isteri selaku watak utamanya? Apapun persepsi orang, Afdlin tetap beri kami kepercayaan pada saya dan Shidee bawa watak utama dalam filem ini seperti direncanakannya, sejak awal lagi," katanya.

Apapun, kata Vanidah, dia memang tertarik dengan skrip Untuk 3 Hari itu sejak awal lagi.

"Apabila Afdlin beritahu saya ideanya untuk buat filem ini dan kalau ia menjadi kenyataan, dia ingin tawarkan watak utamanya pada saya. Justeru, saya terus cari novel Untuk 3 Hari dan buat kajian mendalam mengenai karakter di dalamnya.

"Lebih setahun selepas saya baca novel itu, Afdlin beritahu, dia jadi buat filem Untuk 3 Hari dan tawarkan saya dan Shidee bawa watak utamanya," katanya.

Ditanya perasaannya bergandingan dengan suami sendiri, Vanidah tidak melihat ia satu masalah yang besar kerana mereka cukup profesional ketika bekerja.

"Sebelum ini, saya dan Shidee banyak berlakon sama dalam drama dan filem tapi sebagai 'cameo' saja contohnya dalam KL Menjerit. Siapa yang tidak gementar kerana ada orang lain pula yang menonton lakonan kami berdua dan bukan seperti suami isteri, sebaliknya pasangan kekasih.

"Apapun, kami tidak janggal bekerja bersama kerana berlakon adalah periuk nasi kami. Apabila di rumah, kami memang seperti pasangan suami isteri yang lain tapi bila di lokasi penggambaran, kami berubah dalam sekelip mata mengikut karakter dilakonkan," katanya.

Vee mengakui dia dan Shidee sudah buat yang terbaik dalam filem itu seperti dikehendaki pengarahnya.

"Penggambaran filem ini sudahpun selesai dan kami juga tidak sabar menanti reaksi daripada peminat. Tapi saya tak berani nak cakap puas hati dengan hasilnya kerana lebih suka penonton menilainya sendiri apabila filem ini menjengah pawagam pada April atau Mei nanti," katanya.

Selain filem, Vanidah juga bakal beraksi dalam pementasan Teater Cuci The Musical musim ketiga yang bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 4 hingga 18 Mac ini. Ia tahun ketiga Vanidah terbabit dalam pementasan muzikal terbitan Tall Order Production Sdn Bhd itu.

"Terus terang, saya memang suka beraksi di pentas teater sejak dulu. Berbanding drama dan filem, kepuasan berlakon muzikal dan pentas ini berbeza sama sekali.

"Justeru, apabila ditawarkan penerbitnya, Hans Isaac, saya terima tanpa berfikir dua kali. Namun, saya tidak dapat komen lanjut termasuk barisan pelakon yang terbabit dalam pementasan kali ini kerana baru dapat skrip.

"Saya difahamkan barisan penari yang terbabit dengan pementasan ini sudah mula berlatih. Barisan pelakon utama pula dijangka mula berlatih minggu depan.

"Watak saya masih sama seperti musim baru tapi ada pasangan yang bertukar ganti kali ini. Ada watak baru yang ditampilkan dalam pementasan kali ini, sekali gus ahli keluarga baru dalam pementasan ini nanti," katanya.

Apa yang penting, kata Vanidah, dia pastikan pementasan itu beri kepuasan kepada penonton.

"Sudah pasti kami menjanjikan yang terbaik dan buat semua orang gembira apabila menontonnya. Saya juga suka bekerja dengan Hans kerana kami faham cara bekerja masing-masing dan ia memudahkan kami bekerjasama dalam pementasan ini.

"Pada pemerhatian saya, Hans seorang yang sangat terperinci ketika bekerja. Kejayaan sesebuah teater juga kerana ia membabitkan kerja secara berpasukan.

"Kami juga akan berkampung selama sebulan untuk merealisasikan pementasan kali ini. Bagaimanapun, pementasan musim sebelumnya membabitkan tempoh yang lebih lama iaitu tiga bulan," katanya.

Vee anggap diri masih belajar dalam pengacaraan

BERBANDING lakonan, Vanidah menganggap dirinya masih hijau dalam bidang pengacaraan. Malah, bekas pengacara Nona ini juga melihat dirinya masih dalam proses pembelajaran lagi.

"Secara peribadi, saya menganggap pengacaraan adalah sesuatu yang baru dalam karier seni. Saya perlu kendali lebih banyak lagi program berbentuk majalah selepas ini kerana masih banyak lagi ilmu pengacaraan perlu dipelajari dalam misi menjadi pengacara yang mantap dan disegani dalam dunia penyiaran tempatan," katanya.

Akui Vanidah, dia masih mencari ilmu dalam bidang pengacaraan yang mula sebati dalam dirinya.

"Saya akui masih belum pakar lagi dalam pengacaraan. Sebagai pengacara baru, saya juga hormati semua pengacara sedia ada terutama yang senior dalam bidang pengacaraan. Maklumlah, pengacara zaman dulu dan sekarang banyak bezanya selaras dengan perkembangan teknologi masa kini.

"Selain membaca buku berkaitan, saya juga banyak bersembang dengan orang lama dan senior dan berpengalaman dalam bidang ini seperti Mahathir Lokman, Yasmin Yusof, Datin Seri Normala Samsudin dan pengacara serta pelawak terkenal, Dee," katanya.

Pada masa sama, Vee juga bersedia menerima kritikan yang membina daripada penonton.

"Saya sahut cabaran buat program Nona dulu kerana ingin menimba pengalaman berbeza. Saya juga bersedia menerima kritikan yang positif daripada orang lain. Takkanlah apabila dikritik kita sudah sentap?

"Kalau penonton yang tengok program itu kata OK, ia adalah perkara yang bagus dan saya akan perbaiki kelemahan sedia ada," katanya.

Selepas selesai program Nona, Vanidah terbabit pula mengacarakan program realiti baru sebanyak 13 episod, Dumex Chef Cilik Komplete Nutri untuk saluran Astro. Program ini bakal bersiaran pada Februari depan di saluran Astro.

Trivia Vee

  • Aktres Hollywood yang ingin digandingkan
    Meryl Streep
  • Haiwan yang paling ditakuti
    Tikus
  • Filem yang buat anda menangis
    Titanic
  • Buku terakhir yang dibaca
    Cheng Ho and Islam in Southeast Asia
  • Harta/aset yang ingin dibeli
    Kapal terbang
  • Tabiat pelik diri sendiri
    Tiada
  • Destinasi percutian ingin dilawati
    Venice, Itali


  • Full content generated by Get Full RSS.

    Paduan Siti, Rabbani

    Posted: 02 Feb 2012 05:02 AM PST

    SABDA Nabi Muhammad s.a.w: "Barang siapa yang membesarkan hari kelahiranku nescaya aku akan menjadi pendorongnya pada hari kiamat dan barang siapa membelanjakan majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah."

    Daripada sabda di atas, dapat kita fahami setiap yang kita lakukan dan korbankan ke jalan Allah s.w.t terutama apabila kita mengingati dan memuliakan kekasihnya, nescaya akan mendapat balasan yang sangat besar di sisi Allah.

    Jangan biarkan kedatangan hari bersejarah keputeraan Rasulullah itu berlalu begitu saja yang sebaiknya diisi dengan majlis agama. Betapa besarnya pengorbanan baginda untuk menegakkan syiar Islam di seluruh pelosok dunia ini.

    Lantaran itu, walau apa pun cabaran yang datang, halangan serta rintangan yang menjelma di depan mata, kumpulan nasyid paling popular tanah air, Rabbani tetap berusaha mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul setiap tahun sejak empat tahun lalu.


    Kekangan kewangan tidak dijadikan halangan, malah kekurangan itu membuatkan mereka terus bekerja keras bagi menzahirkan segala harapan dan impian untuk menyambut hari kebesaran Rasulullah.


    Tahun ini juga lebih istimewa kerana kalau pada tahun sebelum ini, Rabbani Productions (M) Sdn Bhd menjemput Datuk Siti Nurhaliza membuat persembahan pada konsert Maulidur Rasul anjuran mereka, tetapi kali ini Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd mengajak Rabbani Productions bersama-sama menganjurkan program itu.

    Majlis Sinar Maulidur Rasul 1433 Hijrah - Muhammad Al Ameen itu akan diadakan di Dataran Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu.

    Pengarah Komunikasi Korporat dan Acara Strategik Rabbani Productions, Azadan Abdul Aziz berkata, ini kali kelima mereka menganjurkan konsert Islamik secara besar-besaran. Tahun ini mereka mengambil tema Muhammad Al Ameen kerana ia adalah gelaran yang diberikan kepada Rasulullah.

    "Kami ingin mengajak semua umat Islam menumpukan kepada sifat yang ada pada baginda. Kita wajar menambahkan keindahan hidup kita dengan mencontohi sifat mulia yang ada pada baginda.

    "Untuk membuktikan istimewanya Rasulullah, Ustaz Sahibul Fadil Sabikin mencipta lagu khas untuk dipersembahkan Rabbani bersama Siti yang diberi judul Muhammad Al Ameen. Lagu itu sudah siap dirakam dan peminat boleh mendengarnya dengan memuat turun lagu itu daripada Internet.

    "Lagu itu boleh juga dijadikan nada dering telefon bimbit. Muhammad Al Ameen akan dijadikan single Rabbani bersama Siti. Ia mengandungi mesej supaya kita sentiasa mengingati dan mencintai Rasulullah pada setiap masa dan bukannya hanya ketika tiba hari keputeraannya.

    "Besar harapan Rabbani agar anak-anak kita diserapkan rasa cinta kepada Rasulullah dan menjadikan baginda sebagai idola dalam menjalani kehidupan seharian. Baginda adalah insan terbaik untuk kita sanjungi dan cintai," katanya.

    Sambutan itu akan diadakan selama tiga hari mulai hari ini hingga Ahad di samping diadakan jualan selama tiga hari berturut-turut. Konsert pada jam 8.45 malam esok akan dihiburkan Rabbani, Siti, Amy Search, Najwa Latif dan Sabri Yunus, diikuti Makan Malam Eksklusif Bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Rabbani.

    Turut diadakan jualan meja yang berharga RM175, RM275 dan RM500 seorang.

    Pada konsert itu, selain lagu duet Rabbani dan Siti, Rabbani akan mempersembahkan lagu Pahlawan Agama yang dipetik daripada album Maulana, Menteri Merah Di Ufuk Timur (berduet dengan Amy) dan Rabiulawal.

    Siti pula akan menyanyikan lagu InshaAllah yang dipopularkan Maher Zain, Cindai yang liriknya digubah mencintai Rasulullah dan Ya Rasulullah (lagu Raihan).

    Daripada Amy, dia akan mempersembahkan lagu Isabella yang seni katanya digubah menceritakan kehebatan kekasih Allah s.w.t itu.

    Jelas Azadan, kelebihan majlis makan malam itu, penonton akan dapat lebih dekat dengan Siti, dapat beramah mesra dan bergambar dengannya.

    Dari segi penajaan, Taman Tamadun Islam menyediakan lokasi karnival dan konsert, Ri-Yaz Heritage Resort & Spa menaja penginapan dan makan minum artis sepanjang program berlangsung, Tunas Indah menyediakan kanopi dan gerai jualan manakala Galeri Ilmu & Pesona Creative mengatur aktiviti karnival.

    Bagi meringankan lagi beban mereka menganjurkan konsert, Syarikat Perniagaan Mubari Nasuha menyediakan sistem bunyi.

    Antara acara sepanjang karnival, pertandingan nasyid, forum, wacana ilmu, pertandingan busana, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan Muslimah anggun remaja, permainan paintball, bola sepak jalanan, kawad berirama, pertunjukan motorsikal dan kereta.

    Paling istimewa, mereka yang menyaksikan konsert itu berpeluang menang cabutan bertuah pakej percutian ke Gui Ling, China bersama Rabbani yang akan ke sana pada Jun ini.

    Kepada peminat yang ingin menyertai lawatan ke Gui Ling, boleh layari laman web, Rabbani Travel & Tours Sdn Bhd, www.rabbanitravel.com.

    Azadan berharap masyarakat Terengganu beramai-ramai meraikan sambutan itu kerana ia bukanlah majlis keramaian yang biasa, malah untuk menambah kecintaan terhadap Rasulullah dan mengukuhkan keimanan kita.



    Full content generated by Get Full RSS.