Adsense

Isnin, 28 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Luah cinta di lebuh raya

Posted: 27 Feb 2011 08:16 AM PST

PERNAH bertunang dengan sukan motorcross, Mohd Harith Fuad Robinson, empat tahun lalu, nyata jodoh penyanyi Siti Sarah Raissuddin, 27, dengan anggota kumpulan Sepah, Shahmira Muhamad atau Shuib, 27.

Pantai diredah
menongkah bayu

Singgah dikota jual belida
Puas sudah dipujuk rayu
Akhirnya cinta milik kekanda.


Hanya dengan sekali lafaz, Shuib, sah menjadi suami Sarah dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Jeumpa D' Ramo, Bangsar, Sabtu lalu. Namun, bukan mudah untuk Shuib mendapatkan cinta Sarah kerana berusaha hampir setahun, akhirnya apa yang diimpikan Shuib sudah terlaksana.

Mereka dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Nizar Mohd Nadzir, disaksikan hampir 100 tetamu daripada kalangan keluarga terdekat dan sahabat handai pasangan pengantin baru ini. Antara rakan rapat yang hadir, Mohd Ashraf Md Yusof dan komposer Aidit Alfian Mohd Dom.

Di majlis itu Shuib turut menyerahkan mas kahwin RM1, 000 dan cincin, tetapi jumlah wang hantaran dirahsiakan. Lima dulang hantaran turut diserahkan pengantin lelaki dan dibalas tujuh oleh pengantin perempuan.

Ditemui sebaik majlis selesai, jejaka berasal dari Kulai, Johor ini mengakui tidak mudah untuknya memiliki cinta Sarah sehinggakan terpaksa menghentikan kereta di tepi lebuh raya semata-mata mahu menyatakan perasaan cintanya kepada penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan itu.

"Walaupun saya sudah menyatakan perasaan sayang kepadanya, Sarah tetap mendiamkan diri. Dia cukup susah untuk menyatakan 'saya sayang awak'. Cukup susah. Bayangkan, selama setahun tiga bulan kami berkawan, setengah tahun kemudian barulah dia membalas kata cintanya kepada saya," katanya.

Kerana susah untuk mendapatkan Sarah juga menyebabkan apabila Sarah membalas cintanya, Shuib tidak lagi menoleh dan terus merancang untuk mengikat perasaan itu dengan tali pernikahan.

"Sarah terlalu istimewa. Keistimewaan yang dimiliki sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Dialah wanita pertama yang membuka hati saya untuk melakukan apa yang seharusnya saya lakukan. Lagipun, sebelum ini tiada orang yang mampu menambat hati saya seperti mana Sarah.

"Sarah membuatkan saya menjadi lelaki yang lebih baik. Berfikir mengenai masa depan. Apabila saya sedar dia mampu melakukan ini, menyebabkan hati saya terdetik dan mengatakan saya tidak harus menjauhkan diri daripadanya.

"Lebih daripada itu, saya harus melakukan sesuatu agar dia sentiasa ada bersama saya. Dan hari ini saya sudah melakukan perkara yang harus saya lakukan itu dengan pernikahan ini," katanya.

Sarah mengakui cinta adalah satu ungkapan yang cukup besar buatnya dan harus diluahkan dengan rasa penuh tanggungjawab. Ia juga tidak seharusnya dijaja dan dinyatakan kepada semua lelaki yang ditemui.

"Sekiranya saya menyatakan 'saya sayang awak' ia bermakna saya benar-benar maksudkannya. Selepas melihat kesungguhan dan kesabaran ditunjukkan suami, menyebabkan saya membalas kembali perasaan yang diluahkan itu," katanya.

Disebabkan kesabaran dan kesungguhan ditunjukkan Shuib itu juga menyebabkan Sarah menerimanya untuk berkongsi hidup. Lebih daripada itu mereka berdua mempunyai impian dan jalan yang sama dengan berumah tangga dan membina keluarga.

Bercerita lanjut mengenai perancangan masa depan, jelas Sarah, dia mahupun Shuib tidak merancang sebaliknya meletakkan segalanya di tangan Tuhan. Andai dikurniakan rezeki memperoleh cahaya mata dalam waktu terdekat, mereka akan menerimanya dengan penuh rasa gembira.

"Kami merancang untuk berbulan madu di Ireland ataupun beberapa negara Eropah. Bagaimanapun, perkara itu terpaksa ditangguhkan terlebih dulu. Begitu juga dengan majlis resepsi. Ia akan diadakan pada masa yang sesuai memandangkan kami sibuk.

"Malah bermula 3 Mac ini, kami sudah kembali bekerja. Saya akan menyambung kerja rakaman album terbaru sementara Shuib sibuk dengan Maharaja Lawak," katanya.

Di majlis pernikahan itu kelihatan juga pengacara dan pelakon popular Sharifah Shahira dan suami, Ijoy turut hadir meraikan Sarah dan Shuib. Bagaimanapun, kelibat anggota kumpulan Sepah iaitu Jep dan Mamat tidak kelihatan.

Menjelaskan perkara itu, cerita pasangan ini mereka sudah pun memberitahu lebih awal mengenai majlis diadakan. Bagaimana pun, Jep yang berada di Johor menyangkakan majlis diadakan pada tengah hari dan dia tidak sempat untuk ke Kuala Lumpur sementara Mamat pula sibuk dengan penggambaran drama.

"Kami sendiri tidak mahu majlis ini menjadi beban. Kepada tetamu yang hadir, kami ucapkan terima kasih banyak-banyak atas restu dan doa. Biarlah kehadiran ke majlis kami dengan setulus hati," katanya.

Sementara itu bapa pengantin perempuan yang juga pelakon dan penyanyi zaman 80-an, Raissuddin Hamzah memanjatkan syukur apabila anak perempuan tunggulnya itu sudah selamat bernikah dengan jejaka pilihan hati.

"Majlis pernikahan Sarah membuktikan bahawa manusia tidak berkuasa. Segalanya ditentukan Allah. Dulu merancang bernikah dengan orang lain tetapi hari ini orang lain yang dinikahi Sarah. Kuasa-Nya tiada siapa yang dapat menidakkan," katanya.

Jelas Raissuddin lagi, dia tidak pernah menghalang Sarah untuk berkawan dan menikahi siapa lelaki yang dirasakan terbaik untuk hidupnya.

"Dulu bersama Fuad, saya juga tidak menghalang dan menggalakkan mereka melakukan perkara baik dengan mengikat dulu perhubungan dengan tali pertunangan. Namun, biasalah sebagai manusia kita hanya mampu merancang tetapi segalanya ditentukan Tuhan.

"Dengan Shuib pun begitu juga. Sewaktu diperkenalkan, saya tidak menghalang. Sewaktu mula-mula diperkenalkan kepada kami sekeluarga, Sarah hanya berkata mereka berkawan.

"Beberapa lama selepas itu, barulah dia berkata bahawa Shuiblah orangnya. Saya mahupun ibunya merestui perkara baik yang mereka lakukan. Sekarang mereka sah menjadi suami isteri," katanya.

Sebagai bapa, jelas Raissuddin lagi dia mengharapkan Sarah dan Shuib sentiasa bermuafakat dalam melayari bahtera hidup berumahtangga dan semoga perkahwinan dibina ini kekal hingga ke akhir hayat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

JKKN sasar 1,465 aktiviti

Posted: 27 Feb 2011 07:52 AM PST

TAHUN lalu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berjaya menganjurkan 1,328 aktiviti teras dan 600 aktiviti tambahan dilaksanakan dengan kerjasama badan kerajaan lain juga swasta untuk menyemarak, memperluas dan mengangkat seni untuk dinikmati masyarakat tempatan pelbagai peringkat umur dan bangsa.

Menerusinya JKKN berjaya membabitkan 1.5 juta khalayak secara langsung dan ini dianggap satu pencapaian cukup membanggakan. Tambahan pula sebahagian daripada aktiviti dijalankan ini turut membabitkan pelancong luar negara apabila sebahagiannya dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

Membuka tirai 2011, tahun ini JKKN merancang mengadakan 1,465 aktiviti membabitkan pelbagai sektor. Kira-kira 11 teras aktiviti dirangka iaitu Program Merakyatkan Seni dan Budaya, Bimbingan Seni Budaya, kecemerlangan Seni dan Menifestasi, Program Keilmuan Kreatif dan Penerbitan, Pencungkilan Bakat, Pembudayaan Bahasa Nilai Murni dan Budaya Membaca, Aktiviti Khas dan Program Kerjasama Seni, Pusat Kegiatan Seni Berjadual, Mempertingkatkan Produk JKKN, Pembangunan Infrastruktur Seni Budaya dan akhir sekali Perantisan dan Penyelidikan.

Kesemua teras ini dilaksanakan dengan objektif mengasuh seni dan budaya kepada masyarakat tempatan terutama generasi muda di samping mewujudkan individu berbudaya luhur, seimbang dari sudut pemikiran dan perasaan.


Selain itu ia bertujuan membentuk masyarakat celik seni budaya sebagai satu pendekatan ke arah kecemerlangan insan. Mewujudkan jati diri bangsa Malaysia dari aspek seni budaya yang diharap akan menjadi benteng kekentalan daripada budaya kuning luar negara. Mewujudkan peluang ekonomi melalui seni budaya kepada generasi akan datang dan akhir sekali membentuk sahsiah kepada pelajar sekolah menerusi seni budaya.


Bagaimanapun bagi melaksanakan semua aktiviti dirancang memerlukan belanja besar, namun kekangan dana ditetapkan menyebabkan ada beberapa aktiviti terpaksa dihadkan.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Walaupun tahun lalu JKKN menetapkan 1,328 aktiviti tetapi dengan kerjasama beberapa badan kerajaan dan korporat ia telah bertambah sebanyak 600.

"Tahun ini kami menjangkakan perkara sama akan berlaku namun ia belum lagi dapat ditetapkan. Soal dana bukan satu masalah kerana kami percaya sekiranya kita dapat berfikir dengan lebih kreatif segala halangan dapat diatasi.

"Kekangan dana juga menyebabkan siri konsert Jelajah Koir Kebangsaan yang diadakan setiap tahun hanya ditumpu kepada lokasi universiti di Lembah Klang. Membawa tema In Love With Peace, ia akan memulakan siri persembahan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 9 April, Universiti Teknologi Mara (16 April), Universiti Lim Kok Wing (23 April) dan Universiti Malaya pada 30 April.

"Walaupun tumpuan kami hanya universiti di Lembah Klang, tetapi kami percaya ia lebih berbaloi dilaksanakan memandangkan jumlah pengunjung yang akan menyaksikannya lebih ramai. Ini berbeza sekiranya kami mengadakan di tempat lebih terpencil atau di luar bandar.

"Jumlah yang menyaksikannya mungkin tidak seramai di lokasi diadakan di universiti. Bagi kami jumlah orang yang datang menyaksikan lebih penting kerana itulah tujuan sebenar," katanya.

Norliza turut menegaskan bagi JKKN, jumlah pengunjung menyaksikan atau membabitkan diri dalam aktiviti lebih penting kerana keberkesanan kempen untuk mencapai
objektif lebih meyakinkan.

"Untuk mendapatkan maklum balas kita melakukan kaji selidik dan ia dilakukan pihak universiti. Kami amat serius mengenai perkara ini dan tidak mahu setiap aktiviti dilakukan secara syok sendiri. Bagi kami apa yang penting adalah mesej hendak disampaikan diterima masyarakat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.