Adsense

Selasa, 14 Disember 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Fasha luah perasaan di

Posted:

Fasha luah perasaan di <i>Twitter</i>

Fasha luah perasaan di Twitter

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI


FASHA Sandha menggunakan Twitter bagi merapatkan hubungan dengan para peminatnya.


LAMAN sosial Twitter di Internet bukan setakat menjadi tumpuan masyarakat biasa, sebaliknya kalangan artis seperti pelakon yang mempunyai ribun peminat turut tidak terkecuali menggunakannya.

Twitter bukan sahaja laman sesawang untuk bersosial, malah ia juga boleh dijadikan ruang untuk meluahkan perasaan termasuklah pelakon Fasha Sandha yang sering dilanda gosip dan cerita-cerita panas.

Menurut pelakon berusia 26 tahun itu, selama ini dia banyak meringankan beban perasaan sedih dan kecewa yang dihadapinya dengan meluahkannya secara terbuka di Twitter untuk dikongsi bersama-sama para peminat.

"Saya memang menjadikan Twitter untuk meluahkan apa juga perasaan yang terbuku di hati. Sama ada ia yang menggembirakan atau menyedihkan hati saya. Saya mahu berkongsi perasaan itu dengan para peminat saya di Twitter.

"Setakat ini, saya mempunyai 37,000 peminat yang banyak menyokong kerjaya saya sebagai pelakon. Apabila saya meluahkan perasaan saya di Twitter ramai yang memberi maklum balas dan memberi sokongan moral kepada saya.

"Saya suka berterus terang di Twitter tentang apa juga perasaan yang saya lalui ketika itu. Pada masa sama saya terbuka dengan kritikan," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pada pertemuan sewaktu pelancaran drama bersiri 26 episod Dia Atilia lakonannya yang disiarkan di Astro Prima setiap Selasa 9 malam bermula 30 November lalu, Fasha menafikan dia menyalahgunakan laman sosial tersebut.

Malah, pelakon filem Anak Halal itu turut menafikan dia telah memburuk-burukkan teman-teman artis yang tidak sehaluan dengannya di Twitter biarpun ramai yang sudah semakin ramai bercakap mengenainya.

"Kalau saya tulis di Twitter saya tulis secara berlapik dan tidak bertujuan memburuk- burukkan sesiapa. Tetapi siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya. Ini kerana, saya menulis berdasarkan pendapat saya sahaja.

"Sungguhpun begitu, ada juga yang cuba 'menyerang' saya di Twitter. Namun, saya tidak membalasnya dengan cara yang kasar. Pada masa sama, ramai lagi peminat saya di Twitter yang akan mempertahankan saya.

"Apa yang saya tulis dan luahkan di Twitter selama ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan saya dengan para peminat. Asalkan apa yang saya tulis itu tidak melampaui batas , cukuplah. Saya juga kena jaga hati ramai orang," ujarnya.

Jelas Fasha, menerusi laman sosial Twitter, dia bukan sekadar merapatkan hubungan dengan para peminatnya, malah pelbagai aktiviti dan berita tentang dirinya dapat disebarkan dengan lebih mudah dan cepat.

"Selama ini para peminat hanya mengetahui perkembangan tentang diri saya melalui akhbar, majalah, televisyen dan radio sahaja. Tetapi kini mereka boleh tahu lebih cepat melalui Internet serta telefon bimbit.

"Kalau ada cerita terbaru tentang saya, saya akan terus tulis di Twitter. Ini bermakna, apa sahaja berita yang saya salurkan ia datangnya terus daripada saya.

"Misalnya, saya baru sahaja habis menjalani penggambaran filem Dari Kerana Mata lakonan saya bersama Awie arahan Melissa Saila, maka saya boleh terus sampaikan di Twitter supaya mereka bersedia menontonnya nanti.

"Secara tidak langsung ia bukan sahaja memudahkan para peminat mengetahui berita terbaru tentang saya, malah ia juga mampu menarik lebih ramai pengikut saya di Twitter kerana ia disediakan percuma," katanya.

Tambah pemegang watak Atilia dalam Dia Atilia yang persis filem Hindi, Kuch Kuch Hota Hai ini, kebanyakan cerita yang diperbualkan di Twitter adalah kisah-kisah peribadi terutama hubungannya dengan kekasihnya, Jejai.

Sedaya upaya, kata Fasha, dia enggan mengulas panjang kisah cintanya itu, tetapi tidak menolak hubungannya dengan Jejai atau Rizal Ashram Ramli yang merupakan anak bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

"Apa yang boleh saya kata sekarang ini saya sudah bersedia untuk bergelar isteri dan ibu. Insya-Allah kami akan melalui adat Melayu di mana ia akan bermula dengan bertunang dan seterusnya berkahwin. Tarikhnya sudah ada.

"Buat masa ini saya tidak mahu mengumumkannya bila kerana menghormati keputusan pihak keluarga Jejai. Saya tidak mahu memandai-mandai. Kalau sampai masanya nanti (bernikah) kami akan mengundang wartawan," ujarnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Mentor 5: Proses pemilihan lebih ketat

Posted:

Mentor 5: Proses pemilihan lebih ketat

Mentor 5: Proses pemilihan lebih ketat

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR

SEMEMANGNYA sesuatu yang mengejutkan apabila program realiti terbitan TV3, Mentor 4 berjaya mencatatkan rating tertinggi sepanjang bersiaran tahun ini.

Belum pernah dalam sejarah Mentor yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2005 itu mencatatkan rating hampir tiga juta penonton untuk konsert mingguannya.

Manakala pentas akhir Mentor 4 yang diadakan pada 4 Julai lalu pula telah disaksikan seramai 3.8 juta penonton yang menyaksikan Ziana Zain dan protegenya, Mohd. diangkat sebagai juara.

Dengan kedua-dua rekod cemerlang itu, ia sekali gus meletakkan program tersebut sebagai yang terbaik sepanjang Mentor diadakan.

Walaupun tidak terlepas daripada kisah panas, ia langsung tidak menggugat kesetiaan peminat setia rancangan itu untuk terus menjadikan Mentor 4 sebagai tontonan wajib setiap minggu.

Memperkatakan tentang kontroversi, adakah Mentor 5 yang akan memulakan misi pencarian protege tidak lama lagi itu mampu mengelakkan diri daripada terkena tempias itu?

Sesiapa yang mengikuti Mentor 4, pasti tidak akan dapat melupakan apabila Ziana diberi 'hak istimewa' untuk menukar protegenya di saat akhir ketika konsert mingguan pertama sudah bermula.

Lalu, ramai yang kini menunggu dan melihat apakah kisah itu akan berulang sekali lagi dalam Mentor 5?

Menjawab persoalan itu, Penerbit Mentor 5, Muhamad Suffian Isa menjelaskan proses pemilihan protege kali ini akan memastikan kes yang serupa tidak akan berulang kembali.

Untuk itu kata Muhamad Suffian, selepas uji bakat terakhir iaitu pada 30 Januari depan, dia dan kesemua mereka yang terlibat termasuk enam mentor musim ini akan bersidang dan meneliti calon yang benar-benar layak.

"Kalau diperhatikan, kes penukaran protege di saat akhir itu merupakan kes yang agak terpencil dan tidak pernah berlaku dalam sejarah penganjuran Mentor.

"Saya dan pihak TV3 sendiri tidak mahu apa yang berlaku dalam musim lalu terjadi lagi. Kerana itu, faktor utama dalam memilih protege kali ini adalah mereka yang komited serta memiliki tahap disiplin yag tinggi di samping memiliki kualiti bakat," ujarnya dalam nada serius.

Muhamad Suffian berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman enam mentor yang terpilih menerajui Mentor 5 yang diadakan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pastinya, Mentor 5 bakal memberikan satu tontonan yang cukup menarik apabila salah seorang artis yang dipilih sebagai mentor ialah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar.

Lima yang lain termasuklah Afdlin Shauki, Erra Fazira, Edry Abdul Halim, Rahim Maarof serta vokalis kumpulan Hujan, Noh.

Hanya Sharifah Aini sahaja yang tidak dapat hadir pada petang itu kerana masih lagi berada di Mekah dan penyanyi itu sempat memberikan sepatah dua kata menerusi rakaman video.

Berbicara tentang drama yang sudah menjadi sebahagian dalam mana-mana program realiti, Muhamad Sufian menjelaskan, perkara itu tidak mampu dielakkan kerana ia adalah perlakuan yang semula jadi tanpa dibuat-buat.

Mampu menggalas

"Ramai yang menyangkakan drama yang terjadi dalam Mentor adalah sesuatu yang telah dirancang oleh pihak kami tetapi sebenarnya tidak. Biasalah, kalau tiada drama, tidak menarik sesebuah program realiti itu," ujarnya berseloroh.

Ketika ditanya tentang pemilihan artis dalam Mentor 5, Muhamad Suffian menjelaskan ia bukanlah satu proses yang mudah untuk memilih mereka sebagai mentor bagi musim kelima ini.

"Kami telah menyenaraikan 15 orang artis yang kami fikir layak untuk menjadi mentor kali ini berdasarkan kecemerlangan dan pengalaman mereka dalam bidang seni.

"Seboleh-bolehnya kami juga mahu menampilkan muka-muka baru yang tidak pernah menyertai Mentor sebelum ini.

"Selepas meneliti dan melalui proses perbincangan, kami percaya enam artis yang dipilih kali ini mampu menggalas tanggungjawab mereka dengan baik serta bersedia menyahut cabaran sebagai mentor," kata Muhamad Suffian lagi.

Seperkara lagi tentang Mentor 5 yang dikhabarkan dalam sidang akhbar itu adalah tentang pengenalan dua juri tetap.

"Itu merupakan salah satu perubahan yang kami lakukan untuk musim ini. Buat masa ini, kami tidak boleh mengumumkan lagi siapakah dua individu itu kerana masih dalam perbincangan.

"Selepas semuanya muktamad kelak, barulah kami akan mengumumkannya pada sidang akhbar yang kedua bersama barisan protege yang terpilih nanti," jelasnya.

Dalam masa yang sama, Muhamad Suffian juga tidak menafikan bahawa perlu berdepan dengan tekanan memandangkan musim keempat telah melakar kejayaan yang cukup luar biasa.

Tetapi, dia optimis Mentor musim terbaru ini juga mampu mencatatkan kejayaan tersendiri yang turut mengekalkan format pembahagian markah iaitu 50 peratus daripada juri tetap, 30 peratus (SMS) dan selebihnya daripada juri awam.

Uji bakat pertama akan berlangsung pada 18 dan 19 Disember ini di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah manakala 1 dan 2 Januari depan pula akan diadakan di Merdeka Palace, Kuching, Sarawak.

Selain daripada menghadiri uji bakat yang telah ditetapkan, kelainan untuk Mentor edisi terbaru ini apabila para peserta boleh memuat naik rakaman video nyanyian masing-masing ke www.tv3.com.my/mentor5 sebelum atau pada 10 Januari 2011.

"Dengan cara ini, ia lebih memudahkan peserta selain dapat menjimatkan masa daripada menghadiri sesi uji bakat.

"Seandainya mereka berjaya, pihak produksi akan menghubungi mereka untuk hadir ke satu sesi uji bakat pada tarikh dan waktu yang ditetapkan," ujarnya lagi yang memberitahu uji bakat untuk kesemua mentor akan berlangsung di Sri Pentas.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.