Adsense

Selasa, 4 Januari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Kupasan yang lebih mendalam

Posted:

Kupasan yang lebih mendalam

Kupasan yang lebih mendalam

Oleh RAJA INTAN DIANNA
RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


JULIANA dan Fikree berlakon sebagai pasangan suami isteri iaitu Natrah dan Mansor Adabi.


SEJARAH tentang gadis Belanda bernama Natrah atau nama Belandanya Maria Huberdina Hertogh bukanlah sesuatu yang asing buat kita.

Peristiwa perebutan hak penjagaan Natrah antara ibu angkatnya, Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda sekitar tahun 1950-an terus diingati dan meninggalkan kesan kepada negara.

Tragedi perebutan dua pihak itu hingga melibatkan konflik agama telah menyebabkan terjadinya rusuhan di Singapura pada zaman itu.

Kisah bersejarah itu tidak terus luput dari ingatan orang ramai apabila ia turut dibukukan malah dipentaskan di Istana Budaya menerusi Teater Natrah yang diterajui oleh Maya Karin.

Kini, Astro Citra (saluran 131, Astro) turut mengambil langkah merakamkan sejarah tersebut dalam bentuk drama yang akan ditayangkan di slot Suatu Ketika.

Menampilkan Wan Hasliza Wan Zainuddin sebagai pengarahnya, drama Natrah diarahkan dalam bentuk drama bersiri ditayangkan setiap Sabtu pada pukul 9 malam selama satu jam mulai 2 Januari lalu.

Jika menerusi versi teater, watak itu dilakonkan oleh Maya Karin, kini drama bersirinya pula diterajui oleh gadis manis berwajah kacukan Inggeris-Melayu, Juliana Evans.

Selain Juliana, dua lagi aktres yang turut ditampilkan ialah Sherie Merlis sebagai ibu angkat Natrah iaitu Che Aminah dan Natasha Hudson membawa watak sebagai ibu kandung Natrah, Adeline Hertogh.

Drama Natrah ini turut dibintangi Fikree Bakar sebagai suami Natrah, Mansor Adabi.

Tegas Wan Hasliza, karyanya ini tidak sama sekali dipengaruhi oleh teater arahan Erma kerana fokusnya yang berbeza.

"Di dalam drama Natrah ini, saya cuba fokuskan bagaimana kisah Natrah ini menjadi tumpuan ramai sehingga menyebabkan rusuhan lebih 100,000 orang serta menyebabkan kematian.

"Drama Natrah ini juga fokus ketika perbicaraan yang dilalui oleh Che Aminah serta banyak bermain dengan imbasan kembali bagaimana Natrah ditemui.

"Cabaran mengarahkan drama epik ini tentulah dari segi 'props', kostum, lokasi malah penggunaan bahasa agar drama Natrah ini tidak dilihat dilakukan secara sambil lewa.

"Malah agak mencabar apabila saya selaku penulis skrip juga perlu memilih babak yang penting untuk diselitkan dalam drama empat episod sahaja," ujar Wan Hasliza ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Natrah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut mendapatkan nasihat daripada Datin Seri Fatini Yaacob yang menghasilkan buku Natrah : Cinta, Rusuhan dan Air Mata, ujar Wan Hasliza, dia mengambil masa lebih kurang sebulan bagi proses pra-produksi yang melibatkan kajian.

Penggambaran banyak dilakukan di sekitar Batu Gajah dan Ipoh, Perak yang masih mempertahankan bangunan kolonial bagi mendapatkan suasana zaman dahulu.

Juliana pertama kali bawa watak berat

Mengenali gadis jelita bernama Juliana Evans ini, dia sememangnya lebih dikenali dengan lakonan dalam drama-drama remaja yang boleh dikategorikan sebagai drama ringan sahaja.

Akui pelakon drama bersiri Kami ini, Natrah adalah drama pertama dia diberi kepercayaan untuk menggalas watak yang lebih berat iaitu sebagai Natrah.

Bagi Juliana, walaupun watak yang dilakonkan agak mencabar namun ini adalah peluang terbaik untuknya menonjolkan kemampuannya dalam bidang lakonan.

"Sebagai seorang pelakon, adalah menjadi idaman saya untuk mencabar diri dengan melakonkan pelbagai watak terutamanya yang berat begini.

"Sebelum ini saya seorang yang susah menangis tetapi apabila mendapat skrip Natrah, saya mampu menangis kerana kisahnya sememangnya amat sedih dan saya dapat merasai kesakitannya.

"Antara cabaran dalam drama Natrah apabila saya perlu memainkan watak Natrah berusia 13 tahun sedangkan sekarang saya berusia 21 tahun.

"Seronok bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Sherie Merlis dan Natasha Hudson kerana mereka banyak membantu saya dan kami cepat serasi," ujarnya yang lebih dikenali dalam bidang pengacaraan sebelum ini.

Sherie, Che Aminah ada persamaan

Apabila ditawarkan watak Che Aminah oleh Wan Hasliza sekitar bulan September tahun lalu, hati pelakon air mata ini kuat mengatakan dia perlu menerima tawaran tersebut.

Ujar Sherie Merlis, watak seorang ibu yang terpaksa berpisah dengan anaknya itu terasa sangat hampir dengannya kerana dia sendiri pernah melalui peristiwa perit sebegitu.

Pernah merasai sakitnya berpisah dengan anak-anak kandungnya sendiri 13 tahun yang lalu, perasaan itu dia dapat zahirkan dalam lakonannya sebagai Che Aminah yang terpaksa berpisah dengan anak angkatnya, Natrah yang dijaga sejak kecil lagi.

Namun bezanya penantian empunya nama sebenar Sharifah Merlisa Al-Barakbah, 39, ini berkahir apabila dia dan dua orang anaknya, Habib Danial, 18, dan Harith Danial, 17, ditemukan dengannya kembali awal tahun lalu.

"Saya bersyukur, kuasa Tuhan akhirnya menemukan kami kembali setelah berpisah selama 13 tahun atas sebab-sebab tertentu.

"Kebetulan kisah Natrah ini mengenai perpisahan antara seorang ibu dan anak, maka saya dapat merasakan keperitannya.

"Cabaran dalam drama ini ialah dari segi bahasa apabila saya perlu menguasai dan bertutur dalam bahasa Indonesia, loghat Terengganu lama, bahasa Melayu lama serta bahasa Inggeris.

"Mungkin kelihatan remeh tetapi cabaran sebenarnya ialah saya perlu bertutur keempat-empat bahasa itu dalam satu babak dan perlu kelihatan meyakinkan memandangkan Che Aminah adalah seorang penterjemah bahasa," ujarnya yang turut terlibat dengan drama Tujuh Lagu arahan Khabir Bhatia yang juga akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada bulan ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Jamal tak bimbang

Posted:

Jamal tak bimbang

Jamal tak bimbang

Oleh HASNURUL MOHAMED
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR


Sesi latihan Konsert J2011-Lagenda Jamal Abdillah bersama Ahmad Nawab (tengah) dan Eddie Marzuki di studio di Setiawangsa, Kuala Lumpur.


RAMAI sudah tahu Konsert J2011-Lagenda yang bakal dipentaskan oleh penghibur tersohor, Jamal Abdillah di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur selama empat hari mulai 7 Januari ini tiada penaja.

Seperti mana Konsert Kembara Seniman yang pernah diadakan pada tahun 2009, tiada satu pun syarikat korporat yang tampil untuk menaja persembahan Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali ini.

Namun begitu, ketika mengunjungi Jamal di studio di mana dia mengadakan sesi latihan sebagai persediaan konsert pembuka tirai bagi tahun 2011 ini, secara terus-terang dia mengakui tidak bimbang tanpa penaja.

"Dulu sewaktu Konsert Kembara Seniman, tiada penaja tampil untuk menaja konsert itu. Bagaimanapun kerjasama daripada pihak akhbar, konsert itu bukan sahaja berjalan lancar malahan mampu mendapat sambutan penonton.

"Kumpulan Utusan tampil sebagai akhbar rasmi konsert saya waktu itu. Dengan keseluruhan penajaan dalam bentuk artikel-artikel dan iklan serta promosi yang telah diterbitkan dalam kumpulan akhbar Utusan, apabila dikira semula ia bernilai RM1.3 juta," katanya ketika ditemui di studio rakaman di Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Jamal, dia agak bernasib baik kerana sokongan yang diterimanya termasuk daripada RTM sudah memadai tanpa kehadiran penajaan dari syarikat-syarikat korporat.

Justeru, katanya, dengan iklan dan promosi yang diberikan oleh media cetak dan media elektronik, konsert sebelum ini berjaya mendapat sambutan box-office daripada para peminatnya.

"Konsert sebelum ini, saya mengeluarkan perbelanjaan sendiri sebanyak RM280,000 dan untuk konsert kali ini, J2011-Lagenda dengan Utusan sebagai akhbar rasmi, saya cuma membelanjakan RM300,000,'' jelas beliau.

Jamal tidak menafikan, bagi mengadakan sesebuah konsert, bajet menelan berjuta-juta ringgit.

Namun, jika beliau terus menunggu penaja, mungkin hasrat dan perancangan untuk mengadakan konsert akan terbantut.

Bagaimanapun, ketika dilontarkan persoalan apakah kemungkinan penaja takut untuk menaja konsert kerana dia adalah Jamal Abdillah?

Sambil tersenyum namun penuh yakin, Jamal menjelaskan:

"Bukan kerana itu. Mungkin kerana lambat hantar proposal kepada penaja atau syarikat korporat. Kita faham bahawa bajet mereka (syarikat korporat) keluarkan awal tahun sedangkan kita pula datang penghujung tahun untuk mencari penaja.

"Sebenarnya, bagi membuat persiapan untuk mengadakan sesuatu konsert termasuk penyediaan kertas kerja, ia mengambil tempoh selama setahun sebelum penetapan tarikh konsert.

"Pihak yang akan tampil sebagai penaja perlu tahu apakah keuntungan dan pulangan pelaburan yang mereka perolehi sekiranya menaja konsert seseorang artis.

"Itulah yang pihak saya tidak berapa arif nak sediakan. Jadi, kalau pihak penaja tidak tahu apakah pelaburan mereka itu akan memberikan pulangan atau hasil yang lumayan, maka mereka tidak sanggup untuk menjadi penaja," kata Jamal.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.