Adsense

Khamis, 2 Disember 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Segan lakon babak mesra

Posted: 01 Dec 2010 07:31 AM PST

SELAIN sinetron dari seberang, drama Korea juga tidak ketinggalan mencetuskan fenomena dalam industri penyiaran di Malaysia.

Buktinya, drama seperti Winter Sonata, Autumn in My Heart, My Sassy Girl Choon Hyang dan Princess Hours diterima baik penonton tempatan.

Justeru, tidak hairanlah jika beberapa aktor kacak dan aktres jelita Korea menjadi pujaan peminat tanah air.

Seorang daripadanya, sudah tentu Chae Rim. Kehebatan lakonannya cukup diingati menerusi All About Eve disiarkan TV3 pada 2007 .


Apapun, kini Chae Rim muncul dengan drama terbarunya, Oh! My Lady yang disiarkan di 8TV, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 malam.


Wanita berusia 31 tahun ini digandingkan dengan anggota anggota kumpulan Super Junior, Choi Si Won, 23, sebagai kekasih.

Mengetengahkan kisah romantik komedi, Oh! My Lady mengisahkan Yoon Gae Hwa lakonan Chae Rim, seorang ibu tunggal, yang bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang bintang terkenal, Sung Min Woo. Tugasnya, menjaga Ye Eun.

Kanak-kanak perempuan itu adalah anak luar nikah Min Woo dan sebagai artis popular, ia rahsia besar yang harus dijaga daripada terbongkar.

Justeru, sejauh mana sebenarnya hubungan Min Woo dan Gae Hwa kerana mungkinkah mereka bercinta?

Bagi penonton yang sudah menyaksikan drama ini, pastinya tidak sabar menunggu kesudahannya yang mempunyai 16 episod.

Apapun, menyingkap kisah realiti hidup Chae Rim atau nama sebenarnya, Park Chae-Rim kini adalah seorang janda.

Dia yang pernah berkahwin dengan penyanyi terkenal Korea Lee Seung-Hwan pada 24 Mei 2003 dan sah bercerai Mac 2006 atas alasan tiada lagi persefahaman kerana perbezaan personaliti.

Aktif dengan karier lakonannya diceburi sejak 1994, Chae Rim sudah membintangi hampir 30 drama TV serta pernah memenangi beberapa anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Apapun, Chae Rim selesa merendah diri dan sibuk dengan pelbagai aktiviti.

Dalam sesi temu bual bersama media, Chae Rim hanya memberi tumpuan dan fokusnya membicarakan soal karier. Baginya, penting seorang artis berkongsi kisah perjalanan aktiviti seninya kepada peminat berbanding publisiti murah membabitkan peribadi.

"Saya harus menghormati karier ini kerana ia adalah sumber pendapatan. Justeru, wajar bagi saya tidak terbabit dengan kisah sensasi.

"Sebagai artis dan model, saya sudah terbiasa dengan lensa kamera dan tahu apa yang masyarakat inginkan.

"Namun, saya tidak sedia berkongsi kisah peribadi kerana ia rahsia diri.

"Saya juga takkan melayan sebarang gosip dan hanya sekiranya kisah itu benar, maka penjelasan akan dibuat. Setakat ini, saya fikir cara dipilih ini sangat tepat dan sesuai," katanya.

Chae Rim juga dikatakan terbabit dengan pembedahan plastik sama seperti aktres Korea yang lain. Enggan mengulas mengenainya, Chae Rim hanya berdiam diri. Berkongsi cerita lakonannya bersama Si Won, Chae Rim mengakui dia tidak hadapi masalah.

"Sekalipun, jarak usia kami berbeza tujuh tahun, tetapi saya dan Si Won boleh berkomunikasi dengan baik. Saya tidak kisah bergandingan dengan aktor muda asalkan kami serasi. Jujurnya, saya melihat Si Won sangat berbakat dan dia juga popular.

"Sebagai anggota kumpulan pop Super Junior, saya tahu Si Won tentunya menjadi pujaan gadis remaja. Wajahnya yang kacak dan matang, tidak menampakkan usia sebenarnya. Saya gembira berlakon di sisi Si Won dalam Oh! My Lady.

"Apapun, saya sebenarnya segan apabila kami melakonkan babak mesra. Maklum saja, jarak usia yang ketara. Namun, apa boleh buat kerana ia kehendak watak.
Ditambah lagi, ia kehendak pengarah dan Oh! My Lady adalah kisah romantik," katanya.

Sering muncul sendirian di khalayak umum, Chae Rim sangat menjaga penampilan dirinya walaupun, hanya bergaya ringkas.

Antara pelakon lain yang membintangi Oh! My Lady ialah Lee Hyun Woo, Park Han Byul, Moon Jung Hee dan Yoo Seo Jin.

PROFIL

NAMA: Park Chaerim
PANGGILAN KOMERSIAL: Chae Rim
TARIKH LAHIR: 28 Mac 1979
USIA: 31 tahun
TEMPAT LAHIR: Seoul, Korea Selatan
KARIER: Aktres, model
AKTIF BERLAKON: Pada 1994
STATUS: Janda
BEKAS SUAMI: Lee Seung-Hwan
KARIER: Penyanyi
DRAMA SIRI: Warm River, Journey (1994), Pair (1995), A Daughter's Choice (1996), Ban Buhl Ee (1997), My Mother's Daughters, As We Live Our Lives, Shy Lover (1998), Lost One's Way/The Song Of Hope, Kaist, I'm Still Loving You (1999), Air Force , All About Eve, Cheers For Women (2000), Four Sisters (2001), We Are Dating Now (2002), Over The Green Fields (2003), Oh! Pil Seung, Bong Soon Young , Banjun Drama: Suite Room, Love of The Aegean Sea, Warriors of The Yang Clan (2004), Lost City In Snow Heaven, Taming of The Shrew (2005), Secret Legend of Kang Xi Dynasty (2006), Dal-Ja's Spring (2007), Powerful Opponents (2008), Good Job, Good Job (2009), Oh! My Lady (2010)
SITKOM: Jump (1998)
PENCAPAIAN: MBC New Actress Award (1998), MBC Popular Actress Award (1999), SBS Popular Actress Award (2000), Most Popular International Star (China Annual Golden TVS Awards - 2006), Favourite Asian Star Award (China BQ Awards - 2007) KBS Top Excellence Acting Award (2007)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Awan Dania 3 ke luar negara

Posted: 01 Dec 2010 07:10 AM PST

JIKA sebelum ini Dania (Scha Al Yahya) bekerja sebagai pramugari biasa dengan dua syarikat penerbangan komersial namun dalam Awan Dania 3, kerjayanya semakin berkembang apabila dia berkhidmat sebagai pramugari eksekutif di Syarikat Penerbangan D'nest yang menyediakan perkhidmatan jet peribadi.

Di situlah bermulanya cabaran baru dalam hidup Dania yang terpaksa ditempuhi untuk membuktikan dirinya layak menggalas tanggungjawab yang diberi walaupun dia kurang berpengalaman dalam perniagaan kabin kelas pertama. Bagi meneruskan kejayaan Awan Dania 1 dan 2, syarikat yang menerbitkan drama itu, Nusantara Seni Karya Sdn Bhd (NSK) merancang perjalanan cerita yang lebih menarik dan pasti meninggalkan kesan di hati penonton.

Oleh itu, penggambaran Awan Dania 3 turut dilakukan di luar negara iaitu di Seoul, Korea dan Perth, Australia. Ia juga bagi menggambarkan suasana sebenar tugas Dania dalam penerbangan yang lebih bersifat peribadi dan eksklusif.

Penggambaran di Seoul dilakukan selama dua minggu pada 10 hingga 22 Oktober lalu yang merakamkan keindahan negara itu yang ketika itu sedang mengalami musim luruh. Cuaca kala itu begitu nyaman dengan dedaunan bertukar kekuningan mula berguguran ke bumi. Langit cerah dengan awan berarak perlahan.


Lokasi penggambaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul, Myondong, Seoul Tower yang terletak di Namsan Park, Insaadong, Itaewon dan Taman Tema Lotte World.


Seramai 10 orang terbabit dalam penggambaran itu termasuk Penerbit Eksekutif NSK, Navamogan Munia; pengarah drama itu, Dinesh Samby dan tiga pelakon utamanya, Scha, Jehan Miskin dan Gambit Abdullah.

Dinesh berkata, dia mula terbabit dengan pembikinan Awan Dania ketika penggambaran musim kedua.

"Untuk Awan Dania 2, saya sempat mengarah sebahagian episodnya saja manakala untuk Awan Dania 3, saya diberi kepercayaan mengarah untuk semua 26 episod. Cabaran mengarah drama ini sangat besar kerana Awan Dania 1 dan 2 sudah popular dan untuk mengekalkan kejayaan serta kecemerlangan itu, kami perlu banyak menyuntik idea baru dengan jalan cerita yang lebih mantap.

"Bagaimanapun, penggambaran Awan Dania 3 di Seoul menjadi mudah kerana jurugambarnya, Kamarul begitu memahami apa yang saya mahukan untuk mencantikkan visual drama ini. Alang-alang melakukan penggambaran di luar negara dengan kos yang tinggi, saya mahu buat yang terbaik.

"Justeru, saya mengarahkan cerita ini dengan lebih teliti dan berhati-hati. Bagaimanapun, tentu saya dan juga pelakon drama ini sukar untuk memenuhi harapan setiap orang namun kami cuba usahakan dengan apa yang kita ada," katanya.

Tambah Dinesh, penggambaran Awan Dania 3 di Seoul yang membabitkan adegan Dania sebagai pramugari eksekutif dengan Syarikat Penerbangan D'nest milik usahawan terkenal, Tan Sri Mustafa. Syarikat itu menyediakan perkhidmatan jet peribadi.

"Pada musim ini, Dania berkenalan dengan usahawan muda dan kacak iaitu Akmal (Gambit Abdullah). Dengan kedudukannya sebagai anak orang berada dan usahawan muda yang sedang meningkat naik, Akmal sangat angkuh.

"Awalnya Akmal tidak begitu menyukai Dania kerana dia lebih rapat dengan seorang lagi pramugari berpengalaman iaitu Idora (Marsha Londoh). Bagaimanapun, selepas beberapa kejadian termasuk Dania menyelamatkan bapanya, Tan Sri Akhbar (Datuk Aziz Singah), yang diserang sakit jantung sewaktu dalam penerbangan, Akmal mula mengubah pandangannya terhadap Dania dan mula jatuh cinta dengan gadis itu.

"Keluarga Akmal pun menyenangi Dania, tetapi dalam pada itu, Benjy (Jehan Miskin) terus mendambakan cinta Dania walaupun keluarganya membenci Dania," katanya.

Tambah Dinesh, lebih banyak konflik kerja, persahabatan dan percintaan yang ditimbulkan dalam Awan Dania 3 demi mengatasi kejayaan Awan Dania 1 dan 2.

Sementara itu, kata Navamogan, penggambaran di Seoul membabitkan 130 babak di mana selama dua minggu berada di sana mereka bekerja dari jam 9 pagi hingga 6 atau 7 malam.

Jelasnya lagi, penggambaran drama itu mendapat kerjasama sepenuhnya Korea Tourism Organisation, Icheon Tourism Organisation dan Seoul Film Commission.

"Wakil daripada ketiga-tiga pihak itu mengiringi kami sepanjang penggambaran dan mereka begitu mementingkan ketepatan waktu serta sangat teliti. Oleh itu, kami perlu mengikut jadual yang disediakan dan dengan adanya mereka juga, kami dapat bekerja tanpa gangguan.

"Melihatkan panorama alam sekeliling yang cantik, saya yakin penonton pasti tidak sabar untuk mengikuti perjalanan hidup, kisah cinta dan kerjaya Dania yang seterusnya. Sejak drama cinta Korea, Winter Sonata popular di negara ini, penonton terus jatuh cinta dengan drama yang diterbitkan di negara itu.

"Jadi sekarang kita buat drama kita di sana dengan merakamkan segala keindahan dan keunikan yang ada di negara itu. Tentu ia lebih membuai perasaan penonton kerana ia berlatarkan percintaan orang kita sendiri yang bersandarkan kepada budaya dan acuan masyarakat kita.

"Jika Awan Dania 1, Nasha Aziz dan Aaron Aziz berlakon dan musim kedua pula kami tampilkan A Aida bagi menggantikan tempat Nasha. Dalam Awan Dania 3, kami tampilkan Gambit.

"Untuk menunjukkan peningkatan kerjaya Dania daripada pramugari biasa kepada pramugari eksekutif, kami juga terpaksa mengeluarkan bajet yang lebih tinggi bagi menyewa jet peribadi. Penggambaran dalam jet itu juga perlu mengikut masa ditetapkan mereka kerana kami tidak boleh mengganggu jadual penerbangan syarikat itu.

"Penggambaran drama ini juga dilakukan di Perth di mana untuk musim ini, 40 peratus penggambaran dibuat di luar negara dan 60 peratus lagi dalam negara. Dengan beberapa perubahan yang dilakukan termasuk menambah ramai pelakon, saya yakin Awan Dania 3 akan mengulangi kejayaan Awan Dania 1 dan 2," katanya.

Pelakon lain yang membintangi drama ini, Mustapha Kamal, Irma Hasmie, Hamidah Wahab, Abu Bakar Juah, Dynas Mokhtar, Memey Suhaiza, Jasmin Hamid, Azhan Rani, Erin Malik, Anding, Datuk Rahim Razali dan Isyak Mambo.

Awan Dania 3 mula disiarkan di Astro Ria 22 November lalu, setiap Isnin, jam 10 malam.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.