Adsense

Selasa, 15 Jun 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Dari Internet ke bazar

Posted: 14 Jun 2010 11:23 PM PDT

KEHARUMAN biskut buatan sendiri yang memenuhi ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), nyata menggamit pengunjung yang memeriahkan Gedung Terbakar (GT) Bazaar Berrybunch edisi kedua yang berlangsung sempena sambutan Youth 10, di ibu negara baru-baru ini.

RESIPI IBU... Siti Shahida Shaharudin memasarkan sos tamar buatan  sendiri sejak dua tahun lalu.
RESIPI IBU... Siti Shahida Shaharudin memasarkan sos tamar buatan sendiri sejak dua tahun lalu.
Perniagaan biskut yang dikenali Crunchy Biscuits n Hampers itu mulanya dijalankan secara dalam talian oleh Zafida Ismail sebelum beralih ke pasaran lebih besar menerusi jualan di kedai terletak di Bandar Baru Bangi, lalu disemarakkan lagi dengan penyertaan di GT Bazaar itu yang bertujuan membantu usahawan Internet di kalangan wanita negara ini.


Biskut diberi nama Oat Rice yang dihasilkan menerusi resipi sendiri menjadi tarikan hangat di gerai pamerannya terutama apabila Zafida membawa ketuhar bagi menyediakan biskut itu lalu dijual 'panas' kepada pengunjung.


Gerai itu juga memberi alternatif kepada pembeli untuk mendapatkan produknya berbanding hanya menerusi laman www.crunchy.com.my atau kedai.


"Selain laman web dan jualan di kedai, kami turut bersedia menghantar pesanan ke kawasan berhampiran jika ia dalam jumlah yang banyak," katanya.


Selain biskut, GT Bazaar Berrybunch 2 turut dimeriahkan dengan gerai jualan pakaian wanita dan kanak-kanak, sos keluaran tempatan, bahan mentah seperti mi, barangan kosmetik, barangan penjagaan kereta, pusat sehenti pengurusan kesihatan dan khidmat nasihat bagi penjagaan berat badan.


Menurut penganjur bazar, Mohd Adlin Abu Bakar, GT Bazaar Berrybunch 2 ini berjaya menarik lebih 80 peniaga sejak ia kali pertama dianjurkan di PWTC ketika Pesta Buku Antarabangsa, dua bulan lalu.


"Berrybunch sememangnya fokus kepada perniagaan dalam talian sejak beberapa tahun lalu. Kami mempunyai ramai peniaga dalam senarai ahli jadi kami berusaha membawa mereka meneruskan perniagaan di luar iaitu dalam suasana bazar.


"Kami dapati ramai peniaga Internet ini tidak mampu atau tidak berpeluang memasarkan produk mereka di luar dan hanya bergantung kepada Internet.


"Bagi yang berpeluang berniaga di luar pun, biasanya di bazar biasa atau flea market dan bukannya di tapak pameran besar seperti PWTC. Jadi, penganjuran GT Bazar ini boleh disifatkan platform terbaik untuk mereka mengembangkan perniagaan di samping mendapatkan lebih banyak usaha sama di kalangan rakan niaga.


"Kami juga tidak bertindak sebagai penyedia tapak jualan semata-mata kerana kami turut membantu merancang pengurusan perniagaan bagi peserta untuk membolehkan mereka meneruskan perniagaan selepas tamat bazar ini," ujarnya. Dianggarkan lebih 85 peratus peniaga yang menyertai bazar itu adalah wanita dan produk yang dijual sememangnya tertumpu kepada kaum Hawa serta perkhidmatan berkaitan wanita.Babyandkidcollections misalnya antara gerai yang menawarkan pelbagai tudung dan pakaian kanak-kanak berjenama pada harga berpatutan. Pemiliknya, Siti Nurul Ain, 26, memulakan perniagaan itu sejak dua tahun lalu menerusi jualan busana kanak-kanak dan kini baru berjinak-jinak menjual pelbagai tudung yang mengikut aliran terkini.


Siti Shahida Shaharudin pula mahu mengembangkan produk sos tamar buatan sendiri kepada pengunjung selepas dua tahun menjualnya dalam laman web www.tamarmart.com.


"Sos ini diambil daripada resipi ibu yang mengandungi tamar, lada hitam dan habbatus sawda. Sos tamar ini juga boleh digunakan untuk pelbagai jenis hidangan serta sesuai untuk masakan panggang," ujarnya. Sementara itu, Melliza Abdullah cuba memperkenalkan bahan makanan yang lebih sihat dan sesuai dihidangkan untuk kanak-kanak yang enggan mengambil sayur-sayuran dalam hidangan mereka.


"Idea mencipta mi sayur daripada bayam, lobak dan daun sup itu tercetus selepas anak-anak saya tidak suka makan sayur-sayuran walaupun sudah dipotong halus dan dicampur dalam hidangan mi goreng kegemaran mereka. "Selain dalam laman web http://ehsanmurni.blogspot.com, saya turut mengedarkannya di sekitar Shah Alam," katanya.

Bagi yang mementingkan kesihatan, wujud beberapa gerai menjual produk makanan tambahan serta memberi khidmat nasihat bagi pengurusan berat badan seperti Central Club yang diusahakan Norizan Yazid dan keluarganya.


Central Club menyediakan analisis kecergasan termasuk imbasan badan untuk pengunjung menggunakan mesin Tanita dan bacaan kandungan air, berat serta bacaan diambil daripada mesin itu akan dinilai bagi membantu pengunjung menguruskan keperluan kesihatan mereka.


Bazar terbabit akan diteruskan bagi edisi ketiga, juga di PWTC, sempena majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa, hujung Julai depan. Bagi yang berminat menyertai edisi seterusnya, boleh melayari www.gtbazaar.com.my.

Helah ganda wang kantoi

Posted: 14 Jun 2010 11:20 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tembelang empat warga Afrika yang mendakwa kononnya ahli perniagaan yang cuba memperdayakan seorang suri rumah dengan menawarkan wang tunai jutaan dolar Amerika Syarikat (AS) tidak berhasil apabila semua mereka dicekup dalam satu serbuan di Ampang, Khamis lalu.

Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila suri rumah berusia 55 tahun itu membuat laporan polis apabila pelaburannya sebanyak RM17,000 tidak berhasil untuk digandakan.

Sebaliknya, sindiket terbabit mendesak mangsa memasukkan lebih banyak wang konon bakal mendapat keuntungan berlipat ganda.

Menurut sumber, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Cheras menahan seorang lelaki warga Afrika berusia 27 tahun sebelum menyerbu sebuah rumah di pangsapuri di Bandar Baru Ampang, dekat sini, kira-kira jam 11 malam.

"Dalam serbuan itu, tiga lagi lelaki warga Afrika ditahan dan polis menemui beratus-ratus not kertas tempatan dan dolar Amerika dipercayai palsu dalam beg yang cuba dicampak warga Afrika berkenaan sebaik mengetahui rumah mereka diserbu," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit cuba memperdayakan mangsa supaya membuat pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit bagi ditukarkan dengan wang palsu bernilai AS$3.5 juta (RM11.2 juta)."Awal Mei lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang suspek yang menawarkan pelaburan menggandakan wang menyebabkan mangsa ghairah untuk menjadi 'jutawan segera.'


"Pada mulanya mangsa diminta melabur RM5,560 dan selepas menerima wang itu, sindiket terbabit mencari helah supaya mangsa melabur dengan jumlah yang lebih banyak. Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis lelaki Afrika itu kemudian membuat pelaburan kali kedua sebanyak AS$3,550 (RM11,360)," katanya.

Bagaimanapun, helah sindiket itu akhirnya dapat dihidu mangsa apabila dia diminta memasukkan lebih banyak wang menyebabkan dia membuat laporan polis.

"Semua suspek berusia 24 hingga 30 tahun memasuki negara ini sebagai pelajar dengan seorang daripadanya mendakwa pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Mereka ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 489 Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu," katanya.

Pemandu asing pasang tonto

Posted: 14 Jun 2010 11:18 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pemandu bas dan teksi di kalangan warga asing yang beroperasi tanpa permit di ibu kota didapati menggunakan pelbagai taktik licik untuk mengaburi pihak berkuasa termasuk menempatkan 'tonto' di tempat tertentu untuk mengesan kehadiran anggota penguat kuasa.

SAMAN  ...anggota penguat kuasa DBKL menyaman bas yang diletakkan di bahu jalan  dalam Operasi Halang Siri ke-11, baru-baru ini.
SAMAN ...anggota penguat kuasa DBKL menyaman bas yang diletakkan di bahu jalan dalam Operasi Halang Siri ke-11, baru-baru ini.
Ketua Inspektor Unit Trafik, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Shaiful Anwar Shaharom, berkata taktik itu menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. "Kami pernah menahan beberapa pemandu warga asing dan serahkan mereka kepada Jabatan Imigresen dan LPKP (Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan), namun kegiatan mereka belum dapat dibendung sepenuhnya" katanya. Beliau mendedahkan perkara itu selepas Operasi Halang Siri ke-11 membabitkan 26 pegawai dan anggota dari empat agensi penguat kuasa iaitu Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, LPKP, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen di sini, baru-baru ini. Ketika operasi berkenaan, dua pemandu bas di Lebuh Ampang meninggalkan kenderaan mereka di bahu jalan kerana dipercayai tidak memiliki lesen sah. Dalam operasi itu, 204 pemandu pengangkutan awam dan perdagangan disaman berikutan pelbagai kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Kaedah Lalu Lintas dan Perkara 11 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Diesel 1996). Operasi tertumpu di Jalan Tun Tan Siew Sin dan beberapa jalan utama sekitar ibu negara dipilih kerana menjadi tumpuan segelintir pemandu bas dan teksi yang gemar mengambil dan menurunkan penumpang tanpa menghiraukan keselamatan pengguna. Sementara itu, Penolong Pegawai Penguat kuasa LPKP, Jeffri Affendi Mohd Yusoff, berkata pihaknya mengadakan operasi berkala untuk membanteras kehadiran pemandu bas dan teksi warga asing termasuk menyamar penumpang. "Kami akan ambil tindakan tegas termasuk menahan permit individu yang menyewakan permit mereka kepada warga asing," katanya.

Sambut Hari Jadi Ke-105 Dengan Tarian Gelek

Posted: 14 Jun 2010 11:15 PM PDT

William Herbert duduk sambil menghayati tarian gelek oleh penari, Roxanne.

MELBOURNE: Seorang pesara jurutera Keretapi Tanah Melayu menyambut hari jadi ke-105 tahun dengan tarian gelek di sini.

Akhbar Leader melaporkan William Herbert duduk dengan teruja apabila Roxanne menari di hadapannya serta sanak saudra dan rakan-rakannya di Pusat Jagaan Orang-Orang Tua Manningham yang dihuninya.

Anak lelakinya Lance, 72, bekas pegawai eksekutif kanan Penerbangan Malaysia memberitahu Bernama, berkata pusat jagaan tersebut mengadakan tarian itu bagi meraikan bapanya.

Dilahirkan pada 9 Jun 1905, Herbert masih aktif mindanya dan boleh bermain violin.

Herbert tiba di Melbourne pada 1984. Isteri pertama beliau meninggal di Kuala Lumpur pada 1958.

Teman tapi mesra

Posted: 14 Jun 2010 11:14 PM PDT



Hubungan mereka berdua dikatakan bermula sejak dalam Akademi Fantasia 8 (AF8) lagi. Bermula sekadar teman biasa, hubungan Adira dan Shahir dilihat akrab dan serasi. Sehingga kini, mereka berdua sering kali digandingkan bersama dalam apa juga sesi fotografi.

Bermula dengan pesanan kakaknya, Emma yang meminta Shahir menjaga adiknya ketika berada di akademi, keakraban mereka menarik perhatian sehinggakan peminat setia mengikuti perkembangan dua pendatang baru dunia hiburan ini memberikan nama baru kepada pasangan ini iaitu 'Shahira'. Ketika soalan itu diajukan kepadanya, gadis manis yang berasal dari Sabah ini hanya tersenyum.

"Memang kakak saya ada pesan begitu kepada Shahir, kerana sewaktu di sana (akademi), Shahir tu macam abang kepada kami semua. Dia jugalah ustaz dan selalu baca doa. Jadi, mungkin kerana itu kakak saya berpesan macam tu kepadanya. Tapi, sebenarnya kami hanya kawan seperti biasa sahaja.

"Mengenai gandingan nama tu memang saya tak tahu apa-apa. Shahir sangat baik dengan kami semua. Mungkin kerana itu orang lihat kami rapat dan seperti ada apa-apa, sedangkan kami hanya berkawan sahaja," katanya ketika ditemui pada majlis Bola Fever Bersama Media 2010 anjuran Suria.fm baru-baru ini.

Namun, bagi anak bongsu daripada lapan beradik ini tidak menafikan ada perasaan sayang terhadap juara AF8 itu. Walaupun sayang sebagai abang dan juga sebagai kawan, Adira juga kagum dengan Shahir yang tidak pernah sombong dan berbangga diri.

"Mungkin kerana sikapnya yang sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain membuatkan saya senang bersamanya. Semakin hari semakin selesa saya berkawan dengannya. Apatah lagi kami sering digandingkan di dalam sesi fotografi.

"Jadi hubungan kami bertambah akrab. Dia juga selalu memberi nasihat kepada saya. Saya harap kami akan dapat terus berkawan," katanya lagi.

Bagai sesuai dengan tajuk lagunya Ku Ada Kamu, Adira hanya tersenyum apabila dikatakan lagu itu ditujukan buat Shahir.

"Lagu itu memang bererti untuk saya. Tapi, bukan khas buat Shahir, ia untuk semua orang yang berada di sekeliling saya yang tidak jemu menyokong saya. Saya harap mereka akan terus menyokong saya sampai bila-bila.

"Saya masih baru lagi, banyak perkara yang perlu saya belajar. Saya mahu jadi artis yang berjaya. Saya datang daripada keluarga yang sederhana saja. Jadi, saya mahu bantu keluarga saya. Dengan bakat nyanyian saya ini, saya harap dapat membantu keluarga saya.

"Buat masa ini, soal cinta saya tolak ke tepi dulu. Biarlah saya tumpukan pada kerjaya dahulu. Tapi kalau sudah ditentukan jodoh saya pada usia yang muda, apakan daya saya untuk menolaknya. Cuma saya harapkan kalau saya berkahwin pada usia muda, ia akan kekal selamanya," katanya.

Bagi duta bakat Innershine ini, perjalanan kerjaya seninya yang baru bermula akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya agar tidak dilupakan peminat.

"Saya akan bekerja keras untuk memantapkan diri saya. Saya sentiasa membawa pesanan ibu saya agar tidak mudah lupa diri dan sentiasa berusaha keras untuk mencapai kejayaan.

"Saya bukan sahaja membawa nama saya tetapi nama keluarga saya. Jadi saya perlu menjaga nama mereka agar tidak mudah lupa diri apabila berada berjauhan daripada keluarga. Saya juga tidak mahu dikatakan 'kejutan budaya' hingga boleh memberi padah terhadap diri sendiri," katanya.

Inneke larang anak jadi artis

Posted: 14 Jun 2010 11:11 PM PDT

Pelakon Inneke Koesherawati tidak mahu putera kesayangannya Muhammad Rahlil Ibrahim, yang kini masih berusia tiga tahun, mengikut jejaknya terlibat dalam dunia hiburan. Menurutnya, dia bimbang anaknya lebih cepat tua berbanding usia setelah jika terlibat dalam bidang tersebut.

"Rata-rata kalau anak kecil yang ikut penggambaran, perkembangannya akan lebih cepat dari usianya kerana bergaul dengan orang yang lebih dewasa," katanya.

Wanita berusia 34 tahun itu juga bimbang jika anaknya menjadi artis di usia awal, dia akan berubah menjadi anak yang enggan mendengar kata.

Namun, isteri kepada Fahmi Darmawansyah itu tidak akan memaksa anaknya untuk mengikut kehendaknya. Menurut Inneke jika Rahlil mahu menjadi artis dia akan cuba memahami dan buat masa ini Rahlil pernah memberitahu Inneke bahawa dia ingin menjadi anggota polis.

Agen ah long kena cekup

Posted: 14 Jun 2010 11:10 PM PDT



BATU PAHAT - Banyak pihak tidak mahu melepaskan peluang sempena Piala Dunia di Afrika Selatan untuk mengaut keuntungan dan tidak terkecuali ah long yang menyediakan pinjaman kepada kaki judi yang ingin bertaruh perlawanan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, satu tangkapan dilakukan di Ayer Hitam terhadap seorang pemuda yang sedang asyik menyelitkan kad dan juga risalah di kereta yang terdapat di pekan berkenaan, kelmarin.

Menurutnya, cara berkenaan adalah salah satu cara menarik orang ramai sempena Piala Dunia dengan berjudi dan menghubungi mereka jika memerlukan wang.

"Tawaran istimewa diberikan iaitu peminjam tidak akan dikenakan bunga jika dapat membayar jumlah hutang mereka dalam masa lima hari pinjaman.

"Selain kad dan risalah, sindiket ah long berkenaan juga mengedarkan jadual perlawanan Piala Dunia sebagai rujukan," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Batu Pahat.

Ibrahim berkata, pemuda berkenaan ditahan kerana telah melakukan beberapa kesalahan seperti mengedarkan iklan tanpa permit dan juga bertindak sebagai agen ah long.

Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan seperti mencari ketua ah long, tempat perjudian dan tempat mencetak kad dan risalah memandangkan pemuda yang ditangkap hanyalah orang bawahan sahaja.

"Semenjak 1 Jun lalu sehingga 13 Jun sebanyak 122 banner dan poster telah diturunkan dan semuanya berkaitan dengan kegiatan ah long yang menyediakan pelbagai tawaran.

"Sempena Piala Dunia yang berlangsung sekarang ini pihak polis akan meningkatkan usaha untuk membanteras kegiatan perjudian dan juga ah long," katanya.

Si cilik pintar, terang hati

Posted: 14 Jun 2010 06:08 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pertuturannya mungkin kurang sempurna, namun Darwisya Adriana Rozali yang baru berusia tiga tahun lapan bulan sudah mampu menghafaz 30 surah pendek dalam al-Quran.

BIJAK...Darwisya Adriana (kiri) mengajar  Darwish Adrian mengaji.
BIJAK...Darwisya Adriana (kiri) mengajar Darwish Adrian mengaji.
Malah, si comel itu juga adakala mengajar adiknya, Darwish Adrian, 2, mengaji manakala Darwish Adrian sendiri sudah boleh menghafaz surah al-Waqiah walaupun hanya mampu membaca pada hujung ayat.

Menurut ibu dua beradik ini, Mazlina Ramli, lewat 30-an, ketika berusia dua tahun lapan bulan, Darwisya Adriana sudah menghafaz lapan surah pendek dan pada usia tiga tahun dua bulan, dia sudah boleh menghafaz 30 surah pendek.

Kata Mazlina, kelahiran Darwisya tiada beza dengan bayi lain, malah dia sendiri tidak mengalami sebarang alahan atau tanda pelik. Anak sulungnya itu sendiri lambat berjalan dan bertutur.

"Namun, sejak usia enam bulan, saya sudah mendedahkannya ayat al-Quran menerusi cakera padat video (VCD) surah al-Furqan," katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Mazlina yang menjalankan perniagaan sendiri berkata, setiap pagi anaknya diperdengarkan bacaan al-Quran terlebih dulu sebelum mereka mula menonton televisyen.Pada waktu malam, dia mengambil masa 30 minit sehingga satu jam untuk mengajar anaknya mengaji mengikut kaedah Iqra'.


Baginya, tiada rahsia besar di sebalik keupayaan anak-anaknya itu kerana semua ibu boleh memiliki anak seperti Darwisya Adriana asalkan ia disertai teknik pembelajaran tepat.

"Asalnya saya mahu menghantar anak saya mengaji al-Quran di tempat yang menyediakan perkhidmatan itu, namun tiada seorang pun yang sanggup mengajar Darwisya Adriana yang ketika itu baru berusia setahun.

"Justeru, saya mula mencari kaedah sesuai mengajar anak bermula daripada lahir sehingga usia tiga tahun," katanya.

Mazlina menggunakan set buku dan VCD Al-Furqan bermula sejak bayi sehingga kedua-dua anaknya mengenal huruf dan boleh membaca.

Selepas set berkenaan habis dibaca, dia menyambung kepada buku Iqra' jilid satu hingga enam dan untuk hafazan, dia menggunakan kaedah Al-Huffaz iaitu buku hafazan untuk satu juzuk dalam satu set.

"Untuk membiasakan dengan sebutan yang betul dan tajwid sempurna, saya selalu memperdengarkan pada mereka bacaan al-Quran daripada VCD pada setiap pagi dan Maghrib.

"Dia sendiri akan tahu bacaannya salah kerana selalu mendengarnya daripada VCD," katanya.

Kemampuan Darwisya Adriana turut diuji Akademi Darul Huffaz yang terletak di Kajang serta mendapat sijil hafazan 30 surah terakhir daripada akademi terbabit.

"Tentunya ini satu pencapaian yang amat membanggakan saya. Saya berharap anak saya dapat khatam al-Quran sebelum usianya mencecah empat tahun," katanya.

Mazlina juga amat mementingkan pemakanan untuk anak-anaknya kerana makanan yang terjamin halal wajib untuk penghafaz al-Quran.

Antara makanan yang biasa diberikan untuk anaknya ialah kacang badam, kismis, kurma, madu, habbatus sauda, buah zaitun dan air yang dibaca dengan surah Taha.

Ibu paling tua kini tenat

Posted: 14 Jun 2010 06:01 PM PDT

NEW DELHI: Wanita yang menjadi ibu paling tua dengan melahirkan anak 18 bulan lalu pada usia 70 tahun, kini terlantar sakit.

NAVEEN dan ibunya, Rajo yang terlantar sakit.
NAVEEN dan ibunya, Rajo yang terlantar sakit.
Rajo Devi Lohan, 72, dan suaminya, Balla, 73, dari darerah Baddhu Patti berkata, mereka tidak diberi amaran mengenai risiko melahirkan anak pada usia setua itu apabila bersetuju membayar rawatan kesuburan berjumlah kira-kira RM10,000 bagi melahirkan anak.


Rajo berkata: "Saya impi untuk mempunyai anak sepanjang hidup saya. "Saya tidak menyesal sakit kerana melahirkan anak. Sekurang-kurangnya cita-cita saya untuk mempunyai anak sudah tercapai," katanya.


Dia kini begitu lemah hingga tidak upaya untuk memangku, jauh sekali mendukung anaknya, Naveen.


Doktor Anurag Bishnoi yang melakukan permanian berhadas terhadap Rajo berkata, kesihatan wanita itu tidak ada kaitan dengan kehamilannya.


Bagaimanapun, katanya, sekurang-kurangnya Rajo akan mati dengan rasa puas kerana dapat melahirkan anak.

Jangan biar pasangan kesunyian

Posted: 14 Jun 2010 06:00 PM PDT


Adalah sangat berbahaya membiarkan pasangan kita berasa sunyi.


ALAM rumah tangga seharusnya menjadi impian setiap pasangan di dunia ini yang menginginkan hidup bersama pasangan yang dicintai hingga akhir hayatnya.

Namun apabila usia perkahwinan semakin lama adakalanya hubungan juga semakin renggang, perasaan cinta dan sayang juga semakin pudar dan semakin kurang 'magis'nya.

Malah ada ketikanya sudah tidak sama seperti waktu awal-awal perkahwinan dulu. Maklumlah anak-anak sudah besar dan cucu juga semakin ramai.

Ada yang bersikap tidak kisah atau ambil mudah terhadap pasangan mereka.

Hidup bersama bertahun-tahun membuatkan mereka merasakan sudah cukup memahami pasangan, lantas mereka mula bersikap ambil mudah terhadap pasangan.

''Sebenarnya itu satu kesilapan yang sering dilakukan oleh pasangan yang telah lama berkahwin. Jadi tidak hairan jika ada rumah tangga yang runtuh walaupun sudah berusia berpuluh tahun,'' ujar Penolong Pengarah Kaunseling Kolej Matrikulasi Selangor, Zuaiza Paiman.

Tegas beliau, biarpun sudah lama berkahwin, sebagai manusia normal naluri untuk disayang tetap wujud.

''Biarpun sudah lama mengharungi kehidupan bersama, perasaan cinta dan kasih sayang harus dibajai, jangan sesekali meminggirkan insan yang paling mengharapkan belaian dan perhatian,'' tegasnya bersungguh.

Tambah beliau, biarpun masing-masing sudah 'masak' dengan kerenah sendiri, namun jangan membiarkan pasangan berasa kesunyian.

''Adalah sangat berbahaya membiarkan pasangan kita berasa sunyi, oleh itu anggap pasangan kita sebagai orang yang paling penting," katanya.

Menurutnya lagi, bermula dengan kesunyian akan menjadikan seseorang itu cuba mencari keseronokan yang lain.

''Oleh itu adalah tanggungjawab kita untuk memberikan perhatian kepada pasangan sendiri. Biarpun sibuk sentiasa beri perhatian setiap perkara yang diingini.

''Bagi isteri menjadi suri rumah ada waktunya mereka tidak menang tangan dalam menguruskan hal anak-anak dan antara mereka terlepas pandang dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap suami.

''Bagi isteri yang bekerjaya pula, jangan mengharapkan segala urusan suami disediakan oleh pembantu. Walhal itu semua tanggungjawab isteri,'' ujarnya lagi.

Kata beliau lagi, dalam perhubungan komunikasi adalah perkara yang penting.

''Ini kunci utama. Komunikasi adalah sesuatu yang penting, tanpa komunikasi kita tidak tahu apa yang tersirat di hati masing-masing,'' ujarnya lagi.

Katanya lagi, dalam keadaan sedemikian biasanya pasangan akan saling memendam, akhirnya apabila meledak, keadaan tidak dapat dipulihkan lagi.

''Oleh itu, jangan pendamkan apa yang terbuku sebaliknya berkongsi cerita dengan pasangan kita," katanya.

Katanya lagi, biarpun sudah lama melayari bahtera perkahwinan, namun kuasa sentuhan mampu mengembalikan kehangatan dalam hubungan suami isteri.

''Siapa kata orang tua tidak inginkan belaian dan sentuhan. Kadangkala sentuhan juga sudah cukup untuk menyampaikan segala yang terpendam," katanya.

Maimunah cekal besarkan anak istimewa

Posted: 14 Jun 2010 05:53 PM PDT


Presiden Retrosuperbike, Maznah Zolkifli menyampaikan sumbangan kepada Maimunah Chik sambil diperhatikan oleh ahli-ahli kelab motosikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur dan Singapura lain.


BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah gambaran kehidupan seorang suri rumah, Maimunah Chik, 49, yang terpaksa menjaga dua anak istimewa yang menghidap penyakit cerebral palsy.

Demi kasih sayang yang tidak bertepi, Maimunah yang menetap di Lorong Wan Chik off Jalan Salleh, Muar, Johor, tidak pernah mengeluh jauh sekali untuk mengalah dengan kesukaran menjaga anak-anaknya itu.

Akibat penyakit yang ditanggung sejak bayi, anak sulong dan bongsunya, Syafiqah Mohamad Saidin, 18, dan Nor Arina, 12, langsung tidak boleh bergerak dan bercakap, sebaliknya hanya terbaring dengan makan serta minumnya sentiasa bersuap.

Semua tugas menguruskan kedua-dua anak tersebut termasuk membersih dan memandikan mereka dilakukan dengan kudrat empat kerat Maimunah.

Menurut wanita cekal ini, kedua-dua beradik itu dilahirkan secara pembedahan (caesarean) kerana masalah yang timbul ketika dalam kandungan lagi.

Cerebral palsy merupakan keadaan di mana perkembangan otak tidak normal yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota-anggota tubuh, biasanya disebabkan kecederaan semasa kelahiran.

''Semasa di dalam kandungan lagi, doktor sudah menyatakan bahawa mereka ini mempunyai masalah dan kemungkinan cacat sepanjang hayat.

''Jika diikutkan, mereka sepatutnya dibawa menjalani rawatan fisioterapi tetapi apakan daya saya tidak mampu.

''Bagaimanapun saya terima keadaan ini dengan reda dan menganggapnya qada dan qadar daripada Allah SWT,'' ujarnya ditemui ketika kunjungan kebajikan oleh kelab-kelab motosikal berkuasa tinggi dari Kuala Lumpur dan Singapura ke rumahnya baru-baru ini.

Menurut Maimunah, kedua-dua anaknya itu membesar dalam keadaan tidak sempurna seperti insan lain di mana kaki dan tangan membengkok manakala susuk badan lebih kecil daripada usia.

Walaupun kedua-dua mereka hanya mampu terbaring dan sesekali merengek apabila berkehendakkan sesuatu, mereka masih memahami apa yang diperkatakan di sekeliling mereka.

Mereka juga masih bertuah kerana selain mempunyai seorang ibu yang sentiasa tabah dan tidak pernah jemu menjaga serta membelai setiap masa, Syafiqah dan Nor Arina masih lagi mempunyai seorang saudara kandung yang normal, Nur Amanina, 16.

Biarpun begitu, di sebalik ketabahan dan wajah tenang Maimunah tersirat 1001 bebanan yang perlu ditanggung untuk membesarkan anak-anaknya yang cacat.

Ini kerana satu-satunya tempat dia bergantung hidup untuk membesar dan menyara tiga orang anaknya, iaitu suami tercinta, Mohamad Saidin Ismail telah meninggal dunia akibat penyakit misteri pada bulan Mac lalu.

Jelas Maimunah lagi, dia bukannya tidak mahu bekerja tetapi keadaan tidak mengizinkan dia berbuat demikian memandangkan tiada sesiapa yang mampu menjaga anak-anaknya.

''Sejak kecil kami tidak pernah berenggang dengan dan setiap perkembangan berlaku di depan mata saya.

''Segala kerja saya perlu lakukan sendiri termasuk menyuapkan makan dan minum mereka, menyalin baju serta membersihkan najis mereka.

''Setakat ini tiada siapa mampu menggantikan saya bagi melakukan kerja-kerja itu termasuk termasuklah anak kedua saya,'' tambahnya.

Bagaimanapun Maimunah tetap bersyukur kerana menerima bantuan RM600 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) biarpun selalunya ia tidak cukup untuk menampung keperluan Syafiqah dan Nor Arina.

Ini kerana Syafiqah dan Nor Arina memerlukan lampin pakai buang setiap hari di samping minum susu khas.

Justeru dia begitu terharu apabila menerima kunjungan oleh ahli-ahli kelab motosikal berkuasa besar yang datang menyumbang dua kerusi roda, tilam, barang-barang keperluan dan wang tunai.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Captain Bikerz Singapura yang turut disertai kelab-kelab lain seperti Kelab Retrosuperbike Malaysia, Retrosuperbike Singapura, Muar Bikers, STOC Singapura, Roger Bikers, Kajang Bikers, dan Malaysia Easy Rider Community.

Hipertensi pembunuh senyap

Posted: 14 Jun 2010 05:51 PM PDT


Prof. Dr. Sim Kui Hian (kiri) bersama Prof. Hans Henrick Parving dan Avinash Potnis (kanan) semasa pelancaran ubat resilez baru-baru ini.


TEKANAN darah tinggi (hipertensi) kadang-kala digelar 'pembunuh senyap' kerana tidak menunjukkan apa-apa simptom pada peringkat awal tetapi boleh menyebabkan bilangan kematian yang tinggi di kalangan penduduk negara ini dan juga di seluruh dunia.

Walaupun ia adalah antara penyakit yang paling dikenali oleh rakyat Malaysia selain kencing manis dan sakit jantung, ramai yang bersikap acuh tidak acuh untuk mengelak ia daripada berlaku.

Antara sebabnya mungkin kerana hipertensi tidak menunjukkan gejala menakutkan.

Malah hanya 10 peratus sahaja di kalangan pesakit tekanan darah tinggi yang merasai simptom seperti pening kepala atau simptom lain,

Justeru tidak hairanlah apabila bercerita mengenai hipertensi pada hari ini, kita sedang berdepan dengan dua masalah utama.

Pertama, orang ramai tidak mengambil berat tentang tekanan darah mereka dan k edua, mereka yang sudah menghidapinya tetapi tidak pula mendapatkan rawatan yang betul.

Mengikut kajian yang dijalankan lebih 30 peratus daripada penduduk negara ini menghidap tekanan darah tinggi dan sebilangan besar penghidapnya terdiri daripada kaum Melayu.

Ini dengan secara tidak langsung menunjukkan cara hidup di bandar dan di desa tidak banyak perbezaan, di samping faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan yang besar.

Perkara ini diakui oleh Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Sim Kui Hian.

Katanya, di Malaysia, empat daripada 10 dewasa menghidap tekanan darah dengan 26 peratus pesakit mempunyai tekanan darah terkawal.

Namun dengan ledakan teknologi terkini, penghidap hipertensi kini mempunyai pilihan merawat penyakit tersebut dengan sejenis ubat yang mampu mengurangkan tekanan darah tinggi secara konsisten selama 24 jam iaitu Rasilez .

Dr. Sim berkata, ubat ini berfungsi dengan menyasar terus kepada sumber tekanan darah tinggi iaitu enzim renin seterusnya mengurangkan tekanan.

''Ubat ini juga membekalkan ejen untuk merendahkan tekanan darah dengan tahap keberkesanan yang melebih 24 jam,'' katanya ketika majlis pelancaran Rasilez di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah tegasnya, dalam tempoh terdekat, pesakit akan merasai kekurangan.

Katanya lagi, apabila pesakit mengambil ubat ini, ia mampu mengurangkan tekanan tersebut dalam tempoh 24 jam.

"Apabila digunakan bersendirian ubat ini boleh menunjukkan lebih banyak pengurangan tekanan darah dari enzim penghalang pengubahsuai angiotensin (ACE), ramipril dan diuretik, hydrochlorothiazide (HCT).

''Bagi pesakit yang sudah mengambil ubat yang lain, tetapi tidak bertahan, Rasilez memberikan pengurangan tekanan darah yang lebih apabila ditambah kepada terapi yang sedia ada.

Kata Dr. Sim lagi, pesakit boleh menggunakan ubat ini sahaja atau pun bersama ubatan yang lain kerana mereka diberikan perlindungan dengan mengekalkan 91 peratus keberkesanan tekanan darah selepas satu dos.

Rasilez juga tegasnya merupakan satu rawatan pilihan ekoran kebanyakan ubat tekanan darah tinggi di pasaran gagal berfungsi sepanjang masa terutama sekali pada waktu awal pagi apabila tekanan darah naik.

Malah ia juga tergolong dalam kelas ubat baru yang dipanggil penghalang renin langsung.

"Ia bertindak dengan menyekat sistem renin angiotensin aldosterone (RAAS) secara langsung,'' terangnya lagi.

Jelasnya, Rasilez telah pun didaftarkan di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan Malaysia.

''Buat masa ini, pasaran ubat ini hanyalah untuk hospital swasta dan dalam masa terdekat kita akan pasarkan di hospital-hospital kerajaan.

Gaya tidur cermin personaliti

Posted: 14 Jun 2010 05:36 PM PDT


Mengikut fakta sains, separuh daripada kehidupan kita dihabiskan untuk tidur.


SAYA amat gembira hidup bujang kerana saya boleh habiskan masa lima hingga tujuh jam di atas katil dengan apa jua gaya tidur yang saya suka," ujar Aalia yang bahagia dengan nikmat tidur yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.

Mengikut fakta sains, separuh daripada kehidupan kita dihabiskan untuk tidur. Sejak dari bayi hinggalah dewasa waktu tidur berubah-ubah seiring dengan tuntutan dan tekanan yang dihadapi di sekeliling kita.

Namun ramai yang mungkin tidak tahu bahawa perwatakan dan personaliti seseorang itu boleh dinilai melalui gaya tidurnya.

Seorang pengkaji tidur di Britain, Prof. Chris Idzikowski berkata, posisi tidur boleh memberi gambaran sebenar tentang siapa diri kita.

Beliau yang juga pengarah di Perkhidmatan Penilaian Tidur dan Khidmat Nasihat berkata, satu kajian yang dijalankan ke atas 1,000 rakyat Britain mendapati enam posisi atau gaya tidur yang menggambarkan tentang personaliti sebenar responden.

Pembaca tidak perlu membuat keputusan untuk mempercayai hasil kajian ini, tapi jika ada akui kebenarannya dan anggaplah sebagai satu ilmu bahasa badan yang diterjemahkan dalam bentuk laporan oleh Idzikowski.

"Kita semua jelas dengan gaya bahasa tubuh ketika sedar tapi kajian ini membuktikan kali pertama bahawa pergerakan tubuh ketika tidak sedar (tidur) sebenarnya memberitahu kita tentang watak kita yang sebenarnya," katanya.

Tambahnya, apa yang menarik ialah hasil tafsiran terhadap posisi tidur itu sebenarnya ada kaitan dengan peribadi kita selama ini.

Kajian tersebut turut memfokuskan kepada kaitan gaya tidur dengan masalah kesihatan yang dihadapi oleh individu terbabit.

Antara masalah yang berkaitan dengan gaya tidur ialah masalah sistem pencernaan, dengkuran dan tidur yang kurang berkualiti atau tidak lena.

Jika merasakan bahawa gaya anda tidur merangkumi semua gaya di atas, mungkin tafsiran anda tidak benar.

Ini kerana, Idzikowski berkata, hasil kajiannya menunjukkan kebanyakan orang tidur dengan posisi yang sama hampir setiap malam dan hanya lima peratus yang sering bertukar-tukar posisi tidur dengan bermacam-macam gaya.

Kajian Idzikowski juga menunjukkan hanya satu daripada 10 peserta yang tidur berselimut, itupun tidak semua bahagian tubuh ditutup kerana ada bahagian yang terdedah dan selalunya ialah tangan, kaki atau kedua-dua kaki dari pergelangan ke jari kaki.

Jadi, tidak perlu kamera untuk merakam gaya anda tidur, anda sendiri tahu siapa anda dan adakah anda akui kebenaran kajian Idzikowski? Tepuk dada tanya selera.

Kuda teman cegah jenayah

Posted: 14 Jun 2010 05:33 PM PDT


ANTARA rutin latihan yang perlu dilakukan oleh anggota unit berkuda.


APABILA menyebut tentang haiwan yang digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencegah jenayah, semua pasti terfikir bahawa haiwan itu adalah anjing semata-mata.

Namun sedar atau tidak, selain menggunakan khidmat anjing pengesan, PDRM juga mempunyai pasukan unit kuda yang membantu mereka dalam aktiviti pencegahan jenayah.

Sumbangan pasukan unit berkuda di negara ini sememangnya agak kurang disedari oleh masyarakat menyebabkan unit itu kurang menonjol pada pandangan umum.

Tetapi sesuatu yang perlu kita tahu, sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, kuda sudah menjadi haiwan yang digunakan oleh pasukan polis.

Antara penggunaan kuda yang tentu ramai yang tidak sedar adalah di kawasan Kamunting, Perak suatu ketika dahulu, untuk membanteras kegiatan rompakan yang berlaku di kawasan itu.

Malah, di Perak, penggunaan polis berkuda diiktiraf tinggi oleh pihak istana apabila ia sering digunakan untuk majlis-majlis diraja.

Kuda merupakan sejenis haiwan yang istimewa kerana dikatakan dapat menyelami hati dan perasaan penunggangnya. Malah haiwan itu mempunyai kelebihan yang pelbagai berbanding haiwan-haiwan lain.

Keistimewaan haiwan itu turut diakui oleh Pegawai Pemerintah Unit Berkuda PDRM, Deputi Supritendan Nor Fauzi Ismawi, 52.

Bagi beliau, tugas mengepalai unit berkuda itu membuatkan beliau teruja dan yakin unit itu sedikit sebanyak mampu memberikan khidmatnya untuk menjaga keselamatan rakyat di negara ini.

"Kuda adalah teman baik saya, ada kalanya saya bercakap dengan mereka dan saya rasa itu tidak pelik," katanya sambil tersenyum.

Nor Fauzi sebelum diberi tanggungjawab mengendalikan unit ini pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Perak, Komander Unit Kawalan Kawasan Kampar dan Pasukan Gerakan Am di Pahang.

Beliau yang tidak kekok berbicara, bangga menceritakan pengalaman pahit dan manis yang pernah dilaluinya sepanjang menyertai unit ini.

"Terjatuh dari kuda adalah perkara biasa, namun saya tidak dapat melupakan kejadian terjatuh dari kuda tiga kali berturut-turut dalam satu masa.

"Namun, semua itu tidak mematahkan semangat untuk terus berkhidmat dalam unit ini, bahkan saya gembira mengendalikan kuda-kuda itu," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.

Bagi Nor Fauzi, semua kuda di bawah kendaliannya adalah istimewa dan haiwan itu amat disayangi oleh beliau serta para anggotanya.

Malah, erti kepuasan baginya adalah apabila dapat menunggang kuda itu sambil melakukan rondaan mencegah jenayah khususnya di kawasan tertentu.

"Saya tidak menganggap kuda ini seperti haiwan, sebaliknya kuda-kuda ini dianggap seperti seorang kawan.

"Untuk pengetahuan semua, haiwan ini juga seperti manusia yang perlu diberi jagaan rapi termasuk dimandikan, diberi makan dan rawatan ketika sakit," kata bapa kepada empat orang anak ini.

Sesuatu yang istimewa pada haiwan ini, kata Nor Fauzi, mendampingi kuda dan menguruskannya banyak mengajar seseorang pegawai dan anggota polis di unit itu erti kesabaran dan keinsafan terhadap Maha Pencipta yang berkuasa menjadikan haiwan itu.

Ini kerana, setiap kuda mampu mengenali personaliti individu yang menunggangnya. Jika penunggangnya tidak selesa atau tidak sesuai dengan kuda tersebut, maka kemungkinan risiko penunggang itu untuk jatuh adalah tinggi.

"Penunggang perlu bijak mengawal dan memahami kuda sebab ia tahu kalau kita tidak pandai kawal, kadang-kadang ia akan bertindak ganas terhadap penunggang.

"Kita juga tidak boleh berkasar dengan kuda sebab ia merupakan haiwan yang sensitif dan sentiasa perlu dibelai," ujarnya.

Janji Shahir pada peminat

Posted: 14 Jun 2010 05:32 PM PDT


Shahir Zawawi disuapkan makanan oleh ibunya, Mahanum Osman sambil diperhatikan oleh bapanya, Zawawi Abdullah pada majlis doa selamat sempena kepulangannya di Bandar Baru Kampar.


INILAH yang dikatakan tuah. Walaupun pernah tersingkir kerana mendapat undian tercorot pada konsert minggu ketujuh Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), nasib menentukan Ahmad Shahir Zawawi, 22, menjadi juara program realiti televisyen tersebut.

Belum pun habis anak muda kelahiran Kampar, Perak ini meraikan kejayaannya itu, dia dianugerahkan pula Ikon Belia Negeri Perak 2010 sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri, baru-baru ini.

Ternyata, rezeki anak muda yang lebih dikenali sebagai Shahir ini semakin bertambah dan auranya semakin menyerlah.

Buktinya, single pertama Shahir, Kebahagiaan Dalam Perpisahan yang baru sahaja 16 hari ke udara melalui stesyen radio tempatan kini telah memasuki Carta Prebiu Era.fm dan Hot.fm.

Malah, klip muzik video lagu tersebut di laman Youtube juga berjaya mencatat lebih 400,000 pelayar yang disifatkan sebagai satu kejayaan manis buat anak seni yang baru seperti Shahir ini.

Ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan doa selamat di rumahnya di Taman Bandar Baru Kampar, Perak, Sabtu lalu, kegembiraan jelas tergambar di wajahnya. Apatah lagi disambut dengan pelukan erat ahli keluarga serta taburan bunga rampai daripada ahli-ahli kelab peminatnya.

Kenduri kesyukuran yang diadakan di rumahnya pada jam 4.30 petang bukan sahaja dihadiri sanak saudara dan teman-teman rapat, tetapi juga peminatnya dari sekitar Kampar yang turut menjadikannya sebagai majlis menyambut kepulangan idola mereka.

Sorakan 'Hidup Shahir' dan kedatangan para peminat seawal pukul dua petang untuk merakam saat manis juara pujaan mereka menggamatkan suasana petang itu

Shahir yang pertama kali pulang ke rumah keluarganya selepas hampir tiga bulan meninggalkan Kampar, agak terkejut apabila majlis yang dikatakan hanya sebagai majlis doa selamat untuk menyambut kepulangan dan merayakan kejayaannya tiba-tiba bertukar menjadi satu sambutan yang begitu meriah dan dihadiri lebih 200 tetamu.

"Saya tak sangka disambut meriah dan saya amat menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh keluarga dan kelab peminat saya serta masyarakat setempat," katanya yang tidak berenggang dengan ibunya Mahanum Osman dan bapanya, Zawawi Abdullah pada majlis tersebut.

Mengambil kesempatan melepas rindu kepada keluarga, anak muda ini juga tidak keberatan melayan peminat yang mahu bergambar dengannya.

Menyedari dia tiba lewat sejam daripada waktu yang dijanjikan, Shahir yang ditemani Pengetua AF8, Norman Abdul Halim memohon maaf daripada para peminat dan tetamunya.

"Saya minta maaf kerana kelewatan ini. Saya dah cuba sebaik mungkin, namun ada sedikit masalah teknikal yang menyebabkan saya bertolak lewat.

"Saya difahamkan ini hanya majlis kecil sahaja, tak sangka pula ia semeriah ini. Apa pun, terima kasih kepada keluarga dan peminat yang datang," katanya.

Saat diajukan soalan pemilihannya sebagai Ikon Belia Negeri Perak sedangkan dirinya baru setahun jagung dalam industri muzik, anak muda ini nyata tidak mudah melatah.

Sebaliknya, yakin pemilihannya itu dibuat kerana berdasarkan kriteria tertentu dan berjanji untuk memberikan contoh yang terbaik kepada golongan belia.

Terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan negeri Perak, Shahir menyifatkan anugerah tersebut sebagai tanggungjawab besar yang perlu digalas.

"Saya cukup terharu dengan pengiktirafan yang diberikan ini dan berjanji akan menjadi contoh yang baik. Saya tahu ia adalah tanggungjawab yang sangat berat, tetapi saya akan cuba sebaik mungkin.

"Cuma saya harap peminat tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi kerana sebagai manusia biasa seperti remaja-remaja lain, saya tidak dapar lari dari pada melakukan kesilapan," katanya yang mengharapkan akan kekal dalam industri hiburan tanah air dan menjadi artis yang dibanggakan.

Bukan jual wajah

Posted: 14 Jun 2010 05:31 PM PDT




SEBENARNYA terlalu banyak penjelasan yang diberikan oleh Zahida Rafik kepada Mega berhubung cakap-cakap kurang manis mengenai dirinya selama ini.

Dia sedar, selama ini tidak begitu vokal dalam menjawab dakwaan-dakwaan itu dan kerana itu penjelasan dalam akhbar ini diharapkan akan membuatkan ramai orang akan lebih tenang hidup mereka dan tidak lagi memandang hina padanya.

Antaranya dia dianggap mahu 'menjual rupa' ketika menghadiri majlis-majlis besar yang lazimnya dihadiri tokoh-tokoh korporat. Ada juga yang mempertikai kehadirannya.

"Hairan sungguh saya kehadiran saya juga menjadi satu isu. Saya bukanlah mahu menegakkan benang basah, tetapi sebagai seorang usahawan saya perlu bercampur dalam majlis-majlis begitu.

"Tuntutan perniagaan memerlukan saya menghadiri acara-cara berkenaan kerana di sanalah saya berpeluang meneroka pasaran baru selain berkenalan dengan pelanggan-pelanggan baru.

"Saya juga tidak selalu bersendirian kerana ada ketika saya ditemani oleh kakak. Saya minta semua orang janganlah mudah menghukum saya. Saya sudah cukup dewasa dan tahu membezakan antara halal dan haram," pintanya penuh mengharap

Selama menjadi anak wayang, Zahida sudah membintangi lebih daripada enam buah filem antaranya Senario, Mami Jarum, Mami Jarum Jr, Anak Mami The Movie dan Kuliah Cinta.

Dia juga memiliki syarikat produksi Chilli Picture dan telah menerbitkan sebuah filem secara usaha sama dengan sebuah syarikat produksi Indonesia iaitu May tahun lalu.

Menyedari bumi bertuah Malaysia menawarkan rezeki yang murah, Zahida menerusi syarikatnya menerima kontrak untuk menganjurkan kempen Belilah Barang-Barang Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 16 hingga 20 Jun ini.

Kempen berkenaan jelasnya, menawarkan 20 ruang kedai khusus untuk golongan artis menjual apa saja barangan tempatan dan hasil kutipan sebanyak 20 peratus akan diserahkan kepada tabung kebajikan yang diusahakan oleh penyanyi Adibah Nor.

"Saya sendiri akan membuka dua gerai dan akan menjual barangan kecantikan dan pakaian label ZR Creation. Saya amat berbesar hati kerana projek amal ini mendapat sokongan daripada rakan-rakan artis dan para pereka fesyen.

"Saya bertuah mempunyai rakan-rakan yang sentiasa menyokong usaha saya seperti Albert. Walaupun butik Albert King baru dibuka tidak sampai dua bulan namun dia sanggup memberi kerjasama dalam kempen dan apa juga aktiviti kerjaya seni saya," kata Zahida yang berterima kasih kepada Albert kerana menggayakannya dengan rekaan terkini untuk sesi penggambaran dengan Mega tempoh hari.

Melalui kempen tersebut para artis dan pereka fesyen akan menjual dan melelong pakaian mereka. Artis lain yang turut mengesahkan penyertaan mereka ialah Erra Fazira, Datin Paduka Umie Aida, KRU, Haiza, Fazli Zainal, Vince, Dafi, Anding dan Leina Hangat.

Sementara pereka fesyen yang akan melelong rekaan mereka ialah Albert King, Rizalman, Michael Ong, Radzwan, Calvin Tho dan Bill Keith.

"Saya bukan perempuan simpanan!"

Posted: 14 Jun 2010 05:24 PM PDT


GAYANYA yang manja pasti menggoda siapa sahaja yang melihatnya.


SUATU hal yang dikagumi oleh sebilangan besar wartawan hiburan mengenai aktres Zahida Rafik ialah dia tidak pernah melenting apabila orang bercakap yang bukan-bukan mengenai peribadinya.

Selama lebih lima tahun aktif sebagai anak wayang, pelakon itu dikaitkan dengan pelbagai dakwaan nakal dan liar. Semua tuduhan itu mampu mengguris perasaan sesiapa saja khususnya kaum wanita sepertinya.

Apa perkara negatif yang tidak dikaitkan dengan Zahida?

Namanya sering dikaitkan dengan orang kenamaan atau VIP. Ada yang mengatakan kemewahan yang dinikmati itu kerana dia 'dibela' oleh orang kenamaan, kaya dan berpengaruh.

Malah lebih ekstrem lagi, ada mendakwa kononnya dia menjual tubuh untuk hidup mewah.

Namun, entah dari mana Zahida memperoleh kekuatan dan tahap kesabaran sehingga segala umpat keji masyarakat padanya tidak langsung meninggalkan kudis buatnya.

Semua dakwaan itu bersifat menghina dan mengkeji kerana hidup sebagai perempuan simpanan bukanlah perkara yang wajar dibanggakan. Ia menyalahi hukum agama dan melanggar batas susila orang Melayu.

Mujur Zahida seperti yang disebut di atas, tidak mudah melenting. Jauh sekali untuk menuding jari kepada pihak lain. Hakikatnya, dakwaan liar itu sangat mengguris hati ibu bapanya - insan yang sangat dihormati dan disayangi.

Kepada Mega, aktres berdarah Pakistan ini memberi penjelasan yang wajar disifatkan sebagai berani dan jujur yang lahir dari lubuk jiwanya yang sudah lama memendam rasa.

"Saya sendiri tiada jawapan kenapa sejak menjadi artis tidak habis-habis saya dikaitkan dengan VVIP. VVIP tidak pernah hadir dalam hidup saya," luahnya dalam nada tenang namun penuh makna.

Yang terus menjadi tanda tanya dalam dirinya, kenapa orang ramai sibuk mendakwa dia 'dibela' oleh VVIP sedangkan dia masih tinggal sebumbung dengan orang tua. Segala pergerakannya sentiasa dimaklumkan kepada mereka.

"Kenapa saya harus tinggal dengan ibu dan ayah andai saya 'dibela' oleh VVIP? Sebagai wanita yang dikaitkan dengan dakwaan itu, saya terlalu kecewa. Ia sekali gus menjatuhkan maruah saya.

"Bagi saya apabila gosip mengatakan saya dibela oleh VVIP ia satu penghinaan. Saya bukan perempuan simpanan. Sebagai anak bongsu dalam sebuah keluarga yang berpegang teguh kepada adat dan agama, ayah tidak membenarkan saya tinggal sendirian selagi belum berkahwin.

"Itulah syarat yang ayah berikan pada anak-anaknya dan juga saya apabila menceburi bidang seni," kata anak seni berusia 35 tahun mengenai syarat yang dikenakan oleh ibu dan ayahnya.

Spekulasi yang tidak masuk akal yang disebarkan itu menyebabkan ada ketika Zahida bimbang dan trauma untuk menghadiri acara-acara sosial khususnya yang dihadiri oleh golongan sosialit terutama golongan mak datin kerana bimbang dirinya dipandang hina dan dianggap mahu memusnahkan rumah tangga mereka.

"Ikhlas daripada saya untuk datin-datin semua janganlah takut dengan saya. Saya tidak 'makan orang' dan tidak suka merampas suami orang.

"Bahkan saya rasa lebih selesa menghadiri sesuatu majlis dan bercakap dengan seseorang VVIP yang saya sedia maklum sudah beristeri atau yang saya kenal isteri mereka," kata Zahida meninggalkan pesanan yang dianggap wajar dilakukannya bagi mengelak salah faham.

36 penyakit dilindungi dana KWSP

Posted: 14 Jun 2010 05:21 PM PDT

Pengeluaran Kesihatan penyakit kritikal baru kuat kuasa hari ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah jumlah penyakit kritikal yang boleh dikeluarkan di bawah Pengeluaran Kesihatan daripada 13 jenis penyakit kepada 36 jenis penyakit.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, jumlah penyakit kritikal yang baru berkuat kuasa hari ini. "Senarai ini diperluaskan selepas KWSP mengambil kira kos yang tinggi diperlukan bagi merawat penyakit kritikal dan bagi meringankan beban kewangan ahli dalam mendapatkan rawatan berkenaan. "Selain daripada 36 penyakit kritikal ini, ahli juga boleh membuat pengeluaran bagi merawat ahli keluarga berumur di bawah 16 tahun untuk tiga lagi penyakit kritikal iaitu lelah yang teruk, leukemia dan kecacatan intelektual disebabkan kemalangan atau penyakit," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Azlan berkata, bagi pengeluaran kesihatan ahli dibenar mengeluarkan simpanan mereka daripada Akaun 2 bagi membiayai kos rawatan penyakit kritikal untuk diri mereka dan ahli keluarga.

"Ahli keluarga di bawah pengeluaran ini termasuk pasangan suami isteri, anak, anak tiri atau anak angkat yang sah dari segi perundangan, ibu bapa, mentua, ibu bapa tiri atau ibu bapa angkat yang sah dari segi perundangan dan adik-beradik.

"Namun ahli tidak layak untuk memohon pengeluaran ini sekiranya penyakit yang dihidapi mereka tidak dinyatakan dalam senarai penyakit kritikal KWSP atau kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan ahli atau majikan ahli keluarga mereka," katanya.
Beliau berkata, semua pengeluaran tertakluk kepada kesahihan laporan kesihatan, bil dan resit yang tidak melebihi tempoh satu tahun dari tarikh permohonan pengeluaran dibuat di atas nama pesakit atau pemohon.

Urut seksi

Posted: 14 Jun 2010 05:19 PM PDT

TUKANG urut warga asing menunggu pelanggan di kaki lima jalan Bukit  Bintang.
TUKANG urut warga asing menunggu pelanggan di kaki lima jalan Bukit Bintang.
Gadis cantik dari China jadi umpan pelanggan di Jalan Bukit Bintang

BUKIT BINTANG: Kewujudan puluhan pusat urut kesihatan yang beroperasi di sepanjang Jalan Bukit Bintang dan Jalan Alor di sini didapati bukan saja menawarkan urut biasa tetapi juga 'urutan istimewa' untuk menarik pelanggan terutama lelaki dengan menjadikan wanita cantik dan seksi sebagai `umpan'.

Puluhan tukang urut wanita yang kebanyakan pekerja asing terutama gadis muda dari China yang berpakaian seksi didapati memujuk orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dengan menunjukkan menu perkhidmatan dengan tawaran refleksologi serendah RM25 untuk setengah jam. Ada juga tukang urut wanita yang hanya berkumpul di kaki lima dan urusan 'memujuk' pelanggan dilakukan lelaki yang kebanyakan warga negara Bangladesh. Tidak keterlaluan kawasan itu digambarkan sebagai lubuk urut berdasarkan terlalu banyak premis urut yang wujud. Walaupun ada premis yang betul menjalankan khidmat urut dan refleksologi tetapi ada yang cuba menangguk di air keruh dengan menjalankan 'urutan istimewa' iaitu mengurut kemaluan lelaki.

Wartawan Sentral yang menyamar diri sebagai pelanggan mendapati urutan batin ditawarkan dengan kadar RM50.

Modus operandi mereka ialah menawarkan pakej urutan badan dengan kadar RM60 untuk satu jam dan apabila tempoh urut hampir tamat, pelanggan ditawarkan pula 'belaian istimewa' dengan caj berasingan.

Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan akan mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha pusat urut refleksologi yang membenarkan kakitangan mereka berlegar di kaki lima premis untuk menarik pelanggan, tetapi tinjauan mendapati tidak ada apa-apa perubahan.
Pusat itu memberikan imej baru kepada Bukit Bintang sebagai lokasi untuk menjalankan aktiviti urut termasuk urutan batin.

Sepanjang kira-kira lima jam berada di kawasan itu, wartawan juga didatangi tiga bapa ayam cuba menawarkan khidmat seks daripada gadis pelbagai negara termasuk warga tempatan yang menjalankan operasi sekitar hotel berdekatan dengan bayaran RM150 hingga RM400 untuk tempoh tertentu.

Bapa ayam mendekati lelaki yang berjalan seorang atau secara berkumpulan dan membawa mereka ke hotel untuk melihat sendiri wanita yang akan menawarkan khidmat seks, sebelum menetapkan kadar.

Sebagai lokasi dan kawasan beli belah sepatutnya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih tegas menjalankan tanggungjawab kerana kegiatan tidak bermoral khususnya di kawasan kaki lima menjejaskan nama baik ibu kota.

Skandal seks Ariel,Luna kian panas

Posted: 14 Jun 2010 05:18 PM PDT

ARIEL dan Luna Maya menggemparkan   Indonesia dengan skandal pita  rakaman seks mereka.
ARIEL dan Luna Maya menggemparkan Indonesia dengan skandal pita rakaman seks mereka.
Polis serbu sekolah rampas klip video

JAKARTA: Rakyat Indonesia kini berdepan dengan skandal pita rakaman seks pertama selebritinya, membabitkan penyanyi pop, Ariel dengan model terkenal, Luna Maya.

Polis melayari komputer pejabat dan telefon bimbit untuk menonton klip video yang didakwa menonjolkan bintang pop kesayangan bersama dua kekasihnya. Berita berkenaan mengungguli tajuk berita selama seminggu dan mendominasi perbualan dalam rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter. Beberapa sekolah tinggi di Jakarta turut diserbu polis untuk merampas telefon bimbit supaya klip video yang memalukan itu dapat dikeluarkan dari institusi pendidikan Indonesia. Sesetengah menteri berkata insiden terbabit jelas menunjukkan kemerosotan moral rakyat Indonesia dan keperluan kawalan dan pemantauan ketat terhadap internet.

Apabila skandal itu mencetuskan perdebatan sama ada pendidikan seks, topik yang masih menjadi pantang larang di rumah dan bilik darjah, perlu ditambahkan kepada kurikulum sekolah, dengan tegasnya Menteri Pendidikan, Muhammad Nuh menjawab, "tidak."

"Saya mungkin ketinggalan zaman, namun saya tidak melihat perlunya pendidikan seks di sekolah. Saya percaya orang ramai akan belajar mengenai seks secara semula jadi," katanya kepada media.

Sebaliknya, beliau mencadangkan pihak berkuasa menggeledah telefon bimbit pelajar untuk salinan pita terbabit, yang penyebaran pantasnya "melanggar peraturan dan norma biasa dalam masyarakat beragama."
"Siapa yang bertanggungjawab perlu dihukum," kata Nuh.

Klip video enam minit pertama menunjukkan penyanyi pop Nazril Irham atau dikenali Ariel, berada di atas katil bersama teman wanitanya Luna Maya, model terkenal, aktres model iklan sabun kecantikan Lux.

Kedua-duanya menafikan mereka berada dalam rakaman itu, sebaliknya menyatakan rakaman itu dipalsukan, namun dipanggil untuk disoal polis.

Pada mulanya, pegawai mengugut untuk mendakwa mereka mengikut undang-undang tegas antipornografi walaupun tiada petunjuk adegan seks intim itu bertujuan untuk ditayangkan kepada umum.

"Jika seseorang dibuktikan sengaja mengedarkan video itu, individu terbabit akan didakwa," kata Brig Jeneral Zainuri Lubis, jurucakap polis nasional, dan menambah mereka yang ditahan memuat turun klip dan menirunya untuk orang lain mungkin berdepan hukuman penjara.

Media tempatan berkata video itu mula muncul awal bulan ini selepas komputer riba Ariel dicuri dan banyak pita sama dengan selebriti lain, masih berleluasa.

Puluhan ribu tinggalkan Kyrgyzstan

Posted: 14 Jun 2010 05:16 PM PDT

KUMPULAN etnik Uzbek berehat selepas mereka melintasi sempadan  antara Kyrgyzstan dan Uzbekistan dalam usaha untuk melarikan diri akibat  perbalahan kumpulan etnik di Kyrgyzstan.
KUMPULAN etnik Uzbek berehat selepas mereka melintasi sempadan antara Kyrgyzstan dan Uzbekistan dalam usaha untuk melarikan diri akibat perbalahan kumpulan etnik di Kyrgyzstan.
Mayat bergelimpangan selepas pertempuran bersenjata antara kumpulan etnik

OSH: Pertempuran bersenjata di antara kumpulan etnik di bandar raya Kyrgyzstan ini menyebabkan puluhan ribu orang melarikan diri sementara mayat bergelimpangan di jalan raya, kelmarin.

Letupan bom petrol mengakibatkan sebuah kedai milik etnik Uzbek terbakar dan mayat yang hangus dibiarkan tanpa diberikan perhatian oleh sesiapa pun. Kyrgyzstan adalah negara penting kepada kedua-dua Amerika Syarikat dan Russia yang mempunyai pangkalan tentera di negara Asia Tengah itu. "Mungkin sekurang-kurang 1,000 orang mati di Osh. Kami tidak dapat mendaftar mangsa maut kerana kami ditolak oleh pihak hospital atas alasan ia hanya untuk rakyat Kyrgyzstan," kata Isamidin Kudbidunov, 27.

Jallahitdin Jalilatdinov, yang mengetuai Pusat Nasional Uzbek, memberitahu Associated Press semalam, 200 rakyat Uzbek dikebumi setakat ini.

Penduduk yang terkejut dengan kejadian itu berkata keganasan berkenaan akan mempunyai kesannya bagi beberapa generasi akan datang. "Kami tidak dapat hidup bersama lagi," kata Akbar, seorang penduduk etnik tempatan Uzbek yang mundar-mandir di jalan raya di Osh.

Sekali sekala kedengaran bunyi tembakan di Osh semalam sementara di Jalalabad, kejadian dilaporkan semakin ganas.
"Situasi semakin teruk di Jalalabad," timbalan ketua kerajaan sementara Kyrgyzstan, Temir Sariyev memberitahu pemberita di Bishkek.

Kejadian itu meletus Jumaat lalu di Osh apabila kumpulan etnik Kyrgyzstan mula menyerang kedai dan rumah penduduk etnik Uzbek yang mencetuskan ketegangan di antara dua kumpulan etnik terbesar di negara berkenaan.

Keganasan itu menyebabkan puluhan ribu golongan etnik Uzbek dan sebahagian besar penduduk Tajik membanjiri kawasan sempadan untuk masuk ke Uzbekistan.

Izzat Ibragimov, timbalan ketua perkhidmatan kecemasan di daerah Andijan, berkata terdapat 60,000 pelarian di sempadan Andijan saja tidak termasuk kanak-kanak.

Di timur daerah Khujaobad, Ikromiddin Valiyev, seorang pegawai penyelaras, berkata 2,500 tiba sejak Sabtu lalu. Anggaran pelarian yang melarikan diri ke Uzbekistan agak berbeza-beza tetapi pegawai kerajaan berkata angka berkenaan melebihi 100,000 orang.

Helikopter tentera Uzbek kelihatan terbang di sempadan Uzbek-Kyrgyz manakala anggota tentera memasang dapur sementara dan kemudahan perubatan di beberapa daerah di timur Uzbekistan.

Presiden sementara Kyrgyzstan, Roza Otunbayeva, Sabtu lalu merayu kepada Russia supaya menghantar bantuan ketenteraan bagi membendung keganasan itu.

Sementara itu, di KHOJAOBOD, Uzbekistan dilaporkan bertungkus lumus mendapatkan makanan, air dan bantuan perubatan bagi membantu puluhan ribu pelarian yang membanjiri negara itu.

Helikopter tentera berkawal di sepanjang sempadan ketika pihak berkuasa di beberapa daerah berusaha mencari perlindungan di sekolah, kilang dan bangunan lain untuk pelarian.

Seorang penduduk tempatan di daerah Kasansay di wilayah Namangan, timur Uzbekistan, ketika dihubungi menerusi telefon berkata, ramai pelarian – kedua-dua etnik Uzbek dan Tajik, tiba di sana pada waktu malam.

Demi mengejar impian...Yuna

Posted: 14 Jun 2010 05:13 PM PDT

pix_gal0
Yuna sedia berjauhan dengan keluarga untuk mengembangkan bakat seninya

BUKAN mudah terbang beribu kilometer meninggalkan keluarga, sahabat handai dan peminat, namun demi mengejar cita-cita mahu muziknya merentas arena antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna sanggup mengorbankan perasaannya semata-mata mahu impian yang dipendam sejak sekian lama terlaksana.

Orang tuanya tidak membantah, malahan mereka adalah orang paling kuat memberikan banyak sokongan dan sanggup berkorban melepaskan satu-satunya permata kesayangan demi melihat puteri tunggal berjaya. "Minggu pertama selepas kedua ibu bapa saya pulang ke Malaysia, memang saya tidak dapat membendung kerinduan pada mereka. Tetapi kesibukan kerja sedikit sebanyak meleraikan kerinduan itu. "Mereka menemani saya ke Los Angeles (LA), Amerika Syarikat pada Mac lalu. Mereka sengaja mahu melihat dan mengenali pihak pengurusan saya di sana. Selepas mengenali dan berasakan semuanya okay, barulah kedua ibu bapa saya pulang. Lagipun mereka berasa selamat kerana sepupu saya Wawa menemani saya sepanjang berada di sana," katanya yang hadir memenuhi sesi fotografi disusun Akademi Industri Muzik (AIM), dua hari selepas pulang ke tanah air.

Masih lagi 'jetlag', gadis kelahiran Kedah ketika itu belum sempat berehat kerana pelbagai acara bersangkut paut dengan AIM. Walaupun kepenatan, Yuna yang mula mencuri hati peminat dengan lagu Dan Sebenarnya sanggup mengenepikan kepentingan diri kerana profesionalisme.

Malah Wawa yang turut bertindak sebagai pengurus, memberitahu selepas sesi fotografi bersama Hip, mereka akan bergegas mencari pakaian kerana baju untuk ke AIM masih belum sempat dicari walaupun sudah kesuntukan masa. Disebabkan kesibukan, mereka belum sempat berehat panjang kerana terikat dengan pelbagai komitmen.

Kesibukan Yuna nyata berbaloi apabila malam AIM yang berlangsung awal Mei lalu memberikan kenangan manis kepada kerjaya seninya kerana membolot empat anugerah di AIM 17. Yuna meraih trofi untuk Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik menerusi lagu ciptaannya berjudul Dan Sebenarnya. Selain itu, dia turut menggondol anugerah bagi kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik berjudul Deeper Conversation.
Karier gadis berusia 23 tahun di tahun 2010 menunjukkan perkembangan cukup baik. Lembaran kerjayanya bermula sebagai artis indie, namun sejak memasuki aliran arus perdana tidak sampai setahun, kejayaan demi kejayaan dicapainya.
Terdahulu, Yuna meraih tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke 24, Januari lalu menerusi lagu Dan Sebenarnya, diikuti anugerah Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

Secara jujur gadis manis ini memberitahu kejayaan tidak akan diraih tanpa adanya peminat, seandainya kerjaya di luar negara menunjukkan perkembangan baik, dia tidak sesekali akan melupakan peminat serta asal usulnya. Disebabkan peminat dia mendapat peluang melebarkan sayap ke luar negara.

"Saya masih memerlukan sokongan dari peminat di sini. Tanpa mereka tak mungkin saya dapat mengembangkan kerjaya sehingga ke Amerika Syarikat. Syarikat yang saya naungi di sana, Indie-Pop mengesan saya pun menerusi laman sosial MySpace kerana peminat banyak mendengar lagu saya di situ. Jika tidak, mungkin saya tidak mendapat peluang seperti ini.

"Ramai yang impikan peluang sebegini tetapi tidak kesampaian. Justeru apabila saya mendapat pelawaan dari sebuah syarikat dari luar negara, sukar untuk saya melepaskan tawaran itu. Pada mulanya terbit juga rasa bimbang, namun kesungguhan mereka terbang ke sini bertemu saya untuk berbincang membuahkan keyakinan yang mereka benar-benar serius ingin membantu kerjaya saya.

"Ketika kali pertama tiba di sana, terasa janggal juga kerana saya tidak pernah bekerja dengan orang luar. Bagaimanapun, mereka tidak memandang sinis biarpun saya bertudung. Mereka begitu menghormati saya dan kerja saya, mereka tidak pernah campur tangan dengan muzik saya.

"Syarikat pengurusan di sana memberi sepenuh kebebasan kepada saya untuk berkarya. Sesekali dengar juga pendapat mereka, cuma saya memastikan identiti muzik saya terus dikekalkan," katanya.

Sedia bekerja di luar negara

Pemergiannya ke Amerika juga membolehkan Yuna terus berkarya. Kesibukan di tanah air menyebabkan kerja penghasilan lagunya tergendala, justeru pada peringkat awal ketika di sana, dia mengambil sedikit masa 'memanaskan' kembali skil berkarya.

Oleh kerana tidak terikat dengan sebarang komitmen lain, Yuna dapat menumpukan kembali perhatian kepada penulisan lagu.

Sepanjang hampir dua bulan di sana, banyak lagu dirakamkan. Hasil dari perbincangan, satu daripada lagu milik Yuna akan diperkenalkan di i-Tunes sebelum bertemu syarikat rakaman yang berminat untuk mengambilnya.

Bakal berada di tanah air sehingga Julai ini, sebelum berangkat pulang ke L.A, Yuna berharap dapat melancarkan album keduanya sebelum berlepas ke sana. Ketika L.A pada Mac lalu, dia sudah menyiapkan beberapa lagu. Lagu Cinta Sempurna sudah kerap disiarkan di corong radio. Pada Mei lalu lagu Gadis Masa pula menemui peminat dan pendengar.

Selain kembali ke tanah air bagi memenuhi undangan AIM, Yuna mengambil kesempatan itu untuk melunaskan pembikinan tiga lagu lagi bagi memastikan hasrat melancarkan album terbarunya tertunai.

Yuna juga memberitahu, jika mendapat peluang untuk terus bekerja di sana, dia tidak akan teragak-agak untuk berbuat demikian. Dia tidak menghadapi sebarang masalah bekerja di luar negara kerana mengakui semakin selesa dengan cara mereka. Cuma masalah yang dihadapi hanyalah mendapatkan makanan halal. Selalunya makanan berasaskan sayur-sayuran dan ikan saja menjadi pilihan Yuna bersama sepupunya.

Hanya sesekali mereka berpeluang menikmati daging dan ayam. Lucunya, apabila dapat menikmati daging, Yuna dan Wawa akan makan seperti tidak pernah menemui makanan itu. Mengambil langkah selamat, Yuna lebih selesa menikmati makanan yang dimasak saja.

Kes Apek : Astro & TV3 Tiada Hak Ambil Tindakan, Seniman Pula Pandang Serius

Posted: 14 Jun 2010 05:12 PM PDT

Saiful Apek.

PETALING JAYA: Stesen televisyen Astro dan TV3 mengesahkan pelawak Saiful Apek bukan residen artis mereka dan kedua-dua stesen televisyen itu tidak mempunyai hak untuk mengambil sebarang tindakan keatasnya.

Unit perhubungan awam stesen televisyen Astro sewaktu dihubungi berkata, pihaknya tidak bercadang mengambil apa-apa tindakan kerana kes melibatkan Apek itu masih belum diputuskan oleh mahkamah sama dia bersalah ataupun tidak.

"Apek bukan artis kami dan kami tidak ada apa-apa tindakan terhadapnya," kata pihak Astro.

Pihak TV3 juga mengambil pendekatan serupa dan menyatakan pelawak itu tidak mengikat apa-apa kontrak dengan mereka.

Harun Salim Bachik.

Sementara itu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) memandang serius kes melibatkan Saiful Apek akibat dakwaan memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja malam kelmarin.

Presidennya Harun Salim Bachik berkata sepatutnya kes-kes seumpama itu yang sering berlaku dikalangan artis selama ini menjadi iktibar kepada Apek dan semua pihak.

Katanya, mereka perlu menjauhkan diri daripada najis dadah.

"Nampaknya masih ada artis yang tidak ambil pusing dengan kes-kes penyalahgunaan dadah," katanya kepada mStar Online.

Sehubungan itu, Harun menggesa artis-artis supaya mengelakkan diri daripada terjebak dalam perangkap dadah.

"Saya minta kerjasama artis-artis tolong jauhkan diri daripada dadah kerana ia tidak membawa mereka ke mana-mana. Apabila disiarkan di media ia akan menjejaskan reputasi individu terbabit.

"Fikirkanlah tentang keluarga. Kalau bersalah dah tentu masyarakat akan pandang serong," katanya.

Memandangkan gejala penyalahgunaan dadah masih berleluasa di kalangan artis, Harun berkata, Seniman terpanggil untuk mengadakan program kesedaran untuk golongan itu.

Katanya, Seniman akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) untuk merangka program tersebut.

Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff ditahan bersama lima rakannya ekoran dakwaan memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja malam kelmarin.

Mereka ditahan di rumah Saiful di Jalan PJS7 Subang Jaya di sini kira-kira pukul 10 malam.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apek sebelum ini pernah terlibat dalam racangan Jangan Tidur Lagi terbitan TV3 serta banyak berlakon filem-filem komedi antaranya Senario, Senario Lagi dan Anak Mami Kembali.

Jimmy Pilih Anak Jutawan Bukan Kerana Harta

Posted: 14 Jun 2010 05:10 PM PDT

Jimmy ketika melangsungkan pertunangannya Jumaat lalu

BARU sahaja melangsungkan pertunangan dengan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, pengacara Akademi Fantasia musim ke lapan (af8), Jimmy Shanley menafikan dia memilih anak jutawan hanya kerana harta.

Menurutnya, tiada istilah mencari kekayaan dalam mamilih kekasih terutamanya dengan wanita yang bakal berkongsi hidup dengannya.

"Saya tidak pernah memilih untuk berkawan dengan perempuan yang berlatarbelakang daripada keluarga yang mewah.

"Pertemuan kami tidak dirancang sama sekali dan soal status kehidupan keluarganya itu hanyalah secara kebetulan sahaja. Tuduhan kononnya pertunangan itu disebbakan faktor lain adalah satu tuduhan mereka yang tidak mengelai saya," katanya yang telah melangsungkan pertunangan dengan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya.

Kata Jimmy, sebelum ini dia telah berkawan dengan ramai perempuan dan cuba mengenali mereka tanpa mengetahui latar belakang kemewahan masing-masing" ujarnya ketika dihubungi mstar online.

Jimmy yang akan menamatkan zaman bujangnya pada Oktober tahun ini selamat bertunang dengan Nursuhaila Eliani di rumah pihak perempuan di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Ketika mengimbau kembali detik pertemuan pasangan itu, kisah cinta mereka terjalin sejak Jimmy bertemu dengan Nursuhaila di Genting Highlands sewaktu dia menjalani rakaman Trek Selebriti bersama Noni AF pada pertengahan tahun 2006.

"Nursuhaila merupakan peminat saya dan mahu mengambil gambar dengan saya ketika kami bertemu waktu itu.

"Selepas empat tahun, saya diundang menghadiri majlis hari jadinya pada 31 Januari lalu.

"Sejak itu kami menjadi rapat dan akhirnya saya melamarnya pada bulan lalu ketika AF8 hampir melabuhkan tirainya," kata Jimmy

Khabarnya, Nursuhaila telah lama menyimpan perasaan kepada Jimmy sejak lima tahun lalu. Sebelum ini dia hanya melihat Jimmy menerusi televisyen, akhbar dan majalah.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga tidak pernah bercinta dan pernah menyimpan impian untuk mempunyai teman lelaki seperti Jimmy.

Ditanya apakah yang menarik minat Jimmy untuk memperisterikan Nursuhaila, Jimmy menjawab: "Dia sangat memahami kerja saya dan keluarga dia juga dapat menerima diri saya seadanya. Ibu dan bapanya juga sangat supportive dan sporting."

Majlis pertunangan itu dihadiri kira-kira 300 yang terdiri daripada keluarga dan sanak-saudara kedua-dua belah pihak.

Sementara Jimmy yang merupakan anak yatim piatu dan bongsu daripada lapan beradik itu ditemani keluarga terdekat yang terdiri daripada abang dan kakaknya.

Majlis tersebut mendapat khidmat perunding perkahwinan Bahar Azman. Malah Bahar juga akan bertindak sebagai perunding majlis perkahwinan Jimmy pada Oktober nanti.

Jimmy berkata tiga majlis resepsi dijangka akan dilangsungkan iaitu di Kuala Lumpur, kampung pihak perempuan di Sungai Petani, Kedah dan kampung pihak lelaki di Ipoh, Perak.

Jehan, Anahita & Wan Sharmila Kecam Israel

Posted: 14 Jun 2010 05:09 PM PDT

Jehan mahu serangan akan dihentikan suatu hari nanti.

KEPERITAN yang dilalui penduduk Gaza bukan sahaja menyentuh hati dan perasaan rakyat Malaysia malah turut dirasai oleh beberapa selebriti tanah air yang mengecam tindakan kejam rejim Zionis Israel.

Bagi pelakon Jehan Miskin, isu keganasan dan kekejaman Israel sudah lama tercetus namun kesedaran memuncak apabila aktivis Malaysia sendiri merasakan penderitaan mereka apabila menjadi tahanan Israel.

"Ini bukan isu baru. Ia merupakan isu dunia yang sudah bertahun-tahun lamanya dan sukar bagi kita sebagai negara kecil untuk membantu menyelesaikan masalah ini.

"Namun banyak cara yang boleh kita lakukan bagi menunjukkan sokongan kepada saudara sesama Islam yang sedang berjuang di tanah Palestin itu. Paling tidak, kita boleh membantu dari segi kutipan derma yang dapat disalurkan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Selain itu, Jehan menzahirkan rasa sedih terhadap mangsa-mangsa kekejaman rejim Zionis yang telah bertahun-tahun berhadapan dengan konflik tidak berkesudahan itu."Seluruh masyarakat dunia harus sedar perkara ini dan bangkit bersatu bagi menyedarkan kuasa besar dunia agar melakukan sesuatu.

"Selagi kuasa-kuasa besar dunia tidak bangkit menentang kekejaman Israel yang secara terang-terangan, jenayah ini tidak akan berkesudahan," jelasnya.

Annahita berbangga dengan usaha Malaysia hantar bantuan ke Gaza

Manakala bagi pelakon dan pengacara, Annahita Bakavoli, usaha murni Malaysia menghantar bantuan ke Gaza baru-baru ini patut dipuji kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

"Saya sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan tindakan Malaysia, biarpun ia laluan yang agak sukar namun usaha itu melambangkan betapa negara dan rakyat kita prihatin dengan penderitaan Palestin.

"Sebagai saudara sesama Islam, saya berharap rakyat Palestin mampu bertahan dalam meneruskan hidup mereka. Peperangan ini seharusnya dihentikan bagi mengelakkan lebih banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban dengan sia-sia," jelasnya.

Biarpun begitu, Annahita menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia sedar tentang kesusahan yang dialami oleh negara Palestin berbanding Malaysia.

"Rakyat Malaysia harus sedar tentang betapa pentingnya menjaga keamanan yang kita miliki sekarang jika dibandingkan negara-negara lain yang sedang bergolak.

"Apa yang berlaku di sana kita jadikan iktibar dan teladan serta sentiasa berdoa supaya rakyat Palestin memperoleh keamanan," ujar pelajar jurusan perundangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.

Wan berdoa untuk harap yang terbaik

Sementara itu, pelakon Wan Sharmila memberitahu keprihatinan rakyat di serata dunia yang ditunjukkan melalui bantuan-bantuan yang dihantar sedikit sebanyak mampu memberi kekuatan kepada rakyat Palestin.

"Walau tidak banyak yang dapat dibantu namun melalui saluran yang dibuka oleh badan-badan bukan kerajaan yang terlibat dalam menyalurkan bantuan dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka.

"Sesama manusia dan umat Islam khususnya lebih merasai apa yang dilalui oleh rakyat di sana. Seperti yang diceritakan oleh aktivis Malaysia yang ditahan beberapa hari menjelaskan betapa peritnya penderitaan yang mereka alami selama ini," katanya.

Menurutnya, doa adalah usaha terbaik bagi membantu rakyat Palestin dalam menghadapi segala dugaan setiap hari.