Adsense

Khamis, 24 Februari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Agro-Xplorasi ganding tiga hos

Posted:

Agro-Xplorasi ganding tiga hos

Agro-Xplorasi ganding tiga hos

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


Pertama kali berganding, Naz, Annahita dan Danny tidak hadapi masalah.


BERGELUMANG dengan lumpur dan selut atau bermesra dengan binatang ternakan tidak bermakna glamor atau status yang disandang oleh Annahita, Danny dan Naz hilang mahupun rendah.

Bagi Datin Annahita Bakavoli Mehdi Bakavoli, 29, Mohd. Khardanie Anwar (Danny), 31 dan Nazrudin Habibur Rahman (Naz), 33, mereka tidak kisah tampil di hadapan kamera tanpa solekan dan pakaian cantik yang membaluti tubuh.

Semuanya demi komitmen selaku pengacara bersama program bercorak majalah dokumentari, Agro-Xplorasi kerana ditangan mereka, menjadi penentu sama ada program baru itu menarik untuk ditonton atau membosankan.

Agro-Xplorasi yang dirakamkan sebanyak 10 episod, akan mula disiarkan di TV3 pada setiap Sabtu, 7.30 malam. Episod pertamanya akan bermula esok.

Walau pun berbeza latar belakang, penggabungan tiga artis ini mempunyai satu visi - mahu Agro-Xplorasi menarik penonton untuk duduk di hadapan kaca TV dan bukannya bertukar ke siaran lain.

Di tangan Annahita, Danny dan Naz yang menentukan kejayaan atau kegagalan program baru itu. Tidak adil rasanya jika membuat penilaian negatif sebelum menonton Agro-Xplorasi di TV3.

Ini kerana bukan satu tugasan mudah untuk menyatukan tiga artis dalam satu program majalah dokumentari seperti Agro-Xplorasi.

Ini kerana gaya persembahan mereka perlu ada x-faktor yang boleh menarik penonton dan dalam masa yang sama, tidak over shadow rakan pengacara yang lain.

Apa yang penting, motif penggabungan tiga artis itu untuk memberi pendedahan kepada audiens mengenai bidang pertanian, penternakan dan nelayan dapat dicapai.

Andai kata ketiga-tiga pengacara Agro-Xplorasi ini kaku atau statik untuk menceritakan tentang sesuatu subjek pertanian maka itu boleh menjadi turn off point kepada penonton.

Lagi pun, program yang berbentuk majalah dokumentari seperti ini disajikan bukan semata-mata untuk membawa penonton menjelajah ke beberapa lokasi menarik di Semenanjung Malaysia.

Sebaliknya, motif Media Prima selaku penerbit Agro-Xplorasi ialah untuk memaparkan bidang pertanian, penternakan dan nelayan sebagai satu bentuk perniagaan untuk golongan muda khasnya graduan yang masih menganggur.

Jika ditanya kepada pengacara tiga serangkai Agro-Xplorasi tentang pengalaman yang ditimba, jawapan mereka ialah apa yang dilalui merupakan satu pengalaman baru yang tiada dalam dunia glamor artis.

Jika bukan kerana Agro-Xplorasi, Annahita, Danny dan Naz mungkin hanya kenal industri hiburan tetapi tidak berpeluang untuk mengenali dan mendekatkan diri dengan industri asas tani.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Siapa bakal Pengarah Terbaik?

Posted:

Siapa bakal Pengarah Terbaik?

Siapa bakal Pengarah Terbaik?

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


SELEPAS memenangi Directors Guild of America, tidak mustahil Tom Hooper mampu memenangi Oscar untuk Pengarah Terbaik.


BERBANDING tahun-tahun sebelum ini, Anugerah Academy ke-83 dilihat telah mengundang sedikit kontroversi sebaik sahaja pengumuman senarai calon akhir diumumkan pada 25 Januari lalu.

Perdebatan dan kritikan pedas mula timbul terutama dalam kategori Pengarah Terbaik yang memperlihatkan beberapa nama yang tercicir daripada senarai lima calon terbaik.

Semuanya tercetus sebaik sahaja nama Christopher Nolan gagal dicalonkan sekali lagi sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem Inception yang dianggap sebagai maha karyanya itu.

Bagi pengkritik dan pemerhati dunia filem baik di Hollywood mahupun di seantero dunia merasakan pihak juri telah melakukan kesilapan yang cukup besar dan sukar sekali untuk dimaafkan apabila tidak mencalonkan nama Nolan.

Mana tidaknya, filem Inception dilihat sebagai sebuah karya terbaik Nolan yang berjaya menongkah arus dan lari daripada penerbitan filem yang tipikal khususnya untuk genre sains fiksyen.

Inception bukan sahaja cemerlang dari aspek jalan cerita mahupun sudut teknikal tetapi ia juga merupakan salah sebuah filem yang berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung sepanjang tahun lalu.

Apatah lagi, Inception telah menerima lapan pencalonan lain termasuk dua kategori utama iaitu Filem dan Lakon Layar Asal Terbaik di samping enam kategori teknikal yang lain.

Kegagalan Nolan dicalonkan dalam kategori itu nampaknya mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh Anugerah Academy pada tahun 2009.

Ketika itu, nama Nolan telah disebut-sebut untuk menduduki dalam senarai lima calon pengarah terbaik berdasarkan hasil kerja cemerlangnya menerusi filem The Dark Knight.

Namun pun begitu, ia langsung tidak menggugat mahupun menjejaskan emosi Nolan untuk terus berkarya dan siapa tahu, tuah akan berpihak kepadanya menerusi filem sekuel Batman ketiga, The Dark Knight Rises yang kini di peringkat pra produksi.

Apa pun yang telah berlaku, kini banyak mata lebih tertumpu kepada lima calon terbaik yang berpotensi besar untuk mengungguli Oscar tahun ini bagi kategori Pengarah Terbaik.

Memang tidak dapat dinafikan, kelima-lima calon kali ini semuanya hebat-hebat dan memiliki sentuhan tersendiri dalam menzahirkan karya mereka ke layar perak.

Mereka yang bertuah untuk dicalonkan dalam edisi ke-83 ialah Darren Aronofsky bagi filem Black Swan, Joel dan Ethan Coen (True Grit), David Fincher (The Social Network), Tom Hooper (The King's Speech) dan David O. Russell (The Fighter).

Daripada senarai ini, hanya Aronofsky, Hooper dan Russell merupakan kali pertama dicalonkan untuk Oscar manakala Fincher pula menerima pencalonan keduanya dalam kategori ini.

Sebelum ini, Fincher dicalonkan sebagai Pengarah Terbaik bagi filem The Curious Case of Benjamin Button pada tahun 2009 namun tewas kepada Danny Boyle yang memenanginya menerusi filem Slumdog Millionaire.

Sementara itu, Joel dan Ethan Coen pula pernah dijulang dengan gelaran keramat itu pada tahun 2008 sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi pasangan adik-beradik yang diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik.

Apakah tahun ini menyaksikan dua bersaudara ini mampu mengulangi kejayaan serupa menerusi filem mereka, True Grit?

Berdasarkan ramalan dan penilaian yang dilakukan oleh pengkritik serta wartawan filem di Hollywood, Joel dan adiknya, Ethan mempunyai peluang untuk merangkul kejayaan sekali lagi.

Filem True Grit yang dibikin semula daripada filem versi tahun 1969 memperlihatkan kecemerlangan pasangan adik-beradik itu dalam mengembalikan kegemilangan filem bercorak western yang berlatar belakangkan kurun ke-19.

Sentuhan mereka untuk filem yang dibintangi Jeff Bridges itu memang cukup mahal dan maka itu, tidak hairanlah apabila ia berjaya tersenarai sebagai salah sebuah filem terbaik untuk tahun 2010.

Tetapi, harus diingat, selalunya pemenang untuk Pengarah Terbaik akan diukur kepada kecemerlangan seseorang pengarah itu menerusi pengiktirafan yang diterima mereka dalam Directors Guild of America (DGA).

Sejak tahun 1948 DGA dianjurkan, ia merupakan pembayang yang paling tepat dalam menentukan pemenang Oscar.

Sama seperti pelakon, Golden Globe dan Screen Actors Guild adalah penentu kepada kejayaan mereka untuk memenangi Oscar.

Dalam konteks ini, sudah pasti nama Hooper diletakkan di tangga pertama memandangkan pengarah filem The King's Speech itu diiktiraf dengan DGA.

Jarang sekali pemenang DGA gagal untuk mengulangi kejayaan di pentas Oscar dan jika mengikut sejarah DGA, hanya empat pengarah sahaja yang gagal memenangi Oscar.

Mereka yang dimaksudkan ialah Rob Marshall untuk filem Chicago, Ang Lee (Crouching Tiger, Hidden Dragon), Francis Ford Coppola (The Godfather) dan Anthony Harvey (The Lion in Winter).

Adakah Hooper akan tergolong bersama empat pengarah yang kurang bernasib baik ini seandainya pihak juri mahu menobatkan pengarah lain yang dirasakan lebih hebat daripada Hooper?

Semuanya boleh berlaku dalam Oscar. Saingan Hooper sudah pasti datangnya daripada Fincher menerusi filem The Social Network yang sedari awal memang merupakan filem kegemaran ramai pihak.

Fincher baru sahaja dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di BAFTA dan menewaskan Hooper. Jadi, tidak mustahil kalau Fincher mampu mengulangi kejayaan serupa dengan memenangi Oscar pertamanya.

Bagaimana pula dengan Aronofsky dan Russell? Kalau pihak juri merasakan mereka layak untuk membawa pulang Oscar, jadi itulah pilihan mereka dan tidak perlulah untuk dipertikaikan.

Lagipun, apabila tersenarai sebagai lima calon terbaik, memang sudah jelas membuktikan bahawa juri lebih layak untuk membuat penilaian dan pemilihan mereka.

Pilihan Hits: Tom Hooper - The King's Speech

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.