Adsense

Khamis, 24 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Hati Marsha sudah dimiliki

Posted:

Hati Marsha sudah dimiliki

Hati Marsha sudah dimiliki

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar FATAH SULAIMAN


MENGAKUI sudah dua tahun intim dengan jejaka Melayu yang hanya mahu dikenali sebagai Z.


MARSHA Londoh merupakan bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) yang paling popular selepas juara program realiti televisyen (TV) musim itu, Mawi mencetuskan fenomena lapan tahun lalu.

Biarpun populariti Mawi dikatakan semakin merudum, tetapi ia sebaliknya buat Marsha yang kini semakin laris dengan tawaran berlakon drama, telemovie mahupun filem.

Pelakon dan penyanyi yang dilahirkan di Berrien Springs, Michigan, Amerika Syarikat pada 6 November 1985 itu bukan setakat menjadi sebutan para peminat kerana bakat seninya.

Malah, Marsha yang dibesarkan di Tamparuli, Sabah ini juga sering mencetuskan banyak gosip panas yang mengaitkannya dengan ramai artis mahupun selebriti terkenal tanah air.

Dalam pada sibuk menafikan semua gosip itu termasuklah pernah dikaitkan bercinta dengan Yusry KRU, Hans Isaac dan Ramli MS, tetapi baru-baru ini dia mengakui hatinya sudah dimiliki.

Menurut penyanyi lagu Untuk Terakhir Kali ini, dia kini sedang menjalani perhubungan intim bersama seorang jejaka Melayu yang dikenali sebagai Z sejak mereka berkenalan setahun lalu.

"Teman lelaki saya itu bukannya artis tetapi dia orang biasa dan bekerja di pejabat sahaja. Adalah EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk bekalan semasa hari tuanya nanti.

"Dia tidak mahu dikenali ramai. Cukuplah saya katakan namanya bermula daripada huruf Z," katanya selepas sidang akhbar drama Kum Kum The Series lakonannya baru-baru.

Pada majlis yang diadakan di Mutiara Damansara, Selangor itu pihak Astro Ria memperkenalkan para pelakon drama 13 episod itu termasuklah Marsha yang melakonkan watak Mawar.

Kata Marsha, dia sengaja memilih pasangannya bukan dari kalangan artis kerana takut dengan perceraian yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini.

"Saya dapati perkahwinan sesama pasangan artis ramai yang tidak kekal lama. Itu tidak bermakna saya menolak jodoh kalau ditakdirkan pasangan saya juga adalah golongan artis.

"Kalau boleh saya mahu elakkan perkara itu. Saya kenal Z secara kebetulan setahun lalu sewaktu majlis pelancaran restoran Kopitiam milik komposer Ajai di Kuala Lumpur.

"Sewaktu mula berkenalan, saya tidak tahu latarbelakang Z. Tidak kiralah sama ada dia orang kaya atau miskin. Kebetulan saya pula memang banyak bergaul dengan orang Melayu," ujarnya.

Marsha yang akan muncul dengan album sulung berjudul Yang Pertama tidak lama lagi menambah, dia sudahpun memperkenalkan Z dengan keluarganya pada 6 Disember tahun lalu.

Disenangi

Pada majlis hari lahirnya yang ke-25 itu, Z telah bertemu dengan ibu bapa penyanyi berketurunan Kadazan Dusun di mana kehadiran jejaka itu turut disenangi sanak keluarganya yang lain.

"Sebelum itu, pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, saya juga telah pergi beraya di rumah keluarga Z di Klang, Selangor. Sekarang ini, keluarga dua belah pihak tahu hubungan kami," jelasnya.

Sewaktu ditanya perancangan terdekatnya bersama Z, Marsha menjelaskan, dia belum menetapkan tarikh tertentu untuk menamatkan zaman gadisnya dalam waktu terdekat ini.

Sebaliknya, pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh ini menyerahkan kepada jodoh di mana pada masa sama dia akan menjaga hubungannya dengan Z sebaik mungkin.

Gosip yang sering melanda Marsha turut mendapat perhatian teman lelakinya yang sering bertanya kebenaran di sebalik sesuatu gosip itu.

"Biasanya kalau ada keluar gosip saya dengan artis-artis lain, Z akan bertanya kepada saya, sama ada betul atau tidak. Bagaimanapun, dia bukan seorang yang kaki cemburu.

"Dia seorang yang amat mengambil berat tentang perkembangan diri saya. Saya pun tidak pasti sama ada hubungan saya dengan Z akan ke jenjang pelamin ataupun tidak.

"Pada masa sama, setiap kali ke majlis perkahwinan kawan-kawan sama sekolah, hati ini tiba-tiba hendak kahwin," kata Marsha tanpa berselindung.

Kum Kum The Series akan bersiaran setiap hari Selasa mulai 12 April ini pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104, Astro).

Selain Marsha, turut membintangi drama arahan Michael Ang itu ialah Didie Alias yang melakonkan watak Mak Hitam, Elfira Loy (Shikin), Sharnaaz Ahmad (Yusof) dan Saiful Nizan (Ramli).

Bercerita tentang pengalamannya berlakon Kum Kum The Series, kata penyanyi di bawah naungan syarikat rakaman Alibi Music ini, dia berasa puas dengan watak Mawar yang dilakonkannya itu.

"Selain drama, saya juga ada menerima tawaran berlakon beberapa filem tetapi saya tolak kerana wataknya kurang sesuai dengan saya. Saya asyik diberikan watak gadis yang mengada-ngada.

"Selalunya saya menolak sesuatu tawaran berlakon filem kerana masa yang kurang sesuai," tutur gadis manis tinggi lampai ini lagi.

Sejak 2005, Marsha telah melakonkan lebih 10 telemovie antaranya berjudul Rumah Terbuka AF3, Gitu-Gitu Raya, Besan vs Madu, 5 Saat, Beautiful Maria dan Cinta Meriam Buluh serta drama rantaian Hotel Mania, K.I.T.A., Dottie dan Awan Dania 3.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Black ajak rempit Ride It Right

Posted:

Black ajak rempit Ride It Right

Black ajak rempit Ride It Right

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar AMIN FARIJ HASAN


LANCAR... Ketua Eksekutif Ride It Right bersama Black dan 30 Cent bergambar pada pelancaran Tunggang...Jangan Tunggang-Langgang.


WALAUPUN sibuk dengan aktiviti seni, ia tidak menghalang artis kelahiran program realiti televisyen Mentor musim ketiga, Black untuk bersama dalam menarik golongan remaja bermotosikal mendekati Kempen Ride It Right.

Dengan karakter yang lincah ditambah dengan vokal yang lantang, anak didik Mas Idayu itu berjaya memikat pihak Ride It Right Management untuk menyanyikan lagu tema Kempen berkenaan, Tunggang…Jangan Tunggang-Langgang bersama dengan kumpulan 30 Cent.

"Mula-mula saya hanya dihubungi oleh Farid 30 Cent untuk bersama dengan mereka merakam single terbaru yang dicipta oleh Farid.

"Tidak sangka pula lagu berkenaan berjaya memikat penganjur dan mendapat penerimaan yang baik di kalangan pengunjung yang datang ke karnival Ride It Right yang telah diadakan di Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang baru-baru ini," jelas Black yang ditemui semasa majlis pelancaran lagu tema Ride It Right di Hard Rock Cafe di sini baru-baru ini.

Jelas penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu, dia sendiri teruja apabila diberi peluang untuk bersama dalam kempen berkenaan yang akan dijalankan secara road tour ke seluruh negara.

"Saya juga pernah melalui zaman nakal bersama dengan kawan-kawan bermotor, jadi saya rasa inilah kesempatan yang terbaik untuk saya menarik dan mendekati mereka.

"Mereka ini mempunyai bakat dan kebolehan yang baik dalam dunia motosikal, cuma mereka tidak menjumpai saluran yang betul untuk memanfaatkan anugerah yang mereka miliki itu," ujarnya.

Tambah penyanyi yang pernah mempunyai motosikal Honda EX5 itu, dengan bersama dalam kempen yang dilancarkan pada 25 November lalu, sedikit sebanyak memberi ruang kepadanya untuk menarik peminat-peminat, khususnya mereka yang bermotosikal untuk datang mengunjungi lokasi yang disinggahi sempena karnival Ride It Right itu.

"Saya sedar ada di kalangan peminat terdiri daripada kelompok berkenaan, jadi inilah masa terbaik untuk saya menarik dan mengajak mereka melakukan sesuatu yang berfaedah.

"Apa yang penting, mereka boleh mengurangkan aktiviti yang selalu dilakukan oleh remaja bermotosikal seperti berpeleseran tidak tentu hala dan menyertai lumba haram.

"Mungkin dengan cara ini, saya dapat membantu dalam mengurangkan masalah sosial dan gejala negatif yang selalu membabitkan golongan mereka ini," ujarnya.

Selain itu, kata penyanyi yang berminat dengan sukan motor cross itu, dia tambah tertarik untuk melibatkan diri dengan kampen berkenaan disebabkan objektif dan plan perlaksanaan yang dilihat lain daripada kempen yang pernah dijalankan sebelum ini.

"Ride It Right membuka ruang kepada golongan remaja terlibat untuk menunjukkan bakat mereka. Umum mengetahui golongan berkenaan berani dan meminati perlumbaan motosikal, dalam kempen ini, mereka diberi peluang untuk beraksi menunjukkan kehebatan mereka dalam usaha pihak penganjur untuk mencari barisan pelumba-pelumba baru.

"Kempen juga menyediakan peluang kerjaya kepada golongan berkenaan. Mereka akan diberi pendedahan dan bantuan sekiranya untuk memulakan perniagaan.

"Sudah tentu golongan remaja berkenaan mempunyai kepakaran dalam kondisi motosikal, justeru itu mereka boleh mengambil inisiatif yang dijalankan dengan kerjasama Ride It Right Managment dan UMW Penzoil ini dalam memacu kepakaran mereka untuk menjana pendapatan sendiri.

"Andai berminat, mereka boleh mendapatkan nasihat dan pandangan untuk memulakan perniagaan sendiri. Mereka boleh mendalami pengetahuan bagaimana cara untuk memulakan operasi sebuah bengkel motosikal," katanya lagi.

Sementara itu, pencipta dan penulis lirik Tunggang…Jangan Tunggang-Langgang, Mohd. Farid Hamdan atau Farid 30 Cent berkata, dia merasa amat bertuah kerana lagu yang diilhamkan berjaya menarik minat pihak penganjur.

"Saya memang mencipta lagu itu khas ditujukan kepada golongan remaja berkenaan sebagai usaha untuk menasihati mereka agar menjauhi gejala lumba haram yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi pengguna jalan raya lain," jelasnya.

Tambahnya lagi, golongan remaja berkenaan seharusnya diberi perhatian oleh semua pihak terutama keluarga dan masyarakat.

"Mereka ini seolah-olah hanyut dibuai dengan dunia sendiri, jadi sebagai masyarakat adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bersama dalam menyedarkan mereka.

"Jadi, apabila melihat keadaan itu, datanglah ilham untuk saya menulis sebuah lagu berunsur nasihat untuk golongan berkenaan," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.