Adsense

Selasa, 31 Mei 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Salma dedah status diri

Posted: 30 May 2011 09:08 AM PDT

KEMENANGAN yang dilakar Salmah A Asis (Salma), 21, menerusi final Mentor 5 yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, kelmarin, mengingatkan kita kepada Jaclyn Victor sewaktu namanya diumumkan juara Malaysian Idol pertama, kira-kira tujuh tahun lalu.

Keputusan dan kemenangan yang wajar atau tulen menurut perkiraan penulis. Apa yang boleh diperkatakan mengenai protege Erra Fazira ini, suaranya memang terbukti bagus bahkan dia menyanyi lebih baik daripada segelintir penyanyi tempatan yang pernah merakamkan album.

Mungkin ada yang tidak setuju, tetapi itu lumrah dalam pertandingan. Malah kejayaan Salma seolah-olah juri awan bersikap prejudis dan semacam wujud konspirasi apabila hanya memperoleh 16 markah dengan nyanyian begitu hebat, lebih-lebih lagi ketika membuat persembahan pembukaan dengan lagu Listen dipopularkan Beyonce Knowles.

Sedangkan saingannya yang dikritik juri profesional terutama protege Edry Abdul Halim, Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor atau Iqa memperoleh markah penuh dari juri awam (20) manakala protege Datuk Sharifah Aini, Nurshiha Mohd Zikir (Shiha) mendapat 17 undi.


Bagaimanapun, juri profesional terdiri daripada Datuk Ramli MS, Ziana Zain dan Azmeer, sebulat suara memilihnya sebagai pemenang termasuk SMS penonton menyelamatkan Salma dengan memperoleh 85 markah sekali gus menobatkan dirinya juara Mentor 5.


Dengan kemenangan itu, peserta dari Tawau, Sabah ini dan Erra selaku mentornya berjaya membawa pulang wang tunai RM100,000, trofi dan kereta Chevrolet Cruze sumbangan Chevrolet (untuk protege).

Bahkan, pada hari kemenangannya, Salma membuat pendedahan terbuka mengenai status dirinya yang pernah berkahwin dan mempunyai anak yang selama ini menjadi tanda tanya penonton setia Mentor.

"Iya, saya pernah berkahwin ketika berusia 17 tahun dan bercerai sewaktu berumur 18 tahun. Saya mempunyai seorang anak, Putri Nurul Huda, 3 tahun. Dia ada naik ke pentas tadi dan kehadirannya bersama orang tua saya yang datang menyokong malam ini walaupun pada mulanya tidak begitu menggalakkan saya menyanyi, membuatkan saya tambah bersemangat untuk memberi persembahan terbaik.

"Inilah pertemuan pertama kami selepas lebih tiga bulan tidak bertemu dan Alhamdulillah, malam ini rezeki berpihak pada saya dan Mentor, kak Erra," katanya dengan senyuman tidak lekang di bibir.

Ditanya, apakah dia merasakan strategi merahsiakan statusnya antara faktor yang menyumbang kejayaannya malam itu memandangkan sebahagian besar peminat tidak tahu Salma adalah seorang janda beranak satu.

"Dakwaan itu tidak benar kerana ramai yang sudah tahu status saya cuma saya saja yang tidak pernah memperkatakannya secara terbuka kerana saya harus memberi fokus terhadap Mentor.

"Saya tidak mahu apabila perihal anak diperkatakan dalam Mentor membuatkan saya gagal mengawal perasaan rindu pada dia dan keluarga sekali gus akan memberi kesan pada persembahan saya.

"Saya memang mahu berjaya dalam pertandingan ini, jadi saya harus berkorban dan asingkan kisah peribadi saya dengan memberi sepenuh tumpuan. Saya juga tidak mahu menghampakan kak Erra yang sudah banyak berkorban untuk saya. Bagaimanapun hari ini saya mengotakan janji untuk memaklumkan hal yang sebenar," katanya.

Mengenai nama bekas suami, Salma enggan mendedahkannya. Katanya, dia tak akan beritahu langsung sebab kisah itu sudah lama berakhir dan namanya takkan pernah wujud lagi di belakang nama anaknya.

"Apa yang boleh saya katakan, dia juga orang Tawau, Sabah. Dia sudah pun berkahwin dan sudah ada keluarga baru, jadi saya tak nak imbas kembali perkara lama sebab trauma," katanya.

Berhajat untuk meneruskan karier nyanyian sekali gus memiliki album, Salma berhasrat menggunakan wang kemenangannya untuk membawa keluarga bercuti kerana seumur hidupnya tidak pernah berpeluang membawa ibu bapanya berjalan-jalan ke pusat peranginan.

Pada malam konsert penentuan yang disiarkan secara langsung di TV3 itu, Salma turut berduet dengan Jaclyn Victor menerusi lagu Cinta (Kris Dayanti & Melly Goeslow) yang pernah dinyanyikan secara duet oleh Jaclyn dan Misha Omar serta Rindu (Hetty Koes Endang). Salmah turut memperdengarkan lagu baru ciptaan Taja Meet Uncle Hussain berjudul Aku Permata.

Tempat kedua pula dimenangi Shiha dengan pungutan markah sebanyak 63 markah. Gadis berusia 24 tahun ini berjaya membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan Vespa LX150 tajaan Naza World.

Shiha menyanyikan lagu Rindu bersama mentornya, lagu solo Kisah Hati (Alyah), lagu duet bersama Black, Ghazal Untuk Rabiah (Jamal Abdillah) dan Balqis (Siti Nurhaliza) serta lagu baru ciptaan Ajai, Bila Bertemu Mu.

Manakala tempat ketiga, Iqa, membawa pulang wang tunai RM10,000 dengan pungutan 56 markah. Peserta dari Ampang, Selangor ini menyampaikan lagu duet bersama mentornya, Ganas, lagu Ku Mohon (Datuk Sheila Majid) yang memapar klip 'tragedi tanah runtuh Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, lagu baru ciptaan Edry, Di Penghujungnya dan duet bersama Faizal Tahir, Karma.

Kejayaan Salma juga mengejutkan kerana sebelum ini hampir tidak dapat ke final apabila memperoleh markah tercorot sewaktu Separuh Akhir kedua yang berlangsung minggu lalu. Namun, atas pertimbangan TV3 dan keputusan juri, dia diberikan peluang.

Justeru, Erra selaku Mentor ditanya apakah kemenangan Salma itu dirasakan adil walhal peluang Shiha dan Iqa untuk menang terbentang luas sekiranya tidak mendapat tentangan daripada Salma.

"Kemasukan Salma ke peringkat final adalah kerana rezeki dan jika mengambil kira Mentor untuk musim sebelum ini, bukan perkara baru tiga peserta berentap di final walaupun pada mulanya hanya dua peserta saja yang disebut-sebut akan mara.

"Saya percaya pada kata-kata setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya lihat Salma cukup bersemangat sekali pada malam tadi. Salma bangkit dengan penuh semangat untuk menebus balik kekalahan dia ketika di peringkat separuh akhir.

"Saya akui saya sangat-sangat gembira dengan apa yang Salma berikan selama ini. Dia beri lebih dari apa yang saya minta. Selaku Mentor, saya akan sentiasa berada dengannya. Selagi khidmat saya masih diperlukan, saya sentiasa ada untuk dia," katanya.

Shiha mahu hantar emak ke Makkah

Manakala, Shiha selaku naib juara, tidak kecewa dengan kekalahannya kerana sudah cukup bersyukur dapat melangkah ke final.

"Sebelum ini saya sering memasuki pertandingan nyanyian, tetapi tidak pernah sampai ke final dan saya sudah cukup berpuas hati apabila sasaran ke final tercapai. Ia satu pencapaian terbaik saya apabila dapat tempat kedua dan memperoleh RM30,000. Jumlah ini rasanya sudah cukup untuk menunaikan nazar menghantar emak menunaikan umrah," katanya.

Datuk Sharifah Aini sebagai Mentor Shiha mengakui, dia sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik dan Shiha sudah melakukan yang terbaik tetapi berbalik pada rezeki segalanya Allah tetapkan.

"Kak Pah pasrah dan tak pandang ia sebagai satu kekecewaan dan kekalahan kerana ia adalah adat bertanding. Sebagai mentor, saya sentiasa doakan kejayaan untuk Shiha. Kak Pah juga akan sentiasa berada dengan Shiha untuk membantunya," katanya.

Iqa juga berpuas hati dengan kedudukannya di tempat ketiga kerana apa yang lebih pentingnya, melalui satu pengalaman yang cukup berharga dan tidak ternilai sepanjang berada di bawah bimbingan Edry.

"Semua orang masuk pertandingan hendak menang begitu juga saya. Tetapi mungkin sudah tertulis malam ini rezeki Salma. Namun, lebih penting daripada semua itu daripada seorang yang '0' ilmu mengenai muzik saya menimba ilmu sikit demi sikit daripada abang Edry.

"Malah diberi kesempatan melihat sendiri bagaimana abang Edry mencipta kreativitinya yang membuatkan saya kini lebih terbuka dan berani untuk bereksperimental. Ilmu yang disalurkan itu lebih bermakna daripada sebuah kemenangan," katanya.

Sementara itu, Edry berkata, Iqa sudah pun melakar pencapaian terbesarnya apabila bermula sebagai peserta 'underdog' namun bertahan sehingga berjaya melangkah ke final.

"Perjalanan Iqa masih jauh lagi namun bagi saya, sebagai mentor, saya sudah menjalankan tugas saya dan melakukan terbaik untuk Iqa. Bagi saya, sampai ke peringkat akhir pun sudah satu kejayaan buat Iqa.

"Dalam masa tiga bulan Iqa menunjukkan peningkatan yang sangat baik, jika terus diasah dalam masa tiga tahun tidak mustahil dia boleh menjadi penghibur yang baik.

"Daripada hasil perbincangan dengan TV3 mereka tidak keberatan untuk membenarkan Iqa meneruskan kerjaya seninya di bawah pengurusan KRU. Justeru, selepas ini saya akan menyusun perancangan saya untuk Iqa menghasilkan album sulungnya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sofa rekaan artis

Posted: 30 May 2011 08:34 AM PDT

MEMBELI sambil menderma. Lebih menarik sekiranya barang yang dibeli berupa hasil kreativiti artis kesayangan anda. Bagi mereka yang berminat menghiasi ruang tamu dengan perabot menarik, kini boleh mendapatkan sofa yang direka khas beberapa selebriti tempatan.

Pengeluar barangan hiasan rumah dan perabot Macy menganjurkan jualan sofa istimewa kepada pelanggannya, di mana ia berupa hasil rekaan selebriti tempatan seperti Vanidah Imran dan suaminya Rashidi Ishak, Dynas Mokhtar, Harith Iskandar, Amber Chia, Jojo Struys, Daphne Iking, Ash Nair, Dennis Lau, Joey G, Patricia Sue Lin Knudsen dan Hannah Lo.

Selain memperoleh barangan yang dihasilkan artis pujaan, keuntungan diperoleh akan disalurkan kepada Rumah Nursalam dan Yayasan Chow Kit yang memberi tumpuan kepada kebajikan anak-anak terbiar di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.

Idea ditampilkan Macy dengan kerjasama selebriti terbabit ternyata menarik dan ketika majlis pelancaran mengenainya diadakan baru-baru ini, wakil media hadir turut dibawa melihat sendiri sofa yang dipamer hasil rekaan artis popular ini. Malah mereka nampak begitu bersungguh sewaktu menerangkan mengenai identiti atau pilihan corak juga warna sofa dihasilkan.


Begitupun paling menarik perhatian adalah sofa yang dihasilkan Dynaz Mokhtar

untuk ibu mengandung dan warnanya dan hiasan ditampilkan pasti mampu menarik perhatian sesiapa saja yang melihatnya.

Jelas Dynaz, idea diperoleh selepas melahirkan anak sulung dan katanya apabila peluang diberikan Macy dia terus terfikir untuk menghasilkan sofa khas untuk para ibu yang mahu menyusukan anak. Memilih latar warna ungu, ia turut dihiasi dengan fabrik corak bunga dirasakan mampu memberikan keselesaan.

"Keselesaan adalah kata kunci utama kepada saya untuk menghasilkan sofa ini. Pada peringkat awalnya saya memikirkan untuk menghasilkan kerusi empuk, tetapi ia terlalu kecil. Sofa yang dihasilkan ini tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Sesuai untuk ibu yang mahu menghabiskan masa bersama anak baru dilahirkan. Mereka boleh bersandar mahupun berbaring diatasnya.

"Selain itu kerusi ini turut disediakan bantal kecil (nursing pillow) di mana bagi ibu yang menyusu boleh meletakkan tangan di atas bantal ini yang diletakkan di paha. Ia menjadikan proses menyusu lebih selesa. Apa yang saya idamkan dapat dizahirkan oleh Macy dengan baik. Corak dan bentuknya lebih kontemporari dan cantik," katanya.

Sementara itu pasangan suami isteri, Vanidah dan Rashidi menghasilkan sofa sesuai untuk keluarga yang tinggal dalam kediaman mempunyai ruang sederhana.
"Sewaktu diberikan peluang untuk mereka sofa, saya dan Rashidi puas memikirkan bentuk dan corak bagaimana sesuai agar ia mampu menawan hati bakal pembeli. Apatah lagi ia dilakukan dengan tujuan kerja amal. Kalau boleh biarlah dibeli peminat atau peminat sofa dan hasilkan dengan banyaknya.

"Kami cuba menghasilkan sofa yang begitu praktikal. Ia tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil. Sesuai untuk seisi keluarga yang sederhana. Untuk menghasilkan sesuatu yang besar masalahnya bimbang nanti tidak muat untuk pembeli mahu meletakkan di dalam rumah atau ia terlalu banyak makan ruang," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai usaha dilakukan Pengarah Eksekutif Macy, Choong Kar Weng menjelaskan kempen untuk mengutip derma bagi mengisi tabung Yayasan Chow Kit menerusi hasil jualan sofa terbabit sudah pun bermula 25 Mei lalu. Mereka berminat boleh melihat sendiri kreativiti selebriti tempatan menghasilkan bentuk sofa yang dipamerkan di Ikano Power Centre dan juga Wisma Minlon.

"Hasil jualan sofa yang dibeli seratus peratus akan diserah kepada Yayasan Chow Kit, ia juga diadakan bersempena dengan Festival Sofa dan Langsir Macy bermula 20 Mei hingga 12 Jun ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.