Adsense

Khamis, 2 Disember 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Sheila beri peluang artis bertudung

Posted:

Sheila beri peluang artis bertudung

Sheila beri peluang artis bertudung

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN


LAKONAN empat pelakon ini dalam drama bersiri, Sakti Delima akan dapat ditonton menerusi slot Lagenda di TV3 bermula 3 Januari depan.


MENGENALI produser wanita yang cukup produktif ini, sering kali dia tidak pernah gagal memberikan santapan terbaik menerusi karya-karya terbitan syarikatnya, JS Pictures.

Bukan hanya menerapkan dakwah dan mesej menerusi drama-dramanya, tetapi Sheila Rusly juga amat menitik beratkan kelainan yang ingin ditonjolkan.

Sebagai penerbit yang terkenal dengan drama yang berkualiti, Sheila tidak mahu penonton berasa bosan dengan jalan cerita yang klise.

Biar susah mana sekalipun, Sheila enggan menjadikan ia sebagai satu halangan dalam melahirkan drama yang mampu meninggalkan impak kepada audiens.

Begitu juga tentang perihal imejnya yang bertudung. Di awal kemunculannya dengan imej tersebut, ramai yang agak skeptikal dengan kemampuan anak jati Kuala Lumpur itu meneruskan karier seninya sebagai seorang aktres.

Sekali lagi, Sheila membuktikan itu bukannya satu masalah besar asalkan dia bijak memilih dan mewarnakan watak yang dijayakannya dengan baik.

Meskipun pernah dikritik hanya mampu berlakon di bawah terbitan syarikat miliknya sahaja, Sheila sedikit pun tidak pernah melatah mahupun melenting.

Menerusi JS Pictures, kata Sheila, dia mempunyai sepenuh kebebasan untuk berkarya dalam memikirkan apa jua watak yang sesuai dengan penampilannya.

"Selalunya masyarakat menganggap kalau pelakon yang sudah memakai tudung, sukar sekali mendapat watak yang benar-benar memberikan kepuasan.

"Tetapi, kalau kita berfikir di luar kotak fikiran kita, saya percaya tiada yang mustahil dalam menghasilkan watak khusus untuk wanita bertudung.

"Sebagai anak seni, kita seharusnya lebih kreatif dalam menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan untuk audiens kita," jelas Sheila bersungguh ketika ditemui di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Sheila sendiri sudah membuktikan sebelum ini apabila membawakan watak antagonis, Malika dalam drama bersiri Anak Betong dan Cucu Betong.

Menerusi drama bersiri terbaru, Sakti Dilema yang bakal menghiasi slot Lagenda di TV3 bermula 3 Januari depan, Sheila sekali lagi menampilkan kelainan yang pasti akan menarik perhatian audiens kelak.

Mana tidaknya, kali ini Sheila telah mengumpulkan artis-artis wanita yang bertudung untuk menerajui Sakti Dilema termasuk dirinya sendiri yang membawakan watak Siti Anggerik.

Lima aktres pilihan Sheila untuk drama ini ialah Bienda sebagai Siti Melur, Catriona Ross (Permaisuri Nirwana), Safura Ya'cob (Siti Tanjung), Liza Hanim (Dewi Bitara) dan Aida Khalida (Kemalasari).

"Inilah salah satu kelainan dalam drama ini dan saya memang mewujudkan watak-watak yang ada dalam drama ini khusus untuk kesemua pelakon ini.

"Sebagai teman seperjuangan, kadang-kala saya sedih mendengar keluhan mereka yang sukar mendapat watak yang sesuai dengan mereka.

"Sering kali watak yang diberikan kepada mereka begitu klise. Atas alasan itu, saya mahu membuka peluang kepada mereka dengan membuktikan kepada masyarakat bahawa tidak semestinya bertudung ia mampu menyekat bakat lakonan mereka," kata Sheila mempertahankan pendiriannya saat diajukan tentang rasional dia berbuat demikian.

Berbicara lanjut tentang Sakti Dilema, Sheila tidak menafikan sebagai penerbit, dia juga berdepan dengan situasi yang merumitkan dalam menjadikan Sakti Dilema sebagai karya terbaik.

Walaupun pernah menerbitkan drama bersiri untuk slot Lagenda sebelum ini, kelainan Sakti Delima terletak pada genre epik yang pertama kali diterbitkan oleh JS Pictures.

"Memang cukup mencabar menghasilkan sebuah drama epik secara total kerana segala aspek perlu dititik beratkan dari lokasi, busana sehinggalah ke tata rias.

"Tetapi, saya harus akui ia merupakan pengalaman yang cukup menakjubkan kerana berpeluang berlakon dengan pelakon yang kali pertama muncul dalam drama terbitan saya.

"Juga, seluruh krew yang menjalankan tanggungjawab dan kerja masing-masing seperti mana yang dirancang menjadikan penggambaran drama ini semuanya berjalan lancar," ujarnya tentang Sakti Delima yang merupakan adaptasi daripada kisah klasik Panca Delima.

Malah, Sheila juga sanggup mengeluarkan bajet yang besar dengan menyediakan busana khas untuk semua watak utama tersebut.

Begitu juga dengan pemilihan lokasi iaitu Sungai Congkak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor yang bertepatan sekali dengan konsep penceritaan Sakti Delima.

Ketika ditanya tentang harapannya, tiada lain yang Sheila harapkan melainkan drama bersiri 20 episod itu akan meninggalkan impak yang luar biasa dan menghiburkan audiens seperti drama-dramanya sebelum ini.

Pelakon lain yang turut membintangi Sakti Delima hasil tulisan Sofia J. Rhyland itu ialah Iqram Dinzly yang melakonkan watak Putera Nurfirdaus, Ungku Ismail (Andika) dan Syean (Faris).

Bienda tiada masalah

Berbanding dengan Safura dan Catriona Ross, penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Penantian ini tidak berdepan dengan masalah meskipun dia bertudung.

Barangkali semua itu ada kaitan dengan personalitinya yang memang sedari awal sudah bertudung sejak menceburkan diri dalam bidang seni.

Bienda menjelaskan dia bertuah kerana sepanjang lebih lima tahun menjadi artis, dia tidak berdepan dengan masalah besar dalam membawakan pelbagai watak yang diberikan kepadanya.

Katanya, pengarah yang menggalas tanggungjawab tersebut benar-benar memahami kedudukannya sebagai wanita bertudung.

"Tetapi, dalam masa yang sama saya juga sebenarnya mengharapkan lebih ramai penerbit drama dan filem membuka mata bahawa apa yang penting adalah bakat.

"Adakah kerana seseorang itu bertudung rezekinya perlu disekat dan tidak boleh diberikan watak yang mampu mencabar kredibiliti mereka sebagai seorang aktres," ujar Bienda atau nama penuhnya, Nor Razlinda Razli memberikan pendapatnya.

Mengenai wataknya sebagai Siti Melur dalam drama itu, Bienda memberitahu, dia tidak ada masalah berlakon bersama pelakon lain.

Katanya, kali pertama berlakon di bawah arahan Jinggo memberikannya pengalaman berbeza dan pengarah itu cukup faham dengan situasinya sebagai wanita bertudung.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pemilihan pelakon berdasarkan watak

Posted:

Pemilihan pelakon berdasarkan watak

Pemilihan pelakon berdasarkan watak

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR dan ihsan ASTRO


PASANGAN kekasih, Eira Syazira dan Azad Jasmin merupakan pelakon utama drama bersiri Anak Mami Mek Ani.


SEBAGAI stesen berbayar tunggal negara, Astro mahu terus menghasilkan produk yang berkualiti khusus untuk pelanggan mereka. Sedar akan kehendak masyarakat yang sering dahagakan produk yang kualiti, Astro memang tidak pernah kekeringan idea untuk memberikan yang terbaik kepada penonton mereka.

Saluran-saluran popular stesen itu seperti Astro Ria, Astro Prima dan Astro Oasis telah membuktikan kehebatan kandungan masing-masing sehingga mampu setanding dengan saluran televisyen yang lain.

Sebuah lagi saluran, Astro Warna yang terkandung dalam pakej Mustika juga merupakan antara yang semakin mendapat perhatian.

Sejak dilancarkan setahun yang lalu, memang tidak dapat dinafikan kelebihan Astro Warna adalah terletak kepada kandungan saluran itu yang hanya menyajikan program dari genre komedi sahaja.

Baik drama mahupun program hiburannya, setiap produk yang dihasilkan untuk saluran itu mempunyai pendekatan berbeza dalam memenuhi cita rasa penonton yang pelbagai.

Namun, apa yang menjadi persoalan apabila setiap program yang disiarkan di Astro Warna dilihat tidak mempunyai variasi dari segi pemilihan para pelakonnya.

Hampir kesemua programnya memperlihatkan barisan pelakon yang sama sehingga ada yang mempersoalkan apakah benar industri hiburan ketandusan pelakon yang boleh membawakan watak komedi.

Ketika diajukan pertanyaan tersebut kepada Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani, pihaknya memang tidak menafikan perkara tersebut.

Katanya, memang sukar sekali untuk mencari pelakon komedi untuk diketengahkan dalam mana-mana penerbitan untuk saluran itu.

"Jika pelakon komedi lelaki, kami tidak mempunyai masalah kerana kalau dilihat, negara ini memang banyak pelakon komedi lelaki daripada pelbagai peringkat usia.

"Apa yang menjadi masalah utama apabila kami sukar sekali untuk mencari pelakon komedi wanita. Bukan satu tugas yang mudah dan kerana itulah, wajah-wajah serupa sahaja yang ditampilkan," jelasnya memberikan justifikasi terhadap masalah tersebut.

Nizam berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru Astro Warna di Cathay Cineleisure, Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya, Astro Warna telah menyediakan empat drama bersiri istimewa khusus buat penonton setia mereka iaitu Jangan Pandang Belakang Congkak, Ada Aku Kisah, Gila-Gila dan Anak Mami Mek Ani.

Menyambung perbualan, Nizam memberitahu setiap pelakon yang dipilih untuk mana-mana program akan disesuaikan mengikut watak yang ditetapkan.

"Kami juga masih menggunakan khidmat pelakon komedi veteran seperti Datuk Aziz Sattar tetapi bukan untuk semua produk. Sebaliknya, kami akan mengkaji dan melihat watak yang sesuai untuknya dalam setiap program itu.

"Begitu juga dengan kemunculan Wan Maimunah dalam siri Anak Mami Mek Ani yang mana karakternya dalam drama itu amat bersesuaian dengannya.

"Jadi, persoalan pilih kasih mahupun keutamaan pada mana-mana artis juga tidak timbul kerana peluang sememangnya diberikan kepada semua pelakon. Asalkan watak tersebut bersesuaian dengan mereka," jelas Nizam yang juga Pengurus Saluran Astro Prima itu panjang lebar.

Dalam masa yang sama juga, dia tidak menafikan bukan mudah untuk memilih karya komedi terbaik yang layak disiarkan di Astro Warna.

Mujurlah katanya, dia mempunyai pasukan terbaik yang banyak membantunya dalam memilih serta mengkaji setiap kertas kerja yang dihasilkan oleh penerbit tempatan.

Mungkin secara mata kasar, komedi adalah genre yang dilihat cukup mudah tetapi Nizam tidak menolak cabaran yang perlu ditempuhinya.

"Memang saluran Astro Warna adalah untuk penonton yang mahu melepaskan tekanan dan berhibur tanpa perlu memeningkan kepala mereka.

"Tetapi, itu bukan bermakna kami memilih karya yang dihantar asal boleh sahaja semata-mata mahu memenuhi kuota yang ditetapkan. Kami tetap tidak akan berkompromi soal kualiti," ujarnya yang memberitahu menerima lebih daripada 10 buah kertas kerja setiap bulan.

Tambahnya, proses pemilihan dan saringan yang dilakukan memang cukup rumit sehingga hanya sekitar tiga atau empat judul sahaja yang diluluskan.

"Komedi yang kami mahu tonjolkan haruslah memiliki unsur humor yang mudah difahami dan boleh dikaitkan kepada semua pihak.

"Kita harus akui bukan semua unsur komedi itu dapat difahami oleh setiap lapisan masyarakat. Ada kala apa yang kita suka tidak semestinya akan disukai oleh pihak yang lain.

"Dalam hal ini, Astro Warna lebih selesa untuk menyiarkan program komedi berdasarkan apa yang penonton mahukan," katanya lagi.

Tentang empat drama bersiri terbaru yang sudah pun ditayangkan itu, Nizam cukup berpuas hati dengan penghasilan setiap drama itu.

Baginya, dia cukup optimis empat drama itu mampu menarik perhatian peminat dan pencinta genre komedi kerana pendekatan masing-masing yang berbeza sekali gus memberikan kepuasan optimum.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.