Adsense

Rabu, 6 Julai 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Def Gab C Masih bernafas

Posted: 05 Jul 2011 03:58 PM PDT

Hip

Segar, bertenaga bersama Neolithic

CINTA Sakti, Ibu Kota Cinta dan Marilah Maria adalah antara lagu yang mengangkat nama Def Gab C dalam persada muzik kita, terutama untuk genre pop rock.

Malahan lagu Cinta Sakti itu sendiri seolah-olah memang memberikan sakti kepada kumpulan ini dengan sifat lagu itu yang catchy dengan rentak rock n roll menjadikan ia cepat diterima oleh pendengar. Vokal Asheed tatkala menyanyikan lagu Cinta Sakti ciptaan Datuk M Nasir dan lirik oleh Loloq memang cukup tersendiri dan agak sukar untuk ditiru oleh orang lain.

Nama Def Gab C itu sendiri sudah cukup unik dan seharusnya boleh bertahan lama sekiranya mereka terus berkarya dengan menghasilkan lagu atau single terbaru setiap tahun, kalaupun bukan sebuah album penuh.

Namun, agak sayang sekali, riwayat kumpulan ini bagaikan tenggelam timbul. Ada masanya seolah-olah sudah mati selepas gemilang dengan lagu Marilah Maria, Ibu Kota Cinta selain meledak dengan Cinta Sakti. Dan, kini mereka bagaikan bernyawa semula menerusi kemunculan semula album berjudul Neolithic.

Hakikatnya, anggota kumpulan ini menegaskan sepi tanpa berita dalam arena rock bukan bererti perjuangan sebagai pemuzik sudah terhenti dengan begitu mudah, walaupun pelbagai dugaan menimpa.
Minat yang mendalam dalam dunia seni muzik ini, memangkin semangat supaya terus melangkah ke hadapan, pada masa yang sama memberi imbuhan kepada industri hiburan tempatan.

Selepas dua pembikinan album mereka bersama syarikat rakaman Life Records tidak berhasil, Def Gab C tidak mahu memandang ke belakang dan bangkit mencari jalan lain.

Hampir lima tahun menyepi tanpa sebarang pembaharuan, kini mereka mahu mahu tampil dengan imej lebih segar dan bertenaga menerusi Neolithic.

Ditemui ketika berkunjung ke Studio Hip baru-baru ini, masing-masing kelihatan bersemangat mempromosikan album mereka, setelah sekian lamanya tidak menjalankan aktiviti promosi dengan muncul di dada akhbar hiburan.

Asheed atau Mohd Ashid Ahmad, 38 berkata mendiamkan diri bukan bermakna kumpulan ini sudah terkubur, malah mereka giat dengan pembikinan lagu malar segar khas buat peminat dunia hiburan tempatan.

"Kami sedar bahawa makin lama, kami makin tenggelam tanpa lagu dan album baru. Diakui pelbagai masalah yang dihadapi selama lima tahun ini, di mana tiga album yang diusahakan, hanya satu album saja yang dipasarkan.

"Mungkin nasib baik kurang menyebelahi kami, di mana dua albumnya yang diusahakan bersama syarikat rakaman yang lalu tidak dipasarkan. Tapi kami tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan meneruskan perjuangan muzik kami dengan mencari jalan yang lain demi peminat yang disayangi.

"Kini dengan usaha sama dengan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia dan Music Valley, kami kembali dengan album baru yang memuatkan enam lagu baru dan empat lagu lama yang pernah hits suatu ketika dulu. Empat lagu lama tersebut iaitu Cinta Sakti, Marilah Maria, Ibu Kota Cinta dan Merah direkod balik dengan susunan muzik yang agak berbeza tapi tidak begitu ketara," katanya.

Selain Asheed, kumpulan yang sudah ditubuhkan sejak 1996 ini dianggotai oleh Zahardi Zulbairi (Eddie), 38, Nasyanto Nasib (Ahtonk), 33, dan ahli baru Azhar Abd Ghani (Cha'a) turut hadir sama ke sesi temu bual ini.

Cha'a suntik semangat baru

Penambahan Cha'a, secara tidak langsung menyuntik semangat serta memberi nafas baru dalam susunan muzik mereka. Cerita Eddie, pemain gitar bass, akui barisan lagu baru mereka kedengaran agak berlainan dan lebih segar berbanding sebelum ini dengan kemasukan Cha'a yang hadir dengan pembawaan yang tersendiri, pada masa yang sama memikul tugas sebagai pemain gitar.

"Seorang demi seorang, selepas Lee Space meninggalkan kumpulan ini pada 2003, disusuli dengan Jemboo yang menyertai kumpulan Maharaja untuk meneruskan kariernya, membuatkan kami mengambil langkah untuk mencari anggota baru.

"Dari situ, Cha'a, bekas anggota kumpulan Flop Poppy, dicalonkan antara pengganti yang bersesuaian. Selepas kami menyatakan niat kami untuk mengambilnya, kami bernasib baik kerana dia bersetuju dan sejak awal tahun ini, Cha'a secara rasminya menganggotai Def Gab C.

"Dengan kehadiran Cha'a, kumpulan ini diinspirasikan oleh gaya yang lebih segar, terutamanya dari segi idea, bunyi dan susunan muzik. Def Gab C tidak mungkin akan terkubur begitu saja, dan kami akan terus memperjuangkan muzik kami biarpun ahli silih berganti," ujarnya pula.

Diakui oleh Cha'a juga yang ingin tampil kelainan, penyertaannya dalam kumpulan Def Gab C, memberikan semangat yang baru buatnya, kerana komitmennya lebih dihargai dengan pendedahan yang lebih luas dalam menghasilkan lagu sebagai satu kumpulan. Selain itu, dengan konsep lebih agresif yang dibawa oleh Def Gab C, Cha'a merasakan ia lebih dekat dengan dirinya berbanding dengan kumpulannya sebelum ini yang membawakan konsep pop rock.

Sebalik itu, dalam usaha mempromosikan album terbaru mereka ini, Def Gab C akan turun padang menjelajah ke sekitar negara khusus bagi mendekati peminat tempatan mereka yang sekian lama menanti kemunculan lagu baru mereka ini, di samping mencari peminat baru.

Memberi keutamaan kepada industri hiburan tanah air sendiri, Def Gab C akui mereka tidak terkejar-kejar untuk ke luar negara, kerana bagi mereka dikenali di negara sendiri sudah cukup berharga.

Menyingkap kembali, sepanjang hampir 15 tahun pembabitan mereka dalam dunia hiburan tempatan, sudah lapan buah album yang dihasilkan, iaitu Cita Rasa pada 1997, Skala (1999), Remifasolatido (2001), Merah (2002), Raw (2004), RWD0106 (2006) dan yang terbaru ialah Neolitik. Terdapat enam lagu baru yang diselitkan di dalam album Neolitik ini iaitu, Kurniaan, Cinta Di Mana, Walaupun, Rinai, Suara Hati dan Tunggu Aku, di samping empat lagu lamanya yang hits hingga kini.

Melihat kepada pencapaian kumpulan ini pula, Def Gab C pernah meraih Anugerah Kumpulan Rock Terbaik dan Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001, serta Anugerah Ceria Media (2001).

INFO: Album Neolithic
Memuatkan 10 lagu - enam lagu baru, empat lagu lama
1. Kurnia (Lagu & Lirik: Asheed)
2. Cinta Di mana (Lagu & Lirik: Mala)
3. Walaupun (Lagu & Lirik: Cha'a)
4. Rinai (Lagu: Harun Ahmad, Lirik: Master G)
5. Merah (Lagu: Asheed, Jemboo, Edie/ Lirik: Asheed)
6. Cinta Sakti (Lagu: M Nasir/Lirik: Loloq)
7. Suara Hati (Lagu: Eddie, Asheed, Cha'a, Atong/Lirik: Asheed)
8. Marilah Maria (Lagu & Lirik: Master G)
9. Ibu Kota Cinta (Lagu: Benny Ardjuna/Lirik: Bob)
10. Tunggu Aku (Lagu: Eddie/Lirik: Asheed)


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Orang muda jadi pilihan

Posted: 05 Jul 2011 03:49 PM PDT

Hip

pix_gal0
Sesaat Kau Datang taruhan terbaru Ramlah Ram

DUA puluh lima tahun bergelar insan seni pastinya detik yang terindah bagi penyanyi bersuara lantang, Ramlah Ram, apabila dia masih mampu bertahan sehingga kini, berkat doa dan sokongan tidak putus-putus peminat setianya.

Selepas menyepi beberapa tahun pada awal alaf baru lalu, Ramlah kembali meledak dengan single berjudul Maharaja, diikuti lagu ciptaan Azlan Abu Hassan, Ketentuan pada penghujung 2007. Bermula dengan kejayaan Anugerah Lagu Terbaik pada Pertandingan Hits 1 terbitan RTM pada 2008 dan seterusnya melangkah ke final Anugerah Juara Lagu 22 pada 2009 dengan lagu Dirgahayu, satu persatu kerjaya seni anak kelahiran Muar, Johor ini dilakarkan. Lebih manis, apabila penat lelahnya selama 25 tahun bergelumang dalam bidang seni dikongsi bersama dengan peminat setia menerusi konsert sulung pada Malam Gala 25 Tahun penyanyi itu, Oktober tahun lalu.

Karier seninya juga makin menyerlah dengan single pertama terbitan kelab peminatnya, Ramlah Ram Group (RRG) dan syarikat rakaman FMC iaitu Cinta Gila yang pertama kali diperdengarkan pada konsert itu. Lagu itu kemudian mula meniti carta lagu stesen radio dan menjadi juara, antaranya di Carta Radio Muzik, selama empat minggu.

Walaupun disambut dingin sesetengah stesen radio swasta, lagu Cinta Gila ternyata mengubah corak kerjaya seni pemenang Anugerah Juara Lagu 1988 ini apabila lagu berkonsepkan pop rock itu tetap diterima ramai, malah berjaya kekal lebih 10 minggu dalam carta Muzik Muzik TV3. Kejayaan Cinta Gila juga memberikan semangat buat Ramlah untuk terus mengorak langkah dengan single seterusnya berjudul Benar Mencintai, gandingannya bersama kumpulan Awanband. Single itu kini rancak diputarkan di radio seluruh Malaysia.

Semua ini adalah hasil kerjasama pihak RRG yang mahu melihat pembaharuan dilakukan penyanyi kesayangan mereka. Bahkan belum pernah dalam sejarah dunia muzik Malaysia kelab peminat artis tampil menerbitkan album artis kesayangan mereka sendiri dan inilah yang sedang dilakukan RRG untuk kembali melihat penyanyi bersuara emas ini berada pada tahap yang lebih membanggakan.
Menyentuh mengenai perkembangan terkininya, Ramlah memberitahu, dia baru saja selesai merakamkan single ketiga berjudul Sesaat Kau Datang yang bakal diperdengarkan kepada umum sedikit masa lagi.

Mengakui proses rakaman album terbarunya kali ini amat istimewa kerana selain muncul album kerjasama antara RRG dan FMC, album kali ini juga bakal menampilkan sisi lain naskhah seninya iaitu bekerjasama dengan ramai bakat muda yang belum pernah dilakukannya sebelum ini.

Mengenai single Sesaat Kau Datang yang diilhamkan daripada komposer baru, ID Mifzal, dan lirik ditulis oleh Zie Shafuddin, manakala susunan muziknya hasil gubahan komposer sedang meningkat naik, Ady 6ixth Sense. Menurut penciptanya, lagu ini juga sememangnya dicipta untuk dinyanyikan secara duet oleh penyanyi baru dan lama. Berkonsepkan muzik pop terkini, Ramlah turut melangkah setapak lagi dengan bekerjasama dengan kumpulan duo rap popular dari Singapura iaitu Sleeq.

Lagu ini mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan atau perkahwinan, dan dalam masa yang sama terpaksa melepaskan orang tersayang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Mungkin akan ada yang beranggapan ia ada kena-mengena dengan kehidupan peribadi Ramlah sendiri selepas lagu Ketentuan yang dikatakan menggambarkan keruntuhan rumah tangganya, namun segala-galanya adalah kebetulan kerana sesebuah lirik yang dihasilkan biasanya ilham atau pengalaman penulis itu sendiri.

Bercerita lanjut mengenai single terbaru ini Ramlah memberitahu, lagu itu dirakamkan di studio NAR, Kuala Lumpur dan di sebuah studio di Singapura pada Jun lalu. Ia satu pengalaman berharga buatnya kerana dapat bekerjasama dengan bakat muda yang berkebolehan seperti Mifzal (pencipta), Ady selaku penerbit susunan muzik dan Faris Awanband selaku penjaga vokalnya dalam membantu menyelesaikan proses rakaman.

Menurut Ramlah lagi, walaupun masih mengekalkan konsep pop yang selama ini menjadi 'makanannya', tetapi lagu Sesaat Kau Datang lebih cenderung kepada rentak muzik nusantara yang digarap dengan elemen orkestra ala lagu balada dari Korea.

Terharu bakat dipercayai

MANAKALA Syarif dari Sleeq pula memberitahu, dia dan Ariff amat berbesar hati dan berbangga kerana dapat bekerjasama bersama Ratu Pop bernada tinggi ini. Dia menganggap peluang berpadu suara bersama Ramlah satu pengalaman begitu berharga dan berterima kasih kepada RRG dan Ramlah sendiri kerana percaya dengan bakat mereka berdua.

Walaupun proses rakaman dibuat di dua studio berlainan, namun ia tidak memberikan apa-apa masalah untuk berkomunikasi dalam menjayakan proses rakaman.

Ramlah menganggap lagu ini hadiah istimewa kepada semua peminatnya yang masih setia menyokongnya dari dulu hinggalah kepada peminat generasi baru yang mula mengenalinya melalui Ketentuan.

Jika tiada aral, album penuh penyanyi ini akan menyusul pada penghujung tahun ini, yang juga akan menampilkan sebuah lagu balada berkonsepkan ketuhanan berjudul Sejadah Cinta. Ia akan dirakamkan tidak lama lagi. Selain lagu yang diberikan peminatnya yang juga ahli RRG, Ramlah juga akan bekerjasama dengan beberapa komposer terkenal tanah air untuk projek album terbarunya nanti.

Segala informasi mengenai Ramlah boleh dilayari menerusi laman web rasminya iaitu www.ramlahram.com. Bagi peminat yang ingin turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan oleh RRG pula, bolehlah menyertai akaun Facebook carian Ramlah Ram Group.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.