Adsense

Selasa, 19 Oktober 2010

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Jaga standard

Posted: 19 Oct 2010 09:41 PM PDT



Kemunculannya kali pertama menerusi filem Castello di samping aktor Rosyam Nor empat tahun lalu, meletakkan namanya sebaris dengan pelakon senior sedia ada hingga menobatkan dirinya sebagai pelakon harapan terbaik dalam anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) pada 2006.

Selepas itu, rezekinya mencurah-curah dan setiap tahun ada saja wajahnya muncul di layar perak. Dengan bakat dan pakej lengkap sebagai pelakon membuatkan pemilik nama Liyana Jasmay ini sentiasa menjadi buruan produser dan pengarah filem tempatan.

Hampir lima tahun melibatkan diri dalam bidang seni ini, Liyana Jasmay atau lebih mesra dengan panggilan Nana, sudah berlakon lebih sepuluh filem. Antaranya adalah seperti Kami The Movie, Pisau Cukur, Syaitan, Malaikat Maut, Histeria, Duhai Si Pari Pari, Papadom, Niyang Rapik dan banyak lagi.

Filem Papadom arahan Afdlin Shauki berjaya mengangkat nama Nana sebagai pelakon wanita terbaik FFM pada tahun lalu. Berjaya di layar perak, wajah nya jarang muncul di kaca TV sehingga ada yang mengatakan gadis manis berusia 22 tahun ini, tidak mahu berlakon drama kerana menjaga standard sebagai pelakon filem.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui kurang muncul di kaca TV, tetapi menafikan tidak mahu berlakon drama dan hanya mengejar populariti sebagai pelakon filem.

"Masa awal-awal berlakon dulu, memang saya mahu cuba semua. Berlakon drama, filem, teater atau apa sahaja. Tapi apabila pengarah Bade Hj Azmi memberi nasihat kepada saya agar lebih selektif dalam setiap pemilihan watak, filem atau drama, saya mula terfikir untuk saya meletakkan diri saya dalam satu ruang lain jika mahu kekal dalam industri seni ini.

"Sejak itu, saya mula mengehadkan diri saya dan memilih watak yang benar-benar sesuai dengan diri saya dan saya juga banyak tolak tawaran berlakon drama.

"Tidak wujud perkataan 'demand' cuma saya tak mahu berlakon dengan watak yang sama atau menjadi orang lain. Saya juga akan tolak kalau watak itu memerlukan saya menjadi orang tua atau wanita korporat kerana saya masih muda.

"Saya akan berlakon dengan watak yang lebih kurang usia saya saja. Saya tak mahu peminat mudah jemu dengan saya.

"Tambahan, saya mahu terus bernafas dalam bidang lakonan ini. Jadi, kalau saya tak buat macam ni, saya risau peminat akan cepat lupakan saya," katanya, yang popular dengan lagu Aku Tak Percaya Cinta.

Ibu hilang anak dipatuk ular

Posted: 19 Oct 2010 09:40 PM PDT


SPESIES ular sawa tikus inilah yang dikatakan mematuk kaki Sabariah.


KEMAMAN – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib malang yang menimpa Sabariah Mansor, 42, ibu kepada bakal pengantin yang hilang, Rozaliya Mat Lazim, 20, apabila dia kini terpaksa menanggung kesakitan selepas dipatuk ular malam kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10 malam ketika Sabariah bersama keluarganya baru pulang daripada menemui seorang pengamal perubatan tradisional di Kuala Kemaman untuk mencari anak perempuannya yang hilang.

Rozaliya yang dijadualkan berkahwin pada 12 November ini hilang sejak 13 Oktober lalu ketika keluar membeli barangan keperluan perkahwinan di Kuantan.

Menurut Sabariah, setiba di rumah, kaki kanannya tiba-tiba terasa sakit seperti digigit sesuatu ketika hendak menaiki tangga untuk masuk ke rumah.

Selepas diperiksa, katanya, ada kesan darah di kaki dan dia ternampak kelibat seekor ular dipercayai ular sawa tikus bergerak pantas keluar dari kawasan rumahnya.

"Akibat dipatuk ular, kaki saya bengkak dan bertukar menjadi kebiru-biruan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Baru Cheneh dekat sini semalam.

Gadis Siam pembuka botol

Posted: 19 Oct 2010 09:39 PM PDT


BEBERAPA GRO Thailand ditahan penguat kuasa Imigresen dalam satu serbuan di Kelantan baru-baru ini.


TUMPAT - Gadis berahi pembuka botol arak. Itulah gelaran popular kepada pegawai perkhidmatan pelanggan (GRO) warga asing yang berkhidmat di berpuluh-puluh restoran Thai yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di daerah ini.

Kebanyakan GRO itu tidak dibayar gaji oleh pengusaha restoran terbabit sebaliknya mereka diberi upah mengikut jumlah botol minuman keras yang dibuka ketika melayani pelanggan.

Upah bagi setiap botol arak yang dibuka ialah RM2.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Boon Hai berkata, Tumpat kini popular dengan kehadiran GRO Thailand yang bekerja di restoran-restoran.

Katanya, GRO mengghairahkan itu akan memujuk pelanggan supaya menempah arak yang banyak untuk mendapat upah lumayan.

"Kebiasaannya pelanggan akan menempah minuman keras sekurang-kurangnya 24 botol untuk diminum bersama rakan sambil ditemani GRO," ceritanya.

Menurut beliau, GRO yang berpakaian seksi itu akan memberi layanan istimewa bagi mendapat tips antara RM50 dan RM100.

"GRO itu turut menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM100 semalam dan akan melakukan aktiviti maksiat di hotel-hotel murah di sini," kata beliau.

Boon Hai memberitahu, secara purata, setiap GRO boleh memperoleh pendapatan antara RM500 dan RM1,000 satu malam.

Geng Abang Karan dicekup

Posted: 19 Oct 2010 09:38 PM PDT


MOKHTAR (tengah) menunjukkan alat renjatan elektrik yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Merenjat mangsa di leher atau belakang badan dengan menggunakan alat renjatan elektrik sebelum menyamun dan mencabul mangsa. Itu tindakan kejam yang disyaki dilakukan dua lelaki yang dikenali sebagai 'Geng Abang Karan' setiap kali menyamun di sekitar bandar ini.

Bagaimanapun, tindakan mereka tidak ke mana apabila kedua-duanya dicekup di Larkin Perdana di sini pukul 9 malam Jumaat lalu.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit dikenali sebagai Abang Karan di kalangan dunia penjenayah kerana kedua-duanya telah berusia 40 tahun selain mereka dipercayai sering menyerang mangsa-mangsanya di leher atau belakang badan menggunakan alat tersebut.

Sebaik diserang, mangsa yang terkena renjatan bervoltan tinggi itu difahamkan akan 'lumpuh' seketika sekali gus memudahkan kedua-dua lelaki terbabit menyamun termasuk mencabul mangsa.

Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta.

Selain alat renjatan elektrik tersebut, polis turut merampas sebatang kayu besbol, satu plastik lutsinar mengandungi ganja dan beberapa set kunci untuk pecah rumah.

Penyimbah cat didenda RM2,000

Posted: 19 Oct 2010 09:37 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan beberapa penduduk membersihkan kesan cat yang dilempar pada dinding surau Taman Pulai Impian, Seremban Ogos lalu.


SEREMBAN – Tiga remaja dijatuhi hukuman denda RM2,000 dan diarah menyertai bengkel pemulihan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri oleh Mahkamah Kanak-Kanak di sini semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan khianat membaling botol dan menyimbah cat di surau Taman Pulai Impian di sini Ogos lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim M. Mageshwary ekoran pengakuan bersalah kesemua tertuduh berusia 16 hingga 18 tahun itu di mahkamah yang sama 27 Ogos lalu.

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh yang berusia 16 hingga 18 tahun itu dituduh dengan niat membaling botol di surau Taman Pulai Impian, Lorong 3 Taman Pulai Impian antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 23 Ogos lalu.

Dua daripada mereka turut dituduh dengan niat menyimbah cat di surau terbabit pada waktu dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan membaling botol dan menyimbah cat itu kesemua tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Hukuman ke atas kesemua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 93 (1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jaga dipenjara curi pagar polis

Posted: 19 Oct 2010 09:36 PM PDT


SEORANG lelaki melihat kesan pagar IPD Cheras yang dipotong tertuduh 16 Oktober lalu.


KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri harta milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiga hari lalu.

N. Jayamaran, 57, didakwa mencuri satu pagar besi berukuran 2.7 meter panjang dan 1.2 meter lebar milik PDRM di Batu 2 1/2 Jalan Cheras di hadapan tapak lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini pada pukul 4 petang, 16 Oktober lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, semasa pengadu, Fairus Fadzil, 32, yang juga anggota polis dari Balai Polis Cheras bersama rakannya sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan berkenaan, mereka nampak tertuduh sedang mengumpil dan mematahkan pagar di hadapan tapak lama IPD itu.

Ketika tertuduh dan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang membawa pagar besi tersebut, pengadu menghampirinya sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan tertuduh berjaya ditangkap.

USM bolot 7 anugerah di London

Posted: 19 Oct 2010 09:35 PM PDT


ABDUL LATIFF (depan dua dari kanan), Nor Fasihah (depan kanan), Yohanes (depan tiga dari kanan) dan Ghaddafy (depan empat dari kanan) disambut meriah oleh warga USM di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas semalam.


BAYAN LEPAS - Tiga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) mengharumkan nama negara apabila mencapai kemenangan cemerlang dalam British Invention Show di Alexandra Palace, London baru-baru ini.

Selain memperoleh pengiktirafan emas dalam kategori masing-masing, hasil penyelidikan mereka turut memenangi empat hadiah khas juri pada pameran yang berlangsung pada 13 hingga 16 Oktober lalu.

Inovasi penggunaan kanji untuk menghasilkan plastik terurai hasil idea Nor Fasihah Zaaba, 23, memenangi pingat emas, Emas Berganda dan Hadiah Khas Inovasi dari Russia.

Penyelidikan Muhammad Ghaddafy Affendy, 24, tentang bateri polimer zink untuk menyelesaikan masalah kebocoran dalam bateri biasa dengan menggunakan sagu mendapat pingat emas dan Hadiah Khas Platinum.

Turut mencipta kejayaan ialah inovasi penggunaan tayar terpakai untuk mengelakkan hakisan sungai dan bukit oleh Yohanes Saimi, 23, apabila memenangi pingat emas dan Hadiah Khas Berlian.

Cari dadah, jumpa pistol dan peluru

Posted: 19 Oct 2010 09:35 PM PDT


KOK LIANG (dua dari kiri) menunjukkan pistol jenis Smith and Wesson dan peluru yang ditemui di sebuah rumah di Taman Desa Melintang, Teluk Intan semalam.


TELUK INTAN - Sepasukan polis yang menyerbu rumah sepasang kekasih dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah jenis syabu di sebuah rumah teres di Taman Desa Melintang di sini terkejut apabila menemui dua pucuk pistol jenis Smith and Wesson petang semalam.

Bertindak atas maklumat orang ramai, polis tidak hanya menemui empat biji pil eramin-5 dan tiga peket plastik dadah jenis syabu seberat lebih 90 gram tetapi turut merampas 367 butir peluru pelbagai jenis.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dua pucuk pistol itu disimpan di dua tempat berasingan di bilik tidur.

"Semasa ditahan, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu bersama kekasihnya seorang warga Thailand (33 tahun) berada di dalam rumah tersebut.

"Polis yang menggeledah premis berkenaan menemui sepucuk pistol berisi enam biji peluru hidup disimpan di dalam sarung bantal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini semalam.

Katanya, sepucuk pistol berisi enam peluru berserta dua kotak yang setiap satunya mengandungi 40 butir peluru 0.22 milimeter (mm) dijumpai tersorok dalam kepingan jubin lantai bilik tidur utama berkenaan.

Hutang isi rumah tertinggi di Asia

Posted: 19 Oct 2010 09:34 PM PDT


PINJAMAN perniagaan yang bertambah akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bimbang dengan peningkatan paras hutang isi rumah yang berjumlah 77 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Menurut laporan tahunan 2009 Bank Negara Malaysia (BNM), hutang isi rumah dilaporkan meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun ini iaitu yang tertinggi di Asia daripada 63.9 peratus KDNK pada 2008.

"Nisbah Pinjaman-kepada-nilai (LTV) perlu dikurangkan untuk menangani kenaikan ini," kata Felo Penyelidik Kanannya, Dr. Foong Kee-Kuan.

"Di masa depan, sepatutnya terdapat lebih banyak pinjaman perniagaan berbanding pinjaman isi rumah. Lebih banyak pinjaman perniagaan akan menyumbang kepada pertumbuhan kita," katanya semasa taklimat media mengenai laporan Prospek Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan di sini semalam.

Memetik laporan Petunjuk Perbankan dan Monetari bank pusat itu, MIER menjelaskan, pinjaman isi rumah pada April, Mei, Jun, Julai dan Ogos tahun ini masing-masing berada pada 10 peratus, 11.7 peratus, 12.5 peratus, 11.9 peratus dan 11.8 peratus.

Urus keluarga sendiri

Posted: 19 Oct 2010 09:33 PM PDT




ADA keterujaan yang tidak dapat ditahan-tahan oleh pelakon cantik Sari Yanti saat berbicara tentang kehidupan barunya sebagai isteri kepada Mohd. Eddy Casmady Che Hussin atau Eddy dan ibu buat anak yang diberi nama Barr Al Aliy.

Keterujaan tersebut bukan dibuat-buat, walau pada awalnya dia sendiri tidak begitu yakin mampukah menguruskan rumah tangga sendirian dan menjaga anak sulungnya itu tanpa bantuan sesiapa.

Namun selepas tiga bulan menjaga Barr sendirian, hatinya semakin berat untuk meninggalkan bayi lelaki yang lahir pada Julai lalu itu. Sebaliknya dia semakin teruja apabila dapat menjadi saksi perkembangan Barr di depan mata.


SARI YANTI tidak kesal bentuk tubuhnya berubah selepas melahirkan Barr.


Lebih memberi erti, biar pernah putus asa kerana berasa tidak mempunyai susu badan yang mencukupi untuk anaknya itu, sebaliknya Tuhan memberi rezeki dengan melimpahkan jumlah susu badannya.

Kini, sejak lahir, sudah tiga bulan Barr hanya menikmati susu badannya. Bukan bergantung kepada susu formula dan dia sendiri terbiasa untuk memenuhi kehendak Barr yang kerap menyusu.

"Saya akui, pada mula melahirkan Barr dulu, saya kurang positif. Mungkin kerana ia pengalaman pertama kali, terutama tentang memberi susu badan dan kemampuan saya untuk menguruskan Barr sendirian.

"Namun atas sokongan semua, Alhamdulillah, saya mendapat energi positif dan sehingga hari ini, selepas tiga bulan saya tidak menghadapi masalah untuk menguruskan Barr sendirian tanpa bantuan pembantu.

"Walaupun sedikit penat, tetapi pengalaman membesarkan anak di hadapan mata sendiri adalah satu perasaan yang sukar digambarkan.

"Lebih-lebih lagi apabila saya mampu melihat senyuman pertamanya, keletah pertamanya dan banyak hal yang menjadikan saya saksi pertama pada setiap peringkat tumbesaran anak saya," kata Sari panjang lebar.


SARI YANTI dan suami memilih nama anak mereka ini mengikut sunnah Nabi.


Mengadakan majlis cukur jambul sebagai tanda kesyukuran anak sulungnya pada hujung minggu lalu, Sari juga menambah, buat masa ini dia masih belum memerlukan khidmat pembantu untuk menjaga atau menguruskan Barr.

"Selagi saya mampu melakukannya sendiri, saya tidak akan memerlukan pembantu. Lagipun Eddy juga rajin membantu dan kami banyak melalui pengalaman baru sebagai ibu bapa buat pertama kali.

"Kecuali nanti misalnya keluarga saya sudah semakin membesar, mungkin pada waktu itu saya akan mengambil pembantu untuk membantu saya," katanya yang memberitahu tidak mempunyai masalah untuk mempercayai orang menjaga anaknya, tetapi selagi termampu dia suka untuk melakukannya sendiri.

Di sebalik Barr Al Aliy

Bercakap mengenai nama unik anaknya, Barr Al Aliy, Sari memberitahu ia mempunyai cerita tersendiri di sebalik pemilihan nama tersebut.

Akuinya, nama tersebut diperoleh pada saat akhir sebelum dia melahirkan. Ia terjadi secara tidak sengaja apabila suaminya mengemas sebuah bilik di kediaman mereka dan terjumpa buku milik bapa Sari yang dipinjamkan kepadanya. Sari menganggapnya sebagai satu tuah.


DYNAS dan anaknya, Khyra Khalyssa turut mengunjungi majlis cukur jambul anak sulung Sari Yanti, Barr.


"Itu buku mengenai 99 nama Allah yang saya pinjam daripada bapa. Sebenarnya saya sudah terlupa saya letakkan buku itu di mana sehingga Eddy terjumpa dan kami membaca buku itu bersama sehingga terjumpa nama unik itu," katanya.

Cerita Sari lagi, dia dan suami sengaja untuk tidak memilih nama anak mereka terlalu awal untuk mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Bagaimanapun selepas membaca buku tersebut, dia mula menyukai nama Al Barr. Sementara suaminya pula jatuh cinta dengan nama Al Aliy.

Mencapai kata sepakat, mereka akhirnya menggabungkan dua nama yang mereka suka itu menjadi Barr Al Aliy.

"Barr menurut buku ada yang bermaksud dermawan dan bagus. Sementara Al Aliy pula lebih kepada martabat yang tinggi. Maksud yang bagus jadi kami gabungkannya," kata Sari yang memanggil anaknya dengan panggilan Barr sementara Eddy memanggil anaknya dengan nama penuh.

Homoseksual, Adam jaga susila di Malaysia

Posted: 19 Oct 2010 09:32 PM PDT


BIAR namanya dikira masih baru, namun kunjungan Adam Lambert buat pertama kali di Malaysia berjaya mengumpul 10,000 penonton.


SATU ciuman pada acara awam telah mencalar imejnya. Ditambah dengan pengakuan bahawa dirinya merupakan homosekual, Adam Lambert berani walaupun tahu pendedahan itu barangkali akan memusnahkan kariernya. Nasib menyebelahinya kerana bakat Adam mampu mengatasi kehangatan berita negatif itu.

Malah, Adam yang merupakan naib juara program realiti paling popular di Amerika Syarikat (AS), American Idol musim kelapan boleh dikatakan lebih menyinar berbanding juaranya, Kris Allen. Buktinya, Adam telah memulakan konsert jelajahnya, Glam Nation Tour pada 4 Jun lalu yang dijangka berakhir pada 16 Disember nanti.

Dalam jangka masa itu, Adam dijadualkan untuk melawat 112 tempat di AS, Eropah, Australia dan 10 negara Asia. Malaysia tidak terkecuali dalam senarainya. Namun, seperti yang diketahui ramai, kedatangan Adam tidak selancar artis luar negara yang lain.

Walaupun telah berjanji untuk mematuhi undang-undang serta menghormati budaya tempatan dengan tidak berkelakuan liar atau lucah di atas pentas, kedatangannya masih diprotes. Kata Adam pada sidang media sebelum menghiburkan peminat tempatan: "Ia adalah sesuatu yang saya akan patuhi kerana saya menghormati budaya Malaysia.

"Lagipun hanya ciuman yang tidak dibenarkan. Saya tidak suka bertolak-ansur tetapi ia lebih penting buat saya untuk menghadiahkan persembahan saya untuk peminat Malaysia. Persembahan saya masih akan mengekalkan konsepnya.

"Menghapuskan ciuman itu tidak akan menjejaskan keseluruhan persembahan. Apa yang utama tujuan saya berada di sini adalah untuk menghiburkan mereka dan membuatkan mereka ketawa. Bukannya untuk membuatkan mereka berasa tidak selesa dengan persembahan saya."

Menepati janjinya, Adam telah menarik lebih 10,000 peminat mengisi ruangan Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Oktober lalu. Walaupun di luar stadium, hampir 100 ahli parti pembangkang, Pas membuat demonstrasi dengan mengedarkan risalah menyelar penyanyi itu, konsertnya bagaimanapun boleh disifatkan berlangsung dengan sempurna.

Bermula agak lewat pada pukul 9.10 malam, penyanyi berusia 28 tahun itu yang terkenal dengan imej memakai celak dan pakaian kulit serta bulu tampil dengan lagu Voodoo sebagai pembukaan konsert. Diikuti dengan lagu For Your Entertainment dan Down the Rabbit Hole, vokal Adam sahaja sudah cukup memukau.

"Berada di atas pentas, saya tidak mungkin boleh berpakaian hanya kemeja-T atau seluar jean sahaja. Jadi seperti biasa anda akan melihat kepelbagaian warna seperti hitam, merah, ungu dan biru. Tidak dilupakan juga bulu dan manik," katanya.

Disertai dengan latar belakang, tarian serta penata cahaya dan bunyi, Adam yang tidak banyak berkomunikasi memberitahu dia mahu menyebarkan cinta menerusi persembahannya. "Konsert saya mempromosikan cinta tanpa mengira sempadan usia, bangsa atau agama."

Menyifatkan dirinya agak bertuah, dia tidak kisah dirinya berada pada kedudukan kedua dalam program American Idol. Katanya, apa yang penting bukan kejuaraan yang dipegang tetapi karier yang dibina selepas menyertai program tersebut.


PENAMPILAN glamor Adam dengan bantuan solekan yang memukau.


Turut menyampaikan lagu Fever yang merupakan kerjasama dengan Lady Gaga, Adam juga menyukai Katy Perry. Baginya, mereka berdua telah banyak memberi inspirasi kepada muziknya. Mungkin berimej sedikit ekstrem dan pelik, Adam bagaimanapun sentiasa mahu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

"Kawan rapat dan keluarga telah membantu saya untuk hidup normal. Saya juga mahu keluar dan makan bersama kawan, menonton filem, membeli-belah atau bersiar-siar," katanya pada sidang media tersebut.

Memberitahu dirinya mungkin akan menceburi bidang psikologi jika tidak menjadi penyanyi, Adam sendiri yang pernah mencipta kontroversi gara-gara dikatakan menumbuk seorang paparazi bagaimanapun memberi nasihat kepada remaja untuk tidak terlibat gejala sosial seperti membunuh diri.

"Mesej saya kepada remaja di seluruh dunia, anda perlu bangga dengan diri anda. Saya tahu ia agak sukar dan seperti saya yang berjaya, saya masih dibuli oleh sesetengah pihak. Namun, saya tidak fokus kepada kebencian.

"Setiap kali saya membaca berita atau laporan mengenai diri saya, saya cuba mencari sisi positif. Jika tidak, mereka (yang menulis) akan menang. Saya enggan membiarkan ia berlaku," tambahnya.

Nilai positif Adam disalurkan sepenuhnya dalam persembahannya. Lagu 'temanya Whataya Want from Me didendangkan selepas Sleepwalker. Diteruskan dengan Soaked, Aftermath, Sure Fire Winners dan Strut, rata-rata peminatnya menari sepanjang persembahan idola mereka.

Tanpa mempedulikan status dirinya, mereka menghayati muzik dan vokal Adam. Sokongan lebih padu diberikan apabila figura berusia 28 tahun itu menyampaikan seleksi lagu Music Again, Broken Open dan If I Had You.

Mengakhiri konsert dengan lagu Mad World, Whole Lotta Love dan 20th Century Boy, tirai milik Adam ditutup sekitar 10.25 malam. Agak pendek buat peminatnya, namun, perlu diingatkan Adam hanya memiliki sebuah album setakat ini. Sungguhpun pendek, persembahan mantap serta berkualiti sudah cukup memadai.

Militan Chechen serang Parlimen

Posted: 19 Oct 2010 09:31 PM PDT


BEBERAPA anggota keselamatan mengawal bangunan Parlimen di Grozny, Chechnya semalam.


GROZNY, Rusia - Seramai empat orang militan Chechen menyerbu bangunan Parlimen Chechnya pada awal pagi semalam. Mereka menahan tebusan, menembak mati dua orang polis dan seorang orang awam sebelum empat pejuang tersebut dibunuh oleh anggota-anggota pihak berkuasa.

Peristiwa penuh dramatik itu nyata memberi tamparan hebat kepada Rusia yang sebelum ini mendakwa Chechnya sudah kembali stabil selepas kejatuhan Soviet Union.

Para pegawai memberitahu semua militan itu terbunuh selepas menawan bangunan Parlimen selama sejam.

Dua orang daripada mereka ditembak mati manakala bakinya membunuh diri dengan meletupkan diri dengan bom.

"Kami terdengar tembakan di halaman bangunan. Kami tahu mereka cuba menjadikan kami sebagai tebusan. Kami bagaimanapun berjaya melarikan diri ke tingkat tiga dan bersembunyi di sana sehingga semuanya berakhir," kata jurucakap Parlimen Chechen, Zelim Yakhikhanov.

Pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov memberitahu agensi berita Interfax bahawa pihak keselamatan Chechen melakukan operasi selama 20 minit untuk membunuh militan dan membebaskan ahli Parlimen serta pekerja bangunan terbabit.

Kejadian itu juga menyebabkan 17 yang lain cedera.

Militan-militan itu menuju ke dalam bangunan Parlimen dengan menggunakan sebuah kereta dan berjaya melepasi kawalan keselamatan dengan mengikut sebuah kereta yang dipandu oleh seorang ahli Parlimen.

Speaker Dukuvakha Abdurakhmanov terpaksa dikeluarkan daripada bangunan Parlimen dengan menaiki sebuah kenderaan bersenjata dan beliau tidak cedera.

Menteri Dalam Negeri Rusia yang kebetulan dalam lawatan ke Grozny, Rashid Nurgaliyev menganggap operasi pasukan keselamatan untuk membebaskan ahli Parlimen sebagai berjaya selain mendakwa Chechnya adalah stabil dan selamat.

Mogok sehari di Perancis

Posted: 19 Oct 2010 09:29 PM PDT


SEORANG lelaki merosakkan sebuah kereta dalam protes menentang had umur persaraan dilanjutkan di Lyon, Perancis semalam.


PARIS - Sebahagian pesawat dihalang memasuki lapangan terbang Perancis manakala anggota-anggota polis terpaksa bertembung dengan sekumpulan pemuda yang membaling batu semalam.

Kejadian itu merupakan gelombang baru mogok di seluruh negara kerana membantah cadangan untuk melanjutkan had umur bersara daripada 60 tahun kepada 62 tahun.

Sebahagian pekerja di pelbagai sektor di seluruh Perancis bergabung menyertai mogok selama sehari itu semalam.

Sebelum ini negara itu diselubungi selama seminggu tunjuk perasaan yang dilakukan pekerja-pekerja penapis minyak, pelajar dan pekerja-pekerja operator kereta api kebangsaan berhubung cadangan untuk melanjutkan had umur persaraan.

Semalam merupakan hari keenam tunjuk perasaan yang memprotes pelan pembaharuan pencen.

Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja berikrar untuk meneruskan tekanan sehingga pemerintah memansuhkan pelan yang kurang popular itu.

Presiden, Perancis, Nicolas Sarkozy berikrar mahu meneruskan pelan persaraan itu sebagai langkah untuk mengurangkan defisit.

Gempar klip video kuda bertanduk

Posted: 19 Oct 2010 09:28 PM PDT


GAMBAR yang dirakamkan dari satu klip video menunjukkan seekor kuda berwarna putih yang mempunyai tanduk di Lembah Don, Kanada.


ONTARIO - Pusat Sains Ontario (OSC) di sini, menyiasat satu klip video menunjukkan seekor kuda berwarna putih yang bertanduk satu berlari di sebuah hutan di Lembah Don, Kanada yang dihantar oleh sekumpulan penyiasat, lapor sebuah akhbar semalam.

Haiwan itu mendapat perhatian kerana di Barat terdapat kisah kuda yang memiliki tanduk di kepalanya dan berwarna putih yang digelar sebagai unikorn.

Klip video itu turut disiarkan di laman web YouTube.

"Setakat ini, pusat sains masih meneliti rakaman itu bagi memastikan sama ada haiwan tersebut benar-benar seekor unikorn," menurut satu kenyataan OSC.

Kenyataan sama turut memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada dan tidak menggunakan lampu kilat untuk merakamkan gambar haiwan itu jika mereka terserempak dengan seekor unikorn.

"Walaupun terdapat legenda yang menyatakan unikorn merupakan haiwan yang baik, saintis-saintis bimbang haiwan itu akan mencederakan tubuhnya atau orang lain jika ia menerpa ke jalan raya atau lebuh raya," tambah kenyataan itu

Satu talian perkhidmatan pelanggan turut diwujudkan bagi menyalurkan maklumat berhubung unikorn kepada orang ramai.

Kereta api laju jalani ujian

Posted: 19 Oct 2010 09:27 PM PDT


RUANG pemandu kereta api laju yang dikendalikan firma Deutsche Bahn.


BERLIN - Sebuah kereta api laju buatan firma Siemens yang mampu membawa 888 penumpang dan selaju 321.87 kilometer sejam menjalani ujian pertama dengan menyeberangi Selat Inggeris ke stesen St Pancras, London dari Jerman semalam.

Kereta api itu yang akan digunakan menjelang 2012 dan dijangka menggantikan kapal terbang sebagai alat pengangkutan utama di Eropah dikendalikan oleh firma Jerman, Deutsche Bahn.

Ia yang berharga £33 juta (RM161.27 juta) sebuah bakal digunakan untuk membawa penumpang menyaksikan Sukan Olimpik di London pada 2012.

Tambang yang akan dikenakan bagi perjalanan ke Jerman dari Britain ialah antara £39 (RM190.65) hingga £49 (RM239.54).

Ganja RM1.04 bilion dirampas

Posted: 19 Oct 2010 09:25 PM PDT


BEBERAPA anggota polis mengawal sejumlah bungkusan ganja yang dirampas di bandar Tijuana, Mexico kelmarin.


TIJUANA, Mexico - Pihak berkuasa Mexico kelmarin menyatakan sebanyak 105 tan ganja bernilai AS$335 juta (RM1.04 bilion) dirampas di bandar Tijuana selepas satu pertempuran berlaku dengan para penyeludup dadah.

Askar-askar dan polis merampas lebih 10,000 bungkusan ganja dalam operasi yang diadakan di sempadan Amerika Syarikat.

Menurut seorang pegawai tentera, Jeneral Alfonso Duarte Mujica, bungkusan ganja itu dirampas dalam serbuan menjelang subuh di tiga kawasan perumahan selepas polis menangkap 11 orang dalam satu pertempuran.

Rampasan itu adalah yang terbesar dalam tempoh beberapa tahun setelah berlakunya peningkatan usaha bagi memerangi kumpulan-kumpulan dadah yang menyebabkan 28,000 orang terbunuh.

Apa yang lebih menarik ialah beberapa bungkusan ganja itu mengandungi sekeping kertas yang mempunyai gambar watak siri kartun popular, Simpson, Homer.

Kertas yang menampilkan wajah Simpson itu mempunyai ayat dalam bahasa Mexico bermaksud watak itu akan berkhayal.

Momen indah bersama ayah

Posted: 19 Oct 2010 09:21 PM PDT




PETANG itu, laluan di Jalan Bangkung, Bangsar tiba-tiba sesak dengan kenderaan di kedua-dua bahu jalan. Kawasan kediaman di lokasi yang aman tenteram itu bertukar meriah.

Lebih ketara, sebuah restoran Itali, Opus Bistro menjadi tumpuan. Dalam sekelip mata, ruang kecil di restoran itu dipenuhi pengunjung. Semuanya cuba mendapatkan kedudukan terbaik.

Tumpuan segera beralih kepada sebuah pentas kecil di depan mata. Dua orang pengacara majlis diapit oleh tujuh individu yang menjadi tetamu istimewa pada petang itu. Mereka bukan pelakon drama ataupun penyanyi terkenal.

Sebaliknya, ketujuh-tujuh individu dari pelbagai peringkat usia itu merupakan keturunan kepada pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab mengasas Malaysia pada suatu ketika dahulu.

Mereka terdiri daripada anak, cucu dan cicit tokoh-tokoh pengasas Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun V. T. Sambanthan, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Fuad Stephens.

Membawa tema Malaysiaku: Meraikan Hari Malaysia, sesi temu bual anjuran Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) bersama agensi berita Bernama TV itu bermula tepat pada pukul 5 petang.

Anak kepada tokoh politik, Tun Dr. Ismail, Tarmizi, 50, menyifatkan pertemuan sempena Hari Malaysia itu sebagai sangat signifikan. Sejujurnya, beliau tidak teragak-agak untuk menghadiri sesi pertemuan itu selepas menerima jemputan daripada pengasas IDEAS, Tunku Zain Al-abidin Muhriz.

Sebagai seorang peminat tegar sejarah, Tarmizi menyatakan Malaysia terbentuk daripada situasi yang sangat kompleks. Baginya, asas perpaduan yang telah dibina oleh tokoh-tokoh terdahulu akan musnah sekiranya rakyat Malaysia tidak berhati-hati dan terus fokus kepada perbezaan kaum.

Membahasakan Ismail sebagai ayah, bapa kepada tiga orang anak itu bersyukur dan menyifatkan dirinya bertuah. Bertuah kerana merupakan sebahagian daripada mereka yang pernah hidup bersama tokoh-tokoh pengasas Malaysia itu.

"Sebenarnya, hidup dalam bayang-bayang seorang tokoh yang disegani dan dihormati adalah satu pengalaman yang membuatkan saya berasa rendah diri.

"Mereka yang pernah bekerja atau mengenali ayah melalui pembacaan buku sejarah akan memberitahu saya perkara baik-baik tentangnya," kata Tarmizi kepada Kosmo! dalam satu temu bual berasingan di ibu negara baru-baru ini.


DARI kiri : Zamakhari, Ariff dan Tarmizi menghargai sumbangan dan legasi yang ditinggalkan oleh bapa mereka, Ismail.


Malangnya, pujian-pujian itu membuatkan beliau berasa segan. Segan kerana beliau sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk membalas pujian-pujian tersebut. Maklumlah, ketika kematian Timbalan Perdana Menteri yang kedua itu pada 2 Ogos 1973, Tarmizi baru berusia 12 tahun. Anak kecil itu nyata belum cukup matang untuk memahami atau menghargai sumbangan serta legasi yang ditinggalkan oleh bapanya.

Namun, seingat Tarmizi, beliau mula sedar keistimewaan bapanya apabila terpaksa duduk berjauhan dengan Ismail setiap kali menghadiri majlis rasmi.

"Kami tidak pernah duduk bersebelahan ayah. Mak dan ayah akan selalu berada di kawasan khas untuk orang kenamaan (VVIP). Jadi, dari situ, saya sedar mak dan ayah adalah milik rakyat," tambahnya.

Keprihatinan ayah

Lebih menarik, setiap kali bercuti di Mersing, Johor, Tarmizi memberitahu, ayahnya akan berhenti di setiap balai polis di sepanjang jalan-jalan lama dari Kuala Lumpur ke Johor.

"Kami sudah tentu mengeluh kerana ini akan menyebabkan tempoh perjalanan berlarutan lebih lapan jam. Tetapi, oleh sebab ayah ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan pasukan polis di bawah tanggungjawabnya, jadi dia menunaikan tugasnya," ungkap Tarmizi.

Berikut adalah jawapan Ismail yang masih diingati Tarmizi mengenai pasukan polis : "Inilah orang yang ada keluarga dan tidak mengeluh walaupun terpaksa meninggalkan keselesaan hidup di bandar untuk berkhidmat di kawasan pedalaman di negara ini."

Apa yang pasti, keprihatinan ayahnya itu secara tidak langsung membuahkan banyak perkara positif.

Buktinya, setiap pegawai polis dan keluarga mereka sanggup mengecat balai polis dan menghiasi taman demi menyambut kehadiran Ismail. Bukan setakat itu, kunjungan Tarmizi dan keluarganya juga akan disajikan dengan kuih dan air kopi. Jika tiba musim durian, mereka dikehendaki menghabiskan sedulang durian.

"Agaknya semua makanan manis itu telah meragut nyawa ayah," katanya berseloroh tentang kematian bapanya akibat serangan penyakit jantung.

Tiada penyalahgunaan kuasa

Sepanjang tempoh kehidupan remajanya selama 12 tahun, Tarmizi mengakui sukar untuk melalui zaman kanak-kanak yang normal. Setiap kali beliau menjemput rakan-rakan ke rumah, mereka kelihatan lebih cenderung untuk menurut arahannya.

"Agaknya, peluang untuk bertemu dengan ibu bapa saya adalah satu pengalaman luar biasa kepada mereka. Sebabnya saya selalu diberitahu mereka akan menceritakan pengalaman itu kepada keluarga mereka selepas itu," tambah Tarmizi.

Terkenal dengan sikap adil dan kekuatan, Ismail tidak hanya mempraktikkan kedua-dua kualiti tersebut dalam lingkup dunia politik. Sebagai bapa kepada enam orang anak, Ismail memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dan statusnya untuk kepentingan ahli keluarga.

Buktinya, ketika kakak Tarmizi ingin memohon untuk mendapatkan biasiswa, beliau menegaskan tidak akan menggunakan status sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi membantu merealisasikan impiannya.


TUN DR. ISMAIL (empat dari kiri) selepas majlis beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1970.


"Ayah kata, menjadi anak menteri tidak menafikan hak individu kakak sebagai seorang rakyat. Tetapi, kakak juga perlu bergantung kepada usaha dan kelayakannya untuk memiliki biasiswa itu," katanya sambil menekankan ketegasan Ismail untuk menegakkan keadilan.

Menyifatkan kehidupan bersama ibu bapanya sebagai satu sedutan pelajaran sejarah yang hidup, satu-satunya kekesalan dalam hidup Tarmizi adalah kehilangan Ismail pada usia yang muda.

Namun, beliau turut mengingatkan generasi muda hari ini agar mengenali sejarah kerana ia masih relevan untuk mereka.

"Sejarah bukan subjek yang statik atau mati. Ia terus berkembang dan sentiasa ditagih untuk didengar," kata anak keempat dalam keluarga tersebut. Ibu Tarmizi, Toh Puan Norashikin Mohd. Seth, meninggal dunia awal Julai lalu di Hospital Pakar Damansara, Damansara Kuala Lumpur kerana sakit tua pada usia 80 tahun.

Allahyarham merupakan wanita kedua negara yang disemadikan di Makam Pahlawan selepas menteri wanita pertama Malaysia, bekas Menteri Kebajikan Am Tun Fatimah Hashim.

Pesanan ayah

Dalam satu temu bual berasingan bersama dua orang adik Tarmizi di Taman Tun Dr. Ismail pula, Kosmo! memperoleh gambaran lebih jelas tentang sifat kebapaan Ismail di rumah. Biarpun sibuk dengan tugasan negara, beliau juga amat mementingkan keluarga.

"Saya masih ingat lagi bahawa ayah akan balik ke rumah untuk makan tengah hari hampir setiap hari. Sambil menjamu selera, tepat pukul 1.30 petang, beliau pasti akan mendengar saluran BBC dan kami tidak dibenarkan membuat bising. Telan makanan pun perlu perlahan tanpa mengeluarkan sebarang bunyi," cerita Zamakhari, 46, yang berusia sembilan tahun ketika Ismail meninggal dunia.


NAMA Taman Tun Dr. Ismail sempena mengenang jasa tokoh itu.


Anak bongsu Ismail, Mohamed Ariff, 43, pula memberitahu, walaupun terlalu mentah untuk mengingati kehidupan bersama bapanya, dia tetap menghargai momen-momen indah ketika Ismail masih hidup.

Bermain golf dan menonton wayang antara dua hobi yang dikongsi oleh pengasas Malaysia tersebut bersama Allahyarham isterinya, Norashikin. Masih segar dalam ingatan Mohamed Ariff apabila dia dan abangnya sering dibawa untuk menemani kedua-dua orang tuanya di padang golf.

"Awal pagi sebelum pergi bekerja, ayah dan ibu akan membawa kami bersama untuk bermain golf. Masa itu, kami pun masih pakai baju tidur lagi!" katanya sambil ketawa mengingati momen tersebut.

Sebagai seorang yang bijak berfesyen dengan pemakaian tali-tali leher berwarna-warni, Ismail cukup mementingkan kejujuran.

Kepada anak-anaknya, lelaki yang terkenal dengan cermin mata berbingkai tebal hitam dan paip itu, beliau ingin melihat mereka berjaya dan memegang kejujuran sebagai tonggaknya.

"Ayah tidak pernah suka dengan orang pembohong dan beliau ingin kami sentiasa jujur terhadap diri dan berani menghadapi sebarang masalah," tambah Zamakhari.

Mesin layan diri moden

Posted: 19 Oct 2010 09:19 PM PDT


MESIN layan diri di Jepun bukan saja menjual makanan atau minuman bahkan mempunyai fungsi sosial.


IA menjual payung, bunga, makanan yang dimasak, minuman sejuk selepas gempa bumi malah adakalanya mampu membaca fikiran manusia. Begitulah cara lima juta mesin layan diri di Jepun berfungsi.

Boleh didapati di seluruh negara, jumlah kedai runcit automatik itu menyamai lampu isyarat di negara tersebut dan menawarkan pelbagai produk menarik, bahkan adakalanya memeningkan kepala.

Memandangkan kadar jenayah yang rendah di Jepun, syarikat pengeluar mesin layan diri boleh meletakkannya di mana-mana saja. Sama ada di tengah-tengah kota yang penuh dengan lampu neon sehinggalah di puncak Gunung Fuji, tanpa perlu bimbang dicuri atau dimusnahkan bagi mendapatkan duit syiling yang terdapat di dalamnya.

"Ia memang memudahkan hidup, saya berharap mempunyai satu mesin yang sama dalam bilik saya," kata Hibiku Miura, 18, yang banyak bergantung kepada mesin itu sama seperti rakyat Jepun lain.

Persaingan sengit

Jepun mempunyai 2.5 juta mesin layan diri yang menjual minuman, bersamaan dengan satu mesin bagi setiap 50 orang. Ia menjana pendapatan AS$27 bilion (RM83 bilion) tahun lalu, menurut Pertubuhan Pengeluar Mesin Layan Diri Jepun.

Mesin yang menjual barangan lain seperti rokok hinggalah alat permainan, jambangan bunga malah cetakan ramalan di kuil Shinto. Kesemua itu meningkatkan pendapatan yang mencecah lima juta, mengikut anggaran industri.

Dalam pasaran mesin layan diri paling tepu di dunia, para pengeluar mesin bersaing untuk menarik perhatian pelanggan dengan menggunakan lampu neon hinggalah tawaran pelbagai rangkaian barangan.

Dole Japan Ltd. misalnya, menarik perhatian ramai apabila mesin layan dirinya menjual pisang sejuk di sebuah stesen kereta api di Tokyo bulan Jun lalu pada harga 130 yen (RM4.80) sebiji atau 390 yen (RM14.40) sesikat yang mempunyai lima biji pisang.

"Kamu boleh membeli pisang di kedai 24 jam atau pasar raya, tetapi ada yang gemar membeli daripada mesin layan diri. Ramai berpendapat ia seronok untuk dilihat, dibeli dan dimakan," kata jurucakap Dole, Hiromi Ohtaki.

Sejumlah daripada mesin tersebut mempunyai fungsi sosial seperti laporan berita dan skor terkini besbol pada papan elektroniknya.

Coca-Cola (Japan) Co. menyatakan 5,100 daripada keseluruhan 980,000 mesin layan dirinya mengeluarkan minuman percuma jika berlaku gempa bumi besar dan bencana-bencana lain.

Terbaru, sebuah mesin layan diri membekalkan 680 botol minuman kepada mereka yang melarikan diri dari kediaman masing-masing di utara Jepun, Hokkaido, apabila gempa bumi di Chile mencetuskan amaran tsunami di negara tersebut pada Februari lalu.

Di sebuah kampung terpencil di Okinawa, Coca-Cola menyatakan sokongannya pada tinjauan alam sekitar dengan meletakkan mesin layan diri bermikrofon untuk merakamkan kicauan burung yang jarang ditemui.


MESIN layan diri di sebuah stesen kereta api di Tokyo menjual pisang pada harga RM4.80 sebiji.


Mesin layan diri terkini yang berteknologi tinggi menggunakan kamera dan perisian yang boleh mengesan jantina dan usia seseorang, dengan ketepatan sekitar 75 peratus.

Dengan menggunakan data jualan, mesin yang diletakkan di stesen kereta api Shinagawa, Tokyo itu mampu melihat seseorang dan menyarankan minuman sukan atau setin espresso sejuk mengikut jumlah kebijaksanaan pemasaran terkumpul.

Privasi pengguna

Hidemi Mio, 48, yang mencuba mesin itu berkata, mesin yang menggunakan otak digital itu selepas sesaat mencadangkan kepadanya tiga jenis minuman di paparan skrin sentuh sebesar 119 sentimeter lebar, termasuklah teh berperisa.

Apabila mesin itu mencadangkan salah satu minuman kegemarannya, Mio menyatakan dia akan memilih saranan mesin tersebut pada masa akan datang jika dia tidak boleh membuat keputusan.

Bayaran boleh dibuat dengan meleretkan kad kredit, telefon bimbit atau tunai.

Bagi melindungi privasi pengguna, mesin tersebut akan memadam imej pengguna tetapi data jantina, umur dan pilihan belian dikumpulkan, kata Pengurus Besar Jualan di JR East Water Business Co. yang memiliki mesin itu, Toshinari Sasagawa.

"Kami mendapat data mengenai barang yang dijual, lokasi dan waktu sesuatu barang dijual. Malah kami turut mengumpul maklumat ciri-ciri pelanggan dengan harapan dapat mengeluarkan produk baru dan pembangunan," katanya.

Mesin itu banyak diperkatakan sejak bulan lalu dengan hasil jualan yang meningkat tiga kali lebih banyak berbanding 50 mesin layan diri lain di stesen yang sama.

JR East Water Business, yang dimiliki penuh oleh pengendali kereta api gergasi, merancang untuk menempatkan 500 unit mesin layan diri generasi baru mesin itu dalam masa dua tahun.

Pada masa depan, mesin layan diri mungkin ditingkatkan dari sudut komunikasi dengan pelanggan.

"Kami mahu pelanggan menikmati pengalaman dan seronok ketika proses membeli yang berbeza daripada mesin layan diri lain," ujar Sasagawa.

Zikri kumpul aneka barang antik

Posted: 19 Oct 2010 08:16 PM PDT


SENAPANG lama dan meriam adalah tarikan utama dalam koleksi peribadi Antiques House Sdn. Bhd.


ADA orang berpendapat, hobi mengumpul barang-barang antik dan purba merupakan satu aktiviti yang mahal dan memerlukan kos tinggi.

Namun, jika ada minat yang mendalam, wang ringgit bukanlah segala-galanya kerana kepuasan memiliki barang-barang itu menjadi keutamaan pengumpulnya.

Bagi pemilik Banyan Antiques House Sdn. Bhd., Dr. Zikri Abd. Ghani, minat mengumpul barang-barang antik dan purba telah dimulakannya sejak kecil. Dia kini mempunyai kira-kira 1,000 jenis barangan pelbagai rupa dan bentuk serta masing-masing mempunyai kisah tersendiri.

"Dalam galeri saya yang dibuka sejak 27 tahun dulu ini, 1,001 macam barang-barang telah saya kumpulkan seperti keris, lembing, tombak, senapang dan barang-barang hiasan tembaga termasuk kendi, tepak sirih dan buyung.

"Kesemua barang-barang yang dipamerkan dalam simpanan saya telah dilesenkan oleh Jabatan Warisan Negara," katanya.

Zikri menambah, barang-barang yang tersimpan rapi di rumahnya itu didapatkan bukan sahaja dari dalam negara malah dari luar negara.


MANUSKRIP lama hasil tulisan para ulama lama dan ilmuwan Islam kini menjadi barangan kesayangan Zikri.


"Porselin atau tembikar tanah liat dibeli daripada negara China manakala barang-barang lain didapatkan di dalam negara," jelasnya.

Menyentuh tentang harga, Zikri mengakui pernah membelanjakan antara RM80,000 hingga RM100,000 untuk membeli koleksi meriam.

"Ia adalah barang termahal yang terdapat dalam simpanan saya kerana ia tinggalan Portugis, Belanda dan British.

"Saya ada lebih kurang 20 pucuk meriam. Sebelum ini saya ada 30 pucuk namun ada di antaranya telah saya jual," katanya.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia kini sedang sibuk mengumpul manuskrip lama berusia 120 hingga 220 tahun yang pernah digunakan oleh ulama dari zaman Al-Marhum Sultan Ahmad Tajudin Halim Shah II iaitu dalam tempoh tahun 1797 hingga 1843 sehinggalah zaman pemerintahan Al-marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882 hingga 1943).

Menurutnya, manuskrip yang dikumpul sejak 25 tahun dahulu itu mempunyai 75 naskhah yang terdiri daripada kitab ajaran agama tulisan jawi berbahasa Arab dan Melayu.

Kajian ilmuwan Islam

"Ada yang dikarang dalam bentuk hikayat dan syair. Ia terbahagi kepada kitab-kitab pengajian tasauf, fiqah dan hadis nabi yang merangkumi pengajian perubatan Islam, kajian bulan bintang, pengurusan dan pentadbiran kaedah Islam.

"Dahulu, saya ada menjualnya tapi kini saya mahu simpan dan hanya akan jual kepada pihak tertentu seperti muzium kerana tidak mahu khazanah ini hilang begitu saja sekiranya dibeli oleh orang perseorangan," katanya yang memperoleh manuskrip itu dari Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.


SETIAP barangan senjata yang dimiliki Zikri pasti mempunyai kisah tersendiri.


Buat masa ini, beliau menyimpan manuskrip peninggalan ulama-ulama besar terdahulu seperti Tuan Haji Wan Hussein Al-Banjari tahun 1870, Tuan Haji Ishak Pondok Pulau Pisang, Kubang Pasu (1844), Syeikh Daud Al-Fatani (1830) Syed Harun Arau (1815), Hamzah Fansuri, Syeikh Abdul Samad Al-Palembangi, Nuruddin Al-Rariri, Syeikh Mahyudin Abd. Kadir dan Syeikh Abdul Rahman.

Ekoran minat yang begitu mendalam dalam mengumpul barang-barang antik dan purba itu, nama beliau pernah terpahat dalam Malaysia Book of Records sebanyak dua kali iaitu tahun 2004 dan 2006 iaitu sebagai pengumpul meriam individu dan pengumpul pistol dan senapang terbanyak di Malaysia.

"Dalam rekod itu, saya dicatatkan sebagai penyimpan 30 pucuk meriam, 12 pucuk pistol dan 18 pucuk senapang yang menggunakan serbuk belerang," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk melihat koleksi barang antik dan purba miliknya, boleh datang sendiri ke Lot-T6, Tingkat Satu, Wisma PKNK, Jalan Sultan Badlishah, Alor Setar atau telefon di talian 04-731 4708.