Adsense

Sabtu, 26 Februari 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Daphne Kahwin, Peluk Islam Selepas Melawat Taj Mahal

Posted: 25 Feb 2011 08:34 AM PST


PETALING JAYA: Pengacara Daphne Iking sah memeluk agama Islam dengan nama Islamnya, Dahlia Eleanor Iking dan menjadi isteri kepada seorang ahli perniagaan, Azmi Abdul Rahman atau dikenali sebagai Joe.

Majlis pernikahan tersebut berlangsung pada 8 Januari lalu di kampung halamannya di Penampang Sabah yang turut dihadiri oleh keluarga dan teman rapat sahaja.

Menurut Joe, mereka tidak merancang untuk mengadakan sebarang majlis resepsi secara besar-besaran, namun hanya mengadakan sebuah majlis bersama anak yatim dan kawan-kawan terdekat di Kuala Lumpur.

Tambah Joe, sebagai seorang suami yang sah, dia kini mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga dan melindungi isterinya.

"Dalam Islam, tanggungjawab saya besar untuk membimbing dan menjaganya dengan baik. Keputusan kami untuk bernikah juga bagi menghindari fitnah," katanya seperti dipetik dari Daily Chili Jumaat.

Sementara itu, Daphne memberitahu bahawa Joe merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepadanya, namun keputusan memeluk agama itu datang tanpa sebarang paksaan daripada suaminya.

"Islam adalah agama yang indah. Saya masih lagi belajar tentang agama ini terutama selepas pelbagai dugaan yang menimpa dalam kehidupan saya," katanya.

Tambah Daphne keputusan memeluk Islam dan berkahwin dengan Joe dibuat sejak Disember lalu ketika melawat Taj Mahal di India.

Semasa berada di sana, dia kagum melihat keindahan alam serta keunikan seni bina Islam di bangunan Taj Mahal tersebut.

"Dari keajaiban yang berlaku di sana saya dapat rasakan keinginan memeluk agama Islam dari dalam diri dan menjadi isterinya. Dia juga terkejut ketika itu," kata Daphne.

Pasangan yang sudah mengenali sejak lebih setahun lalu itu menjalnkan hubungan sebagai rakan kongsi perniagaan dalam beberapa projek seperti 2REDchairs yang membincangkan isu-isu sensatif seperti agama, homoseksual dan perubahan jantina.

"Pada mulanya saya tidak yakin dengan hubungan ini boleh pergi sejauh ini dan kami pernah berpisah sebelum ini. Namun kami tetap berhubung sebagai rakan kongsi.

"Bagaimanapun dia tetap ditakdirkan sebagai jodoh saya. Dia memberi sokongan kepada saya ketika perkahwinan pertama saya menjadi mendapat publisiti meluas," katanya.

google: daphne iking, daphne iking peluk islam, nama islam daphne iking, gambar daphne iking, suami daphne iking baru, daphne iking dan suami baru, foto daphne iking dan suami, bila daphne iking peluk islam, nama suami daphne iking, nama islam daphne iking, gambar suami baru daphne iking

Ainul Aishah Kemalangan Selepas Habis Penggambaran

Posted: 25 Feb 2011 08:33 AM PST


PETALING JAYA: Pelakon Ainul Aishah mengakui akibat terlalu tergesa-gesa untuk pulang menonton drama lakoanannya menyebabkan dia mengalami kemalangan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) pada petang Selasa lalu.

Kata Ainul, selepas menjalani penggambaran salah satu daripada beberapa episod drama Begitukah Cinta kira-kira pukul 6.45 petang, dia berhasrat untuk pulang segera menonton episod terdahulu drama itu.

"Selepas penggambaran saya berkejar untuk pulang segera untuk menonton episod cerita tersebut, tetapi malangnya ketika itu jalan raya agak sesak.

"Saya tidak perasan sebuah kereta jenis BMW berada di hadapan saya dan melanggar kereta tersebut. Ketika kemalangan itu apa yang saya terfikir ialah tak dapat menonton cerita lakonan saya sahaja," ujarnya.


Ainul Aishah
Kereta jenis Honda City tersebut mengalami kerosakan agak teruk dan kini sedang dibaiki di sebuah bengkel di Kuala Lumpur.

Tambah Ainul, biarpun tidak mengalami sebarang kecederaan, dia tetap berasa terkejut dan lebih berwaspada ketika memandu.

"Akibat kemalangan itu, kereta saya mengalami kerosakan agak teruk dan kini berada di bengkel. Buat masa ini saya gunakan kereta abang saya sementara menunggu kereta tersebut siap dibaiki.

"Walaupun saya rasa itu kemalangan kecil tapi saya seperti takut untuk memandu. Saya lebih banyak menekan brek dan tidak mahu memandu dengan jarak yang dekat," katanya.

Tambah Ainul, dia mengakui sikap tergesa-gesanya mendatangkan bahaya kepada banyak pihak dan menganggap perkara tersebut sebagai pengajaran kepadanya.

"Saya sedar ia mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada saya tetapi kepada pihak lain. Allah selepas ini saya lebih berhati-hati," katanya.

Shahir Disyaki Sakit Kanser Hati

Posted: 25 Feb 2011 08:32 AM PST


KUALA LUMPUR: Bekas juara Akademi Fantasia 8 (AF8), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, dipercayai menghidap kanser hati selepas dia membuat pemeriksaan kesihatan pada tahun lalu.

Menurut Shahir, penyakitnya itu dikesan selepas sampel darahnya melalui sembilan jenis ujian dan salah satu hasil ujian mendapati bahagian hati Shahir mengalami masalah.

"Ketika itu saya ditahan di wad Hospital Az-Zahra, Bangi, Selangor selama dua hari akibat tekanan darah rendah. Tak sangka pula selepas membuat ujian, keputusan itu pula yang saya peroleh.

"Bagaimanapun, saya telah membuat ujian darah yang sama di hospital lain untuk mendapatkan pengesahan sebenar tentang penyakit tersebut dan Alhamdulillah, selepas diperiksa, penyakit saya ini belum sampai ke tahap serius.

"Mungkin kerana masalah pemakanan serta tekanan membuatkan kesan terhadap hati saya. Setakat ini saya masih lagi membuat pemeriksaan lanjutan dan keputusan baru akan diketahui pada minggu depan," katanya.

Tambah Shahir, gara-gara penyakit tersebut, dia mengambil langkah untuk berehat seketika daripada sebarang publisiti serta persembahan nyanyian pada tahun lalu.

"Bila saya perlukan ruang untuk berehat, timbul pula cerita yang saya tidak berdisiplin dan menghilangkan diri, semua itu adalah tidak benar.

"Sampaikan saya terpaksa menunjukkan surat doktor kepada beberapa pihak untuk memberikan penjelasan kerana saya enggan menimbulkan spekulasi," ujarnya.

Walaupun terpaksa bergelut dengan penyakit dan kontroversi, Shahir menerima keadaan itu seadanya memandangkan dia faham, sebagai seorang selebriti, pelbagai dugaan yang perlu ditempuh.

Pada hujung tahun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu dikatakan mula menghadapi masalah disiplin apabila beberapa sesi fotografi yang telah diatur dibatalkan pada saat-saat akhir.

Malah dia juga gagal hadir semasa sesi mencabut nombor giliran sempena Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) anjuran TV3 selain tidak muncul dalam Konsert Ria 2010 di I-City, Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, ibunya, Mahanum Osman, berkata kesihatan penyanyi itu agak terganggu dan dia memerlukan masa untuk menenangkan fikiran di kampungnya.

Kontroversi 'Halimah Jongang', Sheera Hilang Tawaran Berlakon

Posted: 25 Feb 2011 08:31 AM PST


SUBANG JAYA: Pelakon Sheera Iskandar mengakui selepas tamat penggambaran drama Halimah Jongang bersama produksi milik A.Aida, dia tidak mendapat sebarang tawaran berlakon.

Menurut Sheera, dia bertambah kesal apabila kontroversi dituduh "melanggar kontrak" A.Aida sebelum ini telah memberi kesan teruk terhadap kerjaya sebagai seorang pelakon.

"Perkara ini memberi kesan yang agak teruk kepada saya terutama dalam industri. Ramai produser yang takut untuk ambil saya berlakon kerana telah dituduh tamak dengan tawaran. Saya tahu ada yang penyampai dan bercakap-cakap tentang perkara itu kepada penerbit-penerbit drama.

"Drama Iparku Diva yang sedang saya lakonkan sekarang itu pun sudah ditandatangani sebelum kontroversi Halimah Jongang berlaku. Kalau tidak, saya tak tahulah apa jadi dengan nasib saya," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pengacara dan Penyampai untuk Anugerah Bintang Popular, di sini, Khamis.

Sebelum ini, A.Aida mendakwa Sheera melanggar kontrak termasuk mengambil tawaran produksi lain ketika penggambaran Halimah Jongang.

A.Aida turut menyifatkan Sheera sebagai kurang ajar kerana memotong rambut sehingga menyebabkan berlakunya rombakan skrip dalam drama tersebut.

Tambah Sheera, di kecewa apabila kontroversi tersebut telah menjadikannya mangsa sehingga hampir membunuh kerjayanya sebagai pelakon.

"Saya malu untuk keluar menemui orang ramai terutamanya di tempat awam. Mereka yang tidak faham pasti akan menyalahkan saya seratus peratus. Jika duduk di rumah pula rasa sangat tertekan. Kalau saya terlalu fikirkan perkara itu, badan boleh jadi sakit-sakit.

"Saya juga tak boleh tengok rambut palsu dan topi kerana sentiasa teringatkan watak Halimah Jongang yang hampir membunuh kerjaya saya," katanya.

Bagaimanapun, menurut Shira dia menganggap kejadian itu sebagai dugaan dalam bidang lakonan dan percaya kepada rezeki daripada Allah.

Ketika ditanya tentang tindakan susulan daripada tuduhan-tuduhan yang pernah dilemparkan oleh pemilik A.Aida Production itu, Sheera hanya memberitahu dia memilih untuk berdiam diri.

"Kami tak akan ambil apa-apa tindakan kecuali dia sudah memulakan dahulu. Tapi sehingga kini belum ada apa-apa lagi perancangan.

"Walaupun begitu, kami juga ada meminta pandangan dan khidmat nasihat daripada peguam tentang perkara ini.

"Mereka menasihatkan agar berdiam dan tunggu apa yang akan mereka lakukan terlebih dahulu. Lagipun kes saman-menyaman ini perlukan kos dan bukan percuma," katanya.

Tuntutan Harta Sepencarian Norish Karman Ditangguh Ke April

Posted: 25 Feb 2011 08:30 AM PST


SHAH ALAM: Mahkamah Tingggi Syariah di sini, pada Khamis menetapkan permohonan harta sepencarian yang difailkan oleh dramatis Singapura, Norish Karman terhadap bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir disebut semula pada 18 April depan.

Peguam syarie Amli Embong yang mewakili Norish memberitahu, tarikh itu ditetapkan bagi memberi peluang kepada Hashimuddin untuk menjawab pindaan penyataan tuntutan Norish, sekiranya ada.

Pindaan penyataan tuntutan tersebut difailkan pada Khamis, seperti yang telah diarahkan oleh Hakim Syarie Mohammad Adib Husain.

Norish atau nama sebenarnya Nor'Asikin Karman, 36, bernikah dengan Hashimuddin, 62, pada 11 Januari 1998 di Perlis dan pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, dekat sini pada 15Julai 2008.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 10, Muhammad Hady Amieran, 6, dan Nur Hanyz Amanda, 5.

Pelakon drama Spa Q tersebut memfailkan permohonan itu selepas kaedahmelalui sulh (perbincangan secara baik) yang dibuat dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti pada tahun 1995 itu gagal mencari kata sepakat.

Antara harta yang disenaraikan sebagai harta sepencarian ialah sebuah rumah di Bangi yang dianggarkan bernilai RM2 juta, kondominium Danau Permai (RM300,000), Kondominium Abadi Indah (RM300,000), sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan (RM100,000) dan kondominium Seri Heningdi Ampang, dekat sini.

Pada 26 Januari lalu, Mohammad Adib menolak permohonan Hashimuddin yang diwakili oleh peguam syarie Muhammad Buruk untuk membatalkan tuntutan harta sepencarian tersebut.

Jay Iswazir (Pilih Kasih 2) Anggap Parut Bawa Tuah

Posted: 25 Feb 2011 08:24 AM PST


PETALING JAYA: Artis Pilih Kasih musim kedua, Jay Iswazir yang diumumkan sebagai Pelakon Terbaik TM pada Pentas Akhir Pilih Kasih 2 di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, di sini, Ahad lalu akan mengekalkan parut di pipi kanannya.

Ini kerana, kata pemilik nama Ahmad Iswazir 29, parut itu memberi tuah kepadanya terutama peluang ditawarkan berlakon watak antagonis.

Tidak dinafikan suatu ketika dulu dia pernah berasa rendah diri dengan kecacatan pada wajahnya itu namun lama-kelamaan dia semakin selesa dan tidak menghiraukan pandangan orang lagi.

"Sebenarnya, parut ini terjadi kerana muka saya ditimpa ketuhar ketika berumur lima tahun. Waktu itu, kulit antara mulut ke pipi saya terkoyak dan doktor terpaksa menjahit bahagian itu.

"Menurut doktor, parut ini boleh dihilangkan tetapi waktu itu saya tidak terfikir untuk membuangnya.

"Walaupun telah menceburi bidang seni, saya belum merancang untuk berbuat demikian. Tetapi mungkin suatu hari nanti apabila saya sudah bersedia baru saya akan lakukan," katanya kepada mStar Online.

Jay berkata, dia mengambil contoh pelakon Adlin Aman Ramli yang sebelum ini pernah mempunyai 'tanda' di pipi tetapi berjaya juga menerima tawaran berlakon.

Bercerita tentang program realiti tersebut, Jay terpaksa akur apabila hanya menang sorak tetapi kalah dengan mendapat tempat keempat.

"Saya rasa sedikit kecewa kerana saya memasuki program ini untuk bergelar juara.

"Bagaimanapun, saya tidak menyangka yang saya mempunyai ramai peminat tetapi dalam masa yang sama saya agak pelik apabila undian untuk saya agak tercorot," kata graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak ini.

Namun begitu, kekalahan itu tidak melemahkan semangat Jay yang sebelum ini menjadikan pemenang tempat ketiga, Ku Hariz sebagai saingannya.

Sementara itu, Ku Hariz atau nama sebenarnya Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 26, akui tidak terguris apabila menjadi bahan usikan oleh juri iaitu Fauziah Nawi dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah serta Penerbit Eksekutif Pilih Kasih, Rosyam Nor kerana fizikalnya yang rendah.


Ku Hariz ketika pementasan teater muzikal.
"Saya percaya dalam kekurangan ini pasti ada kelebihan kepada saya. Saya akan cuba mencari peluang dalam bidang lakonan ini walaupun ditawarkan watak kecil sekalipun.

"Saya akan cuba menerimanya asalkan watak itu dan skripnya menarik," katanya.

Bagi Yuzwan Yunus atau nama sebenarnya Mohd Izwan Yunus, 24, yang memenangi tempat kedua dalam program itu berjanji akan menjaga tingkah laku dan disiplin setelah bergelar seorang pelakon selepas ini.

"Walaupun saya tidak mempunyai paras rupa yang menarik, namun saya akan cuba mencari kelebihan lain yang boleh dilakukan.

"Saya akan mengkaji watak dan kelemahan saya serta mahu memberi tumpuan dalam bidang lakonan secara sepenuh masa.

"Saya sukakan watak antagonis dan berminat untuk mencuba pelbagai jenis watak selepas ini," ujarnya yang pernah bekerja sebagai usahawan tani.

Konsert 'Untukmu Loloq' Di Istana Budaya April Depan

Posted: 25 Feb 2011 08:23 AM PST


KUALA LUMPUR: Menterinya Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencetuskan idea bagi menghargai pengorbanan penulis lirik Loloq atau Rosli Khamis dengan penganjuran Konsert 'Untukmu Loloq' yang bakal berlangsung di Istana Budaya dari 22 hingga 24 April depan.

Idea sebagai tanda penghargaan Zahid kepada Loloq kerana mereka pernah mengelilingi satu Malaysia selama seminggu ketika Zahid bergelar Timbalan Menteri Penerangan sebelum ini.

Konsert tersebut melibatkan 60 orang terdiri dari pemuzik bekas tentera darat, artis tari dari Kementerian Pertahanan, kumpulan koir dari Kementerian Pertahanan, pengarah persembahan Lokman Ghani, pengarah muzik Eddy Marzuki, penerbit Den Wahab dan penulis skrip Ad Samad.

"Ia terbahagi kepada empat segmen iaitu berkisar latar belakang arwah, nyanyian lagu-lagu popular karya Loloq oleh kumpulan Spider, Ella dan Ramli Sarip, sketsa pendek tentang Loloq dan penampilan khas M.Nasir.

"Dijangkakan sebanyak 24 lagu hasil tulisan Loloq akan dinyanyikan dan lirik lagu tersebut akan dipaparkan di tepi pentas supaya penonton dapat menghayatinya," kata Lokman Ghani ketika sidang media di Istana Budaya, di sini, Khamis.

Tambahnya: "Saya pernah berlakon dengan Loloq selama seminggu dalam drama Hujan Di Hati Kamariah arahan Fauziah Ahmad Daud tetapi sehingga sekarang drama itu tidak disiarkan di televisyen.

"Banyak perkara yang kita tidak tahu tentang arwah akan dipaparkan pada konsert itu hasil cerita kawan-kawan rapat arwah. Misalnya arwah gemar melakukan pelbagai aksi melucukan ketika menulis lirik di atas lantai.

"Kemungkinan salah seorang ahli keluarga Loloq akan muncul dalam konsert ini," katanya.

Bagaimanapun, balu Loloq, Hariah Yaacob,39, akan meneliti dan membaca skrip konsert terbitan Global Network Entertainment itu dahulu sebelum memulakan latihan pementasan yang dijadualkan bermula April ini.

Pada 26 Februari ini, sesi uji bakat untuk mencari pelakon yang boleh melakonkan watak Loloq akan diadakan.

Kriteria yang dicari tidak semestinya mempunyai wajah seiras Loloq tetapi yang penting adalah memiliki karakter sepertinya.

Loloq aktif menulis lirik sejak berusia 20 tahun dan terkenal dengan beberapa nama pena lain seperti Nurbisa dan Pistol Bimbo.

Selain itu dia juga dikenali sebagai pelakon filem dan drama televisyen sepertiPari-Pari, Lang Buana, Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa.

Antara lirik lagu ciptaannya adalah Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Bonda dan Aladin.

Harga tiket 'Untukmu Loloq' dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450.

Sementara itu Kementerian Pertahanan berhasrat untuk membiayai pengajian anak-anak Loloq yang akan diumumkan kemudian oleh Zahid.

Hasil perkahwinan Loloq dengan Hariah mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Krsty, 15, Jaevnur, 12, dan Yashanur, 10.

Fouziah Gous Cerewet Soal Watak Dan Pakaian

Posted: 25 Feb 2011 08:21 AM PST


PETALING JAYA: Pelakon Fouziah Gous menitik beratkan pemilihan pakaian apabila melakonkan sesebuah cerita agar ia menepati watak yang dilakonkan.

Sekiranya watak wanita kampung, pelakon drama Trilogi Cinta ini akan memastikan dia memakai baju lusuh dan kain batik.

Sebaliknya jika melakonkan watak wanita moden, dia akan mengenakan pakaian yang kelihatan moden dan memastikan ia tidak sama seperti fesyen yang digayakan olehnya sebelum ini.

"Saya agak cerewet dan teliti apabila bab memilih pakaian ketika berlakon kerana tidak mahu nampak macam ala kadar sahaja. Biasanya sebelum memulakan penggambaran, saya akan bincang dengan pihak yang menguruskan pakaian pelakon dan pengarah tentang apa yang sesuai dipakai.

"Seperti lakonan saya dalam drama Mantera Anjasmoro, saya perlu menonjolkan elemen muda kerana saya merupakan isteri kedua.



Fouziah melakonkan watak isteri kedua kepada Zahid lakonan Ady Putra dan Siti Shahrizah (Eja) sebagai isteri pertama Zahid.
"Sementara lakonan saya dalam drama Trilogi Cinta pula saya perlu nampak betul-betul macam orang kampung. Jadi saya memakai baju T dan kain batik.

"Warna pakaian juga memainkan peranan penting. Saya akan mencari sendiri pakaian tersebut dan sekiranya saya rasa perlu beli pakaian itu, saya akan membelinya tetapi biasanya jarang berlaku," kata Fouziah.

Tambahnya: "Saya tidak mahu dibayangi dengan diri sendiri dalam setiap lakonan saya dan sebolehnya mahu betul-betul nampak lain dan biarlah penonton menilai lakonan saya kerana watak yang dilakonkan itu.

"Saya tidak nafikan, ramai yang menggemari lakonan saya sebagai Norjinah dalam Trilogi Cinta sehingga mereka menganggap diri saya betul-betul baik dan lemah-lembut.

"Sedangkan pada saya bukan mudah untuk melakonkan watak baik berbanding watak jahat."

Menurutnya dalam Mantera Anjasmoro dia perlu melakonkan watak seorang wanita jahat yang tidak menonjolkan sisi jahatnya. Dia terdesak menjadi jahat kerana terlalu sayangkan suami.

Selain itu, dia turut meluahkan perasaan seronok kerana dapat bekerjasama dengan pengarah Aidilfitri Mohamad Yunos dalam drama berkeaan.

"Saya menggemari cara pengarahan Abang Aidil kerana drama arahannya kelihatan moden dan banyak ruang yang besar.

"Kalau boleh saya mahu bekerja dengannya lagi selepas ini," katanya.

Penonton boleh menyaksikan drama Mantera Anjasmoro pada setiap Khamis, pukul 9 malam mulai 3 Mac ini di TV3.