Adsense

Khamis, 2 Februari 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Wanita lali peluru’

Posted: 01 Feb 2012 07:06 AM PST

KONTROVERSI yang menghimpit bukanlah sekecil zarah sehingga ada ketikanya mengundang rasa lemas buat pemilik wajah manis ini. Namun jauh di lubuk hatinya, semua itu hanya satu dugaan yang tetap ada jalan penyelesaiannya.

Kononnya menjadi perampas, menyembunyikan perkahwinan bersama pelakon, Joey Daud dan macam-macam lagi. Jelas Watie Sadali, biar teruk dirinya dihentam, namun dia tahu siapa dirinya yang sebenar.

"Alhamdulillah apa yang pernah diperkatakan itu tidak sekali-kali menjadi kudis. Namun ia membakar jiwa saya untuk terus mencari kebahagiaan. Saya mengaku dan jujurnya mengesahkan yang kini saya sudahpun menjadi isteri kepada Joey. Kami bernikah selepas Aidilfitri tahun lalu dan semuanya berjalan seperti dirancang.

"Bukannya ingin berahsia atau menyembunyikan saat bahagia itu tetapi semuanya adalah permintaan Joey dan keluarganya. Saya harus menghormati dan melihat ikatan yang ada dari satu perspektif yang positif. Apa yang penting, perkara wajib sudahpun kami lakukan. Soal yang lain, biarlah kami fikirkan bersama untuk menyelesaikannya," katanya.


Watie, wanita kental yang berdiri sebagai seorang pelakon bagi membesarkan putera kesayangannya, Ahmad Afif Danial yang kini berusia lapan tahun.


Perkenalannya dengan bekas vokalis kumpulan Exists yang kini berusia 39 tahun itu juga tiga tahun lebih tua daripadanya, Joey atau Zulkifli Daud dianggap sempurna dan ketentuan yang tidak sekali difikirkannya.

Jelas perkenalan yang awalnya berlandaskan atas nama sahabat akhirnya menyemai benih cinta selepas percaya akan keserasian dan persefahaman yang ada.

Lama tidak bertemu, bicara si empunya senyuman manis ini tidak sekali-kali berubah. Tuturnya masih sama, celoteh dan gurauannya masih jelas menggambarkan pelakon drama Gelora Di Hati Sara, Iris, Rozana dan Rahsia Hati ini seorang yang sedang diulit bahagia.

Kata-kata nakal yang diajukan tidak sekali-kali mengundang bimbang, sebaliknya hadirnya petang itu untuk sesi fotografi, Watie bagai sudah bersedia untuk berkongsi kebahagiaan yang kini menjadi miliknya.

Jelasnya, kehidupannya kini indah dan tenang hingga sukar diterjemah dengan kata-kata.

"Memang sudah lama saya inginkan sebuah perkahwinan semula kerana sebagai wanita, suami atau pasangan hidup itu adalah pelengkap hidup. Mana mungkin saya merasai kebahagiaan jika ia tidak dikongsi dengan pasangan. Lantas saya fikirkan ikatan perkahwinan bersama Joey adalah sesuatu yang saya harapkan sejak awal berkenalan dulu.

"Saya yakin dan percaya dengan kejujuran Joey kerana dia sememangnya seorang lelaki yang bertanggungjawab dan penyayang. Mungkin ramai yang tidak tahu, Joey sebenarnya lelaki yang penuh budi bahasa dan mampu memimpin saya ke fasa yang lebih baik dalam kehidupan. Malah dia juga seorang yang kelakar dan mampu membuatkan saya selalu ketawa.

"Namun apa yang lebih penting, dia melepasi kriteria utama buat saya apabila Afif Danial menerimanya sebagai seorang ayah. Sejak dulu lagi, Afif bukan mudah menerima orang baru, namun Alhamdulillah Joey mampu menyayanginya dengan baik. Mereka sangat akrab dan itulah yang benar-benar mengusik jiwa saya untuk menerimanya sebagai suami," katanya.

Majlis pernikahan Watie yang juga anak keempat daripada lima beradik ini dilakukan secara sederhana di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur dan hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan teman rapat.

Bagaimanapun, jelas Watie, mereka belum bersedia untuk berkongsi dengan lebih terperinci mengenai majlis pernikahannya serta perancangan majlis persandingan mereka tidak lama lagi.

"Joey melamar saya secara mengejut di depan keluarganya. Saya sendiri tidak mengetahui mengenai majlis itu. Semuanya dirancang Joey dan adik-beradiknya. Kelakarnya, persediaan pun kelam-kabut dan saya hanya sempat untuk menempah nasi beriani di restoran berdekatan rumah saja bagi menjamu tetamu.

"Apa yang boleh saya katakan, kami sudah selamat dinikahkan. Insya-Allah jika diberi rezeki dan peluang, kami berdua pasti akan melangsungkan majlis resepsi pada tahun ini juga kerana Joey ingin sekali meraikan sahabat-handai dan peminat yang tidak henti menyokong. Tarikh dan lokasi masih belum kami tetapkan namun apa yang pasti, kami akan mengadakannya secepat mungkin.

"Maklumlah saya sendiri tidak sabar ingin mengandung lagi dan menimang cahaya mata. Sudah lama rasanya saya tidak mempunyai anak kecil. Jadi memang saya merancang untuk sekurang-kurangnya memiliki seorang lagi cahaya mata kami bersama," katanya yang memberi laluan kepada kerjaya lakonan dan beberapa projek yang masih tertangguh terlebih dulu sebelum memikirkan soal anak.

Dramatis popular yang sebelum ini pernah mencipta nama menerusi kumpulan Elite ini melalui satu kronologi yang panjang dan cukup berbisa. Jika tiada kekuatan dan kesabaran yang tinggi, belum pasti untuknya melangkah sejauh ini.

Usik Watie, mujur dirinya 'wanita lali peluru'.

"Jika difikirkan memang tidak ke mana. Baik saya duduk terperuk di dalam bilik saja kerana terlalu banyak yang sibuk menghakimi. Namun Alhamdulillah, saya punya keluarga dan teman yang tidak henti memberi sokongan buat saya. Malah saya juga dipertemukan dengan seorang lelaki yang cukup bertanggungjawab dan penyayang. Begitu juga dengan ibu dan adik-beradiknya yang menyayangi saya seadanya.

"Justeru, saya kuatkan hati, bangkit dan hanya memikirkan soal masa depan saya dan anak saja," katanya lagi.

Menyentuh soal kerjayanya, Watie yang sebelum ini pernah mewarnai pementasan teater Tun Fatimah dan Taming Sari, bakal muncul dengan watak Saodah
dalam drama siri Pelangi Kasih tayangan slot Samarinda TV3.

"Ini kali pertama saya melakonkan watak orang tua. Lebih kelakar, saya akan bergandingan dengan Abby Abadi sebagai orang tua dalam drama ini bersama ramai pelakon lain termasuk Betto Khusyairi, Johan Asha'ri dan Nabila Huda. Insya-Allah peminat akan berpeluang melihat satu lagi kelainan daripada saya sebagai seorang pelakon," katanya.

Tumpang kasih ibu mentua

PENGIKAT cinta yang terus membuatkan Watie yakin adalah ibu mentuanya sendiri. Ibu kepada Joey, Zahida Zakaria yang kini sudahpun berusia 69 tahun adalah ibu mentua yang amat disayangi Watie.

Bukan kerana ingin memenangi hatinya, namun jelas Watie, ibu mentuanya sudah dianggap seperti ibunya sendiri yang dijadikan tempat melepaskan rindu kepada arwah ibu yang sudah lebih tiga tahun meninggal dunia.

"Saya sangat sayangkan ibu mentua kerana dia menerima saya seadanya. Saya terharu dengan sikapnya yang terbuka dan memandang saya seakan-akan 'orang baru' tanpa memikirkan soal latar belakang saya yang penuh cerita dan kontroversi. Kelakarnya, kalau ada gambar saya yang seksi terpampang di akhbar atau media, dia hanya tersenyum dan memahami itu tuntutan kerja sebagai anak seni.

"Bayangkan, ibu mentua saya sanggup datang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas sekiranya kami berdua tidak berpeluang pulang ke Johor Bahru melawatnya. Dia akan tinggal dengan kami selama beberapa hari tapi ada kalanya saya pula yang segan kerana jadual kerja sebagai selebriti membuatkan kami begitu sibuk hingga tidak sempat meluangkan masa bersamanya.

"Dia pun selalu berpesan kepada saya untuk tidak lupa tanggungjawab sebagai seorang isteri. Malah dia selalu cakap betapa gembiranya melihat anaknya (Joey) kini sudah bahagia. Yang penting sekali, ibu mentua saya amat menyayangi Afif Danial. Begitu juga dengan adik-beradik Joey yang lain. Mereka sangat ikhlas dan menerima saya dan Afif Danial dengan baik sekali.

"Alhamdulillah dan saya bersyukur kerana diberikan seorang ibu mentua sebaik ini. Mana tidaknya saya dapat menumpang kasih dan merasai semula kasih sayang seorang ibu. Malah kakak saya, Liza Sadali begitu akrab dengan ibu mentua saya," katanya.

Tambah Watie, ibu mentuanya juga adalah seorang idola dan sumber inspirasi buatnya menjadi seorang wanita yang sempurna dalam membesarkan anak dan menjaga keluarga.

"Ibu mentua suka memasak dan memang pandai dalam membuat pelbagai eksperimen masakan. Saya juga banyak belajar daripadanya dan sekarang saya sudah pandai masak lauk kegemarannya, singgang.

"Saya memang banyak melihat peribadi ibu mentua dan mempelajari seberapa banyak ilmu daripadanya dalam membesarkan 12 anak sendirian tanpa suami," katanya yang mengakui ibu mentuanya seorang ikon ibu tunggal yang baik.

Trivia Watie Sadali

  • Sepanjang bersama Elite, Watie paling bertenaga dengan tarian dan gaya persembahannya yang kemas.
  • Watie sempat merakamkan tiga album bersama Elite iaitu Catwalk, Tamparan dan Idola.
  • Watie dilahirkan di Grik, Perak namun dibesarkan di Sungai Besar, Selangor.
  • Drama Dia Bukan Mariam arahan Erma Fatima paling menguji kredibilitinya.


  • Full content generated by Get Full RSS.

    ‘Hanya Dia yang tahu’

    Posted: 01 Feb 2012 06:24 AM PST

    "SAYA tak baca berita itu tetapi saya ada mendengar mengenainya tetapi saya tak mahu komen lebih-lebih. Apa cerita sebenarnya hanya saya, mereka dan Allah SWT yang tahu," kata Hattan mengenai dakwaan bekas vokalis kumpulan Baji, Abang Yusuf Abang Daud, 36, dan isterinya, Noor Maszura Abu Bakar, 30, yang mendakwa hidup mereka tertekan selepas diisytiharkan muflis pada 2008 kerana terpaksa menanggung hutang hampir RM1 juta selepas diperdaya Hattan.

    Tambah Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sha-habudin, dia tahu apa yang dia buat.

    "Saya pernah tolong mereka dengan membawa Yusuf ke persembahan pentas tetapi tak perlulah saya cakap lebih-lebih berkenaan dakwaan mereka itu kerana saya tak mahu membuka aib orang. Tetapi kalau dia mahu menjatuhkan saya, terpulanglah. Sekiranya selepas ini saya terpaksa pergi ke mana-mana dengan menaiki bas, saya naiklah bas.

    "Hidup macam inilah, apabila kita berjaya dan sudah berada di atas, ada saja pihak yang dengki serta tidak suka tengok kita senang. Selalunya apabila timbul cerita macam ini atau kontroversi lain, saya buat tak tahu kerana kalau ambil tahu pun, buat sakit kepala saja.


    "Sekarang saya mahu rileks dan insya-Allah tahun ini saya mahu mengerjakan fardu haji serta memperbanyakkan kerja kebajikan bagi membalas balik jasa masyarakat yang menyokong saya selama ini," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Karnival Wow Putrajaya yang diadakan di Pusat Maritim Putrajaya.


    Hattan kini giat melakukan aktiviti mengajak remaja ke arah kebaikan terutama mereka yang terjebak dalam najis dadah.

    "Untuk mengajak mereka pulang ke pangkal jalan, kita mesti berada dalam lingku-ngan mereka untuk menyelami masalah dan punca mereka terbabit dalam perkara yang tidak baik itu. Tetapi bukanlah kita hisap dadah bersama-sama mereka, tetapi kita mesti selalu mendampingi mereka untuk mendapatkan kepercayaan daripada mereka.

    "Saya bersedia bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan juga agensi dadah yang lain. Tahun lepas misalnya, saya berjaya mengumpul lebih 350,000 remaja ketika pilihan raya di Sarawak. Saya juga ke lebih 15 sekolah memberi motivasi kepada pelajar secara percuma.

    "Apa yang saya buat mahu tengok anak bangsa kita maju kerana cabaran yang lebih besar menunggu mereka pada masa depan. Mereka perlu bersiap sedia dengan menjadi insan terpelajar, barulah maruah bangsa akan terbela, sekali gus dipandang tinggi bangsa lain," katanya.

    Dengan keadaan pasaran album, yang lembap sudah empat tahun Hattan tidak memiliki album baru.

    "Gian nak merakamkan lagu tetapi apabila keluarkan modal untuk pembikinan album, belum tentu akan dapat modal balik. Hanya membazirkan masa, tenaga dan wang. Merakamkan lagu bukannya murah tetapi pendengar dengan sewenang-wenangnya muat turun lagu percuma.

    "Habis penyanyi mahu 'makan' apa? Kalau trend itu berubah muat turun lagu kena bayar, mungkin saya akan fikir semula untuk buat album. Barulah usaha penyanyi itu berbaloi.

    "Kecuali kalau ada yang sang-gup beramal. Mereka keluarkan wang untuk saya buat album dan sebahagian daripada hasil jualan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan, saya akan memberikan kerjasama.

    "Ada juga rancangan untuk menganjurkan konsert solo dengan duit sendiri tetapi belum mampu lagi. Sekarang saya ada membuat persembahan di konsert tetapi di konsert artis lain, saya selaku undangan saja," katanya.

    Hattan yang baru bercerai buat kali kedua, menerima segala apa yang berlaku kerana ketentuan Allah SWT.



    Full content generated by Get Full RSS.