Adsense

Khamis, 19 Mei 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jangan pisahkan

Posted: 18 May 2011 06:07 PM PDT

Hip

Penulis Nur Kasih lebih rela bekerja bersama suami

BARANGKALI ada yang tertanya, siapa wanita yang muncul di muka depan ruangan Hip hari ini. Pada ketika wajahnya mungkin tidak begitu dikenali, namun karya sentuhannya menjadi ikutan ramai serta berjaya meruntun jutaan jiwa.

Dialah insan kreatif di sebalik kejayaan Nur Kasih, drama rantaian yang berjaya mencetuskan fenomena sehingga disaksikan lebih 19 juta penonton. Mulai hari ini, Mira Mustafa tampil pula bersama karya terbaru tulisannya, Nur Kasih The Movie (NKTM). Wanita berusia 40 tahun ini juga pernah menyalurkan ideanya untuk filem Cinta dan Sepi. Ketiga-tiga filem berkenaan diarahkan suaminya, Kabir Bhatia.
Pasangan ini pada hakikatnya umpama sebuah pakej lengkap. Lazimnya, di mana ada Kabir, di situ juga ada Mira.

Mira yang mendapat pendidikan rasmi dari Universiti Washington dalam Ijazah Perniagaan mengakui lebih selesa berkerja bersama dengan suaminya. Pernah dia mendapat tawaran daripada syarikat lain, tetapi terpaksa ditolak kerana lebih senang bekerja dengan lelaki yang sudah dikahwininya sejak 10 tahun lalu itu.

Kata wanita lemah lembut ini, sebagai suami, Kabir memahami isi hatinya, lantaran dia tahu apa yang ingin disampaikannya menerusi skrip dihasilkan.
"Mungkin sukar sedikit agaknya untuk saya bekerja dengan pengarah lain kerana bimbang apa yang ingin saya sampaikan dalam skrip tidak dipersembahkan mengikut kehendak saya. Lagipun, saya lebih senang bekerja dengan Kabir kerana dia faham dialog saya. Dia juga tahu bagaimana dialog itu sepatutnya disampaikan pelakon.

"Selepas filem Cinta, memang pernah ada penerbit yang ingin bekerjasama dengan saya tetapi saya menolaknya dengan baik. Sejak itu, tiada lagi yang bertanya.

Mungkin mereka faham saya tidak selesa bekerja dengan orang lain. Terus terang, memang saya tidak bersedia dan berdebar jika bekerja dengan pengarah lain," katanya yang hadir ke sesi fotografi ditemani suami tercinta.

Kekok dan malu-malu ketika diminta memberikan 'pose' menarik, pasangan suami-isteri ini mula berkenalan ketika sama-sama berkhidmat di Antah UTV. Dua tahun memadu kasih, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang. Hasil perkahwinan selama sedekad, pasangan romantis ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 9 tahun.

Dalam membicarakan soal kerjaya, pasangan ini mengaku sentiasa mengamalkan sikap toleransi. Biasanya, usai menghasilkan skrip, Mira akan segera merujuk kepada suaminya. Sesekali memang terjadi percanggahan pendapat atau pertentangan idea, namun lazimnya mereka cuba mempertahankan hak masing-masing.

Bagaimanapun pada akhirnya mereka akan melihat idea mana lebih relevan digunakan.

"Saya memang merujuk kepada Kabir apabila menghasilkan skrip untuk NKTM. Dia yang memberikan idea supaya memasukkan adegan kereta api meletup di Jordan dalam sebuah babak filem ini.

"Babak itu amat penting kerana ia menjadi pencetus kepada apa yang bakal berlaku seterusnya. Kalau diikutkan, babak itu memang boleh dilakukan di sini saja. Tetapi bagi kami, untuk sebuah filem, lebih elok jika babak penting seperti itu dibuat di luar.

"Agak sukar juga untuk menghasilkan skrip NKTM, hampir dua bulan baru saya dapat menyelesaikannya. Saya mempunyai ruang yang mencukupi ketika menghasilkan skrip drama rantaian, tetapi untuk filem pula, segala-galanya perlu disumbat untuk tempoh waktu yang singkat. Jadi ia memberikan sedikit cabaran kepada saya memilih cerita yang menarik," kata Mira lagi.

Sukar dapat peluang berkarya

Gemar berbaju kurung, Mira terlebih dulu mengasah bakatnya dalam bidang penulisan menerusi teater Inggeris bersama Datuk Zahim Al Bakri, sebelum berkhidmat bersama Antah UTV. Selama berkhidmat dengan syarikat berasal dari India itu, dia pernah menulis skrip untuk drama Idaman dan Jodoh. Ketika itu, Kabir turut berkhidmat sebagai pengarah.

Kabir yang berasal dari Mumbai, India, berhijrah ke Malaysia pada 1996 selepas syarikat dinaungi UTV India membuka cawangannya di sini. Pada mulanya dia terbabit sebagai pengarah dalaman sebelum melebarkan sayapnya ke skop lebih luas.

Pada awalnya ujar Kabir, sukar untuk mendapatkan peluang di sini kerana industri hiburan di Malaysia tidak terlalu besar. Bagaimanapun selepas melihat hasil kerjanya, dia akhirnya mendapat kepercayaan syarikat penerbitan tempatan.

"Sebagai orang asing, memang sukar untuk mendapatkan peluang daripada syarikat penerbitan di sini. Saya diberikan kepercayaan oleh Alternate Studio, anak syarikat kepada Grand Brilliance untuk mengarahkan Cinta selepas mereka melihat hasil kerja saya. Sejak dari itu, barulah penerbit lain mula mempercayai kerja saya.

"Saya tidak kisah jika cara pengarahan saya ditiru pengarah lain. Malah saya sendiri kini sedang menggilap lima pengarah muda, saya juga tidak kisah berkongsi ilmu atau ada orang yang cuba mencedok idea saya, kerana ilmu itu tidak datang dengan sendiri. Sebaliknya saya juga belajar daripada orang lain," kata Kabir.

Sementara itu, ketika diusik pertanyaan apakah peminat akan dapat menyaksikan sambungan drama Nur Kasih selepas versi filemnya menemui penonton di pawagam, Kabir mahupun Mira tidak berasakan sedemikian.

Kata pengarah terbabit, mereka lebih suka menghasilkan cerita yang baru dan berbeza, daripada menyambung drama berkenaan.

"Cukuplah dengan apa yang kami persembahkan menerusi filem Nur Kasih ini. Rasanya kami tidak lagi akan membuat musim kedua ataupun filem susulannya," kata Kabir bersulam senyuman penuh makna, sambil disokong isterinya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Elak lawak kosong

Posted: 18 May 2011 05:54 PM PDT

Hip

HARITH Iskander (kiri) dan Dougles Lim.

HARITH Iskander (kiri) dan Dougles Lim.

Harith, Douglas berganding tenaga jayakan sketsa komedi

MEMANG sukar untuk membuatkan penonton terhibur dengan persembahan berbentuk sketsa komedi, tetapi itulah yang perlu dihadapi Harith Iskander dan Douglas Lim.

Sebagai penghibur, sesukar mana pun tugas dipikul, mereka berusaha memastikan setiap jenaka yang dipersembahkan bukan saja membuatkan penonton ketawa, malah persembahan berkenaan harus mempunyai mesej supaya ia tidak dilihat lawak kosong. Hanya menerusi pembacaan mereka berasakan matlamat itu dapat dicapai. Dengan membaca, mereka bukan saja boleh membentuk penceritaan, sebaliknya elemen jenaka juga dapat disuntik sama.

Bagi Douglas, gandingannya bersama Harith dalam persembahan HD Stand Up Comedy di Petaling Jaya Live Arts (PJLA) yang bermula 17 hingga 19 Mei menyajikan persembahan menarik dengan sketsa yang mampu mencuit hati.

Walaupun hanya berbentuk penceritaan, namun dia yakin gandingan mereka dapat memberikan persembahan luar biasa di samping menyampaikan mesej terkini sebagai hiburan.

"Memang lawak begini lebih sukar berbanding sitkom atau drama komedi sebab ia tidak mempunyai skrip. Kita kena reka sendiri. Justeru, melalui bacaan, dengan mengambil cerita atau berita yang ada dalam akhbar, dapat juga kita membentuk satu komedi.
"Bagaimanapun tidak semua yang kita rancang akan berlaku dalam persembahan. Kadang-kadang penggunaan ayat yang tidak sepatutnya juga akan terkeluar secara spontan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebelum ini, katanya, Harith menjayakan persembahan itu seorang diri. Kali ini, dia dipilih untuk bergandingan dengannya, yang membuatkan pemuda ini berbesar hati.

"Kami sudah kenal lama, jadi ia tentunya sedikit sebanyak memudah kerja. Pembabitan saya dalam Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) baru-baru ini pun atas usaha Harith dan Hans," katanya.

Keserasian kedua-dua mereka diakui sejak terbabit dalam sitkom Jangan Ketawa suatu ketika dulu, malah gandingan ini juga dijangka mampu membuatkan penonton tidak kering gusi.

Harith sendiri mengakui pemilihan Douglas dalam sketsa itu nanti dapat membantunya menghidupkan suasana yang mencuit hati serta meninggalkan memori buat penonton yang hadir.

"Tahun lalu saya berseorangan di pentas, namun sambutan sangat luar biasa diberikan peminat sampaikan tiket habis dijual. Diharapkan, dengan adanya Douglas, persembahan ini akan lebih mendapat sambutan. Maklum balas daripada penonton yang pernah menonton saya pada tahun lalu juga sangat menggalakkan," katanya.

Bagi Harith, sketsa sebegini tidak memerlukan skrip. Bagaimanapun menerusi pembacaan, mereka dapat tahu apa yang berlaku seharian dan perkara itu membantu dalam menyampaikan persembahan.

Bahkan, setiap sketsa akan jadi lebih menarik dan kelakar apabila menyentuh isu semasa.

"Persembahan kita akan jadi kelakar kalau menyentuh isu semasa seperti isu pilihan raya di Sarawak yang kita adun menjadi lebih menarik.

"Isu peribadi juga akan terkeluar walaupun kita cuba mengelak, tetapi kita akan cuba kawal dan jadikannya lebih menghiburkan. Maklumlah inikan stand up comedy, tak ada skrip," katanya.

Setelah 20 tahun terbabit dalam bidang komedi, Harith mengakui banyak yang perlu diperbaiki dalam persembahannya supaya sentiasa mengikut cita rasa penonton dan tidak hambar.

Menunggu cahaya mata

MESKIPUN agak sibuk selepas berkahwin, namun Harith mengaku dia berusaha memastikan dirinya mempunyai masa buat isteri tercinta. Ketika yang sama dia mengaku masih menanti cahaya mata yang dianggapnya penyeri sesebuah rumah tangga.

Walaupun sudah hampir setahun mendirikan rumah tangga, Harith tidak sabar untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa, malah melihat telatah kanak-kanak membuatkan dirinya keriangan.

"Siapa yang tak mahu anak dan sehingga kini saya masih lagi menanti, tetapi nak buat macam mana belum ada rezeki.

"Insya-Allah rezeki saya akan ada, cuma tak tahu bila. Paling penting, saya sekarang bertambah bahagia sejak berkahwin dan semakin sibuk," katanya.
Jika sebelum ini dirinya sibuk dengan pementasan LKBSM, Jun ini Harith, 44, dan isteri, Jezzamine Lim, 27, akan berbulan madu kali kedua. Kali ini mereka memilih Mauritius sebagai destinasi percutian.

Tentunya dia ingin menggunakan kesempatan itu untuk berehat sepuas-puasnya. Lebih-lebih lagi, tugasnya semakin sibuk selepas ini dengan persiapan mengadakan muzikal Cuci musim ketiga pada tahun hadapan, bersama Hans.

"Melihat kejayaan LKBSM yang pecah rekod, dengan hampir setiap hari dewan dipenuhi peminat, membuatkan kami seronok untuk mengadakan persembahan lain," katanya.

Ketawa selama sebulan di PJLA

DENGAN adanya PJLA, penghibur ini berasakan ruang untuknya bergiat dalam persembahan komedi semakin besar. Malah sejak dibuka dua tahun lalu, PJLA menjadi platform terbaik untuk mengangkat persembahan komedi ke tahap lebih baik.

Bukan saja Harith, malah barisan penghibur komedi tempatan turut diberi peluang untuk mengadakan persembahan di lokasi ini, di samping mempromosikan komedi sebagai hiburan santai buat masyarakat.

Malah, bagi peminat sketsa komedi atau pementasan berunsurkan komedi, mereka berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan di PJLA selama sebulan bermula 28 April lalu hingga 5 Jun ini.

PJLA membuka pentasnya kepada penonton dengan pelbagai sajian sketsa komedi menarik dengan harga tiket berpatutan.

Selain HD Stand Up Comedy, persembahan yang dijangka mendapat sambutan hangat penggemar komedi adalah Projek Disko Baldi, Actorlympics dan Kuah Jenhan: Tall, Dark & Comedian.

Actorlympics dijangka mencuri perhatian peminat kerana menampilkan pelakon seperti Afdlin Shauki, Harith Iskander, Nell Ng, Rashid Salleh, Ida Nerina, Patrick Teoh, Kuah Jenhan, Douglas Lim dan Reza Zainal Abidin.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.pjla.com.my atau hubungi talian Box Office 03-7960 0439 untuk mendapat tiket persembahan.

Persembahan komedi di Petaling Jaya Live Arts (PJLA):

1. Sticks, Stones, Broken Bones (Kanada) - 10-15 Mei
2. HD Stand Up Comedy - 17-19 Mei
3. KAM... Fully Loaded! - 20 - 22 Mei
4. Jumping Jellybeans Party! - 24-27 Mei
5. Comedy Court - 24-25 Mei
6. The Comedy Club Asia - 26 Mei
7. Kuah Jenhan: Tall, Dark & Comedian - 27-28 Mei
8. Projek Disko Baldi - 28-29 Mei
9. Actorlympics - 31 Mei-2 Jun
10. Shelah Says Life's A Drag - 3-5 Jun


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.