Adsense

Isnin, 20 Jun 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

Posted: 19 Jun 2011 03:54 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.

Anak ketiga Allahyraham yang juga pelakon dan pengarah Mohd Soupi Zami (Opie Zami), 37, berkata, ayahnya sempat berpesan kepada semua anaknya agar berbuat baik sesama manusia.

"Keadaan dia (Allahyarham) berada dalam keadaan biasa saja dan pergi dengan tenang. Dia sempat berpesan kepada kami semua agar berbuat baik sesama manusia," katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat IJN, di sini, Ahad.

Menantu sulung Allahyarham, Azizah Amdih, 35, berkata, Allahyarham yang dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dilaporkan tenat pada malam Sabtu dan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan mesin perubatan.

"Doktor memberitahu jantungnya sangat lemah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Kritikal (CCU) sehinggalah pada malam tadi (Sabtu) keadaanya menjadi semakin tenat. Bagaimanapun Allah lebih sayangkan dia," katanya kepda mStar Online ketika dihubungi di sini, Ahad.


Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari rumah mayat Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur untuk disemadikan di kampung halamannya di Tapah, Perak, petang Ahad. - Foto BERNAMA
Azizah berkata, pihaknya reda dengan pemergian Allahyarham dan berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraannya.

Allahyarham yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Pai Tang Tu pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit (arahan Mamat Khalid) dan Shh...Dia Datang (Saiful Apek).

Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem Mak Som.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak dan dikebumikan selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.

Farahdhiya tidak propa

Posted: 19 Jun 2011 03:53 AM PDT

Farahdhiya tak kisah dituduh berlagak diva, mulut jahat

LELAKI mana yang tidak akan terkesima menjeling pandang susuk tubuh mungil penyanyi dan pelakon putih gebu ini. Malah, kaum sejenisnya sepertinya juga pasti ramai mengagumi di samping mencemburui kecantikan dan keseksian yang dimiliki gadis kelahiran Sarzana, Itali bernama Farahdhiya ini.

Semakin meningkat usia dan baru genap usianya 27 tahun pada 28 April lalu, penyanyi lagu Bertakhta ini dilihat semakin pandai bergaya seiring peredaran masa. Kulit putih gebu dan badan bergetah menjadi idaman ramai sang arjuna yang begitu memujanya.
Dengan dua persalinan koleksi peribadinya, termasuk menggunakan khidmat jurusolek kegemarannya iaitu kakak kesayangan penyanyi rock Ella, Saidatulnisa Aminuddin, Farahdhiya hadir ke Balai Berita dengan gaya berani. Itu pun secara kebetulan mendapat cuti sehari daripada berlakon.

Sudah lama tidak bersua, pelbagai cerita mahu dikorek dengan empunya badan. Malahan kalau ada yang masih ingat Farahdhiya menarik perhatian ramai pada malam kemuncak Anugerah Bintang Berita Harian mengenakan catsuit sendat rona biru turquise daripada fabrik lycra.

Pendek kata, dia yang mesra disapa Farah ini semakin berani bereksprimentasi dengan gaya. Bukan saja gaya, sebelum ini juga Farah juga dikatakan berani dan lantang dalam bercakap. Timbul juga cerita kononnya Farah berlagak diva dan lebih teruk daripada itu, dia dituduh bermulut jahat.

Paling menjadi perhatian apabila berlaku 'drama realiti sebabak demi sebabak' yang muncul dan menjadi bualan tatkala dia terbabit dalam pementasan teater muzikal Terima Kasih Cinta buat julung kalinya di Istana Budaya, Februari lalu. Sengketa ketika dalam produksi itu dikatakan membabitkan dirinya dan beberapa pelakon yang turut beraksi sama dalam teater berkenaan.

"Saya tidak takut untuk sebarang tuduhan. Apa yang tahu saya seorang yang telus dan tidak suka berpura-pura. Kalau saya cakap tak suka, tak sukalah jawabnya. Saya bukan kaki propa dan itu memang langsung tidak menjadi diri saya yang sebenarnya.
"Saya barangkali mewarisi sikap ini daripada ibu saya (daripada keluarga orang putih). Saya lebih suka berterus terang. Itulah warna diri saya sebenarnya. Kalau orang baik dengan kita, takkan kita nak jahat pula dengannya. Begitulah sebaliknya," katanya kepada B*POP.

Tambahnya yang kini berada di lokasi penggambaran drama untuk slot Samarinda TV3, Anissa terbitan Zeel Production, manusia di luar sana bebas menghukum tanpa usul periksa. Tapi itu tidak menjadi kekangan buatnya untuk melakukan apa yang dirasakan ingin dilakukan.

"Saya tak pernah rasa diri ini macam diva. Kerjaya saya juga menuntut aspek profesionalisme seperti kerjaya lain seperti peguam dan doktor. Cuma selepas waktu kerja, saya hanya manusia biasa yang menginginkan kehidupan normal seperti orang lain.

"Bapa saya sendiri pernah berpesan, jangan terlalu memikirkan apa orang kata hingga menghalang apa yang kita nak buat. Sebab itu, saya tidak terlalu mudah mempercayai orang. Barangkali saya susah untuk difahami. Tapi yang mengenali saya itu kenal siapa diri saya sebenarnya.

"Kalau ada orang kata saya bermulut jahat, saya sendiri tak dapat mengingati kejadian atau adegan mengatakan saya begitu. Saya bukan jenis manusia suka mengumpat dan saya pun tak ramai kawan dengan golongan artis. Saya akan jadi tak selesa dengan orang yang suka mengumpat," katanya yang sudah tujuh tahun bergelar anak seni.

Diajak berkongsi tips kecantikan diamalkannya, Farahdhiya sedia berkongsi pandangan. Tapi jangan pula ada memandai-mandai mengatakan kecantikan dimilikinya itu palsu semata-mata. Ia sememangnya tulen.

"Saya mencuri masa untuk ke gim. Kalau tak sempat ke gim, saya akan berlari di taman di sekitar kawan rumah. kalau tidak pun saya akan bersenam menggunakan mesin treadmill di rumah saja. Saya juga lebihkan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan. Saya cuba menolak makanan bergoreng. Nasi pula, sebulan sekali pun belum tentu saya akan sentuh.

"Saya bersyukur dengan apa dikurniakan Tuhan. Setakat ini, saya belum terlintas mengubah atau menggunakan apa saja rawatan komersial untuk menjadi lebih daripada apa yang sudah dimiliki. Tapi untuk masa depan, saya belum mampu menduga apa bakal terjadi. Kawan saya sendiri ada mencantikkan wajah dan kulit dengan suntikan vitamin C contohnya. Untuk saya, minta maaf dan kirim sajalah. Tengok jarum pun saya sudah naik takut," jelasnya sambil ketawa.

Farahdhiya belum bertemu pengganti

MENGULAS mengenai hubungan dengan rakan, Farahdhiya menjelasakan, dia kini berkawan baik dengan tiga wanita yang sudah bergelar isteri. Mereka yang dimaksudkan ialah dua artis - Zizie Ezette dan Datin Illyka selain wanita bernama Jue (bukan artis). Akuinya, Zizie sudah dikenali Farah sejak 10 tahun lalu.

Malah, panggilan B terhadapnya ialah singkatan kepada Baby di kalangan mereka yang rapat dengannya, membuatkan ada yang sudah salah sangka bahawa Farahdhiya kembali di ambang bahagia. Akuinya, dia kini masih solo dan belum mempunyai kekasih.

Umum tahu percintaan Farah dengan seorang lelaki selama hampir empat tahun yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini berakhir dengan perpisahan. Tetapi Farah tetap tabah menempuhi kegagalan itu dengan tangan dan hati terbuka.

"Saya masih ada kerjaya, kawan dan keluarga yang masih memenuhi ruang lingkup hidup saya. Bersama kawan baik yang saya sebut tadi, semestinya saya paling muda dan manja. Biarpun mereka sudah berkahwin, saya tak rasa langsung pun jurang itu.

"Kalau ada masa, kami akan keluar bersama. Mereka ditemani suami masing-masing, saya pula sesekali tidak keseorangan dan akan membawa teman. Teman itu tak semestinya kekasih. Apa yang boleh saya katakan saya belum bertemu pengganti. Setakat kawan-kawan itu adalah," katanya sambil memberi penekanan bahawa dirinya masih bersendiarian tanpa ada teman lelai istimewa.

Ungkap penyanyi lagu Kau Telah Pergi itu lagi, dia bukannya serik untuk bercinta lagi. Cintanya masih ada untuk mereka yang bergelar lelaki. Apatah lagi, dia juga cukup menyukai kanak-kanak. Namun, buat masa ini dia belum terdesak untuk memikirkan soal perkahwinan secara serius.

"Saya masih menunggu seseorang untuk membuka hati saya kembali. Saya bersyukur dan yakin setiap apa yang terjadi termasuk perpisahan lalu memberi ruang untuk saya mencari lelaki lebih baik daripada sebelumnya. Yang lalu biarlah berlalu. Bayangkan dalam tempoh sembilan tahun, saya melalui tiga fasa percintaan yang kecundang di tengah jalan. Dalam tempoh itu, empat tahun saya bercinta dengan seseorang kemudian putus. Kemudian setahun pula dan terbaru hampir empat tahun.

"Ibaratnya saya rasa seperti membazir masa. Saya letih untuk melalui benda sama. Tapi itulah rentak perjalanan kehidupan. Saya sendiri tidak sabar menjadi ibu dan ada anak sendiri. Harapnya lelaki yang saya bakal temui nanti akan sehidup semati dengan saya," katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama Puteri Santubong untuk siaran RTM.

INFO: Farahdhiya
Belum ada rezeki berlakon filem. Tapi akui Farahdhiya selalunya disebabkan faktor masa dan komitmen diberikan kepada medium TV, dia terpaksa melepaskan tawaran berlakon filem.
Dia memang teringin berlakon filem kerana bidang itu saja belum dipenuhinya. Selain menyanyi, dia juga pernah menceburi bidang pengacaraan.
Teruja menanti kemunculan telefilem, Mat Latah kerana buat pertama kalinya dia perlu menjadi gadis melatah.
Dalam hal nyanyian pula, dia sudah menandatangani kontrak selama setahun dengan Millenium Art Sdn Bhd dan dijangka muncul dengan album memuatkan lima lagu. Namun disebabkan kesibukannya dalam lakonan, Farah belum sempat melunaskan baki dua lagu lagi.
Akui Farahdhiya, Fasha Sandha cukup meminati lagu Kau Telah Pergi dan tidak kisah untuk tampil sebagai model klip video lagu itu.
Pandai memasarkan dirinya untuk tidak terikat dengan sebuah stesen TV saja. Wajah dan bakat lakonannya menjadi pilihan TV3, Astro dan RTM.

Lensa: Scha buka kiosk Schapoholic

Posted: 19 Jun 2011 03:52 AM PDT

DUA tahun hati mereka diikat dan bersatu dalam kancah cinta. Selama tempoh itu juga mereka saling menghargai diri masing-masing. Malah, kalau Scha Alyahya, 28, berduka, kekasihnya Awal Ashaari, 30, membantu menenangkan dirinya. Begitulah sebaliknya.

Bahkan berkat dorongan dan galakan Awal jugalah, Scha menetapkan pendirian memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan membuka kiosk menjual pakaian dan aksesori wanita, Schapoholic di pusat beli-belah, The Curve, Kota Damansara, sejak 3 Jun lalu.
Dalam konteks perniagaan, ia bukan sesuatu yang asing kerana Awal sendiri sudah bertahun-tahun berjinak menerusi bidang itu. Jejaka kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu pernah berkolaborasi dengan teman baiknya, Dynas membuka premis pakaian di Hartamas, D&A: Celebrity Style termasuk secara online.

Bagaimanapun kini, baik Dynas mahupun Awal masing-masing sudah tidak lagi bergelar rakan kongsi. Tetapi kelangsungan minat itu masih diteruskan. Awal turut membuka kiosk Wedgie-Wedges menjual sepatu wanita (wedges, sandals dan flats).

Kebetulan sewaktu sesi fotografi ini dijalankan, Scha turut ditemani Awal. Malah, Dynas pun ada ditemani anak kesayangannya, Khyra Khalyssa yang kebetulan lalu di kiosk milik Scha. Kiosk milik Scha itu dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

"Selain galakan daripada Awal, hasrat menceburi bidang ini tercetus apabila hampir setiap kali Scha berada di lokasi penggambaran mahupun di tempat awam akan ada orang bertanya mengenai pakaian yang dikenakan Scha. Tambah pula Scha memang jenis yang suka bercuti dan mengembara sambil mencari pakaian baru untuk kegunaan sendiri.

"Stok pakaian ini Scha beli dari pelbagai negara seperti Bangkok, Korea, Jakarta, China dan Hong Kong. Harganya amat berpatutan. Paling mahal pun sekitar RM120. Selain baju, Scha juga menjual aksesori wanita seperti tali pinggang, rantai, tas tangan dan cekak rambut," katanya yang sempat mencuri masa untuk sesi fotografi sekalipun sibuk di lokasi penggambaran filem Papadom 2 arahan Afdlin Shauki.
Bermodalkan RM20,000, maka wujudlah kiosk Schapoholic ini. Akui Scha, buat permulaan saiz pakaian seperti gaun labuh dan pendek dijualnya dalam kategori S, M dan L. Boleh dikatakan hampir setiap hari Scha akan memantau perniagaannya. Itu pun jika masih sempat berkejar dari lokasi penggambaran atau komitmen seninya.

"Nama Schapoholic ini diilhamkan Scha sendiri. Tapi pendek kata, Awal memang banyak membantu berkongsi idea dan pengalaman dengan Scha. Lagipun dia lebih dulu berniaga. Apa yang Scha jual ini secara keseluruhannya boleh digambarkan gaya dan cita rasa digemari.

"Harga dijual pun bukan tetap. Scha akan beri diskaun juga pada akhirnya kerana selalunya pelanggan termasuk peminat yang datang, akan menawar harga. Awal pun datang menjenguk Scha di kiosk ini sebab dia selalu berada di kiosk perniagaannya," kata Wajah Eksklusif Astro itu.

Sementara itu, Awal yang ditemui turut bangga dengan apa diusahakan buah hatinya itu. Jelas Awal, sedari dulu lagi Scha mahu melakukan sesuatu, selain bergelar anak seni. Tapi apabila ditanya empunya badan, Scha sendiri tidak tahu apa mahu dibikinnya.

"Saya tanya kepadanya lagi sebelum ini, apakah dia juga mahu menceburi dunia perniagaan seperti dilakukan saya. Balasnya, dia tidaklah terlalu condong ke arah perniagaan sebaliknya lebih kepada dunia fesyen. Daripada situ, saya cadangkan kepadanya menggabungkan entiti perniagaan dan fesyen sekali gus, lalu muncullah Schapoholic.

"Mulanya apabila kita mendekati pusat beli-ini, pengurusan menyarankan supaya terus saja membuka butik berbanding kiosk. Tapi saya tak nak dia ambil risiko besar. Jadi, permulaannya dilakukan dengan membuka kiosk secara kecil-kecilan," katanya yang turut berlakon bersama Scha dalam drama Dunia Kita yang sedang disiarkan di Astro Ria.

Tambah Awal lagi, sejak Scha membabitkan diri dalam dunia perniagaan ini, dia melihat perbezaan ketara terhadap wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.

"Dia memang suka melakukan terapi beli belah apabila penat bekerja. Hal itu dapat saya lihat sendiri kalau kami keluar berdating. Dia jenis yang boleh angkut banyak pakaian di butik tanpa perlu mencuba. Maklumlah saiz badan macam patung mannequin. Tapi sekarang, dia boleh dikatakan lebih berjimat dan mengutamakan pembelian stok untuk kiosk perniagaannya.

"Dia akan tanya dekat saya apa lagi barang yang patut dibeli dan ditambah. Itu satu perkembangan baik dan nampak dia betul-betul serius merencana apa yang sudah dilaksanakan," kata pengacara Fuhh! di TV3 itu.

Nabil, akui tercabar

Posted: 19 Jun 2011 03:51 AM PDT

24 Jun bakal tentukan juara Maharaja Lawak

PROGRAM Maharaja Lawak boleh diumpamakan sebagai terapi apabila menontonnya. Kebanyakan penonton pasti ketawa terbahak-bahak, selain ada yang melompat dari kerusi, menghentak kaki dan menitiskan airmata ketika menyaksikan gelagat peserta.

Maharaja Lawak, program yang paling hangat diperkatakan. Rata-rata penonton tidak melepaskan peluang untuk menantikan malam Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna. Minggu separuh akhir berlangsung di Stadium Tertutup MBJB, Larkin, Johor Bahru pada Jumaat lalu sudah menentukan antara lima finalis popular – Jozan, Nabil, Sepah, Jambu dan R2 ke peringkat akhir.
Seperti yang dilihat, Jozan (Johan dan Zizan) sering menduduki tangga teratas, diikuti Nabil, Sepah, Jambu dan R2. Bagaimanapun, final Maharaja Lawak yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor pada Jumaat, 24 Jun ini bakal menentukan siapakah layak digelar juara Maharaja Lawak.

Nabil, satu-satunya peserta solo berkata, dia sering mengambil risiko dengan menampilkan pelbagai eksperimen dalam bahan lawaknya. Ada kala menjadi, ada ketika pula sebaliknya.

"Saya mahukan kelainan, saya suka melakukan eksperimen dan mencari pengisian baru tetapi bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Bagaimanapun, saya tidak mahu menjadi insan yang mudah berputus asa, saya akan cuba menerokai sesuatu yang baru, selain memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Bagi saya, kegagalan membuatkan saya perlu berusaha lebih gigih lagi.

"Tidak dinafikan, persembahan saya ada turun naik kerana saya adalah peserta solo. Kadang kala saya tidak dapat menyembunyikan kekecewaan itu. Saya kecewa apabila gagal membuat penonton ketawa. Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi ini adalah penentuan sama ada saya mampu atau tidak.
"Jozan, Sepah, Jambu dan R2, mereka bekerja berkumpulan, jadi mereka tahu kekurangan pengisian mahupun sebaliknya. Saya akui mereka sering memberi pandangan, tetapi mereka juga perlu menyiapkan diri untuk pertandingan ini.

"Saya boleh bercerita dengan mereka, tetapi adakah mereka jujur? Saya tidak menyalahkan mereka, ini adalah pertandingan yang merebut wang tunai RM300,000. Mereka boleh memberi cadangan, tetapi adakah pengisian itu menjadi dan boleh membuatkan penonton tergelak? Saya fikir takkan mereka nak berkongsi bahan yang bagus dengan saya.

"Bagaimanapun, saya bersyukur dalam ada yang membenci, ada juga yang masih menyukai saya. Sekurang-kurangnya, saya sudah mencuba dan menjadi satu-satunya peserta solo yang bertahan. Mungkin, pada masa akan datang saya menjadi `reference' kepada finalis solo lain.

"Memang kalau ikutkan saya boleh menolak menyertai Maharaja Lawak, tetapi saya tidak mahu jadi pengecut! Saya tahu risikonya apabila berdiri di pentas seorang diri, lainlah kalau saya berdua atau bertiga. Idea mungkin keluar mencurah-curah," katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri, You Saka, Pergi Jauh-Jauh yang disiarkan di TV3.

Anak kelahiran Mambau, Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, cabaran yang dipikulnya terlalu besar, lebih lagi berdepan dengan gandingan Johan dan Zizan, Sepah, Jambu dan R2.

"Saya akui tercabar apabila sering menduduki antara tangga terendah. Saya pernah dinobatkan juara Raja Lawak dan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, jadi tanggungjawab itu cukup berat buat saya. Maharaja Lawak ini mengajar saya, hidup bagaikan pusingan roda, ada masa di atas, ada ketika di bawah. Saya berterima kasih kerana masih ada yang mengundi saya," katanya dengan nada perlahan.

Sepah tak harap menang

SEMENTARA itu, Jep dari kumpulan Sepah berkata, dia bersyukur persembahan Sepah sentiasa konsisten setiap minggu walaupun tidak mampu menembusi Jozan yang sering kali menduduki tangga teratas.

"Kami bersyukur ilham datang dari Allah SWT. Bukan mudah untuk mengekalkannya, tetapi tanpa usaha dan berdoa, tidak mungkin mengekalkannya. Hari ini, kami tidak memikirkan kalah atau menang lagi, apa yang penting, persembahan kami dinilai dengan baik setiap minggu.

"Sepah semakin seronok dengan `permainan' ini, sekurang-kurangnya peminat boleh menilai kemampuan Sepah. Walaupun sudah dua musim meninggalkan program Raja Lawak, kami sedaya upaya mempersembahkan idea segar dan pengisian yang baik. Itu yang kami harapkan, tetapi berbalik pada nasib. Kita tidak sentiasa berada di tahap yang selamat.

"Bagaimanapun, kami tidak mahu menampilkan Sepah yang dulu. Diakui dulu, kami banyak bermain dengan kata-kata lucah, tetapi tidak lagi dalam persembahan Maharaja Lawak. Bagi kami, kalau tidak mencarut dan bercakap lucah pun boleh membuatkan penonton ketawa, itu yang kami belajar selepas keluar program Raja Lawak.

"Secara peribadi, saya puji perjuangan Jozan. Bagi saya, Johan adalah `killer'. Saya juga menyukai Jambu (Taukeh dan Yus), mereka tampil dengan pengisian yang berbeza setiap minggu," katanya.

Shuib pula menjelaskan, mereka tidak mengharapkan gelaran juara Maharaja Lawak, tetapi pembabitan Sepah tidak menenggelamkan nama mereka.

"Dua tahun kami hilang arah dan dilihat seperti tenggelam timbul. Menyertai Maharaja Lawak selama tujuh minit memberi impak yang besar. Kami masih bernafas untuk meneruskan kehidupan apabila ditawarkan berlakon drama dan filem. Kami bersyukur kemampuan kami dalam Maharaja Lawak membuka mata pengarah dan penerbit," katanya.

Sarimah Ibrahim Kongsi Tip Kecantikan

Posted: 19 Jun 2011 03:49 AM PDT

PETALING JAYA: Pengacara The Biggest Loser, Sarimah Ibrahim (gambar) berkongsi tip kecantikan di bengkel anjuran majalah Shape dengan kerjasama True Fitness, Sunway Giza, Kota Damansara, Sabtu.

Duta Reebok ini berkata penjagaan pemakanan penting kepada setiap orang. Selain itu, air juga mampu membantu seseorang itu mengekalkan bentuk badan dan kulit yang cantik.

"Saya suka makan nasi lebih-lebih dengan lauk ayam madu. Tetapi saya mengamalkan makan nasi selang sehari.

"Selain itu, kurangkan makan di luar kerana kebiasaannya makanan di luar terlebih minyak. Jika makan nasi beriani, elakkan ambil lauk yang bersantan sebaliknya pilih yang bergoreng. Minuman pula, saya pilih air milo tanpa gula," katanya semasa berkongsi tip tersebut.

Pengacara Akademi Fantasia ini turut membuka peluang kepada 35 pembaca Shape yang hadir di situ untuk bertanya soalan kepadanya.

Wanita kacukan Irish-Melayu ini juga melakukan senaman pilates untuk menguatkan otot-otot yang lemah serta menggunakan mesin senaman.

"Apabila mencuba pakaian yang direka oleh pereka fesyen, saya selalu berhadapan dengan masalah badan. Jadi, saya perlu selalu bersenam untuk mengekalkan kecantikan badan dan tidak mendatangkan masalah kepada pereka fesyen," ujarnya.

Sebagai tambahan, Sarimah turut mengambil suplemen seperti vitamin B dan pil minyak ikan yang mendatangkan faedah kepada kulit.

Tip tambahan lain termasuklah makan banyak makanan berprotein, seimbangkan makanan berkarbohidrat untuk mengurangkan kadar gula dalam badan dan makan selepas bersenam.

Selain itu, lima pembaca bertuah berpeluang menerima hadiah cabutan bertuah yang ditaja oleh Colantotte, Gatorade, Reebok, True Fitness dan Yogood.

Bengkel yang dianjurkan itu bersempena dengan 'Shape Night Run 2011' anjuran GNC Live Well yang akan diadakan pada 30 Julai depan, di Pusat Perbadanan Putrajaya.

R2 Sukar Jangka Juara Maharaja Lawak

Posted: 19 Jun 2011 03:47 AM PDT


PETALING JAYA: Selepas tersingkirnya kumpulan R2 dari program Maharaja Lawak di Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru, malam Jumaat, kini Nabil, kumpulan Jozan, kumpulan Sepah dan kumpulan Jambu yang layak ke peringkat akhir.

Kemuncak program yang disiarkan di Astro Warna (saluran 132) itu akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Jumaat ini.

Bagi R2, sukar mereka untuk menjangkakan peserta mana yang bakal bergelar juara memandangkan di kalangan mereka semuanya memberikan saingan yang sengit.

"Secara peribadinya, kami tidak dapat menjangkakan peserta yang akan memenangi gelaran juara setelah melihat purata setiap persembahan mereka. Pada kami, mereka semua layak untuk menang.

"Kami berharap mereka yang berjaya ke peringkat akhir dapat melakukan yang terbaik. Setelah menonton persembahan mereka pada malam tadi (Jumaat), mereka memang layak kekal ke peringkat seterusnya," kata Rahim Mat Ali, 41, ketika dihubungi mStar Online.

Empat peserta yang tinggal itu akan bersaing untuk memenangi hadiah berupa RM300,000 untuk juara, RM200,000 (naib juara) dan RM100,000 (tempat ketiga).

Menyentuh tentang kekalahan mereka, R2 sudah menjangkakan bahawa mereka pasti tersingkir di persembahan jelajah di Johor Bahru setelah melihat markah mereka yang sentiasa menduduki tangga terendah sejak jelajah di Kuantan, Pahang dan Pulau Pinang.

"Pada mulanya, apabila diundi masuk, saya rasa orang ramai masih percayakan kami lagi. Namun setelah melihat kekuatan dan persaingan daripada peserta lain, kami bersedia untuk terkeluar pada bila-bila masa.

"Kami akan tetap berkarya dan melawak dalam industri seni selepas ini. Selain itu, saya bersyukur apabila mendapat tawarajn berlakon beberapa telefilem," katanya lagi.

Namun, Rahim berkata tawaran yang diterima tidak bersama-sama adiknya, Ridhuan Mat Ali, 22, yang juga merupakan anggota R2.

"Walaupun bekerja sebagai orang seni, saya masih akan bekerja di syarikat logistik seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Namun, tawaran yang saya dapat tidak sama seperti adik saya, jadi kami terpaksa bergerak secara individu," katanya yang tinggal bersama-sama adiknya di Shah Alam.

R2 turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan peluang untuk mereka menunjuk bakat dan sokongan dalam program itu.