Adsense

Selasa, 19 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Aktor terbaik

Posted: 18 Oct 2010 04:27 PM PDT

Hip

  
  • Foto
  • Foto

    PELAKON (berdiri dari kiri), Syamsul Yusof, Kamal Adli, Azizan, Fizo Omar, Que Haidar, Zamarul Hisham, (duduk), Afdlin Shauki dan Rusdi Ramli, segak dalam rekaan Lord's Tailor.

Afdlin, Zamarul dan Rusdi tidak buru anugerah

TIGA pelakon ini pernah berkongsi pengalaman serupa apabila masing-masing diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM). Nyata, ia bukan memori yang mampu dipahat semua aktor, tetapi Afdlin Shauki, Zamarul Hisham dan Rusdi Ramli, membuktikan, menerusi bakat serta kesungguhan, gelaran terbaik tidak mustahil dimiliki.

Bagaimanapun, mengulangi saat manis itu bukanlah sesuatu mudah. Berbanding dua lagi rakannya, Afdlin lebih bertuah kerana sudah tiga kali mengecapi saat manis itu. Pada FFM 2001 dia menerima anugerah pertama menerusi filem Soal Hati. Kejayaan sama diulangi lima tahun kemudian menerusi Buli Balik dan tahun lalu, Afdlin sekali lagi menaiki pentas menjulang piala idaman hasil lakonan berkesan dalam Papadom. Walaupun tidak sehebat pencapaian Afdlin, Zamarul dan Rusdi tetap berpuas hati kerana sekurang-kurangnya ada pencapaian yang boleh mereka banggakan sepanjang bergelar anak seni.

Ditemui pada sesi mencuba pakaian di butik terkemuka Lord's Tailor di Bangsar baru-baru ini, sebelum mereka melangkah bergaya pada FFM23 yang akan berlangsung di Shah Alam 24 Oktober, ketiga-tiga pelakon berbakat itu bagaimanapun berkongsi pendapat yang sama - pada hakikatnya mereka tidak memburu anugerah!

'Ahmad Idham lebih sesuai' - Afdlin

MENURUT Afdlin, keseronokan dan kepuasan berkarya tentunya dirasa apabila namanya dicalonkan ke peringkat akhir. Namun, dia akur dengan penilaian juri, apabila lakonan mahupun karyanya dipertandingkan.
"Saya tidak berani nak kata saya bagus kerana yang menilai ialah orang lain. Tetapi sebagai seorang penulis dan pengarah pula, semestinya saya ingin hasilkan yang terbaik setiap kali membikin filem.

"Kalau tak menang sekalipun, sekurang-kurangnya saya bangga apabila filem saya dicalonkan. Berada dalam senarai pencalonan bermakna kerja kita diiktiraf. Ia sudah pun termasuk dalam kelompok terbaik," kata pelakon yang bakal memeriahkan sama FFM23 di Pusat Konvensyen Shah Alam itu nanti.

Kesempatan bertemu dengan aktor, pengarah, penulis dan pelawak yang baru saja selesai dengan komedi terbaru Oh Yeah! itu digunakan untuk bertanya mengenai spekulasi dirinya turut disebut-sebut bakal menggalas jawatan Ketua Pengarah FINAS.

Mengulas perkara itu, Afdlin melihatnya sebagai permainan politik industri filem. Dia pula hanya bersedia memikul tanggungjawab besar itu seandainya tiada siapa bersedia menggalas amanah berkenaan.

"Seandainya saya perlu memikul jawatan Ketua Pengarah, nampaknya hala tuju saya hanya satu iaitu membantu perkembangan industri. Dari sudut lain pula, saya terpaksa melupakan kepuasan diri yang masih lagi suka berkarya dan berkongsi cerita dengan masyarakat.

"Kecualilah jika tiada orang yang hendakkan jawatan itu, barulah saya bersetuju untuk memegangnya. Bagi saya, lebih sesuai sekiranya jawatan itu dipegang Ahmad Idham, kerana saya tahu kemampuannya dalam memperjuangkan industri filem," katanya.

Petua Zamarul kekal lama

SAMA seperti Afdlin, Zamarul berlakon bukan untuk anugerah. Kata suami pelakon Diana Rafar ini, dengan sebuah anugerah yang pernah dimenangi, setidak-tidaknya dia mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan.

"Saya tak pernah menjadikan anugerah sebagai sasaran pembabitan saya dalam lakonan. Lebih penting daripada trofi, lakonan saya meninggalkan kesan, sekali gus mesej yang ingin disampaikan dirasai penonton. Sementara anugerah pula hanyalah bonus," katanya.

Zamarul yang agak kurang membintangi filem sejak kebelakangan ini berkata, dia sebenarnya mahu memberikan fokus kepada filem pada tahun ini. Bagaimanapun, tawaran nampaknya lebih meriah untuknya berlakon drama. Justeru, aktor berusia 40 tahun itu terpaksa melupakan seketika hasrat beraksi di filem.

Menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada 2005 menerusi filem Di Ambang Misteri, Zamarul turut mendedahkan rahsianya bertahan lama dalam industri.

"Saya mengamalkan tiga perkara iaitu disiplin, rendah diri serta menghormati orang lain. Tiga formula itu saja sudah memadai untuk membuatkan diri saya disenangi dan disayangi pengarah. Saya dapati kebanyakan pelakon baru tidak mempunyai sikap sedemikian. Sebaliknya mereka lebih suka mengejar glamor.

"Sebagai pelakon senior, saya tidak mempunyai masalah untuk bercampur dengan pelakon baru, tetapi mereka tidak mempunyai inisiatif untuk bertegur sapa. Saya yakin Afdlin dan Rusdi juga tidak kisah dengan kemunculan bakat baru, jika mereka tahu bagaimana untuk menghormati pelakon lebih senior.

"Namun, saya tetap melihat kehadiran pelapis sebagai sesuatu yang bagus untuk menjana industri. Malangnya kebanyakan pelakon sekarang tidak kekal lama seperti Rosyam Nor, Eman Manan, Afdlin Shauki dan ramai lagi kerana mereka berlakon untuk kejar populariti bukannya bersandar pada bakat," kata Zamarul yang bakal menimang cahaya mata pertama bersama Diana pada bulan depan.

Rusdi terkilan pelakon berusia dipinggirkan

RUSDI turut mengalu-alukan kehadiran pelakon pelapis dalam industri perfileman, malah dia juga tidak berasakan kehadiran mereka mendatangkan masalah. Cuma aktor ini berasakan pelakon lama dan berusia sepertinya semakin dipandang sepi.

Kata Rusdi, industri perfileman di Asia Tenggara lebih cenderung kepada penggunaan aktor muda dan kacak. Sementara pelakon yang kurang rupa paras tetapi berbakat tidak begitu mendapat tempat.

"Perkara ini berlaku di rantau Asia Tenggara, di mana pelakon yang kacak dan cantik saja sering kali bernasib baik. Manakala mereka yang berbakat dan sudah berusia pula kurang mendapat peluang. Berbeza sekali dengan suasana di Hollywood, apabila pelakon berbakat yang berusia tetap diberikan watak utama.

"Saya tidak kisah dengan kehadiran ramai pelapis, lebih ramai lebih bagus. Tetapi kalau boleh mereka perlulah serius. Mereka kena ingat, ini Malaysia, janganlah hanya fikir pasal kerja tetapi peribadi perlu jaga, hati orang juga nak kena jaga. Jangan buat perangai sesuka hati. Lainlah di Barat, mereka tak menitik beratkan bab sikap.

"Kadang kala disebabkan sikap buruk mereka, walau macam mana berbakat sekalipun, mereka akan mudah tenggelam dan seterusnya hilang dari industri ini," kata Rusdi yang menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada 2007 untuk filem Waris Jari Hantu.

Walaupun sudah hampir tiga tahun tidak mengulangi kemanisan FFM, namun Rusdi tidak kisah. Malah dia juga tidak mengharapkan anugerah kerana baginya ia satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Kata Rusdi, jika menang anugerah sekalipun, biarlah ia benar-benar kerana layak menerimanya, bukan atas sebab pilih kasih dan sebagainya.

"Kalau boleh saya mahu dihormati, bukan kemenangan yang dipertikaikan," katanya yang kini popular dengan drama bersiri Ahmad Durrah di TV3.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tak memilih, murah rezeki

Posted: 18 Oct 2010 04:11 PM PDT

Hip

IFA terus popular selepas lebih sedekad bergelar anak seni.

IFA terus popular selepas lebih sedekad bergelar anak seni.

Bakat yang pelbagai bolehkan Ifa Raziah bertahan lama

MUNGKIN ada yang menyifatkan penyanyi wanita ini sebagai artis tempelan. Tidak kurang juga yang melabelkan dirinya sebagai artis 'tiada kelas'. Apa pun label yang diberikan serta kontroversi yang menghimpit dirinya, nama Ifa Raziah masih terus bertahan sehingga sekarang.

Dia yang mengorak langkah dalam persada seni sejak 16 tahun lalu, bermula sebagai penyanyi dangdut, kini terus menggapai satu demi satu kejayaan peribadi. Daripada seorang penyanyi, Ifa kemudiannya turut bergelar pelakon, sebelum dikenali pula sebagai pengacara. Malah Ifa juga mendapat kepercayaan beberapa produk untuk menjadi jurucakap atau duta mereka. Ditemui pada majlis rumah terbuka Wanita Hari Ini (WHI), baru-baru ini, Ifa menganggap mereka yang menyifatkannya sebagai artis sendu sebenarnya cemburu kepada rezeki yang dimilikinya.

"Jika benar bagai didakwa mereka bahawa saya artis sendu, tidak mungkin saya dapat mempertahankan karier seni ini lebih daripada sedekad lamanya. Masalahnya juga, siapa yang kata saya artis sendu? Merekalah sebenarnya yang sendu kerana dengki melihat kejayaan saya. Sehingga kini saya masih laris di pasaran dan alhamdulillah rezeki saya dalam bidang ini belum pernah putus.

"Saya jenis artis yang tidak memilih. Asalkan kerja yang saya buat itu daripada sumber yang halal, saya terima. Mereka ingat senang nak mempertahankan kerjaya seni sehingga 16 tahun? Bukan semua artis boleh berbuat begitu.

Walaupun dirinya tidak pernah bergelar Top 5 atau terbaik pada sebarang anugerah, tetapi Ifa bersyukur kerana rezekinya tetap murah. Sedangkan, katanya, ramai lagi artis lain yang tidak mendapat peluang seperti dirinya.
"Bagi saya, cukuplah jika peminat nampak kehadiran saya dalam industri ini. Manakala anugerah pula hanyalah satu bonus. Saya masih dilamar untuk bekerja atau menjadi duta sesuatu produk. Maknanya, orang ramai masih yakin dengan kerja saya. Beribu-ribu artis ada di negara kita, tetapi kenapa mereka pilih saya?

"Alhamdulillah, rezeki yang saya peroleh daripada hasil menyanyi, berlakon dan mengacara banyak membantu kehidupan dan wang itu jugalah digunakan untuk menyara keluarga saya," kata Ifa yang baru saja melancarkan produk kecantikan Zenzoria dan kosmetik Natasha Beauty menerusi syarikat Firaxis International (M) Sdn Bhd.

Produk dari Amerika Syarikat yang baru dilancarkan pada September lalu juga ialah satu daripada sumber pendapatan wanita gigih ini, selain hasil seni.

Dia juga tidak melupakan jasa TV3 yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengendalikan program di stesen berkenaan. Walaupun wajahnya hanya kelihatan seminggu sekali, bagi Ifa ia sudah memadai untuk dirinya mengasah bakat pengacaraan. Sudah lebih dua tahun Ifa bersama WHI selepas mula-mula menyertai mereka pada 3 Januari 2008.

"Saya menyertai WHI tanpa sebarang asas pengacaraan. Saya keluar dari kepompong nyanyian dan lakonan, kemudian terjun ke satu bidang yang cukup berbeza. Atas hakikat itu, saya terpaksa melakukan banyak kerja rumah untuk mengendalikan program berkenaan.

"Kali pertama muncul dalam program terbabit, memang saya akui agak gugup dan banyak kesilapan yang saya lakukan. Tetapi alhamdulillah, kini saya semakin selesa dengan tugas ini," katanya yang bakal muncul dengan album baru tidak lama lagi.

Tinggalkan konsep dangdut

SEBAGAIMANA tuan punya badan yang tidak lekang dengan kontroversi dan kejutan, begitu juga dengan album terbarunya nanti. Bersemangat bercerita mengenai projek terbarunya, Ifa berkata, dia kini tidak lagi memilih konsep dangdut untuk album yang dikeluarkan dengan bajet sendiri itu.

Album yang dijangka dilancarkan sekitar November atau Disember itu nanti akan memuatkan tiga lagu iaitu Luar Biasa, Tanpa Ku Sedar dan Selamat Jalan Dunia Dot.. Dot..Dot.. Antara komposer yang terbabit dalam pembikinannya pula ialah Sharon Paul, Nurfatimah dan Aesar Mustafar.

Bukan mahu lari daripada imej asalnya tetapi dia melakukan semua itu kerana inginkan perubahan terhadap kerjaya nyanyian, selain menyedari irama dangdut sukar mendapat tempat di radio tempatan. Rentetan daripada itu, Ifa mengambil keputusan menyanyikan lagu yang terjamin pasarannya. Lebih penting, dia tidak lagi mahu dianaktirikan stesen radio.

"Radio tak mahu pasang lagu-lagu dangdut, jadi saya terpaksa tukar konsep lain. Macam mana orang nak dengar dan tahu lagu saya jika stesen radio tak nak putarkan? Bagaimanapun saya tidak akan meminggirkan lagu dangdut. Saya akan terus menyanyikan irama dangdut pada majlis yang saya jayakan kerana peminat di luar sana masih mahu saya berbuat demikian.

"Selain itu, saya juga mencuba kelainan untuk album terbaru ini bagi membuktikan kepada peminat saya boleh menyanyikan semua jenis lagu. Saya nak orang tahu bahawa saya penyanyi yang versatil," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.