Adsense

Ahad, 28 Ogos 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Depan Mata: Sultan puji Hasnah

Posted: 07 Aug 2011 07:48 AM PDT

Biar ku bersedih
biar aku merintih
setelah gagal berkasih
lari bersama pedih

ITU antara bait lagu Bersedih yang cukup sinonim dengan penyanyi 60-an, Hasnah Haron. Bertemu dengannya pada 24 Mei lalu di Restoran Puteri, Sungai Penchala, nyata itulah pertemuan pertama dan terakhir.

Dalam usia 64, penyanyi kelahiran Kampung Melayu, Singapura pada 9 November 1946 ini meninggal dunia pada 1 Ogos lalu, jam 8 pagi selepas lima hari dimasukkan ke hospital, Johor Bahru kerana barah pangkal rahim yang dihidapinya lebih dua tahun lalu.

Ketika itu juga, umat Islam seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Sehari sebelum itu, kebetulan saya menghubungi pemilik Restoran Puteri, Rubiah Suparman dan dimaklumkan Hasnah yang juga kawan baiknya sejak remaja dalam keadaan nazak. Berita itu baru saja disampaikan anak perempuannya, Haslinda Mohd Eunos (Linda).


Sememangnya itulah pertama kali bertemu dengannya tetapi orangnya ramah begitu juga Linda yang sudi bercerita keadaan ibunya. Linda membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan cara Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak yang diusahakan pelakon Ashraf Muslim.


Badannya kurus kerana kurang selera makan dan pergerakan juga terbatas dan cepat penat tetapi apabila diminta bercerita mengenai zaman popularitinya sejak menghasilkan album pertama pada 1969, wajahnya nampak ceria.

Malah apabila diminta menyanyikan lagu Bersedih, beliau tidak keberatan begitu juga apabila ditanya lagu popular lainnya, terus menyanyikan lagu Sabar Menanti dan Siti Zubaidah. Suaranya juga tetap merdu.

Linda mengatakan ibunya sering bermuram dan enggan keluar rumah seolah-olah tiada semangat. Bagaimanapun apabila dibawa ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan-rakan seangkatan, Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamad, Datuk Jeffrydin dan Datuk Yusni Hamid, wajahnya nampak riang. Mereka diundang Kak Rubiah ke restorannya untuk bertemu.

Linda sempat memohon kalau ada rakan-rakan atau peminat ibunya ingin berjumpa, boleh berkunjung ke rumah mereka. Mungkin cara itu mampu membuatkan ibunya lebih bersemangat untuk terus hidup sekali gus melawan penyakit yang belum ada penawarnya. Malah, dia akan membawa ibunya turun ke Kuala Lumpur lagi jika keadaan kesihatannya mengizinkan.

Kata Linda, ibunya juga tidak suka menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi lagi kerana membuatkan badannya tidak selesa dan menyambut baik saranannya untuk mencuba rawatan Islam.

Selepas bertemu Ashraf, mereka dimaklumkan ada dua benda dalam badan Hasnah. Pertama kanser pangkal rahim tahap tiga dan merebak ke paru-paru dan kedua ada sihir dengan kehadiran 30 jin. Ashraf membekalkannya dengan Surah al-Mukminin dan Surah Hud untuk dibaca setiap hari lepas solat.

Berbual dengan Linda mengenai dirinya sebagai anak penyanyi dan kini memikul tanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-beradik lain, katanya, ketika kecil dia dan adiknya Mohd Lufthi tidak pernah tahu ibu mereka bekerja sebagai penyanyi. Mereka juga tidak pernah melihat sendiri ibu mereka menyanyi.

Pernah satu ketika ibu mereka terpaksa membawa anak-anak bekerja, mereka dikunci dalam satu bilik dan tidak dibenarkan keluar sehingga ibunya selesai bekerja, semata-mata tidak mahu anaknya tahu pekerjaannya. Hasnah juga tidak mahu anak-anak mengikut jejaknya menjadi orang seni.

Apabila dewasa, bagi Linda tiada apa yang harus dibanggakan menjadi anak penyanyi. Bagaimanapun, perasaan itu mula berubah apabila bertemu Sultan Johor dan memuji ibunya sebagai wanita yang baik dan menjaga pergaulannya walaupun berada dalam dunia glamor.

Terasa bangga di hatinya apabila ibunya diangkat begitu tinggi dan kini sebagai anak, Linda bertanggungjawab menjaga ibunya bersama adik-adiknya. Hasnah mempunyai dua anak hasil perkahwinan pertama dengan Mohd Eunos dan tiga anak bersama suami kedua, Syed Murshed.

Sejak sakit dan tidak lagi menyanyi, ibunya banyak menghabiskan masa mengikuti kelas agama di masjid berhampiran rumahnya. Dengan peribadi yang baik dan sentiasa menjaga maruah diri, Hasnah dipanggil Yang Maha Esa pada 1 Ramadan lalu.

Bak kata Linda, ia satu anugerah buat dirinya apabila ibunya pergi dalam bulan Ramadan yang mulia kerana ia menjadi impian semua umat Islam. Ketika hayatnya, Hasnah Haron banyak dilemparkan tohmahan dan pandangan sinis yang dilalui tetapi, semua itu ditelannya dengan sabar walaupun hatinya sedih dan merintih.

Walaupun kehilangan ibu yang melahirkannya dia dan adik-beradik menyambut Aidilfitri tidak lama tanpa ibu, Linda reda dengan pemergian ibunya.

Kini genap seminggu arwah pergi dan bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru tetapi suaranya yang mendayu pasti terus berkumandang.

Bait akhir lagu Bersedih, 'Usah lagi dikenang, pada aku yang malang, nanti engkau kan sedu, di sisi jasadku kaku' pasti membuatkan kita mendengar bergenang air mata. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.