Adsense

Selasa, 10 Mei 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jangan kaitkan kami

Posted: 09 May 2011 03:40 PM PDT

Hip

Sharifah Sakina berusaha sendiri untuk dikenali dalam dunia seni

BUKANLAH sesuatu yang pelik dalam dunia hiburan apabila si anak mengikuti jejak langkah orang tua, ataupun si adik menuruti langkah abang mahupun kakaknya, untuk sama-sama mencipta nama. Bahkan sejak dulu, pengaruh daripada mereka yang terlebih dulu memasuki dunia seni ke atas generasi kedua mahupun ketiga dalam keluarga mereka ialah perkara biasa.

Andainya Tan Sri P Ramlee melihat anaknya, Nasir, turut terbabit dalam dunia seni, begitu juga dengan Seniwati Datuk Sarimah Ahmad yang memperturunkan bakat dalam diri kepada M Jamil, sementara pasangan Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah Baharom melihat anak mereka, Fauziah atau Ogy, cemerlang dalam lakonan dan muzik. Di Barat juga, seni bagai mengalir dalam tubuh keluarga Baldwin, apabila Alec, Daniel, William dan Daniel bergelar pelakon. Manakala Kylie Minogue dan adik perempuannya, Dannii, sama-sama berjaya dalam dunia nyanyian.

Bukan saja dalam dunia hiburan, malah bidang lain turut menyaksikan keadaan serupa apabila ramai generasi lebih muda memilih karier yang sama dengan orang tua mahupun kakak atau abang mereka.

Keluarga Syed Abu Bakar juga nampaknya menyaksikan keadaan sama melanda mereka apabila jejak Sharifah Norhaslinda (Lin) dan Sharifah Shahira (Shira) kini turut diikuti adik mereka, Sharifah Sakina.

Begitupun, jika boleh, gadis yang lebih mesra membahasakan dirinya Kina ini tidak mahu pembabitannya dalam dunia hiburan tanah air dikaitkan dengan dua kakaknya yang lebih dulu bergelar pelakon.
Jika diberikan ruang, gadis manis berusia 21 tahun yang mudah mesra dan gemar berceloteh seperti Shira itu mahu peminat mengenali dirinya kerana bakatnya sendiri, bukan bergantung kepada cerita yang mengaitkannya dengan dua saudara perempuannya itu.

Apatah lagi, minatnya pada dunia lakonan sebenarnya sudah berada dalam diri sejak dia masih kecil. Lebih daripada itu, dia juga banyak terbabit dalam kerja di belakang tabir, yang akhirnya membuatkannya lebih berani untuk turut sama berada di depan kamera.

Menurutnya, tanpa pengetahuan dua kakaknya, dia berusaha sendiri dengan menghadiri pelbagai sesi uji bakat dan setimpal dengan usaha kerasnya, nasib baik menyebelahi diri Kina apabila dia akhirnya ditawarkan berlakon.

"Sudah hampir setahun sudah saya menjejakkan diri dalam dunia lakonan. Pada mulanya, kakak saya tidak mengetahui langsung mengenai keinginan saya untuk terbabit dalam bidang ini. Saya memang tidak menceritakannya kepada mereka.

"Saya akui memang minat berlakon kerana sejak kecil lagi saya banyak mengikuti adik-beradik saya ke lokasi penggambaran dan melihat kakak saya beraksi di depan kamera, serta menolong dalam bidang produksi.

"Sampai sekarang pun, saya masih menjadikan lakonan dua kakak saya sebagai panduan. Contohnya, jika saya membawakan watak serius, saya akan melihat balik lakonan Kak Lin. Begitupun, saya tidak bertanyakan kepada mereka, sebaliknya cukup sekadar menonton. Dari segi komedi pula, saya banyak mencontohi Kak Shira.

"Syukur, kini seluruh keluarga saya menyokong kerjaya dan minat saya sebagai pelakon, malah ibu saya turut memberikan galakan untuk saya berjaya dalam bidang ini. Katanya, jika tidak pandai belajar, boleh berlakon," katanya ketika hadir ke Balai Berita, baru-baru ini.

Lebih gemarkan watak komedi

ANTARA drama yang pernah dibintanginya ialah Hotel Mania, Samson Delaila, Dottie dan Langsai. Kini Kina ialah seorang daripada teraju utama drama Mata Ayer yang ditayangkan menerusi slot Lagenda, TV3.

Selepas setahun bergerak dari bawah dan hanya membawakan watak sampingan, Kina nyata cukup terharu dan berbangga apabila ditawarkan watak utama dalam drama bersiri itu.

Namun, akui gadis ini, bukan mudah untuk dirinya membawakan watak Shidah, seorang gadis yang serius, pendiam, garang dan sememangnya bertentangan dengan sikapnya yang gila-gila dan ceria.

"Bukan setakat itu saja, penggambaran di Perlis juga memberikan banyak kenangan kepada saya. Buat kali pertama saya berhadapan dengan banjir yang agak teruk dan cuaca panas yang melampau.

"Bagaimanapun, semua itu tidak mendatangkan kesulitan kerana seluruh tenaga produksi begitu bagus dan profesional ketika bekerja. Kami bekerjasama antara satu sama lain dan keadaan itu membuatkan saya berasa sungguh selesa berkerja dengan warga Zeel Production.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana diberi peluang untuk menjayakan watak yang begitu baik, serta berkerja dengan produksi ini," ujarnya dengan nada yang riang.

Sementara itu, gadis yang meminati lakonan Noor Kumalasari dan Hasnul Rahmat ini turut mendakwa pada hakikatnya dia lebih menggemari watak komedi berbanding watak serius.

Dia yang pernah tampil dalam iklan Maxis, Gardenia dan Tropicana juga berasakan, tiada pelakon wanita seusia dengannya ketika ini mampu membawakan watak komedi dengan baik sekali.

Justeru, Kina mahu menempa kelainan dengan cuba memainkan watak komedi bersesuaian dengan usia remajanya. Jika diberi peluang menjayakan watak sedemikian, pastinya gadis ini tidak akan menolak.

Berbeza juga dengan bakat baru lain, Kina tidak mengejar watak utama semata-mata. Sebaliknya, dia menerima apa saja watak yang diberikan kerana pengalaman yang ditimba, katanya, akan mendewasakan lagi diri dan selagi masih muda, dia mahu merebut peluang sebanyak mungkin.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Rupa, bakat seiring

Posted: 09 May 2011 03:36 PM PDT

Hip

pix_gal0
Rozita percaya rezekinya dalam lakonan kerana kebolehan yang dimiliki

LINGKARAN kisah cintanya dengan satu demi satu lelaki lebih hebat diperkatakan berbanding pencapaian dalam lakonan. Lantaran kekerapan dikaitkan dengan ramai kaum Adam, aktres jelita, Rozita Che Wan, diselar kerana dikatakan mencipta populariti dengan menjaja isu peribadi berbanding karier seni.

Biar apa pun label diberikan, ibu kepada dua cahaya mata ini mengakui dirinya sudah lali. Barangkali lima tahun lalu, dia akan terpinga-pinga apabila digosipkan. Namun kini, gosip bagaikan santapan harian. Anggun dengan sepasang persalinan rona merah jambu terang jenamanya sendiri, My Couture, wanita berasal dari Kedah ini kurang setuju apabila dikatakan menyertai dunia lakonan bersandarkan rupa paras semata-mata, tanpa diiringi bakat.

Andai tidak bersulamkan bakat, mana mungkin dia mendapat tawaran selepas menghadiri uji bakat diadakan syarikat milik aktor Shaharuddin Thamby, kira-kira lima tahun lalu.

"Bagi saya kedua-duanya penting, rupa paras dan bakat adalah perlu untuk seseorang pelakon. Bagaimanapun, bakat masih lagi menjadi keutamaan. Selama mana kita hendak bergantung pada rupa kerana lama-kelamaan penonton akan jemu.

"Kalau saya tidak berbakat, tidak mungkin saya ditawarkan berlakon. Lagipun ketika itu ada kira-kira tiga panel yang dipertanggungjawabkan untuk membuat penilaian. Takkanlah ketiga-tiga mereka melihat pada rupa paras semata-mata?
"Cukuplah sekali saya rasai pengalaman itu. Saya tak mahu melaluinya lagi. Pengalaman itu cukup memalukan kerana perlu melakonkan pelbagai watak di hadapan ramai orang. Bagaimanapun saya bersyukur, kerana uji bakat itu, saya ditawar memegang watak utama untuk drama Cinta Terlarang," kata Rozita.

Menceritakan bagaimana dia boleh terbabit dalam dunia lakonan, semuanya berpunca daripada adiknya, Ayu Raudhah yang terlebih dulu menceburi bidang itu. Ayu yang mengajaknya menghadiri uji bakat yang dianjurkan Shaharuddin kerana diminta oleh pelakon itu untuk mencari pelakon wanita bagi drama terbitannya.

Pada mulanya, memang timbul perasaan ragu-ragu. Mampukah dia berlakon sedangkan dia tidak memiliki asas lakonan? Bagaimanapun setelah bertemu dengan Shaharuddin dan ditawarkan RM5,000 untuk penggambaran selama 20 hari, hatinya terus melonjak.

"Kebetulan saya tidak mempunyai sebarang kerja, sekadar mengambil tempahan menjahit baju di kampung. Jadi rasanya tidak salah untuk mencuba. Apabila ditawarkan RM5,000 untuk 20 hari penggambaran. Saya menjadi teruja. Siapa yang mahu menolak tawaran tinggi sebegitu? Kerja cuma 20 hari dan 10 hari lagi cuti.

"Kalau hendak dibandingkan gaji yang diterima sebagai pelakon dengan gaji ketika bekerja di pejabat dulu, perbezaannya memang banyak. Jadi saya pun ambil keputusan untuk terima saja. Lainlah jika jumlah yang ditawarkan kepada saya kecil, mungkin saya akan ambil masa untuk terima. Saya berlakon bukanlah untuk kejar glamor tetapi lebih untuk menyara hidup, apatah lagi saya ini berstatus ibu tunggal," dedah Rozita.

Kini bergelar pembekal pakaian

MUNGKIN ramai yang tidak tahu, selain berkebolehan berlakon. Rozita juga memiliki kebolehan menjahit pakaian. Bagaimanapun, dia hanya mampu menjahit baju kurung pesak yang dipelajari daripada ibunya. Malah, dia pernah menjahit baju kurung ketika musim perayaan dan dijual di Sungai Wang.

Baju kurung pesak sentuhan Rozita mendapat sambutan menggalakkan apabila hanya sehelai saja tidak berjaya dijual. Namun perniagaan itu terhenti setelah dia menceburi dunia lakonan.

Kerana minat yang mendalam terhadap fesyen, Rozita menubuhkan syarikat membekal pakaian bersama rakannya, Hanim Shahrom. Idea menubuhkan syarikat itu timbul selepas perkenalan mereka ketika dia bergelar duta produk kecantikan Avon.

"Sebenarnya sudah lama saya ingin memiliki perniagaan pakaian. Bersama dua adik saya, kami pernah merancang untuk memiliki perniagaan itu. Tetapi selepas mereka berkahwin, cita-cita itu terkubur begitu saja. Maklumlah mereka sibuk menguruskan rumah tangga, jadi manalah ada masa untuk memikirkan mengenai perniagaan.

"Pertemuan dengan Kak Hanim membuahkan idea untuk mewujudkan perniagaan membekal pakaian. Syarikat kami yang dipanggil My Couture menyediakan khidmat membekal pakaian wanita yang kontemporari tetapi sopan kepada butik serta mereka yang ingin berniaga secara atas talian.

"Setiap pakaian yang kami hasilkan tidak dibuat dalam jumlah yang banyak kerana kami mementingkan nilai eksklusiviti. Alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Pakaian kami sudah menembusi pasaran antarabangsa, antaranya United Kingdom, Dubai dan Singapura," kata Rozita ketika ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Raudah di Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Biarpun dalam kesibukan sebagai pelakon, Rozita tidak menyerahkan kesemua tugas kepada rakan kongsinya. Sebaliknya tugas mereka pakaian, memilih dan membeli material dilakukan bersama-sama.

Menyentuh mengenai material pula, kata Rozita, dia hanya membelinya di sini kerana mereka diberikan harga istimewa. Justeru, dia tidak perlu ke luar negara untuk mendapatkan fabrik.

'Lebih baik lelaki muda, daripada suami orang'

DIKAITKAN dengan jejaka bernama Shahir bukanlah sesuatu yang baru. Difahamkan ramai peminat penyanyi muda itu tidak bersetuju Rozita terlalu akrab dengannya. Namun kata Rozita, kenapa mereka perlu marah sedangkan dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi itu.

Rozita menjelaskan, dia senang berkawan dengan lelaki muda kerana tidak perlu terlalu menjaga perlakuan dan tutur kata. Manakala apabila berkawan dengan lelaki berusia pula, semua itu perlu diambil kira.

"Kenapa peminat hendak marah saya berkawan dengan lelaki muda? Saya rasa lebih baik berkawan dengan lelaki muda daripada berkawan dengan suami orang. Saya mengaku lebih selesa dengan lelaki muda kerana saya tidak perlu terlalu menjaga tingkah laku. Bukanlah bermakna saya boleh bersikap kurang ajar hanya disebabkan saya lebih berusia, tetapi sekurang-kurangnya saya tidak perlu terlalu menjaga hati.

"Walaupun saya sukakan lelaki muda bukan bererti saya sukakan mereka yang terlalu kebudak-budakan. Sebaliknya saya sukakan mereka yang berfikiran matang," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.