Adsense

Selasa, 20 Disember 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Cabar diri

Posted: 19 Dec 2011 03:16 PM PST

Hip

Zarina Zainoordin

Zarina Zainoordin

Ingin rakam single dangdut

BERILAH apa saja kepada artis kelahiran Johor ini - menyanyi, menari, berlakon mahupun beraksi di depan kamera - semuanya akan ditunaikan sepenuh hati. Tiada istilah malu pada dirinya apabila membabitkan soal kerja, dan sentiasa ditemani keyakinan menebal dalam diri.

Ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hip beberapa hari lalu, sekali lagi keyakinan dan kesungguhan artis serba boleh ini terserlah. Bukan sekadar bersikap ceria sepanjang sesi terbabit, malah dia cuba memberikan gaya terbaik untuk memuaskan hati semua pihak terbabit. Sikapnya itu cukup menyenangkan hati dan harus dipuji. Ada saja ideanya yang dikeluarkan ketika gambar dirakam jurugambar Berita Harian, dan sesekali dia cuba mencari mood dengan bercakap seorang diri. Itulah Zarina Zainoordin, wanita jelita berusia 27 tahun yang bakatnya mula diserlahkan menerusi program realiti Akademi Fantasi musim kedua, pada 2004.

Di sebalik wajahnya yang penuh kelembutan, harus diakui sifatnya agak berbeza kerana figura ini cukup gemar mencabar diri bagi memberikan sesuatu yang terbaik dalam kerjayanya.

Lihat saja kesediaannya dirinya bergambar di atas dua tong dengan mengenakan sepasang kasut tinggi, semata-mata mahu memberikan gaya berbeza buat tatapan peminat dan pembaca Hip.

"Saya seorang yang lasak dan suka mencabar diri. Saya mahu memberikan yang terbaik kepada kerjaya saya dan mahu mencuba apa saja dalam bidang seni.
"Sesiapa yang tidak mengenali saya sepenuhnya tidak tahu yang saya ialah gadis lasak, berani dan sentiasa mahu tampil berbeza," kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Berbicara soal kerjaya, Zarina berkata, setelah bertuah memenangi kategori dangdut pada konsert reunion lalu, dia terus terbuka hati untuk melihat irama itu sebagai sebahagian daripada genre muzik pilihannya selepas ini.

"Sebaik saja menang, saya terfikir ia disebabkan peminat mahu saya menyanyikan genre seperti itu. Jadi saya mengambil peluang yang ada untuk melancarkan single yang berirama dangdut tidak lama lagi.

"Saya mahu keluarkan single terlebih dulu. Jika mendapat sambutan baik, ia mungkin akan disusuli album mini yang yang memuatkan lima atau enam lagu," katanya yang akan menggunakan modal sendiri bagi menghasilkan album terbabit, selain bekerjasama dengan beberapa rakan yang berpengalaman dalam bidang itu.

Katanya, sebagai artis, dia bukan saja mahu menjadi penyanyi, tetapi juga seorang penghibur yang diingati. Malah, dia enggan dikenali sekadar untuk beberapa tahun, sebaliknya biarlah kekal di sanubari peminat buat selama-lama.

"Ramai yang ingat, saya sudah tidak mahu menyanyi, tetapi sangkaan itu sebenarnya tidak betul sama sekali. Nyanyian ialah minat utama saya sejak dulu lagi. Bidang lakonan tidak sesekali membuatkan saya lupa pada dunia muzik, dan saya sendiri ingin terus aktif menyanyi sampai bila-bila," katanya yang tidak habis-habis memuji sentuhan jurusolek, Syafieq Ayman, yang membuatkan wajahnya lebih cantik.

Naik pelamin tahun depan

KAHWIN? Ketika frasa tunggal ini disogok kepada empunya diri, dia berhenti bercakap sebentar. Mungkin memikirkan ayat terbaik menerangkan apa yang diperlukan dirinya sebelum melangkah ke gerbang bahagia.

"Saya akan berkahwin dan ia pasti berlaku dalam hidup saya. Saya mahu berkahwin kerana tidak sabar untuk melihat wajah anak sendiri. Jika melihat anak buah, saya akan termenung dan mula berfikir, pada usia 27 tahun, saya masih tidak mempunyai waris daripada rahim saya sendiri. Ketika itu saya berdoa semoga Allah menyusun yang terbaik untuk diri saya.

"Jika tiada aral melintang, tahun depan saya mahu menamatkan segala-galanya. Sudah cukup rasanya saya hidup bersendiri dan kini saya sudah bersedia untuk berumahtangga. Cari duit banyak mana sekali pun, saya rasa kita tidak gembira jika tidak memiliki keluarga sendiri," katanya jujur.

Tanpa berdolak dalik, Zarina menjelaskan, dia kini berpacaran dengan seorang jejaka berusia 30 tahun. Hubungan bersama lelaki bukan daripada warga seni itu sudah berlangsung selama lima tahun.

"Jika ada jodoh dengan si dia, saya akan terus menerima pinangan keluarganya dan berkahwin. Setakat ini, hanya dia yang memahami diri saya dan tahan dengan sikap keras hati saya ini.

"Saya bukan jenis gadis lembut yang suka bersolek dan sentiasa kelihatan cantik. Saya kasar dan lasak orangnya, dan dia memahami diri saya seperti itu," katanya tersenyum sambil memberitahu, hubungan mereka direstui kedua belah pihak dan dia sendiri sudah beberapa kali menziarahi rumah bakal mentuanya.

Berpegang kepada falsafah diri iaitu jangan sesekali mencampurkan urusan kerja dengan emosi diri, Zarina berharap dapat memiliki suami yang dapat membimbing dirinya sebaik mungkin.

"Saya minta kepada Tuhan supaya kurniakan suami yang beriman, yang mengajak saya solat dan membaca al-Quran lebih fasih daripada diri saya," katanya.

Berbaju kurung di Melbourne

SEMENTARA itu, bercerita mengenai pengalaman kali pertama berlakon di luar negara, iaitu di Melbourne, Australia, baru-baru ini, Zarina mengakui ia pengalaman cukup manis. Pengalaman itu dikecapi ketika menjayakan penggambaran drama Dingin Lavenda siaran TV3.

"Selain gembira dapat berlakon dengan pelakon seperti Eira Syazira, ada juga yang pahitnya apabila saya demam ketika berada di sana. Bayangkanlah, orang lain bersiap sedia bawa stokin dan baju sejuk, tetapi saya tidak bawa dan hanya dengan berpakaian baju kurung sepanjang sesi penggambaran berlangsung. Tetapi, demam macam mana pun, tugas yang dipikul harus ditunaikan.

"Bukan saya saja, kru produksi juga ada yang diserang selsema dan ia berjangkit dari seorang ke seorang yang lain," katanya yang menjalani penggambaran selama sembilan hari di negara kanggaru itu.

Dalam drama berkenaan, Zarina memegang watak Murni, perempuan kampung yang melanjutkan pelajaran di Australia. Hampir 70 peratus lokasi penggambaran adalah di Melbourne, termasuk di ladang lavender, manakala selebihnya di negara ini.

"Bekerja dengan pengarah Amy Maziah agak berbeza. Jika di luar set, dia seorang yang baik tetapi di dalam set, wajahnya berubah menjadi tegas. Saya suka caranya bekerja dan memberi arahan kepada pelakon. Hasil kerjayanya juga tampak berbeza dan dia memang layak bergelar pengarah," katanya.

Selain dirinya dan Eira, Dingin Lavenda turut dilakonkan Faralyna Idris, Salleh Mahfooz dan Azlee Khairi. Ia diterbitkan Layar Consult Sdn Bhd hasil skrip tulisan Zabidi Mohamed.

Full content generated by Get Full RSS.

Berhibur sambil bersembang

Posted: 19 Dec 2011 03:09 PM PST

Hip

GAYA Datuk Sharifah Aini (tengah) ketika membuat persembahan pada Majlis Makan Malam Amal Tiga Sahabat bersama Grace Simon (kanan) dan Dewi Yull.

GAYA Datuk Sharifah Aini (tengah) ketika membuat persembahan pada Majlis Makan Malam Amal Tiga Sahabat bersama Grace Simon (kanan) dan Dewi Yull.

Celoteh kak Pah, nyanyian Grace, Dewi Yull mengimbas memori 70-an

MENYANYI diselang seli dengan celoteh mengimbas perjalanannya dalam dunia seni. Begitulah gaya Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ketika menghiburkan tetamu dan peminatnya pada Majlis Makan Malam Amal Tiga Sahabat di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Sabtu lalu.

Tidak berseorangan, persembahan Sharifah Aini atau mesra dengan panggilan Kak Pah ini turut menampilkan dua sahabatnya dari Indonesia, Grace Simon dan Dewi Yull. Sememangnya, menjemput dua rakannya dari negara seberang itu ternyata menambahkan lagi kesyahduan malam dengan mengimbau kembali nostalgia era 70an dan 80an. Sambil menghayati dendangan dan kelunakan suara barisan penghibur berbakat ini, tetamu dihidangkan dengan makan malam yang tidak kurang enaknya.

Barangkali anak muda zaman sekarang kurang mengenali gerangan Grace Simon dan Dewi Yull, tapi itu tidak menjadi penghalang untuk berhibur kerana kedua-dua penyanyi ini pandai menarik perhatian penonton apabila mendendangkan lagu dari kumpulan popular di kala ini.

Misalnya, Dewi Yull mempersonakan penonton dengan menyanyikan lagu Dealova, manakala Grace mengajak penonton menari dengan lagu Sway yang dipopularkan oleh Micheal Buble dan lagu popularnya Bing, Begawan Solo dan Kapan Lagi.
Masing-masing tampil menyerlah dengan kemerduan suara yang dimiliki dengan menyampaikan empat buah lagu sebelum Kak Pah mengambil alih pentas.
Kemunculan Kak Pah kira-kira jam 10.30 malam, sememangnya dinantikan-nantikan lebih 700 tetamu. Beliau lantas membuka persembahan dengan lagu popularnya, Seri Dewi Malam. Walaupun sudah 43 tahun dalam dunia seni, Kak Pah mengaku masih gemuruh setiap kali memulakan persembahan.

"Saya sudah berjalan jauh, sudah jauh mengembara, namun perasaan gementar ketika menyampaikan lagu pertama dan kedua tetap ada. Walaupun sudah 43 tahun, saya masih merasakan perasaan yang sama," katanya.

Persembahan diteruskan menyanyikan kira-kira 19 lagu termasuk lagu medley dan duet bersama dua penyanyi jemputannya.
Antara lagu yang dinyanyikan ialah Sayangku, Putus Kasih, Kenangan Lalu, Terbang Helang, Smile dan Kau Pergi Tanpa Pesan dan Halimun Malam dan lagu medley yang menggabungkan lagu era 70-an iaitu Kenangan Manis Di Bulan September, Oh Di Mana Mustika Hati, Surat Dari Seberang dan Jangan Tinggalkan Daku.

Bukan sekadar menyanyikan lagu sendiri, Kak Pah juga turut mendendangkan lagu dari kawan baiknya, mendiang Broery Marantika seperti Biarlah Bulan Berbicara serta When You Tell Me That Love Me dari Diana Ross. Serta diselitkan dengan lagu Arab yang diterjemahkan, iaitu Malam Persandingan.

Ternyata penyanyi berbakat besar ini pandai menyuntik gelak tawa apabila Kak Pah turut menyampaikan beberapa jenaka sebagai selingan, secara tidak langsung memperlihatkan pengalamannya dalam berkomunikasi bersama penonton.

Sebelum tamat, tetamu dihiburkan dengan nyanyian gandingan dari mereka bertiga sebagai penghargaan kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi lagu Kau Laksana Bulan selain Jatuh Cinta dan Sepanjang Jalan Kenangan.

Terbukti keupayaan Kak Pah sebagai penghibur apabila tiada seorang peminat pun yang berganjak walaupun malam sudah larut, malah ramai yang bangun berdiri dan menari mengikut rentak lagunya.

Antara tetamu kenamaan yang menyaksikan persembahannya ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib yang hadir pada malam itu turut menanti sehingga ke penghujung acara.

Persembahan Makan Malam Amal Tiga Sahabat dianjurkan oleh Seri Dewi Production Sdn Bhd dan Lime Events Management berakhir kira-kira 1.30 pagi itu dengan Kak Pah menyanyikan lagu Bunga Tanjung sebagai memenuhi permintaan tetamu dan peminat yang hadir.

Tampak di riak wajahnya, walaupun penat dia tetap berpuas hati dengan penat lelah yang ditanggungnya selama empat bulan bagi menjayakan majlis amal ini.

"Selepas bekerja selama empat bulan ini, berbaloi rasanya penat itu. Secara jujurnya saya terlalu penat. Saya bekerja sendiri dan menguruskan semuanya sendiri bersama penolong saya, Puan Shamim. Walaupun banyak yang sudah saya lalui, saya masih teruskan dengan misi saya dan saya gembira dengan apa yang saya peroleh sekarang," katanya kepada media selepas selesai persembahan.

Setakat ini Kak Pah sudah mengadakan enam persembahan dan secara keseluruhan sebanyak RM82,000 sudah disumbangkan kepada enam sekolah tahfiz terpilih.

"Aktiviti seperti ini tidak dinafikan menelan belanja agak mahal. Saya membelanjakan RM190,000 untuk majlis makan malam amal ini. Banyak yang perlu dikira dari pemuzik, sewa studio, tambang artis jemputan dan pelbagai lagi. Apa pun saya percaya ada keuntungan di situ.

"Pada mulanya, saya memang merancang untuk menyanyikan 28 hingga 30 lagu tapi malam ini tidak sampai kerana tidak cukup masa. Mungkin cabutan bertuah tadi mencuri sedikit masa dan saya akan perbaiki lagi di masa akan datang. Saya pun tidak mahu habis terlalu lewat kerana kita ada tetamu, Datuk Shahrizat dan saya segan dengannya.

"Selain itu, saya sudah berjanji menghadiahkan peminat dengan majlis makan malam bersama saya di restoran kegemaran, malangnya kami tak sempat nak tunaikan. Perkara ini akan dibawa ke acara yang seterusnya. Acara yang seterusnya akan diadakan pada April depan dan sempena Hari Ibu pada Mei nanti," kata Kak Pah yang berhasrat untuk mengadakan majlis seperti ini Johor Bahru dan Melaka pula.

Dirinya sama sekali tidak menyangka akan mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan, yang mana dari 350 orang, dan dengan cetakan tiket sebanyak 400 saja, dia meraih dua kali ganda penonton pada malam tersebut. Malah ada peminat yang sanggup datang dari Jeddah, Perth, Singapura serta Sabah dan Sarawak.

Pada malam penuh bermakna itu, Kak Pah turut merakam detik nyanyiannya untuk dijualkan kepada stesen TV. Pada masa sama dirinya dapat menambah hasil untuk aktiviti amalnya itu.

Biduanita negara ini mempunyai harapan tinggi, bercita-cita mengumpul RM500,000 untuk disedekahkan dan dengan bantuan serta sokongan orang ramai, pasti itu bukan suatu jumlah yang mustahil.

Hasil jualan meja malam itu akan disalurkan kepada Madrasah Tahfiz Tahsin Al-Quran, Kampung Sri Langkas di Puchong dan Baitul Ehsan, Taman Maluri di Cheras, Kuala Lumpur.

Full content generated by Get Full RSS.