Adsense

Selasa, 29 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Erra idam anak kedua

Posted:

Erra idam anak kedua

Erra idam anak kedua

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN


PRIMADONA filem Melayu ini mengakui masih belum puas dengan kariernya.


SATU persatu kisah rumah tangga Erra Fazira cuba ditelanjangkan dan entah mengapa sejak dia mendirikan berumah tangga untuk kali kedua, cerita peribadinya tidak habis diperkatakan masyarakat.

Dulu, suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan teman sepejabat.

Sekarang timbul pula cerita mengatakan Erra dan suaminya tidak lagi tinggal sebumbung. Lebih menggemparkan apabila bekas Ratu Cantik Malaysia itu didakwa sudah dimadukan oleh Engku Emran.

Kadang-kala dia sendiri berasa pelik dan hairan bagaimana orang luar lebih tahu tentang alam rumah tangganya berbanding dirinya sendiri.

Bagi tuan empunya diri, dia hanya menganggap kisah yang bertebaran itu sebagai sebuah cerita lucu yang tidak perlu diambil serius.

"Saya hanya mampu tersenyum dan ketawa sendirian apabila mendapat tahu pelbagai kisah rumah tangga saya asyik diperkatakan ramai.

"Sedikit pun saya tidak melatah mahupun melenting kerana saya tahu semua cerita itu tidak benar sama sekali. Saya memang bersedia untuk berdepan dengan cerita sebegini sebaik sahaja saya membuat keputusan untuk bergelar seorang isteri.

"Kalau diperhatikan, ia sebenarnya satu kitaran dalam hidup seseorang artis. Jika masih bujang, orang akan bertanya bila kita akan berkahwin. Bila sudah menjadi isteri, persoalan tentang anak pula akan timbul.

"Apabila terjadinya perkara sebegini kepada saya, semuanya saya anggap sebagai sesuatu yang normal. Apa yang boleh saya katakan apa saja cerita yang menjadi perbualan kini adalah tidak benar sama sekali," jelas Erra dalam nada tenang.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek berkata demikian pada majlis pelancaran koleksi terbaru Rafflesia The Pearl Centre yang diberi nama Primadona Classic di ibu negara, baru-baru ini.

Sesuai dengan statusnya sebagai seorang bintang ternama, Erra yang cukup anggun menyarungkan busana rekaan Riffai pada petang itu telah diberi penghormatan menggayakan rantai dan gelang tangan mutiara bernilai RM180,000.

Erra dan Engku Emran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif saluran berita di Bernama TV itu mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007.

Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan dengan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang akan berusia dua tahun pada 30 Mac ini.

Erra juga menjelaskan dia sendiri tidak mahu menekan suaminya dengan bertanyakan soalan-soalan yang tidak munasabah sedangkan mereka berdua tahu setiap berita yang tersebar tidak benar sama sekali.

Apabila ditanya adakah dia menjadi mangsa segelintir pihak yang mungkin menyimpan dendam mahupun iri hati kepadanya, Erra yang berusia 37 tahun itu hanya mahu berfikiran positif.

"Apa yang berlaku kepada saya merupakan perkara normal yang pasti akan dihadapi oleh artis. Sebelum ini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza pernah berdepan dengan masalah yang sama.

"Jadi, saya tidak mahu memeningkan kepala saya dengan terlalu memikirkan soal ini. Lebih baik saya fokus kepada kerja dan juga keluarga saya," katanya tanpa selindung.

Wanita yang dilahirkan pada 9 Februari 1974 ini juga dengan penuh terbuka memberitahu, dia sudah bersedia untuk menimang cahaya mata kedua.

Ujarnya, memang dia dan Engku Emran telah merancang untuk memiliki anak kedua selepas Engku Aleesya berusia dua tahun.

Belum puas

Walaupun sudah membintangi lebih 30 buah filem dan diiktiraf dengan gelaran Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak dua kali, bagi Erra, dia belum merasakan kerjayanya sebagai seorang pelakon sudah berada di puncak.

Bukan hanya Erra tetapi mana-mana anak seni yang memiliki cinta sejati dalam dunia seni tidak akan pernah berasa puas dengan apa yang mereka telah lakukan.

Selama 18 tahun mengabdikan diri sebagai seorang artis, Erra menggambarkan perjalanannya penuh dengan warna-warni dan perlu menempuhi cabaran yang bukan calang-calang.

"Sukar bagi saya sebenarnya untuk menyakinkan masyarakat dengan bakat saya kerana mereka melihat seorang Ratu Cantik Malaysia hanya mempertaruhkan kecantikan berbanding bakat yang ada.

"Percaya atau tidak, saya boleh katakan hanya selepas 10 tahun bergelar seorang aktres, barulah kehadiran saya memberi impak yang besar.

"Sehingga kini pun, saya masih lagi mencari watak-watak yang mampu mencabar kewibawaan saya sebagai seorang aktres kerana saya mahu lakonan saya itu dapat meninggalkan kesan," kata Erra yang kali terakhir muncul menerusi filem Andartu Terlampau dan 21 Hari Mencari Suami tahun lalu.

Erra juga kini sibuk di lokasi penggambaran telemovie, Sanggul Beracun arahan Sabri Yunus.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tertekan kerana

Posted:

Tertekan kerana <i>Kemboja Putih</i>

Tertekan kerana Kemboja Putih

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL dan ihsan GRAND BRILLIANCE


EIRA Syazira mengakui berlakon dalam Kemboja Putih mempunyai cabarannya sendiri.


WALAUPUN sering diberikan watak wanita baik yang teraniaya dan dirundung malang, bagi aktres Eira Syazira drama bersiri Kemboja Putih tetap mempunyai cabarannya tersendiri.

Malah, Eira sendiri mengakui dia berasa tertekan membawakan watak Kemboja yang disifatkannya sebagai watak yang cukup mencabar emosinya sebagai seorang aktres.

"Mana tidaknya. Inilah juga kali pertama saya membawakan watak roh yang mempunyai sifat dendam dan menyimpan amarah yang cukup mendalam kepada orang yang telah menyebabkan kematiannya.

"Hampir sebahagian besar adegan dalam drama Kemboja Putih ini memerlukan saya menangis. Memang benar sebelum ini saya sudah biasa dengan watak air mata tetapi kali ini ia berbeza.

"Kalau sebelum ini tangisan saya adalah kerana sedih tetapi untuk Kemboja Putih, saya menangis kerana terlalu marah dan ia memerlukan saya untuk bermain dengan emosi dalaman," ujar Eira terus-terang ketika ditanya tentang pengalaman membintangi drama 20 episod itu.

Eira atau nama sebenarnya, Syazira Shuhaimi berkata demikian usai majlis pelancaran drama tersebut di Petaling Jaya baru-baru ini.

Turut hadir, pengarah Kemboja Putih iaitu Haris Fadzilah dan barisan pelakon lain seperti Fauzi Nawawi, Ezany Nizariff, Rahhim Omar, Idris Md. Diah, Fadhilah Mansor dan ramai lagi.

Menyambung bicara, Eira menjelaskan untuk mendapatkan penghayatan bagi watak Kemboja, dia sendiri telah menonton filem popular Thailand, Nang Nak bagi mendapatkan gambaran sebenar terutama ekspresi wajah seorang yang pendendam.

Dalam cabarannya itu juga, jelas Eira, ada juga senangnya membawakan watak Kemboja apabila dia tidak perlu menyalin busana yang banyak serta wajahnya tidak perlu ditata rias dengan solekan yang berlebihan.

"Saya hanya perlu memakai busana dengan tata rias yang serupa dari episod lima hingga ke episod ke-20.

"Jujurnya, ia memberikan pengalaman baru untuk saya sepanjang bergelar aktres," kata Eira yang akan menginjak usia 27 tahun pada 19 Julai ini.

Mengenai keserasiannya bersama Fauzi yang memegang watak sebagai suaminya bernama Amar dalam Kemboja Putih, tanpa selindung Eira memberitahu dia tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk mencipta keserasian.

Apatah lagi pernah membintangi beberapa buah drama sebelum ini, keserasian itu sudah tercipta lebih awal dan jelas Eira, apa yang dia dan Fauzi lakukan hanyalah berbincang sebelum penggambaran untuk mendalami watak masing-masing.

Membintangi drama yang memiliki elemen mistikal seperti Kemboja Putih, Eira memberitahu dia juga pernah berdepan dengan pengalaman seram apabila berlakon di sebuah rumah lama di Hulu Langat, Selangor sebagai lokasi utama.

Semuanya gara-gara kerana dia tidak meminta izin terlebih dahulu sebelum menggunakan pinggan yang ada di rumah tersebut dan dia menyangka jurusolek artis sudah pun berbuat demikian.

"Akibatnya, saya sering jatuh sakit sehingga menyebabkan penggambaran diberhentikan selama dua hari. Apabila ke doktor untuk membuat pemeriksaan, semuanya dalam keadaan baik tetapi saya tetap tidak berpuas hati.

"Lalu, saya pergi ke pusat perubatan tradisional dan diberitahu ada sesuatu di badan saya yang menyebabkan saya sakit.

"Alhamdulillah, saya sudah pulih sepenuhnya sekarang. Saya diberitahu rumah berkenaan sedikit keras kerana tuan rumahnya meninggal dunia di sana. Apa yang berlaku saya jadikan pengalaman untuk lebih berhati-hati selepas ini," ceritanya sambil ketawa kecil.

Sementara itu, Haris yang ditemui pula berkata, dia cukup kagum dengan skrip Kemboja Putih yang ditulis oleh dramatis popular, Rozie Rashid.

Walaupun dia tidak menafikan jalan cerita tersebut mempunyai persamaan dengan filem Nang Nak namun Haris menggarapnya mengikut acuan tempatan.

"Selain jalan ceritanya, saya amat menitik beratkan soal lakonan dan saya amat berpuas hati dengan komitmen semua pelakon dalam Kemboja Putih. Adalah juga saya membuat sedikit perubahan dengan restu daripada Rozie," katanya yang kali pertama mengarahkan drama bersiri untuk slot Lagenda.

Kemboja Putih mula menjalani penggambaran sejak Januari lalu selama 54 hari dan mengambil lokasi di Hulu Langat dan Kuang, Selangor serta kawasan sekitar Lembah Kelang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.