Adsense

Khamis, 6 Oktober 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Saya tahu batas berpakaian’

Posted: 05 Oct 2011 06:00 AM PDT

PENAMPILAN pelakon yang popular menerusi drama bersiri Kisah Kaisara, Wan Sharmila Wan Mohamed atau Wan Sharmila, 29, sering menarik perhatian ramai. Lebih-lebih lagi selepas memegang status janda sejak dua tahun lalu.

Berperwatakan lincah dan sentiasa ceria bagaikan cukup sinonim dengan imej Wan.
Penampilan menggoda di majlis hiburan tidak kurang juga menjadi bualan ramai.


Dia muncul seksi menampakkan bahagian paha pada majlis sidang media drama tarian, Tari Tirana.

Pemakaiannya di Majlis Anugerah Skrin dua tahun lalu diikuti Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 turut mengundang bualan ramai.

Terbaru, Wan dikatakan tampil mengenakan pakaian menjolok mata pada Festival Antarabangsa Muzik, Seni dan Gaya 2011 (MASiF 2011) di ibu negara pada minggu lalu.

Adakah Wan gemar mengenakan pakaian menarik perhatian ramai setiap kali terbabit atau dijemput menjayakan pelbagai aktiviti seni?

"Setiap kali menghadiri majlis atau program seni saya sentiasa memastikan pakaian yang dipakai sesuai dengan konsep selain selesa dan sedap mata memandang.

"Saya juga tahu batas dalam menggayakan pakaian. Bukan pakai tangkap muat saja.

"Berbeza bagi program pertunjukan fesyen, kadang kala saya diberi kebebasan untuk memilih pakaian yang hendak dipakai pada pertunjukan berdasarkan perbincangan dengan pereka fesyen. Jika saya selesa dan bersetuju mengenai jenis pakaian itu, baru saya akan memakainya," katanya.

Pada masa sama, penampilan di layar perak nampaknya semakin membuahkan hasil.
Malah, dia berasa bangga dan bersyukur melihat sokongan penonton pada filem, Raya Tak Jadi arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen yang mendapat sambutan memberangsangkan apabila mencatatkan kutipan kasar RM3.1 juta selepas empat hari ditayangkan.

Melakonkan watak Shila dalam percubaan pertamanya di layar perak itu membuatkan dirinya mula berasa seronok. Walaupun membawakan watak pembantu dan tidak banyak cabaran yang dihadapi menerusi

filem terbitan Primeworks Studio yang turut dibintangi pelakon dan pelawak popular, Saiful Apek serta Johan Raja Lawak namun ia satu pengalaman yang cukup bermakna buatnya.

Pengalaman terbabit dalam penggambaran filem berkenaan cukup berbeza daripada drama.

Memandangkan perlu mempunyai persediaan yang cukup termasuk membuat latihan sebelum memulakan setiap babak, penggambaran mengambil jangka masa yang agak panjang.

"Cabaran besar yang saya hadapi apabila terpaksa berdepan dengan dua pelakon yang asyik mahu buat orang ketawa dengan aksi dan lawak jenaka mereka.

"Ini filem pertama saya. Boleh dikatakan ia juga sebagai pengukur kemampuan untuk pergi lebih jauh di layar perak. "Tidak dinafikan saya banyak membuat persediaan untuk terbabit dalam filem ini.

"Bukan hanya mengurangkan tawaran berlakon drama, malah memberikan tumpuan sepenuhnya dalam setiap babak lakonan.

"Alhamdulillah, selepas Raya Tak Jadi, saya diberi peluang terbabit dalam filem seram, Syaitan Nirrojim juga di bawah terbitan Primeworks Studio arahan Faizul.

"Filem berkenaan turut menampilkan Fizz Fairuz dan Nabila Huda.

"Berbeza dengan watak Shila dalam filem kedua itu saya dirasuk oleh kuasa jahat. Peluang membintangi filem memang sudah lama saya nantikan.

"Jadi setiap tawaran yang hadir jika sesuai dengan watak dan kena pada waktunya sudah pasti saya tidak akan tolak," katanya.

Filem berkenaan mengisahkan Kamil dan Soraya yang terjerat dengan amalan ilmu hitam akibat kesempitan hidup. Bagi memiliki kemewahan, mereka sanggup bersekongkol dengan syaitan dengan melakukan perkara di luar batasan agama dan norma hidup.

Bercerita lanjut mengenai sisi peribadi pula, Wan memaklumkan dia selesa dengan kehidupannya kini.

Dia juga mempunyai hubungan yang baik dengan bekas suami.

Bagaimanapun, buat masa ini dia belum memikirkan untuk berkahwin lagi walaupun ada yang menunjukkan minat kepadanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Wan Sharmila Wan Mohamed
NAMA KOMERSIAL: Wan Sharmila
TARIKH LAHIR: 12 Oktober 1981
UMUR: 29 tahun
ASAL: Johor Bahru, Johor
KERJAYA: Pelakon dan pengacara
STATUS: Janda
DRAMA BERSIRI: Riang Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara 1 & 2, Tipah Vavavoom, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni, Rebab Tak Bertali, Dendam Maya
FILEM: Raya Tak Jadi, Syaitan Nirrojim

Saiful Apek, Johan bikin untung

Posted: 05 Oct 2011 05:54 AM PDT

JIKA percaturan untuk Ratu The Movie tidak menjadi, Raya Tak Jadi! yang menampilkan Saiful Apek dan Johan Raja Lawak nyata penawar terbaik dan membawa untung kepada produser dan pengarahnya.

Selepas dua minggu tayangan, filem arahan Prof A Razak Mohaideen itu meraih kutipan RM4.3 juta.

Raya Tak Jadi! adalah projek filem kerjasama dua syarikat produksi filem, Grand Brilliance Sdn Bhd dan Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd.

Ia juga filem komedi ke-26 daripada keseluruhan 34 filem arahan A Razak.


Menurut A Razak, Raya Tak Jadi! dihasilkannya setahun lalu dengan harapan filem itu dapat ditayangkan pada 1 Syawal lalu.


Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila tarikh tayangan hanya diperoleh pada minggu kedua Syawal iaitu 15 September lalu.

"Saya tetap bersyukur dengan jumlah kutipan Raya Tak Jadi! walaupun sedikit kecewa terhadap tarikh tayangan. Ini kerana filem itu karya yang sangat bertemakan Aidilfitri dan sudah pun saya siapkan lebih awal lagi.

"Tapi apa boleh saya buat kerana tarikh tayangan filem di negara kita adalah di bawah peraturan Wajib Tayang. Justeru, saya kena ikut syarat dan akur dengan keputusan mereka (Wajib Tayang).

"Apapun saya berpuas hati gandingan menjadi Saiful Apek dan Johan. Kedua-dua mereka ada gaya lakonan tersendiri, tetapi saling menyokong karakter masing-masing. Sememangnya, filem ini saya garap bersesuaian untuk tontonan keluarga dan semua lapisan umur," katanya kepada Harian Metro.

A Razak berkata, Raya Tak Jadi! juga adalah filem pertamanya yang ditayangkan di 70 pawagam di seluruh negara. Secara logiknya, andai filem berkenaan dapat ditayangkan pada Syawal lalu, dia yakin ia akan mampu mencatat jumlah kutipan lebih tinggi lagi.

Namun seperti yang dinyatakan dia bersyukur kerana filem berkenaan sekurang-kurangnya masih dapat ditayangkan pada bulan raya lalu.

Bercakap mengenai karya terbarunya, A Razak, berkata beliau akan muncul dengan satu lagi filem komedi, Bujang Terlajak Belum Terlanjur juga lakonan Saiful Apek, Johan, ditambah dengan Nabil Raja Lawak.

Filem itu turut mengangkat aktres jelita, Nur Fazura sebagai heroin.

Katanya, mengikut jadual, ia akan menemui penonton pada 19 Januari 2012 iaitu sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Mengenai jalan cerita filem itu, A Razak berkata, ia mengisahkan tiga pemuda yang asyik gagal dalam percintaan hingga menjadi bujang terlajak.

Mereka terlalu ingin berkahwin dan akhirnya sanggup menyamar sebagai orang kelainan upaya (OKU) demi memikat hati seorang gadis lakonan Nur Fazura.

"Saiful Apek sanggup menyamar menjadi buta, Nabil pekak dan Johan pula bisu. Semuanya demi memikat gadis cantik itu. Justeru, pelbagai aksi lucu yang ditonjolkan dan saya yakin penonton akan pecah perut melihat aksi mereka.

"Seperti Raya Tak Jadi! saya harapkan Bujang Terlajak Belum Terlanjur akan berjaya memikat hati penonton apabila ia ditayangkan di pawagam kelak.

"Seperti biasa, filem saya sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan semua peringkat usia," ujarnya.