Adsense

Rabu, 18 Januari 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Fasha Urus Semua Hal Kahwin

Posted: 18 Jan 2012 05:13 PM PST


  • Foto
    FASHA dan Hatijah membelek sebahagian barangan ketika singgah di Bandung.
  • FotoMEMILIH tudung yang sesuai untuk ibu tercinta.
Ibu harap perkahwinan tamatkan gosip tidak berasas

IBU kepada pelakon sensasi Fasha Sandha, Hatijah Tehman, 49, akur dengan keputusan anaknya memilih Rizal Ashram Ramli, 35, selepas melihat kesungguhan mereka mempertahankan hubungan yang sudah beberapa kali dilanda badai.
Sebagai insan terdekat, dia hanya mendoakan yang terbaik demi kebahagiaan Fasha atau nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan, 27.
Walaupun pelakon itu sudah membuka mulut membicarakan soal hari bersejarahnya secara terbuka, tetapi hingga kini belum ada sebarang tanda mereka sekeluarga membuat persiapan perkahwinan sepanjang percutian Gemilang Bersama Bintang (GBB) anjuran Berita Harian dan Poto Travel & Tours ke Bandung dan Jakarta.

"Memang Mama tidak buat apa-apa persediaan sebab Fasha tidak mahu menyusahkan Mama. Dia mahu menguruskan semuanya, kita ikut saja. Bagi Mama apa yang baik bagi dia baiklah kepada keluarga.

"Biarlah dia mengecap bahagia. Dalam soal jodoh, kalau itu yang ditentukan-Nya, kita terima saja," kata Hatijah yang membahasakan dirinya Mama.

Selain ibu, finalis kategori Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 turut diiringi pengurus peribadinya, Nik Yasmin Nik Abd Rahman, pada lawatan empat hari tiga malam itu. Artis lain ialah Nabil Ahmad dan Black.
Walaupun Bandung dianggap menjadi syurga beli-belah, terutama buat bakal pengantin, mereka bertiga dilihat sekadar meninjau, sekali gus tidak menunjukkan tanda-tanda membeli barang hantaran.

Ditanya perasaannya mengenai desas-desus lokasi pernikahan di luar negara, Mama hanya mampu menahan sebak, malah tanpa berselindung turut menangis apabila cerita berhubung perkahwinan anaknya itu seperti ditokok-tambah.

"Terus-terang memang Mama sedih sangat sehingga menangis apabila terbaca di akhbar yang Fasha akan berkahwin di luar negara, tanpa mengundang kedua-dua belah pihak.

"Hati orang tua mana yang tidak sedih apabila anak kesayangan ditohmah dengan membelakangkan kita, lebih-lebih lagi hubungan kami memang rapat sebelum ini.

"Namun Fasha tetap memujuk Mama yang khabar itu tidak benar belaka. Fasha dan Jejai juga berterus-terang mereka tetap tidak akan membelakangkan keluarga. Mereka juga ada meminta restui kami," katanya.

Hatijah menegaskan, dia tidak mengharapkan perkahwinan Fasha nanti dijalankan secara besar-besaran kerana bimbang jika segala perancangan gagal.

"Mama tidak menggalakkan mereka mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran. Tak payahlah seperti 'wedding of the year'. Mama mahu segala yang dirancang berjalan dengan lancar tanpa masalah.

"Namun, Mama juga mahu perkahwinan Fasha nanti turut diadakan di kampung halamannya di Perlis," katanya.

Sebagai ibu yang melahir dan membesarkan, Hatijah tetap menerima tempias apabila anaknya dilanda pelbagai kontroversi sejak bergelar artis, tujuh tahun lalu.

"Memang Mama tidak nafikan kadang-kadang tertekan dengan gosip yang tidak berasas, seolah-olah mereka sengaja mahu mengaibkan kami sekeluarga. Ada penulis langsung tidak mengambil kira perasaan keluarga Fasha apabila mereka membuat sesuatu laporan.

"Lebih-lebih lagi sampai ada yang mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah untuk memburuk-burukkan kami sekeluarga. Mama harap dengan perkahwinan mereka, semuanya akan berhenti di situ dan Mama reda untuk melepaskan tanggungjawab Mama pikul selama ini kepada pilihan hatinya.

"Nasihat Mama agar pilihan Fasha itu (Jejai) dapat membimbing dan membahagiakannya kerana itulah yang sentiasa diharapkan mana-mana ibu di dunia," katanya.

Neelofa temani Hans Isaac

Posted: 18 Jan 2012 05:11 PM PST



TAHNIAH buat Awie dan Ella yang memberikan kenangan manis kepada penonton konsert mereka berdua di Istana Budaya (IB), tempoh hari. Sepanjang empat hari Cik Normah dengar tempat duduk hampir penuh.

Sudah tentu selain orang kuat IB, Datuk Juhari Shaarani, Hans Isaac selaku pencetus dan penggerak persembahan mega menggabungkan dua ikon popular ini tersenyum lebar. Mana taknya, penat lelah sepanjang empat bulan berbaloi.
Dalam rasa terkilan kerana berasakan ada pihak cuba mensabotaj beberapa siri produksi terbitannya seperti diluah pada sidang media pada malam pembukaan, ada sesuatu yang pastinya membuatkan perasaan Hans reda sedikit.
Bukan apa, ada mata-mata yang sudah ternampak kelibat bintang Azura 2011, Neelofa, pada malam pembukaan hadir memberi sokongan moral kepada teman tapi mesra yang pernah digosipkan dengannya itu.

Memang kalau setakat mengikuti konsert, tiadalah orang berbisik-bisik kerana ramai lagi selebriti lain yang menjejakkan kaki ke konsert terbabit sepanjang empat malam persembahan. Tetapi dalam kes Neelofa, situasinya agak pelik sedikit.

Iyalah, buat apa dia mahu menyorok di tempat kru makan sebaik konsert berakhir? Bukan satu dua mata yang ternampak kelibatnya berada di lokasi tersorok yang juga di belakang tempat sidang media berlangsung.

Walau dalam sebuah akhbar si genit itu menyatakan antara mereka tiada hubungan intim, ramai sudah dapat mengagak dalam hati mereka ada taman yang mekar. Lagi pun, masing-masing masih solo, apa nak takut?
Patutlah Hans meminta diri awal, mungkin mahu menemani si dia makan di tempat lain. Iyalah, di situ ramai orang.

Dituduh 'Berlakon' Dalam Kes Samun, Wardina Panggil Penulis Blog

Posted: 18 Jan 2012 04:43 PM PST


Wardina Safiyyah.
 
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah menjemput penulis blog ruangbicarafaisal.blogspot.com iaitu Tun Faisal Ismail Aziz menemuinya jika ingin mengetahui sama ada kejadian samun yang berlaku terhadapnya baru-baru ini adakah lakonan atau pun kisah benar.
Wardina berkata, dia tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Exco Pergerakan Pemuda Umno itu seperti yang diminta.
"Jika dia mahu jawapan kepada semua persoalan yang bermain di dalam mindanya sila datang berjumpa saya. Tidak ada sebab mengapa saya perlu membalas dengan menulis kenyataan saya untuk dia meletakkan jawapan saya itu di dalam blognya.
"Biarlah orang ramai sendiri yang membuat penilaian terhadap semua perkara yang ditimbulkan kerana saya sudah penat untuk bercakap mengenai hal tersebut," ujarnya
ketika dihubungi di sini, Rabu.



Antara petikan menerusi ruangbicarafaisal.blogspot.com mempersoalkan kejadian samun Wardina.
Wardina diminta mengulas mengenai tulisan menerusi ruangbicarafaisal.blogspot.com yang mempersoalkan kononnya dia memperbesar-besarkan kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya semata-mata untuk menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan publisiti.
Penulis blog itu juga mempertikaikan tindakan Wardina yang mendakwa berada dalam keadaan trauma tetapi sempat meminjam komputer milik jiran untuk menulis kejadian yang berlaku menerusi Twitter miliknya.
Dalam pada itu, Wardina berkata, dia tidak berasa terkesan dengan tulisan tersebut sebaliknya menganggap penulis blog itu terlalu mempunyai banyak masa untuk menulis pelbagai cerita mengenai orang lain.
Wardina berkata, dia juga tidak risau dengan pandangan masyarakat yang membaca entri tersebut kerana percaya mentaliti masyarakat di negara ini sudah cukup bijak untuk menilai sama ada kejadian tersebut benar atau tidak.
"Mungkin ada segelintir pihak akan terpengaruh dengan entri tersebut dan memikirkan perkara negatif mengenai diri saya, tetapi saya percaya itu hanya mewakili segelintir pihak sahaja.
Wardina Safiyah bersama suaminuya, Ikhwan Johari menunjukkan barang yang diselongkar oleh perompak dalam kejadian pecah masuk di rumah mereka pada 12 Januari lalu. foto: BERNAMA
"Rakan-rakan dan keluarga tahu apa yang sebenarnya yang berlaku dan pada tahap ini itu sudah memadai," ujarnya.
Sementara itu, Wardina berkata, penulis blog tersebut sepatutnya menulis sesuatu yang lebih bermanfaat dan berfaedah sebagai bahan bacaan supaya dapat mengembangkan minda masyarakat.
Katanya, walaupun kejadian samun yang berlaku terhadapnya mendapat liputan luas tetapi ia telah membuka mata banyak pihak supaya menjadi lebih berhati-hati dalam menjaga keselamatan keluarga.
"Ada perkara yang lebih penting untuk saya fikirkan daripada melayan karenah orang sebegini yang nyata hanya membuang masa," ujarnya.
Pada 12 Januari lalu, Wardina mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila rumahnya dimasuki tiga lelaki bersenjata di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, tiga penjenayah terbabit memasuki rumah Wardina setelah mengumpil pintu belakang rumah teres tepi dua tingkat milik beliau sebelum mengarahkan semua anggota keluarga Wardina berkumpul.

Ada Pihak Iri Hati, Abby Abadi Terkena Sihir

Posted: 18 Jan 2012 04:41 PM PST


PETALING JAYA: Pelakon Abby Abadi mendakwa ada pihak cuba menutup periuk nasinya dengan menghantar sihir sehingga menyebabkan badan-badannya menjadi sakit.
Selain itu kata Abby, perutnya juga sakit sehingga tidak mampu berjalan, sukar untuk tidur dan sakit pinggang yang teruk ketika sedang sibuk dengan penggambaran drama dan rakaman single lagu barunya, Aku Tak Mahu.
"Sebelum mendapat tahu terkena buatan orang, saya telah ke hospital sebanyak dua kali pada November lalu untuk mengesan penyakit saya itu tetapi doktor berkata saya tidak mempunyai sebarang masalah.
"Kemudian, barulah saya membuat rawatan secara tradisional pula dengan pelakon Ashraf Muslim. Memang waktu itu keadaan tubuh badan begitu teruk tetapi saya tetap gagahkan diri kerana mempunyai komitmen dengan penggambaran drama Pelangi Kasih dan Mulanya Di Sini," katanya yang dihubungi di sini, Rabu.
Tambah Abby, semasa mendapatkan rawatan secara alternatif itu, dia diberitahu terkena buatan orang oleh pihak-pihak yang iri hati dengannya.


Dia tidak menyangka ada orang yang berniat jahat terhadapnya sedangkan dia tidak pernah pun cuba untuk menyakiti hati orang lain.
Bagaimanapun, ibu tunggal beranak tiga ini berkata, dia bersyukur kerana penyakit misterinya itu beransur pulih dan masih lagi mengamalkan perubatan tradisional itu.
"Alhamdulillah, saya beransur pulih. Bagaimanapun, benda sihir ini akan datang balik jika kita tidak berjaga-jaga.
"Saya pun tak tahu siapa yang sanggup melakukan perkara buruk ini. Biarlah pihak yang mengenakan saya itu mendapat balasan daripada Allah di atas perbuatannya itu," ujar Abby.


Terkilan dengan Zul
Sementara itu, mengenai hubungannya dengan bekas kekasih, Zul Ariffin, Abby mengakui mereka tidak lagi kerap berhubung seperti dahulu.
Cuma Abby sedikit terkilan apabila pelakon itu telah membuat kenyataan kepada sebuah portal pada Rabu yang dia tidak lagi memikirkan tentang dirinya. Namun Abby tidak pasti adakah Zul benar-benar bermaksud sedemikian ataupun tidak.
Ujar Abby, sukar untuk dia mengulas berkenaan dengan kenyataan pelakon lelaki yang semakin meningkat naik itu apabila terdapat dua komen yang berbeza yang dinyatakan Zul sebelum ini.
"Entahlah, saya pun tak tahu nak cakap apa sebab dia memberikan kenyataan yang berbeza. Pada mulanya, dia cakap, masih lagi sayang dan mengingati saya dan sekarang, lain pula ceritanya.
"Bagaimanapun, saya tak dapat nafikan bahawa perasaan sedikit terkilan itu ada," tuturnya.
Dalam pada itu, Abby dan Zul masih lagi berhubung kerana terdapat urusan yang masih lagi belum selesai di antara mereka.
"Memang ada beberapa perkara yang saya tidak boleh jelaskan di sini yang masih belum selesai di antara kami.
"Apa-apa pun, hidup mesti diteruskan bukan? Alhamdulillah walaupun dilanda pelbagai masalah, saya masih lagi menerima tawaran lakonan dan mengacara. Malah tahun ini saya buat 'comeback' dengan muncul lagu Aku Tak Mahu, ciptaan Edry Abdul Halim," katanya.

Black Tidak Terkilan Dilarang Buat Persembahan Di Kelantan

Posted: 17 Jan 2012 11:37 PM PST


Black tidak berkecil hati dengan tindakan kerajaan Kelantan membatalkan kemunculannya di sana pada 23 Januari ini.
 
PETALING JAYA: Juara Mentor musim ketiga, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah, tidak berkecil hati dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan yang membatalkan kemunculannya pada Majlis 'Ladies Night' sempena program 'Kelantan's Got Talent' pada 23 Januari ini.
Black berkata, dia akur dengan keputusan tersebut dan akan terus menerima undangan kerajaan negeri berkenaan pada masa akan datang sekiranya diminta untuk mengadakan persembahan.
"Sejujurnya saya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas diberitahu oleh bapa tentangnya kerana baru pulang dari Jakarta malam semalam (Isnin).
"Walaupun sedikit terkejut tetapi tiada sebab kenapa saya perlu melenting kerana ia bukan rezeki saya dan tidak akan serik untuk kembali ke sana mengadakan persembahan jika dijemput," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.


Ditanya mengenai persembahan tersebut, Black memberitahu dia tidak dimaklumkan secara terperinci mengenai persembahan yang turut menampilkan Akma (AF) kerana cuma hanya diberitahu oleh promoter ia adalah sempena Tahun Melawat Kelantan 2012.
Black berkata, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran itu kerana ia adalah sumber rezekinya sebagai penyanyi dan tidak menyangka ia mendapat tentangan daripada pihak kerajaan negeri.
"Kerja saya adalah seorang penyanyi dan sebarang jemputan nyanyian jika berkelapangan sudah tentu saya terima kerana itu adalah sumber pendapatan saya.
"Tetapi ia bukanlah satu isu besar dan saya langsung tidak berkecil hati dengan tindakan itu," katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, pihaknya mengambil keputusan membatalkan kemunculan penyanyi itu sebagai menghormati kritikan dan pandangan orang ramai yang mempersoalkan kemunculan penyanyi berkenaan pada program yang dikhususkan untuk wanita.
Dalam perkembangan lain, Black memberitahu dia ke Jakarta bersama 60 peminat bertuah bersempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian(ABPBH) bersama-sama pelakon Fasha Sandha dan Nabil Raja Lawak.
Black berkata, pemergian mereka ke sana selama tiga hari bermula 13 Januari sehingga 16 Januari lalu.
"Seronok dapat berjalan-jalan dengan peminat di sana kerana itu adalah peluang kami sebagai artis untuk mendekati peminat," ujarnya.
Ditanya mengenai pencalonannya dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, Black berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang dan menganggap ia sebagai bonus jika terpilih sebagai penerima anugerah dalam kategori itu.
Tumpuannya kini adalah kepada program jelajah ABPBH yang dapat mendekat dirinya dengan peminat dan memperkenalkan muziknya secara lebih meluas.
"Jika ada rezeki Alhamdulillahlah tetapi kalau tak menang pun tidak mengapa kerana yang penting saya dapat menyertai program jelajah ABPBH untuk bertemu peminat dengan lebih dekat," ujarnya.
Sementara itu, Black berkata, dia teruja bakal muncul dengan "single" baru duet bersama dua penyanyi iaitu Hazama dan Azlan The Typewriter selain berharap dapat mempersembahkan lagu yang masih belum diberi nama itu di majlis ABPBH nanti.

Dadah: Tiada Lagi Sikap Prejudis Terhadap Saiful Apek

Posted: 17 Jan 2012 11:36 PM PST


Saiful Apek
 
KUALA LUMPUR: Pelawak popular, Saiful Apek (Apek) mengakui berasa lega apabila sikap prejudis segelintir pihak di dalam industri hiburan terhadap dirinya sejak didakwa mengambil dadah hampir dua tahun lalu, semakin lenyap.
Menurut Apek, sebagai individu yang berdepan pertuduhan itu, dia tidak berasa terganggu selagi perbicaraan masih berlangsung dan belum terbukti bersalah.
"Alhamdulillah, kehidupan saya berjalan seperti biasa berkat sokongan berterusan daripada keluarga dan teman-teman rapat.
"Sikap prejudis segelintir pihak kepada saya sebelum ini juga beransur pulih kerana saya mendiamkan diri dan membiarkan undang-undang yang menentukannya," katanya yang ditemui selepas majlis pra-tonton filem Bujang Telajak Belum Terlanjur di sini, baru-baru ini.
Apek yang menolak dakwaan dia diharamkan daripada tawaran kerja, berkata sehingga kini dia masih menerima pelbagai tawaran lakonan daripada stesen televisyen dan menjadi pengacara di majlis-majlis korporat.
"Dakwaan saya diharamkan dan tidak mendapat tawaran lakonan adalah tidak benar kerana saya masih aktif seperti dulu.


"Buktinya, untuk tahun ini saja saya akan keluar dengan tiga filem baru, selain rakaman sitkom dan lagu 'single' baru berjudul Aletotoit bersama Bob Kuman, tidak lama lagi.
"Saya berharap orang ramai tidak mudah menjatuhkan hukum selagi saya belum terbukti bersalah," katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan kes perbicaraan berhubung tuduhan mengambil ganja itu, Apek berkata sebagai individu yang dituduh, dia tenang menghadapi pertuduhan berkenaan dan enggan mengalah selagi belum terbukti bersalah.
"Perbicaraan kes dadah ini masih berjalan dan hanya tinggal beberapa peringkat saja lagi sebelum keputusan diumumkan. Pada Februari depan, saya akan dipanggil untuk perbicaraan seterusnya.
"Memandangkan ia masih dalam peringkat perbicaraan, saya tidak boleh ulas lanjut," katanya.
Apek atau nama sebenarnya Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff, 43, didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
Bagi kesalahan itu, pelakon yang bakal muncul dengan filem Bujang Telajak Belum Terlanjur pada 19 Januari ini didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang mempunyai tiga orang anak itu boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Turut didakwa di mahkamah sama ialah tiga rakan Apek, termasuk Pengurus Gitu-Gitu Production Sdn Bhd, Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, dan dua pekerja sambilan kru produksi itu, Shaiful Baharom, 24, serta Noremy Mohamad, 28.
Apek juga bakal muncul dalam filem Rock 2, Sofazr The Movie… Jiwa Kacau dan Hantu Air.