Adsense

Selasa, 15 November 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Persaingan sihat Lisa

Posted:

Persaingan sihat Lisa

Persaingan sihat Lisa

LISA SURIHANI berharap tuah menjadi miliknya menerusi filem Sekali Lagi.


PADA Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM 21) menyaksikan empunya nama Lisa Surihani Mohamed pertama kalinya menjulang trofi Pelakon Wanita Harapan menerusi lakonannya sebagai Maya Borhan dalam filem I'm Not Single bersama aktor Pierre Andre.

Meniti seri pertambahan usia dalam dunia lakonan, aktres kelahiran Kuala Lumpur itu merampas trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM 23 daripada tangan Liyana Jasmay, hasil pesona watak Ayu Sidaratul Dursina dalam filem adaptasi novel Lagenda Budak Setan.

Kekal mengungguli status itu, pada tahun ini pula Lisa, 25, menerusi lakonannya sebagai Sheila dalam filem Sekali Lagi tercalon dalam kategori yang sama (Pelakon Wanita Terbaik) bersama empat lagi nama besar - Maya Karin (Cun), Eja (Janin), Tiz Zaqyah (Nur Kasih The Movie) dan Liyana Jasmay (Senjakala).

Cabaran besar dilihat apabila Lisa bakal berentap dengan juara terbaharu Pelakon Wanita Terbaik Filem Anugerah Skrin 2011, Siti Shahriza atau Eja untuk mengekalkan kemenangan tahun lalu.

Juga akui Lisa, Eja adalah pesaingnya paling kuat untuk menggalas trofi yang sama buat kali kedua tahun ini.

"Sebenarnya semua calon yang tersenarai antara lima teratas merupakan yang terbaik, tapi jujur saya katakan Eja adalah pencabar paling kuat.

"Saya tidak tekankan sangat tentang siapa yang mencabar atau tidak sebab rezeki di tangan Allah, kalau kemenangan bukan di tangan saya kali ini apapun saya tetap pasrah," ucap Lisa yang ditemui ketika majlis pengumuman lima calon terbaik setiap kategori FFM 24 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Panjat syukur Lisa atas pencalonannya kali ini, tegasnya sandaran harapan atau kemilau trofi diletakkan atas nama rezeki.


LISA dan Eja berentap untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik.


"Saya sudah tetapkan fikiran, Alhamdulillah ini rezeki daripada Allah, tentang siapa menang serah pada-Nya, saya ucapkan tahniah kepada semua pemenang," tekadnya yang melihat setiap pencalonannya membuka ruang dan peluang kariernya.

Lagenda Budak Setan atau Sekali Lagi

Antara kedua-dua buah filem yang dipertandingkan sama ada Lagenda Budak Setan (FFM 23) atau Sekali Lagi (FFM 24), bagaimana Lisa melihat dari skop kualiti lakonan yakni dalam konteks peluang yang lebih cerah untuk sukses?

Jawab Lisa:"Saya tidak boleh menilai filem Sekali Lagi buat masa sekarang, semua kriteria kualiti atau peluang cerah diserahkan kepada juri dan penonton untuk membuat penilaian."

Menerusi filem Lagenda Budak Setan, Lisa yang mendukung watak Ayu merupakan seorang yang gadis berdepan persimpangan cinta atau keluarga. Dalam filem Sekali Lagi, watak Sheila menuntutnya bermain emosi dan jiwa kematangan setelah melalui fasa sukar kehidupan.

"Kedua-dua filem ini masing-masing ada tahap kesukaran tersendiri dari segi karakter dan emosi watak yang saya bawakan.

"Bagi saya setiap tawaran yang saya terima ibarat membuka buku baharu, tidak menganggap buku lama itu buruk dan tidak memberi sebarang perbandingan antara yang lama atau baharu," jelasnya menanam falsafah.

Malah tambahnya yang baru selesai menjalani penggambaran filem Istanbul Aku Datang di Turki, kematangan dan pengetahuan diperoleh bukan saja ketika di set penggambaran bahkan juga di luar.

"Ia umpama satu sistem organik menimba ilmu di dalam dan luar set, maka sebab itu juga saya tidak boleh memberikan perbandingan antara kedua-dua filem lakonan saya yang tercalon untuk FFM tahun ini dan tahun lepas," ujarnya berkias.

Sakit seminggu


PENGARAH Urusan Amee Philips, Amee Philips (kiri) bersama Lisa Surihani dan Eja memegang barang kemas yang bakal dimenangi oleh Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada FFM 24 nanti.


Usai menjalani penggambaran di Turki baru-baru ini, Lisa dikhabarkan jatuh sakit sehingga segala aktivitinya selama seminggu dihentikan seketika.

Tegas Lisa, sakit yang dialaminya bukan disebabkan oleh penat bekerja di set penggambaran Istanbul Aku Datang tapi oleh kerana faktor semasa persekitaran.

"Doktor telah mengesahkan ada jangkitan konjunktivitis disebabkan keadaan cuaca sekarang di Malaysia yang tidak menentu dan saya dinasihatkan untuk berehat seminggu," khabarnya yang dirawat di sebuah hospital pakar di ibu kota selepas 10 hari pulang ke Malaysia.

Selama tempoh bekerja 20 hari di Turki tambah Lisa, pelbagai pengalaman manis berjaya dikutipnya termasuk beramah mesra dengan tenaga industri lakon layar di sana.

Selain Lisa, filem itu juga membariskan pelakon berbakat Beto Kusyairy, Aizat Amdan dan Tomok.

"Senario di sana sangat berlainan dengan kita, banyak yang dapat saya pelajari sepanjang berada di sana dan kalau nak tahu banyak hasil kerja mereka di sana lebih bercirikan kesenian," tutur Lisa menyimpul bicara.

Full content generated by Get Full RSS.

Menarik Media Prima 2012

Posted:

Menarik Media Prima 2012

Menarik Media Prima 2012

Oleh HARYATI KARIM


GREY'S ANATOMY masih setia di ntv7.


RANGKAIAN stesen televisyen Media Prima telah mengumumkan pelbagai program menarik yang bakal ditayangkan di semua stesen televisyen miliknya pada tahun 2012.

Dalam sebuah majlis pratonton program 2012 yang diadakan baru-baru ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, rangkaian stesen televisyen milik Media Prima Berhad iaitu TV3, TV9, ntv7 dan juga 8TV mengumumkan secara keseluruhannya, kini mereka memiliki jumlah penonton televisyen tertinggi di Malaysia dengan jumlah penonton 48 peratus pada suku tahun pertama 2011.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, dengan idea, kandungan dan kempen promosi yang tepat menerusi pelbagai medium media yang bernaung di bawah Media Prima setiap program yang ditayangkan akan memberi impak yang besar kepada penonton.

"Untuk tahun hadapan, kami telah memperuntukkan hampir RM250 juta bagi program berkualiti dan penjenamaan bagi mengekalkan penonton teras kami, di samping melebarkan sasaran penonton generasi baharu yang lebih luas," katanya.

Stesen TV3 mendahului carta dengan memiliki jutaan penonton setia terutamanya dalam pelbagai slot drama di TV3. Antara drama terbaharu yang bakal ditayangkan adalah Atas Nama Cinta, Malaya, Bukan Bidadari, Amukan Pocong dan Mahabbah.

Program-program anugerah tahunan yang mendapat rating tertinggi seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Skrin masih terus menyerikan senarai program di TV3.

Selain itu, TV3 juga membawakan program drama fantasi dari England dan Filipina yang dinantikan-nantikan penonton untuk mengikuti sambungan sekuel drama Merlin dan juga Endless Love.

TV3 juga masih mengekalkan program terbitan dalaman yang mendapat sambutan seperti Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini, 999, 360, Bersamamu, Nona dan Majalah 3 bersama dua program baharu, Misi-K dan Unrevealed.


KETUA Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.


Program kanak-kanak juga mendapat perhatian bukan sahaja di TV3, malah di semua stesen televisyen Media Prima dan tahun hadapan kesemua program kanak-kanak disatukan di bawah nama Bananana.

"Mengambil kejayaan Karnival Jom Heboh yang diadakan setiap tahun, program kanak-kanak di bawah stesen Media Prima akan disatukan di bawah satu jenama iaitu Bananana.

"Jadi, kami akan mengadakan promosi dan karnival khas untuk kanak-kanak menggunakan jenama ini. Selain dapat mendekatkan diri dengan penonton cilik, kami juga akan mengadakan pelbagai program luar di bawah jenama ini," tuturnya.

Selepas lima tahun bersiaran, TV9 kini boleh berbangga apabila muncul sebagai stesen kedua yang digemari penonton.

Tahun hadapan TV9 bakal muncul dengan pelbagai program menarik terutamanya buat remaja seperti Teenwolf, Nine Lives Of Chloe King dan sebuah program muzik yang memperkenalkan muzik-muzik tempatan iaitu Soundchek.

TV9 turut menampilkan beberapa buah drama yang dijangka hits tahun depan seperti Cinta Jangan Pergi, Friday, I'm in Love serta sebuah program berkisar tentang bola yang diberi judul Gila Bola sempena dengan liga Eropah, EURO 2012.

8TV yang popular di kalangan anak muda dan penonton urban bakal menampil program-program terbaik dari Hollywood seperti Criminal Minds, Desperate Housewives, NCIS, The Vampire Diaries, Gossip Girl, Pretty Little Liars, The Secret Circle, Revenge, Switched at Birth, Apartment 23, Jane by Design, The X Factor dan American Idol.

Program-program terbitan dalaman 8TV yang mendapat sambutan penonton masih dikekalkan seperti Showdown 2012, Shout! Awards dan Ultimate Power Star 2 di samping program baharu, Projek Pop dan Hip Hoppin' Asia.

ntv7 pula kekal sebagai stesen yang popular di kalangan penonton Cina. Menampilkan pelbagai program popular, antaranya Glee, Bones, Grey's Anatomy, Drop Dead Diva The Oprah Winfrey Show, The Martha Stewart Show dan The Rachael Ray Show pada tahun hadapan, ntv7 yakin mereka mampu bersaing dengan stesen televisyen lain serta menambahkan jumlah penonton.

Full content generated by Get Full RSS.

Bila Surya jadi sami Bodhidarma

Posted:

Bila Surya jadi sami Bodhidarma

Bila Surya jadi sami Bodhidarma

Oleh NIZHA PERIASWAMY


FILEM 7am Arivu menggabungkan jalan cerita sebenar dan diolah dengan adegan aksi dan fiksyen.


KEMAMPUAN bakat lakonan pelakon kacak Tollywood, Surya pastinya tidak boleh dipersoal. Sejak penglibatannya dalam arena hiburan 13 tahun lalu, pelakon yang juga anak kepada pelakon veteran, Sivakumar ini sentiasa memberi komitmen terbaik dalam semua naskhah lakonannya.

Baru-baru ini, Surya didatangkan khas dari Chennai, India untuk bersama-sama menonton dan mempromosi filem terkininya, 7am Arivu. Filem yang mula ditayangkan pada hari Deepavali yang lalu, sudahpun mengatasi jangkaan dari segi kutipan dan tayangan.

Menariknya, filem ini turut mendapat sambutan hangat di kalangan penonton Tamil apabila ia mengangkat martabat dan keagungan seorang sami dari selatan India dan menetap di China.

"Kisah ini kisah benar tentang sami Buddha bernama Bodhidarma. Apa yang menarik tentang Bodhidarma selama ini tidak disedari ialah beliau adalah seorang sami berbangsa Tamil daripada Kanchi, pusat empayar Pallava pada tahun 440SM," demikian kata Surya semasa ditemui di satu persidangan akhbar yang diadakan dengan kerjasama saluran televisyen berbayar Astro.

"Kalau bukan kerana filem ini, saya sendiri tidak mungkin mengenali keagungan Bodhidarma sama ada dari segi kemampuan mengubati seseorang mahupun bakat seni pertahankan diri yang menjadi asas kepada sami Shaolin di China sekarang."

Filem yang berjaya mengekalkan tangga teratas filem keluaran Deepavali dengan ditayangkan di hampir 60 pawagam di Malaysia dan mencecah RM2.72 juta pada hari pembukaan pertama di Chennai, India ini terus menakluki pawagam tempatan walau sudah lebih dua minggu di tayang.

"Saya terharu dan gembira dengan respons yang diterima di Malaysia. Sudah pasti, Malaysia adalah antara negara selain India yang terus memberi sambutan kepada semua filem saya," ujarnya yang baru pertama kali menyertai sidang akhbar di Malaysia.

Walaupun pernah melawat Malaysia beberapa kali, kebanyakannya untuk tujuan penggambaran, Surya akui dia teruja untuk bertemu dengan para pemberita tempatan.

Memberikan sedikit pemahaman tentang filem tersebut, Surya berkata tirai pembukaan filem tersebut bermula dengan plot 150 tahun yang lalu, mengisahkan Bodhidarma, (lakonan Surya sendiri) anak ketiga Raja Empayar Pallava yang menerajui seni pertahankan diri dan menghasilkan ubat-ubatan untuk merawat orang ramai.

Beliau dihantar ke China oleh gurunya untuk menghentikan sejenis wabak yang ketika itu menular di China. Selepas beberapa keajaiban, Bodhidarma diterima dan dihormati masyarakat di China.

Dalam filem ini turut didedahkan bagaimana Bodhidarma mengajar dan menyembuhkan penyakit, memperkenal kemahiran hipnosis dan latihan fizikal bagi sami-sami Shaolin.

Bagaimanapun, apabila Bodhidarma mengambil keputusan untuk kembali ke India, penduduk yang enggan membenarkan pemergian bertindak meracuni beliau dan disemadikan di tempat mereka dengan kepercayaan ia akan menjadi tempat suci bebas penyakit.

Bodhidarma menerima hakikat tersebut dan sehingga kini beliau masih popular sebagai 'Damo' di kalangan penganut Buddha dan sami-sami di China.

Adegan tersebut tamat di tempat semadi dan plot seterusnya kembali kepada adegan semasa yang menggambarkan watak Surya sebagai seorang pemain sarkas, pasangannya dalam filem ini, anak kepada pelakon hebat, Kamal Hassan, Shruti Hassan selaku Shuba Srinivasan dan pelakon aksi lagak ngeri Hollywood, Johnny Tri Nguyen selaku Dong Lee memainkan watak antagonis.

"Hubung kait yang dibawa dalam filem ini, antara kisah sami Bodhidarma beratus tahun dahulu dan watak pemain sarkas (Surya) amat menarik. Malah, lakonan Shruti Hassan juga telah menyuntik kesegaran walaupun ia merupakan filem pertama beliau," jelasnya.

Dalam filem ini, antagonis Dong Lee ditugaskan menyerang India dengan menyebarkan sejenis virus yang mana dikenal pasti sebagai jenis penyakit yang sama pernah dirawat Bodhidarma pada zaman beliau.

Shuba Srinivasan (Shruthi Hassan) yang merupakan seorang pakar genetik dan biologis mendapati pewaris yang mempunyai DNA yang serupa dengan Bodhidarma mampu melumpuhkan penyebaran virus ini sekali gus menyerang balik si pembawa virus ini, Dong Lee.

Dong Lee dalam filem ini digambarkan sebagai seorang yang bukan sahaja berkemampuan membuat apa sahaja tetapi turut berkemahiran tinggi dalam seni pertahankan diri, 'Nokku Varmam' atau hipnotisme yang mana merupakan salah satu seni yang diperkenal oleh Bodhidarma sendiri kepada pengikutnya di China beratus tahun dahulu.

Bagi Surya, peluang berlakon dengan Johnny, yang juga pelakon lagak ngeri bagi beberapa filem Hollywood seperti Spiderman 2, X-Men First Class, Serenity dan sebagainya satu kelainan.

"Dia berjaya memaparkan kepelbagaian dalam filem ini. Di sebalik watak tradisi pelakon Tamil, penampilan Johnny bukan sahaja memberikan imej antarabangsa tetapi turut membawa filem ini kepada satu tahap yang lebih baik," kata Surya merendah diri.

Dalam pada itu, Surya mengagumi kemampuan Johnny dalam adegan klimaks yang membabitkan pelbagai aksi lagak ngeri. Ketangkasan dan kepantasan gerak tangan dan kaki serta kemampuan Johnny dalam mendalami karakter Dong Lee, antara yang menarik.

Full content generated by Get Full RSS.